SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, October 29, 2009

KESELAMATAN DALAM AKTIVITI KOKURIKULUM DI SEKOLAH (THE APPLICATION OF SAFE SCHOOL CONCEPT IN THE CO-CURRICULAR ACTIVITIES)


Sekolah ialah organisasi yang memupuk pembelajaran (organisation that nurture learning). Niat ibu bapa dan masyarakat menghantar anggota keluarga muda mereka ke sekolah antara lain berasaskan kepercayaan bahawa sekolah ialah tempat yang selamat dan anak mereka berada dalam kawalan sekumpulan profesional yang memiliki tahap kecekapan tugas yang tinggi. Bentuk serahan ini menjadikan guru menjalankan fungsi in loco parentis, suatu konsep undang-undang yang bererti bahawa guru seolah-olah mengambil alih peranan ibu bapa dalam lingkungan tertentu yang dibataskan pula oleh konsep duty of care, iaitu kewajipan berjaga-jaga.


Dalam Penyata Razak 1956, murid sekolah dirujuk sebagai "budak". Dari segi undang-undang pula, individu yang berusia 18 tahun dan ke bawah dikategorikan sebagai juvana. Maka, murid sekolah dari umur tadika hingga tingkatan lima digolongkan sebagai kanak-kanak walaupun memiliki ketinggian dan saiz badan yang mengatasi ibu bapa dan guru.


Pengaruh yang tersebar menerusi pelbagai medium dan gajet telekomunikasi telah mengakibatkan murid terdedah kepada pelbagai ragam tingkah laku. Segelintir murid yang bolos daripada kawalan institusi keluarga dan sekolah dipujuk untuk menjadi rekrut kepada kumpulan gangster dan kongsi gelap. Di United Kingdom, murid yang terbabit dengan jenayah berat boleh didakwa di mahkamah jenayah, bukan lagi mahkamah juvana.

Bersambung...




Wednesday, October 28, 2009

MAULID, JAMALIAH GURU SMI PALING POPULAR (MICHAELIANS ELECTED THE MOST POPULAR TEACHER)

Ipoh, Rabu 28 Oktober 2009 / 10 Zulkaedah 1430

Jamuan Tahunan Kelab Staf SMI berlangsung dalam suasana meriah di Restoran Simpang Tiga, Greentown Business Centre. Tetamu kehormat yang hadir ialah Encik Joseph Michael Lee, Yang Dipertua PIBG dan ahli jawatankuasa beliau. Gimik majlis dimulai dengan nyalaan lilin 'gergasi' oleh Encik Phoon Chong Chee, pengetua SMI merangkap penaung kelab.

Antara acara yang menarik perhatian ialah keputusan pemenang guru paling popular 2009. Undian dibuat oleh murid dan pelajar SMI seratus peratus. Keputusan penuh ialah:

Sidang Pagi:

Guru lelaki paling popular:  Encik Maulid bin Ismail

Guru wanita paling popular:  Puan Usha Rani

Sidang Petang:

Guru lelaki paling popular:  Encik Peter Khiew

Guru wanita paling popular:  Puan Jamaliah.

Undian keseluruhan meletakkan Encik Maulid dan Puan Jamaliah sebagai guru SMI paling popular bagi setiap sidang.

Secara kebetulan kedua-dua guru paling popular datang dari Jabatan Vokasional dan Teknik (VT). Tentu mereka berdua ada aura dan magnet yang tersendiri... Malah guru wanita sesi pagi paling popular, Puan Usha Rani juga VT.

Hal ini bererti bahawa VT mendominasi undian guru popular SMI!  Penulis blog berkongsi rasa gembira kerana telah berpeluang menjalankan tugas guru kanan VT sejak Januari 2009.





Cabutan bertuah kali ini menampilkan sedikit kelainan. Pemenang diminta membuat cabutan nombor hadiah yang bakal diterima. Maka, banyak aksi lucu berlaku. Ada yang mengharapkan toto, dapat teddy bear. Penulis blog membawa pulang kipas meja jenama Panasonic.

Ahli Kelab Staf yang terdiri daripada guru dan kakitangan turut memeriahkan majlis dengan acara permainan seperti mengenal personaliti (PK Koku) dan gerai medan selera sekolah. Persaingan antara meja sepertimana permainan lain penuh dengan "kelicikan dan muslihat" yang bijaksana. Apabila diisytiharkan menang, ahli kumpulan sama-sama meraikannya...

Pemilihan "King and Queen" dibuat secara undian semua ahli Kelab Staf yang hadir. Panduan pemilihan ialah warna tema SMI, iaitu hijau dan putih. Kategori "king" jatuh kepada Encik Phoon Chong Chee, pengetua manakala "queen" dimenangi oleh Puan Wan Norliza.



Menu jamuan ala Padang (wilayah yang ditimpa bencana gempa bumi baru-baru ini) nampaknya boleh diterima. Tetamu dan hadirin yang ditemui rata-ratanya berpuas hati. Cuma kekurangan pengalaman petugas restoran untuk majlis skala besar membabitkan 150 orang itu perlu diberi perhatian oleh Kelab Staf sesi 2010 kelak. Namun, secara keseluruhannya, majlis jamuan tahunan 2009 berkenaan boleh dianggap berjaya mencapai matlamatnya untuk menghimpunkan ahli dalam suasana santai...

Dalam pada itu, sejumlah 50 orang guru menerima sijil kehadiran cemerlang.  Encik Joseph Michael Lee dan Dato' Mohamad Niza (Naib Yang Dipertua PIBG) telah sudi menyampaikan sijil. Sijil kepujian itu barangkali boleh dicatatkan dalam senarai surat kepujian yang diterima pada borang prestasi SSM tahun 2009...

Sebarang saranan penambahbaikan aktiviti dan pentadbiran Kelab Staf bolehlah disuarakan terus kepada AJK atau diusulkan dalam mesyuarat agung tahunan awal tahun 2010. Kelab Staf turut disenaraikan sebagai elemen penting yang dapat mengukuhkan permuafakatan guru  dan kakitangan sekolah dalam Pelan Induk Pembangunan pendidikan (PIPP) 2006 - 2010. Iklim dan persekitaran sekolah yang kondusif memudahkan proses pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid.

Tuesday, October 27, 2009

BAJET ATAU BELANJAWAN: YANG MANA SATU? (THE OTHER SIDE OF BUDGET)

"Bajet" dimasukkan dalam entri Kamus Dewan Edisi IV pada muka surat 110 dan dicatat sebagai bp, iaitu bahasa percakapan bagi "belanjawan". Memang sudah lama orang Malaysia menggunakan istilah bajet dalam perbualan, misalnya hotel bajet, tak cukup bajet, bajet ciput, dan banyak lagi. Beberapa tahun belakangan ini, perkataan bajet telah diangkat bagi menggantikan belanjawan untuk sesi pembentangan belanjawan negara di parlimen.

Sarjana bahasa berbelah bahagi dalam penggunaan istilah "bajet". Kalau ditanya sarjana yang cenderung kepada aliran sosiolinguistik, apa-apa sahaja istilah boleh digunakan asalkan diterima oleh masyarakat. Bagi mereka, keakuran terhadap hukum tatabahasa yang "rigid" akan menyusahkan pengguna bahasa dan memperlahankan dinamika dan kemajuan sesuatu bahasa.

Contoh lain yang menjadi perdebatan ialah penggunaan "di" untuk masa. Jika kita merujuk Tatabahasa Dewan sebagai pegangan, gandingan "di" dengan mana-mana istilah masa dianggap sebagai kesalahan umum bahasa. Contohnya, di hari, di kala,di masa, di saat, dan di zaman melanggar hukum tatabahasa untuk kegunaan rasmi.

Dalam buku teks ekonomi berbahasa Melayu pula, istilah bajet tidak digunakan. Sebaliknya, perkataan belanjawan masih dikekalkan. Begitu juga istilah defisit dan surplus tidak menjadi pilihan untuk menggantikan "kurangan" dan "lebihan". Tidak ada rangkai kata seperti "bajet defisit" atau "bajet surplus".


Belanjawan negara bererti satu rancangan kerajaan persekutuan tentang anggaran hasil dan perbelanjaan kerajaan bagi tahun tertentu. Jika pembentangan belanjawan mencadangkan hasil melebihi perbelanjaan, konsep yang tepat ialah belanjawan lebihan. Di Malaysia, belanjawan lebihan pernah dibentangkan semasa "zaman keemasan"  dalam sejarah pertumbuhan ekonomi Malaysia, iaitu antara tahun 1988 - 1997 (Lai Moo Chang, Hew Yoke Fong: Makroekonomi, 2009: 325).

Selain era berkenaan, semua belanjawan yang dibentangkan ialah belanjawan kurangan, iaitu anggaran perbelanjaan melebihi hasil. Belanjawan seimbang atau terimbang, iaitu anggaran hasil sama dengan perbelanjaan ialah suatu keadaan ideal yang sukar dicapai. Malah, kebanyakan negara di dunia, termasuk negara maju hanya mampu menyediakan belanjawan kurangan, kerana belanjawan lebihan sebenarnya ialah suatu keajaiban!

Belanjawan ialah suatu alat atau instrumen dasar fiskal untuk mencapai matlamat makroekononi yang utama, iaitu pertumbuhan ekonomi dengan agihan semula tanpa inflasi, tanpa pengangguran, dan dengan imbangan bayaran yang baik. Pertumbuhan ekonomi dapat digambarkan menerusi peningkatan dan kerancakan aktiviti ekonomi (salah satunya permintaan agregat, AE). Seterusnya, berlaku pertumbuhan kebajikan, iaitu apabila taraf hidup rakyat meningkat.


Berbalik kepada istilah bajet yang bertaraf bahasa percakapan sahaja. Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan murid dan pelajar, sarjana bahasa harus membuat penegasan tentang penggunaannya. Selanjutnya jika sarjana bahasa berpendapat istilah belanjawan patut digunakan semula di parlimen, perkara itu boleh diajukan kepada jemaah menteri...





Monday, October 26, 2009

MAJALAH "THE MICHAELIAN" DALAM TALIAN (THE ONLINE MICHAELIAN'S MEGAZINE VERSION: POSSIBILITIES AND CHALLENGES)

Majalah The Michaelian telah memasuki edisi ke-61. Memandangkan enrolmen pelajar yang sentiasa melebihi 2,000 orang murid, kebarangkalian bahawa majalah berkenaan tersebar lebih luas adalah tinggi. Malah, dengan bilangan bekas pelajar yang semakin banyak (sejak tarikh penubuhan SMI: 1913), kandungan dan reka bentuk The Michaelian seharusnya mempamerkan keunikan tersendiri.


Tema sekolah pada tahun 2009 ialah Upholding The Great Michaelian Ethos. Tema itu bukan sekadar slogan kosong atau lip service justeru dalam banyak program rasmi sekolah, tetamu undangan yang dijemput ialah bekas pelajar yang merekodkan kejayaan dalam bidang masing-masing. Contohnya, sempena Hari Kokurikulum pada 3 November kelak akan dirasmikan oleh Foo Keat Seong, bekas Michaelian yang pernah menjadi kapten pasukan hoki negara.


Jawatankuasa Majalah dan sidang redaksi menyedari bahawa The Michaelian bukanlah hendak dipenuhi dengan memuji-muji SMI (bajak wangkang, atau masuk bakul angkat sendiri) lembaran demi lembaran. Sebaliknya, pencapaian yang dilaporkan lebih berbentuk introspektif untuk merenung keberhasilan proses pembelajaran di SMI dalam menjana modal insan. Selain menjadi oleh-oleh buat pelajar yang pernah bergelar Michaelian, majalah berkenaan diharapkan menjadi wahana bagi meneruskan tradisi kecemerlangan dan kejayaan SMI.



Penulis blog ialah Setiausaha Jawatankuasa Penerbitan The Michaelian bagi tahun 2009. Namun, tulisan ini dibuat atas kapasiti peribadi, bukan mewakili jawatankuasa berkenaan. Penulis blog membangkitkan saranan majalah versi dalam talian kerana pernah beberapa kali ditanya oleh bekas pelajar.


Majalah dalam talian mungkin menjadi kenyataan setelah melalui beberapa proses. Pertama ialah semakan perundangan dan Akta Pelajaran (Pindaan 1996) dan pekeliling lain yang sedang berkuat kuasa. Jika lolos, langkah seterusnya ialah menggembleng kepakaran dan teknikaliti.

Jika pengunjung blog mempunyai cadangan, sila tuliskan komen di bawah atau e-mel: ibnurodzi@gmail.com


KAJIAN TINDAKAN: PEMBENTANGAN GURU CEMERLANG FIZIK SMI DAPAT PERHATIAN (ACTION RESEARCH CONVENTION: MR. CHONG DELIVERED AN IMPRESSIVE PRESENTATION)


Kampar, 22 Oktober 2009 (Khamis)

Encik Chong Weng Sung lebih dikenali sebagai guru disiplin yang tegas di SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Justeru, pelantikan beliau sebagai Guru Cemerlang Fizik (gred DG 48) tidak begitu disedari murid. Sebagai seorang pendidik yang berdedikasi dan entusias, Encik Chong sentiasa mempamerkan kesungguhan optimum untuk melonjakkan nama SMI bagi mata pelajaran Fizik.

Saban tahun pencapaian mata pelajaran Fizik SPM di SMI begitu memberangsangkan, iaitu 25 - 30 calon mencatat 1A (mulai tahun ini A+). Maka, SMI diberi peranan sebagai pengerusi mata pelajaran Fizik Daerah Kinta Utara. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan SMI antara sekolah cemerlang dalam mata pelajaran Fizik di Malaysia.
Tajuk "miskonsepsi" yang dibentangkan sangat bertepatan dengan persepsi yang mengatakan fizik sukar difahami. Menerusi kajian tindakan Encik Chong, guru fizik dapat berkongsi pengalaman dan rahsia kejayaan Encik Chong. Beliau berkelulusan Sarjana Pendidikan (USM) dan telah dua kali lulus PTK aras cemerlang...

Sunday, October 25, 2009

BOWLING KELAB STAF SMI: PENGALAMAN BAWA KEJAYAAN (SMI'S STAFF CLUB BOWLING: EXPERIENCE SPEAKS LOUDER)

Ipoh, Ahad: 25 Oktober 2009 / 6 Zulkaedah 1430

Arena bowling Ampang Superbowl, Ipoh Parade menjadi saksi betapa kemahiran dan pengalaman berjaya mengenepikan cabaran secara cuba jaya oleh novis. Kelab Staf SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menganjurkan pertandingan tenpin bowling buat kali kedua pada tahun 2009. Pasukan yang diketuai Cikgu Yus, dan dianggotai oleh Salwana, Rossabarina  dan Wendy Arman (suami Salwana) berjaya mencatat 763 jatuhan pin dalam dua permainan. Di samping itu, Wendy turut meletakkan dirinya sebagai peserta individu terbaik dengan 289 jatuhan pin.


Kumpulan Haji Sidek yang turut menampilkan Cikgu Haji Zul (pemain PSKPP negeri) berpuas hati di tempat kedua dengan 698 jatuhan pin. Haji Zul yang dibelenggu masalah kecederaan jari masih beraksi dengan baik apabila dinobatkan sebagai juara kategori individu apabila merekodkan sejumlah 267 jatuhan pin. Peraturan pertandingan menetapkan hanya staf berdaftar di SMI layak diberikan hadiah kemenangan. Keluarga dan peserta lain sebagai "peserta import" dianggap sebagai pembantu dan akan dianugerahkan sijil penghargaan.


Satu lagi kumpulan wanita yang dianggotai Mimi, Farah, Ana dan Fiza berjaya membuat 620 jatuhan pin untuk meraih tempat ketiga. Mengekori rapat di tempat keempat ialah pasukan Shahruzzaman yang turut dianggotai penulis blog, Irfan (anak Shahruzzaman) dan Dila. Sementara itu pasukan Diba (+ Aishah, Liza, Badrul) dan pasukan Liew (+ Foong, Usha dan Ng) berkongsi kedudukan kelima dengan 480 jatuhan pin.


Peserta individu kedua terbaik ialah Mimi (199), diikuti ketiga: Farah (193), keempat:  Salwana (188), kelima: penulis blog (186), ke-6: Yus (174), ke-7: Nurul (162) dan  ke-8: Shahruzzaman (161). Sebanyak 15 peserta individu yang lain mencatat jatuhan pin antara 89 hingga 142. Peserta yang lebih kerap mengunjungi arena bowling didapati mempunyai kelebihan berbanding dengan peserta yang datang sekali-sekala atau baru hendak mencuba!


Penyampaian hadiah dijangkakan sempena majlis makan malam, iaitu Rabu 28 Oktober mulai pukul 7.30 malam di Restoran Simpang Tiga, Greentown Business Centre...

Jumpa di sana...

Friday, October 23, 2009

PERTANDINGAN BOWLING KELAB STAF SMI SIRI 2 (BOWLING CARNIVAL TO GET MORE PARTICIPANTS)

Tarikh:   25 Oktober 2009 (Ahad)

Masa:    mulai 2.00 petang

Tempat:  Ampang Superbowl, Ipoh Parade


Peserta:  Ahli Kelab Staf SMI dan keluarga


Format pertandingan:  Individu dan kumpulan

Bayaran penyertaan:  RM 10 seorang

Hadiah menarik disediakan...

Dijemput hadir sebagai peserta dan penyokong...

Thursday, October 22, 2009

GANDINGAN SYAKIR - TIONG SELAMATKAN KILAS TANGKIS (BADMINTON FRIENDLY MATCH: ILP LECTURERS OUTSED SMI TEACHERS)

Jelapang: Khamis, 22 Oktober 2009, 3 Zulkaedah 1430

Keputusan Penuh Perlawanan:

 Ahmad Syakir - Tiong kalahkan Burhanuddin - Razmi  12 - 15, 15 -6, 15 -13

Azmi - Shahrir kalah kepada Dadei - Subhi  5 - 15, 6 -15

Chin - Shahruzzaman kalah kepada Azrul - Azam   * - 15, 12 -15

Omar - Saiful kalah kepada Azli - Nik Suhaimi  6 - 15, 9 - 15

Ibrahim - Maulid kalah kepada Azril Khairi - Shahrom  9 -15, 10 - 15

Badrul - Sohot kalah kepada (nama tidak diperoleh)  10 - 15, 10 - 15

Perlawanan Muhibah Khas:

Penulis Blog - Nik Suhaimi kalahkan Maulid - Shahruzzaman 17 - 14

Semua perlawanan berlangsung di Dewan ILP, Jelapang, 9.00 - 11.00 malam

Terima kasih Encik Azrul dan rakan-rakan

Tahniah kerana berjaya buat kali kedua

Namun, pemenang sebenar ialah...

persahabatan dan ukhuwwah...

Harap sudi bermain dengan Kilas Tangkis lagi

Kami masih tercari-cari sentuhan berbisa, the touch of the midas... adanya...


Wednesday, October 21, 2009

ITP TAJA HAMPER UNTUK MAKAN MALAM KELAB STAF SMI (PERAK INSTITUTE OF TECHNOLOGY SPONSORING HAMPERS FOR STAFF CLUB DINNER)

Ipoh, 2 Zulkaedah 1430 / 21 Oktober 2009 (Rabu)

Encik Azhar dan Encik Salim dari Jabatan Pemasaran Institut Teknologi Perak (ITP) telah hadir sendiri ke pejabat SMI untuk menyampaikan tajaan majlis makan malam tahunan Kelab Staf pada 28 Oktober ini. Sebanyak lima buah hamper telah diserahkan pada majlis ringkas pukul 1.30 tengah hari itu.

Encik Azhar (ITP) menyampaikan hamper kepada Encik Maulid (SMI)

Kelab Staf diwakili oleh Encik Maulid, Presiden Kelab dan Ahli Jawatankuasa Kanan, Encik Pritam Singh. Turut hadir ialah penulis blog selaku Naib Presiden Kelab.

ITP berhasrat menjalinkan kerjasama strategik yang bakal menguntungkan kedua-dua belah pihak. ITP ialah sebuah IPTS yang akan bertaraf kolej universiti dalam tempoh terdekat. Sebagai langkah awal, ITP muncul sebagai IPTS pertama di utara Semenanjung yang memperoleh ISO 9002.

Program teknikal dan pengurusan menjadi teras penawaran kursus di ITP. Kebanyakannya menjurus kepada penganugerahan diploma UiTM, UTM dan universiti terkemuka luar negara. Pelajar yang kurang kemampuan dari segi kewangan boleh memohon kursus di bawah tajaan penuh Kementerian Belia dan Sukan.


ITP diterajui oleh YM Raja Eleena Sultan Azlan Shah, antara tokoh korporat wanita yang paling berjaya di Malaysia. Lokasi kampusnya ialah di Greentown Centre, menggantikan kampus sementara di Rapat Setia. ITP dimiliki oleh Yayasan Perak, sebuah entiti milik penuh kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan.

Terima kasih ITP...

Berita Terkini:

Pertandingan Badminton Persahabatan Kelab Staf SMI lawan Kelab Pengajar Institut Latihan Perindustrian siri kedua. Butirannya:

Tarikh:  22 Oktober 2009 / 3 Zulkaedah 1430 (Khamis)

Tempat:   Dewan Besar Institut Latihan Perindustrian, Jelapang

Masa:   Mulai pukul 8.30 malam

Kehadiran dan sokongan dialu-alukan...

Tuesday, October 20, 2009

UNTA YANG SABAR: SATU METAFORA TENTANG PERSEKITARAN ORGANISASI (THE CLEVER CAMEL CROSSING THE ENDLESS DESERT FRONTIER: AN ORGANISATIONAL VIEW POINT)

The camel is called the ship of the desert, because of its ability to carry both men and heavy loads across sandy wastes. A strong camel can cover nearly 50 kilometres a day with up to 450 kilograms on its back. The flat feet ensure camel do not sink into the soft sand. 


Arabian camel  has one hump for storing fat (bactrian have two). A camel's hump just like built-in cupboard, or like a knapsack filled with food when there is not enough to eat. Camel can go for as long as two weeks without eating.


Camel needs their humps because they live in deserts, where food and water are hard to find. A thirsty camel can drink ten buckets of water in just ten minutes. Camel can eat any vegetation because they have strong teeth, and when angry, they spit!

 The two-humped bactrian camel can go without water for even 10 months, and amazingly can drink 100 litres (26 gallons) also in 10 minutes. This bactrian can survive longer when food and drink are scarce. They are really a desert dweller!


Begitulah petikan tentang beberapa ciri unik haiwan unta daripada beberapa ensaiklopedia edisi pelajar. Dalam kajian pengurusan, sebarang bentuk pengamatan boleh dijadikan sebagai analogi dan metafora untuk menganalisis tingkah laku organisasi. Maka, kehebatan unta mengharungi landskap gurun dan padang pasir yang saujana mata memandang, serta sering berhadapan dengan risiko dikelirukan oleh terjahan ribut pasir boleh memberi suatu gambaran dinamika organisasi.

bersambung...

Sunday, October 18, 2009

SELAMAT BERANGKAT KE TANAH SUCI JEMAAH HAJI 1430 (HAJJ: A SPIRITUAL JOURNEY AND DEVOTION OF GOD ALONE)


(click photo to enlarge)

"The performance of hajj or pilgrimage to Mecca is obligatory, at least once in a lifetime, upon every Muslim, male or female, who is mentally, financially and physically fit. Generally, the dominant theme of Hajj is peace. To disturb the peace of anyone or any creatures in any shape or form is strictly prohibited. Annually, about three million Muslims all over the world dress in the same simple way assemble in Mecca in response to the call of God.


The physical movements in performing hajj are actually the form of reminder of the Grand Assembly on The Day of Judgement when people will stand equal before God. The Kaabah in Mecca is the spiritual centre and the spiritual homeland of every Muslim. However, the performing of Hajj starting in Arafah, an area outside Mecca."

(diubah suai daripada Islam in Focus




Kini, musim haji tiba lagi. Sebanyak 26,000 jemaah haji Malaysia terpilih sebagai tetamu Allah di tanah suci Makkah. Daripada tempoh 42 hingga 51 hari, selama 8 hari jemaah Malaysia akan berada di tanah suci Madinah untuk melakukan ibadah dan ziarah di Masjid Nabawi dan sekitarnya. Pekerjaan rukun haji bermula apabila jemaah bergerak ke Arafah pada 8 Zulhijjah untuk wukuf. Jemaah haji perlu memenuhi semua syarat rukun dan wajib haji supaya ibadah haji yang dilaksanakan dikira sah.



Semua jemaah haji berharap untuk memperoleh haji mabrur. Maka, persediaan sebelum ke tanah suci ialah sejumlah ilmu yang mencukupi. Di sana, jemaah akan terus mendapat bimbingan  petugas Lembaga Tabung Haji, dan jika pergi menerusi pakej akan mendapat bimbingan tambahan pihak penganjur. 


Bakal haji mesti menetapkan matlamat untuk menyempurnakan ibadah haji dan memastikan bahawa tiada perkara lain yang boleh menjadi sebab terjejasnya kerja ibadah haji. Begitu banyak perkara yang perlu dijaga sepanjang masa berada di tanah suci. Ikhlaskan segala-galanya demi mencapai keredaan Ilahi...






Saturday, October 17, 2009

RAMAH MESRA AIDIL FITRI TEMUKAN BEKAS GURU DAN MURID SERI PERAK (NOSTALGIC GATHERING ALONG MEMORY LANE)

Teluk Intan, 27 Syawal 1430 / 16 Oktober 2009


Sesekali mengimbau kenangan lalu begitu mendekatkan diri kita dengan  sekian banyak individu yang pernah berjasa dalam hidup kita. Suatu ketika dahulu, merekalah yang bertungkus-lumus dan tidak jemu-jemu mencari jalan agar hidup kita disuluhi cahaya ilmu yang terang-benderang. Dengan berkat kesabaran mereka, kita ditunjukkan jalan keluar daripada gelap gelita di sekeliling kita.

Penulis blog amat bersyukur kerana berkesempatan hadir dalam program anjuran Persatuan Bekas Murid SMK Seri Perak Teluk Intan. Di dewan berkenaan, penulis blog pernah berbaris dalam perhimpunan mingguan sekolah, dan tampil ke pentas menerima hadiah akademik. Penulis blog juga pernah berkhidmat di sana sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) buat beberapa ketika dan menyampaikan syarahan Pengajian Am kepada pelajar 6 Atas.


Seri Perak sebagai sebuah sekolah menengah aliran Melayu terulung (selain SMK Raja Chulan, Ipoh) yang menawarkan pengajian tingkatan enam menerima enrolmen pelajar dari seluruh negeri Perak, bahkan turut menjayakan program khas pengajian pelajar Sabah dan Sarawak. Seri Perak akan menyambut perayaan jubli emas (50 tahun) penubuhannya tidak berapa lama lagi. Seri Perak boleh dikategorikan sebagai sebuah sekolah berkesan justeru memiliki sejarah, pencapaian, dan legenda.


Bekas pelajar Seri Perak kini bertaburan di seluruh negara, sambil sebahagian lagi di luar negara berbakti kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Sesenarai panjang profesor, pemimpin politik, usahawan hebat dan penjawat tinggi awam pernah menjalani persekolahan di Seri Perak. Malah, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato' Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom ialah pelajar Seri Perak era 1970-an.





Ketika sekolah aliran Inggeris masih dominan, calon SPM menduduki kertas Bahasa Inggeris yang berbeza dengan calon MCE (Malaysian Certificate of Education). Walau sehebat manapun seseorang calon (bercakap dan menulis bahasa orang putih hingga berhabuk!), gred paling tinggi yang ditetapkan ialah 7D! Penulis blog bernasib baik justeru kertas English Communication diperkenalkan, iaitu calon SPM dan MCE menduduki kertas yang sama. Maka, penulis blog berjaya mencatat keputusan yang agak baik dalam Bahasa Inggeris sehingga sempat mengikuti program Pengajian Inggeris - Matematik di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dan bertahan selama sebulan kerana ditawarkan tempat di UKM.







Penulis blog berasa bertuah justeru berkesempatan bersua semula dengan dua orang guru yang pernah memberi inspirasi dalam pengajian Bahasa Melayu dan Ekonomi, iaitu mata pelajaran yang dipertanggungjawabkan di SMK St. Michael, Ipoh ketika ini. Walaupun sudah meniti usia, sebagai orang yang berilmu dan berjasa besar, keikhlasan dan seri masih terpancar di wajah mereka berdua. Sebagai bekas profesional, mereka masih mengekalkan ciri disiplin dan penampilan, serta masih bercakap tentang harapan dan impian dalam skala yang lebih luas. Allah telah mengurniakan mereka kesihatan yang baik dan keluarga yang berjaya dan sejahtera.

Dato' Haji Sulaiman Nawi ialah guru Bahasa Melayu semasa penulis blog di tingkatan dua, dan seterusnya guru Sivik di tingkatan empat. Beliau memang petah bercerita sehingga semua murid terlopong dan tidak pernah mengantuk. Cikgu Sulaiman pandai menyusun kata dan kelakar sehingga murid tidak kering gusi dibuatnya. Teori kecerdasan pelbagai (multiple intelligences) yang diperkenalkan pada awal 1990-an telah beliau laksanakan berbelas-belas tahun lebih awal.

Setelah memberi input, Cikgu Sulaiman biasanya memberikan tugasan individu atau kumpulan untuk diselesaikan dalam kelas. Sambil itu, beliau akan meninjau aktiviti murid dari meja ke meja sambil bertanyakan khabar. Maklumlah ketika itu masih banyak pelajar yang kurang berkemampuan dari segi kewangan dan dicengkam rasa rendah diri yang menebal.

Cikgu Sulaiman bolehlah dianggap sebagai internet dan sumber maklumat bagi murid ketika itu. Cerita Aurora Borlis beliau masih penulis blog ingati hingga sekarang. Beliau cuba menggambarkan tentang petaka dadah kepada remaja dan masa depan anak bangsa.

Ketika ditanya sama ada beliau masih aktif dalam politik parti, beliau menjawab bahawa kini kecenderungan beliau ialah terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semasa masih berkhidmat sebagai guru, beliau pernah menolak untuk dicalonkan dalam pilihan raya. Sebagai veteran UMNO, beliau hanya berharap agar ahli-ahli politik muda mencontohi perjuangan generasi dahulu yang tidak mendambakan habuan harta kekayaan. Politik hanyalah jambatan untuk berbakti. Berbakti ialah ibadah asalkan memenuhi segala tuntutan aqidah, syariah dan akhlak.


Tuan Haji Azhari Arbi pula ialah guru ekonomi yang sempat membimbing penulis blog selama lebih kurang tiga bulan sebelum dinaikkan pangkat terus sebagai pengetua. Beliau diberi jolokan "Mr. Keluk" oleh pelajar kelas 6 Rendah Sastera 1 kerana setiap kali masuk, perkara pertama yang beliau lakukan ialah melukis keluk. Ketika itu, kapur dan papan hijau masih digunakan. Cikgu Azhari pernah menegur keseluruhan kelas kerana menulis nota sesuka hati, termasuk di kulit test-pad!

Nota ekonomi Cikgu Azhari masih ada dalam simpanan penulis blog. Data hipotetikal tentang fungsi pengeluaran jangka pendek dan hukum pulangan berkurangan (the law of diminishing return) masih relevan. Semasa penulis blog bertugas di SMK Sultan Abdullah, Chenderong Balai, Cikgu Azhari ialah pengetuanya. Beliau memberi kepercayaan kepada penulis blog untuk mengajar Bahasa Inggeris tingkatan tiga dan Geografi tingkatan lima. Banyak peristiwa lucu yang berlaku...


KELAB KILAS TANGKIS SMI MENGGIATKAN LATIHAN (SMI TEACHER'S BADMINTON CLUB ON INTENSIVE TRAINING)


Kelab Kilas Tangkis yang bernaung di bawah bendera Kelab Staf SMK St Michael, Ipoh (SMI) mara setapak lagi apabila kebanyakan anggota pasukan sanggup membuat "pelaburan" dengan membeli raket, kasut dan aksesori lain yang berkaitan dengan badminton. Peralatan dan aksesori ini bertaraf pertandingan, bukan sekadar untuk sesi latihan biasa. Dengan semangat dan daya juang yang berkobar-kobar, Kelab Kilas Tangkis bakal bertambah hebat. Maka, awas pasukan yang sanggup menyahut cabaran Kilas Tangkis, adanya...


Presiden Kelab Kilas Tangkis, Encik Ibrahim memberitahu bahawa setakat ini sesi latihan dan pertandingan ujian dibuat sesama sendiri. Analisis dan post-mortem dilakukan oleh anggota yang pernah berpengalaman bertanding di peringkat kompetetif atau yang biasa menguruskan pasukan sekolah. Kelab sedang mempertimbangkan suatu klinik mikro khas untuk Kelab Kilas Tangkis supaya para pemain akan mendapat nasihat pakar. Sesi perbincangan mirip persidangan meja bulat juga mungkin diadakan bagai mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang dihadapi oleh kelab.

Terdapat ura-ura slot latihan mingguan pada petang Jumaat (3.00 - 5.00 petang) ditambah  dengan setiap petang Isnin. Memandangkan ada kalangan anggota yang turut menyertai permainan kumpulan lain secara perseorangan, maka cadangan ini sedang diteliti. Dialog dengan bekas jaguh negeri juga masih di peringkat cadangan supaya sesi latihan, perlawanan ujian dan pertandingan persahabatan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Akhir sekali memandangkan usia pemain Kelab Kilas Tangkis boleh dikategorikan sebagai "veteran" untuk sesuatu pertandingan tahap tinggi, pengetahuan asas tentang sains sukan dan penjagaan kesihatan perlu diberi perhatian. Walaupun zahirnya permainan badminton Kelab Kilas Kilas Tangkis menjurus kepada suka-suka dan keluar peluh, namun stres dan tekanan tetap berlaku tanpa disedari. Pemain badminton sambilan bukan sahaja perlu kecergasan fizikal, bahkan dibimbing oleh kecerdasan emosi. Mungkin inilah keistimewaan Kelab Kilas Tangkis yang boleh dijadikan ikutan...

Thursday, October 15, 2009

AKTIVITI SELEPAS PMR DI SMK ST MICHAEL, IPOH (THE "CLOSING" OF BOOKS FOR FORM THREE STUDENTS)


Peperiksaan PMR baru sahaja melabuhkan tirai dua hari yang lalu. Semua buku pinjaman (SPBT) telah dipulangkan. Kini boleh dikatakan budak-budak tingkatan tiga datang ke sekolah melenggang kangkung!

Kalau ditanya, murid akan mengatakan mereka rela duduk di rumah sahaja, melepaskan lelah setelah sekian lama bersengkang mata dan sibuk dengan pelbagai ragam persediaan peperiksaan sebelum ini. Namun, jumlah hari persekolahan masih panjang. Secara rasminya, sesi persekolahan 2009 berakhir pada 20 November.


Ibu bapa pasti gusar jika anak remaja mereka berusia 15 tahun hanya memerap di rumah tanpa pengawasan. Malah, rekod kehadiran persekolahan akan terjejas jika sering tidak hadir. Mengikut peraturan, ketidakhadiran tiga hari berturut-turut akan dikeluarkan surat amaran pertama . 

Bilangan hari persekolahan rasmi (tidak termasuk cuti hujung minggu dan kelepasan am) tidak sampai 30 hari untuk tahap amaran terakhir buang sekolah, namun rekod kehadiran penuh menjadi petunjuk disiplin. Bakal majikan akan memberi perhatian terhadap rekod kehadiran persekolahan sebelum membuat pengambilan kakitangan. Maka, murid tingkatan tiga harus hadir ke sekolah walaupun aktiviti pembelajaran formal di bilik darjah boleh dikatakan titik.


Sekolah menyedari hal ini sejak lama dahulu. Ibu bapa bimbang anak-anak mereka yang dihantar hingga ke pagar sekolah, kemudian lesap dan tiada dalam rekod kehadiran. Lebih buruk jika pelajar dicatatkan hadir kemudian bertukar menjadi "halimunan", yakni kelibatnya ghaib daripada kawasan sekolah.

Cabaran utama pihak sekolah ialah menyediakan aktiviti yang sarat dengan daya tarikan kepada murid tingkatan tiga untuk terus berada di kawasan pagar sekolah hingga loceng terakhir dibunyikan. Jika di SMK St Michael, Ipoh (SMI) semua murid tingkatan tiganya lelaki, dengan tenaga yang gagah perkasa dan lantunan vokal yang begitu bertenaga, aktiviti yang disusun telah mengambil kira keperluan somatik murid remaja. Di samping membuat pengawasan, guru turut serta dalam beberapa acara yang boleh merapatkan hubungan guru dan murid demi kebaikan pencapaian sekolah dalam jangka panjang...


Wednesday, October 14, 2009

CAKAP AJUK CAKAP PINDAH (REPORTING DIALOGUE IN BAHASA MELAYU)

Cakap ajuk ialah penulisan ayat perbualan berdasarkan perkataan demi perkataan yang dituturkan oleh sekurang-kurangnya dua orang penutur. Cakap pindah pula ialah laporan oleh pihak ketiga tentang perbualan berkenaan. Cakap pindah ditulis dalam bentuk ayat penyata.

Contoh cakap ajuk:

Adam:  Apa khabar, Johan?

Johan:  Saya baik-baik sahaja. Sudah lama kita tidak berjumpa, ya!

Adam:  Memang benar. Sejak Johan berpindah ke sekolah teknik.

Johan:  Saya minta maaf. Saya tinggal di asrama, susah sedikit hendak keluar.

Adam:  Tidak mengapa. Tumpukan perhatian kepada pembelajaran.

Johan:  Terima kasih atas ingatan Adam. Saya tidak akan lupa.


Jika anda sebagai pihak ketiga ditugaskan mengalih komunikasi cakap ajuk di atas dalam bentuk cakap pindah, perhatikan contoh berikut:

1.  Adam menyapa Johan dengan bertanyakan khabar.

2.  Johan menjawab bahawa dirinya baik-baik sahaja, sambil menyatakan sudah lama mereka
      tidak berjumpa.

3.   Johan menyetujui kata-kata Adam dan menambah bahawa hal itu berlaku sejak Adam
       berpindah ke sekolah teknik.

4.   Adam memohon maaf kerana dia tinggal di asrama dan sukar untuk keluar.

5.   Johan memahami situasi Adam dan memintanya menumpukan perhatian terhadap
       pembelajaran.

6.   Adam menghargai nasihat Johan dan menyatakan bahawa dia tidak akan melupakannya.


Prinsip menulis cakap pindah ialah mengekalkan susunan isi. Semua maklumat dalam perbualan juga hendaklah dikekalkan seadanya. Namun, elemen tingkah laku dan emosi kedua-dua orang penutur hendak dimasukkan.

Kesilapan dalam menulis cakap pindah boleh dilihat menerusi contoh di bawah:

1.   Adam mengatakan apa khabar Johan.

2.   Johan berkata saya baik-baik sahaja dan sudah lama kita tidak berjumpa.

3.    Adam berkata memang benar sejak berpindah ke sekolah teknik.

4.   Johan menjawab saya minta maaf. Saya tinggal di asrama dan susah hendak keluar.

5.   Adam membalas tidak mengapa dan tumpukan perhatian kepada pembelajaran.

6.   Johan mengucapkan terima kasih atas ingatan Adam dan saya tidak akan lupa.


Ganti nama diri pihak pertama dan segala kata perintah, kata tanya dan kata seruan perlu ditukar semuanya dengan kata ganti nama diri ketiga. Untuk tujuan peperiksaan, semua ayat seelok-eloknya ditulis dalam satu perenggan sahaja, tanpa menomborkannya seperti dalam contoh.

Sekian, selamat membuat persediaan peperiksaan...


Monday, October 12, 2009

PENJENAMAAN SEMULA TINGKATAN ENAM: ISU DAN PROSPEK (PREUNIVERSITY SIXTH FORM REBRANDING IN MALAYSIA: THE WAY FORWARD)

Pelaksanaan pengajian tingkatan enam sebagai kelas prauniversiti berwajah baharu masih dalam proses peralihan. Hanya kohort pelajar tingkatan enam rendah tahun 2011 bakal menjalani sepenuhnya sistem baharu yang membabitkan perubahan besar-besaran dari segi kurikulum, penyampaian, pentaksiran dan aktiviti nilai tambah yang lain. Persiapan dari segi kelengkapan pembelajaran, modul dan tenaga guru akademik (pensyarah) juga memerlukan masa untuk dimobilisasikan.

Memandangkan Unit Pengurusan Tingkatan Enam, Kementerian Pelajaran Malaysia masih baru, dan penyelarasannya di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah juga sedang dimantapkan, sudah tentu banyak perkara yang mungkin menjadi kemusykilan guru dan pelajar. Walau apapun, sekalung tahniah buat Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin yang begitu prihatin terhadap sistem pengajian tingkatan 6 yang semakin dicabar hebat oleh kemunculan sistem pengajian prauniversiti yang lain. Jika hendak menunggu segala-galanya sempurna baru hendak dilaksanakan, barangkali peluang kenaikan pangkat guru akademik tingkatan 6 dan sistem pengajian tingkatan 6 sedia ada akan semakin terpinggir daripada arus perdana pendidikan tinggi.

Antara isu yang mendapat perhatian ialah dari segi lantikan guru dan perubahan sistem kerja. Bagi guru yang memilih untuk kenaikan pangkat. sudah tentu lantikan sebagai guru akademik tingkatan enam bagaikan durian runtuh. Guru yang terpilih berpeluang menikmati gred jawatan lebih tinggi dan bayaran saraan yang lebih baik.

Namun demikian, ada juga guru yang sudah menerima surat lantikan memilih untuk merayu supaya dikembalikan status quo. Antara alasan yang lazim ialah kesukaran untuk berpindah sekolah, lanjutan masa bekerja hingga petang dan keperluan menyediakan dokumentasi tertentu, terutama penyelidikan. Bagi guru wanita, pengurusan persekolahan anak-anak yang masih kecil mungkin sekali mempengaruhi keputusan sedemikian.

Bagi pelajar pula, mereka hanya menerima, walaupun terdapat segelintir daripada mereka masih terpinga-pinga. Ada yang mengatakan exhausted, sudah tidak bermaya untuk ke pusat tuisyen atau sekadar menonton televisyen. Pelajar perlu stay back dan tidak sempat balik pada waktu tengah hari.

Sudah menjadi lumrah sesuatu perubahan: ada sokongan dan ada bantahan. Pepatah Melayu mengatakan alah bisa tegal biasa. Dengan berlalunya masa, guru dan pelajar tingkatan 6 dipercayai berupaya menyesuaikan diri.

Teori analisis daya lapangan (force field analysis) yang dikemukakan oleh Kurt Lewin menerusi disiplin psikologi dan pengurusan menamakan golongan penyokong perubahan sebagai daya pacu (driving forces), manakala yang membantah sebagai daya rintang (restraining forces). Perubahan mengakibatkan banyak kehilangan: antaranya hilang status quo, hilang rakan, hilang kebiasaan, hilang peranan dan macam-macam lagi. Namun, perubahan juga membuka peluang kepada citra baharu, pemikiran baharu dan kepuasan kerja yang lebih tinggi.

Bagi ibu bapa (segelintir menganggap sekolah sebagai pusat asuhan, babysitter) mungkin berasa teramat lega. Mereka tidak perlu berbelanja lebih dan diserabuti kekhuatiran anak mereka melencong ke mana-mana jika tidak dihantar ke pusat tuisyen. Perniagaan pusat tuisyen peringkat STPM juga mungkin terjejas. Sebahagian markah STPM akan diberikan oleh guru akademik tingkatan 6 menerusi modul dan sistem pentaksiran serba baharu.

Pendek kata, proses penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan enam tidak sunyi daripada hujah menyokong dan membantah. Dari segi penggubalan dasar, hal ini memang dialu-alukan kerana hujah dialektik sebegitu akan membantu proses mengumpul input dan perspektif supaya pada akhirnya dasar yang diperkenalkan memberi faedah kepada majoriti, tanpa mengorbankan kepentingan minoriti. Pendekatan utilitarian ini masih mendominasi kebanyakan penggubal dasar.


Sunday, October 11, 2009

PERSAHABATAN POLITIK DAN PERSAHABATAN DI SEKOLAH (F.R.A.N.C.E.: FRIENDSHIP REMEMBRANCE AND NEVER CAN ENDS)






Ketika penulis blog masih bersekolah, buku dan lembaran autograf sangat digilai. Maka, apabila disuakan autograf, perkara pertama yang terlintas ialah kata-kata hikmat yang boleh dijadikan kenangan apabila masing-masing membawa haluan sendiri setelah tamat persekolahan. Penulis blog masih menyimpan autograf yang mengandungi coretan sahabat di bangku persekolahan.





Penulis blog memulakan persekolahan menengah dalam aliran perdagangan, kemudian 4 Sains 1 dan 5 Sains 1, sebelum meneruskan pengajian tingkatan enam rendah sains (kemudian berpindah ke sastera). Mungkin disebabkan teknologi komunikasi masih bersifat sederhana, reunion sukar dilaksanakan. Penulis blog masih ingat nama-nama sahabat seperti Azhari, Ramli, Zubir, Lee Tong Meng, Kee Wah Soon, Lee Teik Leong (sekarang doktor), Krishnan, Paramanathan, Narayanan, Wong, Yunus, dan banyak lagi.

Masih segar dalam ingatan apabila penulis blog dicalonkan untuk program American Field Service, seorang sahabat India mengirim surat secara pos (walaupun sekelas) untuk menyatakan sokongan dan memaklumkan betapa banyak rakan sekelas yang bermuka-muka memuji, tetapi sebenarnya iri hati dan mempertikaikan pencalonan itu. Penulis blog sungguh tidak menyangka begitu hebat perhatian yang diberikan walaupun penulisnya akhirnya tidak jadi pergi (memohon New Zealand) justeru kekangan kewangan. Persahabatan di bangku sekolah menjadi kenangan manis yang tidak mungkin luput daripada ingatan.

Orang politik mengatakan tiada sahabat yang kekal dan tiada musuh yang kekal. Hakikat itu sesuai dengan takrifan politik sebagai suatu seni kemungkinan (politics is the art of possible). Fahaman Machiavelli itu terkandung dalam karya beliau The Prince (diterjemah dengan judul "Penguasa"). Inti pati pegangannya ialah matlamat menghalalkan cara, the ends justify the means, al-ghayah tubarriru'l-wasilah.

Namun, di sekolah sahabat cara politik tidak boleh diterima. Sekolah ialah organisasi yang memupuk pembelajaran. Pembelajaran menjurus ke arah kebijaksanaan dan nilai, sama dengan matlamat mana-mana institusi pendidikan dan pengajian yang lain.


Saturday, October 10, 2009

BADMINTON TERTUTUP KILAS TANGKIS SMI: OMAR, TIONG BUAT KEJUTAN! (SMI TEACHERS BADMINTON "SUPER" SERIES: THE EMERGENCE OF NEW CHAMPS)

Ipoh, Sabtu 21 Syawal 1430 / 10 Oktober 2009

Kelab Kilas tangkis yang bernaung di bawah Kelab Staf SMK St Michael, Ipoh (SMI) mengadakan pertandingan ujian bagi membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap. Pertandingan ujian yang berlangsung di Kompleks MBI menampilkan format empat kumpulan. Turut memeriahkan pertandingan ialah Tuan Haji Tauhid Ahmad bin Haji Shamsuddin, Penolong Kanan Pentadbiran.


Kumpulan C yang diwakili Cikgu Omar (kaunselor pelajar sesi petang), Cikgu Saiful dan  Cikgu Tiong (juga sesi petang), serta Fadilatus-Shiekh al-Ustaz Ahmad Shakir (pagi) telah mencatat kejutan apabila meraih sejumlah 116 mata untuk muncul sebagai pemenang tempat pertama. Dengan perbezaan tujuh mata sahaja (107), kumpulan B yang diwakili Azmi, Shahrin, Ibrahim dan Shahruzzaman menduduki tempat kedua.

Kumpulan penulis blog yang berjaya memenangkan pihak lawan meraih 93 mata. Pemain lain ialah Ravi, Zulkarnain dan Tuan Haji Tauhid. Menurut jurucakap kumpulan, mereka hanya mempamerkan tahap permainan 60 peratus sahaja...

Kumpulan A yang hanya terdiri daripada dua orang pemain (Maulid dan Prakas Rao) berpuas hati dengan 73 mata. Pasangan terbaik disandang oleh Azmi dan Shahrin yang menewaqskan Shakir-Tiong 30-28, Maulid-Prakas 30-26, dan Zulkarnain-penulis blog 30-20.

Hadiah bakal disampaikan pada majlis jamuan tahunan Kelab Staf SMI pada 20 Oktober nanti...