SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, October 31, 2010

PENTING SANGATKAH GURU MEMILIKI IJAZAH SARJANA? (HIGHER DEGREE FOR TEACHERS)

Ketika penulis blog (PB) menerima surat tawaran hadiah latihan persekutuan, cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa selam dua tahun, ada rakan yang mengusik bahawa PB sebenarnya orang kecewa justeru tidak pernah mendapat perhatian untuk pencalonan gaji melintang menegak SSB. Setelah kembali ke kampus (Universiti Malaya), PB mendapati bahawa hampir 65% pelajar sarjana pendidikan terdiri daripada kaum hawa. Adakah mereka pula boleh dianggap sebagai berbuat helah untuk melarikan diri daripada kesibukan urusan sekolah dan urusan rumah tangga?

2      Ketika berjumpa dengan seorang ketua nazir negeri bagi mendapatkan data tugasan, PB terlebih dahulu telah diberi "syarahan percuma" hampir setengah jam. Ketua nazir berkenaan memprovokasi kewajaran guru meninggalkan sekolah untuk mengejar ijazah tinggi yang mungkin sekali lebih menjurus terhadap kepuasan kendiri semata-mata. Benarkah ada hubung kait (corelation) antara kelayakan akademik guru dengan pencapaian murid?

3    PB memilih untuk lebih banyak berdiam diri dan berhati-hati memberikan pandangan supaya tujuan mendapatkan data tercapai. Guru yang mendapatkan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) universiti awam tempatan dibiayai tidak kurang daripada RM150k, termasuk emolumen guru lain untuk mengisi tempat yang dikosongkan di sekolah. Maknanya, guru yang kembali ke sekolah atau mana-mana organisasi di bawah kementerian pelajaran mestilah memberikan sumbangan yang setimpal dengan perbelanjaan pengajian yang sebenarnya ditanggung oleh pembayar cukai.

4    Lucunya, setelah berjaya mendapatkan data yang dikehendaki, PB menerima pula surat penghargaan (baca: saman PBT) kerana meletak kereta melebihi tempoh masa. Nampak gayanya, syarahan ketua nazir tadi perlu dibayar. Namun, masih berbaloi!

5     Peluang mendapat cuti belajar ketika itu ialah untuk 230 orang guru daripada hampir 3,000 permohonan seluruh negara. Calon sarjana kepengetuaan yang terlebih dahulu mengikuti kursus diploma di Institut Aminuddin Baki (30 - 40 orang) dikurniakan cuti belajar secara automatik. Bagi ijazah Ph.D, sebanyak 70 calon dipilih untuk tempoh pengajian tiga tahun juga di dalam negara.

6     Ada juga rakan sekuliah yang terpaksa membiayai sendiri pengajian tanpa cuti mengatakan PB sebagai bernasib baik kerana ada kabel tertentu. Apabila PB mengatakan bahawa kabel yang digunakan ialah persediaan rapi sebelum menulis cadangan penyelidikan, dan persediaan sebelum temu duga, mereka enggan percaya. Akhirnya, atas prinsip tidak wajar menceritakan kejayaan kepada sahabat-sahabat yang tidak berjaya, PB sekadar berkata, "sudah rezeki".

7    Pada tahun berkenaan, Bahagian Biasiswa Kementerian Pelajaran telah mengadakan majlis "kenduri" kepada semua pemegang biasiswa yang terpilih, bertempat di auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan, Kuala Lumpur. Tan Sri Rafie Mahat (Allahyarham), ketua pengarah pelajaran ketika itu menyifatkan program pensarjanaan guru ialah bagi menyediakan pelapis kepimpinan pendidikan untuk jangka masa panjang. Hasrat pihak kementerian bagi mendorong inovasi di sekolah boleh digerakkan menerusi kepakaran penyelidikan yang dimiliki oleh kumpulan guru yang memiliki ijazah tinggi.

8      Pada tahun ini (2010) sepatutnya di sekolah rendah sahaja, 50 peratus guru memiliki ijazah pertama, dan di sekolah menengah pula sebahagian guru memiliki ijazah tinggi. Di Lembah Kelang yang berhampiran dengan lokasi kampus universiti awam dan perpustakaan penyelidikan, banyak cikgu berpeluang mengikuti kursus sarjana dan Ph.D secara sambilan. Sebab itu di sekolah rendah pun sudah banyak guru yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan disertasi dan tesis Ph.D.

9   Kerjaya keguruan sebagai satu bidang ikhtisas perlu sentiasa berlakunya kemas kini pengetahuan, kemahiran dan sikap. Jika akauntan, arkitek, doktor, jurutera, juru ukur bahan dan peguam perlu sentiasa membaca jurnal penyelidikan terkini dalam bidang masing-masing, maka begitu jualah sepatutnya dengan kaum guru. Salah satu caranya ialah dengan menyambung pengajian di peringkat ijazah tinggi.

10    Kerajaan mengunjurkan menjelang tahun 2020, negara memiliki sejumlah 100,000 pemegang ijazah Ph.D dalam pelbagai bidang, termasuk keguruan. Kini peluang cuti belajar dihadkan kepada guru yang berusia di bawah 40 tahun. Guru-guru yang masih muda, telah disahkan jawatan dan telah berkhidmat minimum lima tahun perlu merancang untuk kesempatan itu...

PERMINTAAN KOMPUTER MASIH TINGGI (PC EXPO, PC FAIR, PC SHOW)

Sejak era digital melanda negara pada dekad 1990-an, demam pembelian komputer masih belum kebah walaupun mengalami pasang surut. Dengan makin banyak urusan rasmi dibuat secara dalam talian, permintaan terhadap komputer sentiasa ada. Kemudahan prasarana jalur lebar pula telah merangsang lebih banyak penawaran peranti komputer mudah alih, termasuk netbook yang bersaiz kecil dan nipis.

Bagi mengingatkan pengguna supaya sentiasa menggunakan keluaran komputer terkini, serta menjamin perniagaan komputer terus memiliki asas pelanggan, pelbagai gimik dan promosi perlu dilaksanakan oleh saudagar-saudagar komputer. Mengharapkan pelanggan berkunjung ke premis niaga setiap hari tidaklah mencukupi. Faktor persaingan dan kos operasi yang meningkat mesti diambil kira.
Di Ipoh sahaja, dalam setahun tidak kurang lapan kali penganjuran jualan komputer dan aksesori yang berkaitan dibuat secara besar-besaran, biasanya bertempat di Stadium Indera Mulia. PC Fair dianjurkan oleh Persatuan Industri Komputer Malaysia (Pikom), manakala PC Show dan PC Expo oleh perunding perniagaan tertentu dengan kerjasama syarikat komputer tempatan. Matlamatnya masih sama, iaitu untuk memeberi nafas kepada industri komputer, dan supaya stok di gudang tidak lapuk begitu sahaja.
Sambutan penggemar komputer dan aksesorinya masih hangat. Mereka datang untuk meninjau gajet dan peranti yang diberi sentuhan teknologi terkini. Berdasarkan perbualan pengunjung, tidak kurang juga pembeli baharu dari daerah-daerah berhampiran seperti Taiping dan Teluk Intan.

Saturday, October 30, 2010

KES KEJAYAAN PERUBAHAN TERANCANG DALAM SEBUAH ORGANISASI PENDIDIKAN (SCHOOL-BASED MANAGEMENT: A PLANNED-CHANGE OVERVIEW)

Pengenalan
Sesuatu perubahan terancang yang diperkenalkan akan mengambil masa yang panjang untuk mencatat kejayaan sepenuhnya. Bagi mengelakkan kemerosotan driving forces dan kebangkitan semula restraning forces, beberapa kejayaan segera perlu dicapai dalam jangka pendek (Kotter,1996:11). Antara usaha perubahan terancang yang cuba dilaksanakan dalam konteks organisasi pendidikan (EO) di Malaysia ialah pengukuhan konsep pengurusan berasaskan sekolah (site-based management, SBM). Kini, sesudah lebih sedekad idea berkenaan dicetuskan, ia mula menampakkan kejayaan.

Latar Belakang SBM di Malaysia
Idea SBM mula dikemukakan secara serius dalam era Dr Wan Zahid menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia selaku Ketua Pengarah. Dalam Seminar Kepemimpinan Pegawai Kanan Kementerian Pendidikan Malaysia di Universiti Stanford pada tahun 1992 (SIDEC:21) menggariskan dengan jelas sebab utama SBM perlu diperkenalkan. Antara lain ialah untuk meningkatkan kepakaran dan daya usaha di peringkat sekolah, mengukuhkan motivasi guru dan peranan sekolah ke arah pencapaian reformasi pendidikan yang berterusan.

Tiga bidang dasar yang menjadi fokus SBM di Malaysia ialah proses membuat keputusan, pemerkasaan guru bukan menerusi perundangan (empowerment which does not come through legislation) dan kepemimpinan. Penyertaan dalam proses membuat keputusan (participatory decision making, PDM) juga digalakkan kepada semua kalangan berkepentingan di sekolah, sama ada pihak pentadbiran sekolah, guru, kakitangan sokongan, ibu bapa dan murid. Pengetua sebagai pemimpin EO dilatih untuk mengembangkan konsep PDM di sekolah masing-masing

Pemerkasaan guru pula bertujuan untuk membina profesionalisme guru, mengukuhkan asas pengetahuan yang padu, menggariskan peranan pelbagai peringkat EO dalam konteks sistem berpusat, menggerakkan program perkembangan staf yang menyeluruh dan melibatkan SBM dalam latihan praperkhidmatan bakal guru. Dari segi kepemimpinan pula diharapkan bahawa peranan kepemipinan pengetua atau guru besar menjadi lebih jelas, menyemarakkan pembelajaran, penggunaan teori untuk usaha penambahbaikan, keperluan asas pengetahuan ikhtisas dan dasar piawaian kepemimpinan. Dua elemen yang menjadi kunci pelaksanaan SBM di Malaysia ialah pembinaan kepercayaan (trust) pada setiap peringkat SBM dan dengan peringkat EO lain, serta meraih sokongan , terutama daripada masyarakat.

Ulasan Karya
Cummings (2001:40) mencirikan perubahan terancang sebagai siri aktiviti yang perlu dilaksanakan untuk mengubah suai strategi, struktur dan proses ke arah pembangunan organisasi yang berkesan. Beliau menggabungkan ketiga-tiga model Lewin, model penyelidikan tindakan (action research model) dan model penyelidikan tindakan terkini (contemporary adaptations of action research) dalam bentuk model umum perubahan terancang (general model of planned change (Ibid:28) dengan set aktiviti berpusing balik yang dimulai oleh kemasukan dan kontrak, diagnosis, merancang dan melaksanakan perubahan, dan akhir sekali menilai dan menginstitusikan perubahan.

Contoh kejayaan perubahan terancang yang dikemukakan oleh beliau ialah kes Curtice Burns Foods yang berpangkalan di Michigan (Ibid:31). Pada awal dekad 1990-an terdapat keperluan bagi peningkatan kualiti keluaran dan kecekapan kos, rentetan kemunculan pesaing baru yang menggugat kedudukan syarikat sebagai peneraju industri pemproses makanan dan sayuran di Amerika Syarikat. Pendekatan tradisional “arahan dan kawalan” ke atas 1,600 pekerjanya didapati tidak lagi bersesuaian.

Akhirnya pihak pengurusan teringgi, atas nasihat perunding OD dalaman, bersetuju bahawa hanya penglibatan yang tinggi kalangan pekerja boleh membentuk daya pendorong perubahan ke arah penambahbaikan berterusan organisasi. Bagi menggilap dan menggembleng pengetahuan, serta bakat pekerja dalam proses penglibatan, perunding menyediakan latihan dan bantuan kepakaran. Perkongsian maklumat tentang operasi syarikat yang selama ini bersifat eksklusif membuatkan semua pekerja berasa dihargai dan berguna sebagai input untuk pengemukaan idea subordinat.

Di Malaysia, terdapat beberapa kajian tentang proses perubahan terancang dalam organisasi pendidikan. Baharuddin (2000) yang menjalankan kajian kes di sebuah rendah dan sebuah sekolah menengah di Kedah, kedua-duanya sekolah perintis pelaksanaan ISO 9002 di Malaysia mendapati bahawa beberapa strategi campur tangan telah membuktikan bahawa ISO 9002 sesuai dilaksanakan dalam latar belakang pendidikan. Siti Hajar (2000) yang menggunakan model analisis daya lapangan Lewin pula mendapati bahawa daya rintangan lebih kuat daripada daya pendorong dalam pelaksanaan e-komunikasi ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Malangnya halangan paling kuat datang dari pemimpin organisasi sekolah menerusi kawalan dan peraturan yang ketat bagi penggunaan makmal ICT.  

Berdasarkan kajian-kajian di atas, konsep SBM di peringkat sekolah  telah mempunyai asas yang kukuh. Daya rintangan yang dikenal pasti, terutama daripada kepemimpinan sekolah boleh diatasi dengan strategi perubahan terancang menerusi pembangunan organisasi dan  reka bentuk campur tangan yang bertepatan. Manusia pada amnya tidak antiperubahan melainkan apabila berasa kedudukan mereka terancam. Sebab itulah segenap faktor dalaman dan luaran dalam konteks suatu sistem mesti diambil kira dalam proses perubahan terancang (Jaafar, 2000: 457 – 496).

Justifikasi Kejayaan SBM di Malaysia
SBM boleh dianggap satu kejayaan bagi organisasi pendidikan tertinggi dalam hierarki sistem berpusat yang diamalkan, iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia. Memang tidak wajar untuk membandingkan SBM ala-Malaysia dengan SBM genuine sepertimana yang terdapat di Amerika Syarikat yang mengamalkan dasar disentralisasi dalam hampir keseluruhan sistem kenegaraan mereka. Jika kita memakai metafora “negara maju dengan acuan sendiri” sebagai matlamat utama Wawasan 2020, SBM di Malaysia juga harus dinilai dalam kerangka sistem berpusat yang masih terus kukuh, dan tiada petanda untuk berubah dalam tempoh terdekat (Malaysia:2000).

Penilaian tentang kejayaan SBM harus dibuat berdasarkan beberapa elemen perubahan terancang yang baru diperkenalkan secara beransur-ansur. Jika daya rintangan hendak dilemahkan bagi memberi laluan kepada daya pendorong untuk mara, maka perlu disedari bahawa manusia dan institusi tidak mudah berkongsi, apa lagi menyerahkan terus kuasa yang sedang dipegang (If people only give up the power they want to lose, it’s probably not power others will want to have)  (SIDEC,1992:22).

Bidang Kejayaan yang diperoleh
Antara kejayaan besar pengenalan SBM ialah dari segi pengurusan kewangan. Status pusat tanggungjawab (PTJ) yang dahulunya hanya dinikmati oleh sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah teknik (SMT), dan sekolah harian di Sabah dan Sarawak kini diperluaskan ke lebih banyak sekolah harian dan diharapkan sehingga menyeluruh, supaya sistem disentralisasi dalam kerangka struktur berpusat akan menjadi kenyataan. Sebagai contoh, tuntutan perjalanan, tuntutan pindah, pemilihan tender projek kecil dan banyak lagi hal-ehwal kewangan diserahkan kepada kebijaksanaan pihak sekolah.

Dari segi penilaian dan pengukuran kurikulum, sekolah diberi autonomi untuk mengendalikan beberapa aspek peperiksaan awam. Peperiksaan amali sains, Penilaian Asas Fardu Ain (PAFA), ujian lisan bahasa, kerja kursus Kemahiran Hidup dan Kejuruteraan telah beransur-ansur dilaksanakan dengan jayanya berasaskan konsep SBM. Semuanya dilaksanakan dengan jaya justeru pihak Kementerian telah merancang perubahan dengan teliti, iaitu mengutamakan pengurusan orang dalam organisasi di semua peringkat. Latihan secara teragih telah dijalankan terlebih dahulu.

Selain itu, Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) yang baru dilancarkan merupakan program latihan praperkhidmatan in-situ selama tiga tahun bagi guru sandaran tidak terlatih bagi menyerap guru berkenaan dalam perjawatan tetap. Guru tertentu di sekolah dilantik sebagai pembimbing setelah melalui proses latihan tertentu (temu bual penulis dengan seorang pegawai Bahagian Pendidikan Guru, butiran diminta  off-record).

Penyertaan dalam proses membuat keputusan semakin mendapat tempat. Berlaku perubahan sikap kepemimpinan sekolah dengan kesediaan merundingkan hal-hal perjalanan sekolah walaupun dalam skop yang masih kecil. Kajian Lau Siew Teng (1999) mendapati tidak terdapat elemen absolutism dalam semua lapan bidang DM iaitu pentadbiran am, kurikulum, kokurikulum, hal-ehwal murid, tugas khas guru, pengurusan harta modal, kewangan dan keceriaan sekolah. Walaupun tahap PDM berbeza antara bidang yang dikaji, terdapat responden yang mengakui bahawa tahap penglibatan mereka dalam DM bagi tiap-tiap bidang adalah tinggi.

Kajian EPRD, dengan kerjasama IIEP, UNESCO (Malaysia:1989) juga mendapati bahawa PDM dalam pelbagai peringkat hierarki organisasi pendidikan dalam tiap-tiap bidang adalah tinggi dan saluran utamanya ialah menerusi sistem jawatankuasa. Dalam konteks SBM, keadaan ini semakin berkembang.

Dari segi perkhidmatan pula, kelulusan yang dahulunya dibuat sekurang-kurangnya di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah, telah diserahkan kepada budi bicara pihak sekolah. Antara lain ialah seperti cuti rehat, cuti sakit, cuti kecemasan, cuti sambilan, cuti bersalin, dan cuti tanpa rekod (kecuali cuti belajar) diputuskan di peringkat sekolah.

Di bawah konsep SBM juga, sekolah diberi peluang membuat penarafan kendiri menerusi garis panduan Standard Peningkatan Kualiti Pendidikan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian (Mohd Salleh,2002:194). Sekolah tidak perlu menunggu pihak nazir untuk memantau dan membuat penilaian yang mungkin bersifat artificial..

Semua perubahan di atas bukanlah mudah hendak dilakukan. Ia menambah beban kerja yang sudah sedia banyak. Pemimpin sekolah terlebih dahulu perlu diorientasikan dengan sekurang-kurangnya gaya kepemimpinan transformasi. Kejayaan pelaksanaan model SBM ala-Malaysia ini merupakan antara strategi perubahan terancang yang paling berkesan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia.

 Kesimpulan dan Penutup
Sesungguhnya peranan sekolah sebagai barisan hadapan organisasi pendidikan diperkukuh dengan pengenalan SBM ala-Malaysia. Rasa kepunyaan (sense of ownership) yang diterapkan bakal membantu pencapaian usaha keberkesanan organisasi yang menjadi matlamat utama perubahan terancang. Kejayaan yang dicapai setakat ini tidak pula bererti kita harus berhenti daripada membuat kritikan dan teguran atas kelemahan yang masih wujud dalam pelaksanaan model SBM terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai organisasi pendidikan tertinggi dalam hierarki sistem berpusat di negara kita. Sambil itu, sokongan padu terhadap model SBM ala-Malaysia mestilah diteruskan.


BIBLIOGRAFI

Baharuddin Ahmad (1999). Pelaksanaan ISO 9002 di Sekolah: satu proses Perubahan dan Pembangunan Organisasi. UUM Sintok: Tesis M.Ed tidak diterbitkan


Cummings, Thomas G & Christopher G. Worley (2001). Organization Development & Change. Ohio: Southwestern Thomson Learning


Jaafar Muhamad (2000). Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur: Leeds Publications


Kotter, John P. (1996). Leading Change. Boston: Harvard Business School Press


Lau Siew Ting (1999). Teachers Participation in Decision Making Process in a Secondary School. Universiti Malaya Kuala Lumpur: Tesis M.Ed tidak diterbitkan


Malaysia, Kementerian Pendidikan (1989). Information and Decision Making: A Case Study on the Use of Information in the Educational Planning Process in Malaysia. Kuala Lumpur: EPRD


____________________________ (2000). Pembangunan Pendidikan 2001 – 2010. Kuala Lumpur: EPRD


Mohd Salleh Lebar (2002). Perancangan Pendidikan Peringkat Sekolah dan IPT. Kuala Lumpur: Utusan Publications


SIDEC (1992). Managing Change and Improvement in Malaysian Education – Final Report. Stanford University: School of Education


Siti Hajar Man (2000). E-Komunikasi dan Pengurusan Perubahan Pendidikan: Kajian Tinjauan di Organisasi Pendidikan Bandar dan Luar Bandar di negeri Kedah Darul Aman. UUM Sintok: Tesis M.Ed tidak diterbitkan

PENDIDIKAN KEUSAHAWANAN SEKOLAH RENDAH (NURTURE BUSINESS MINDED)

Ipoh, Sabtu: 30 Oktober 2010 / 22 Zulkaedah 1431

9/10 rezeki berpunca daripada bidang perniagaan. Hadith berkenaan begitu selaras dengan model pusingan aliran pendapatan dalam teori ekonomi. Interaksi antara isi rumah dengan firma di pasaran barang (dan perkhidmatan), serta di pasaran faktor (pengeluaran) hakikatnya membabitkan urus niaga jual beli.

Pendedahan tentang bab perniagaan dan keusahawanan perlu dipupuk sejak alam kanak-kanak lagi. Perniagaan ialah suatu ibadah selama mana diikhlaskan demi keredaan-Nya, serta mematuhi segala hukum-hakam yang ditetapkan. Etika dan nilai murni wajib menjadi pegangan setiap peniaga jika ingin bertahan lama dalam bidang perniagaan yang penuh peluang, risiko dan saingan.
Sekolah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh (SKSA) buat kesekian kalinya berjaya menganjurkan karnival hari keusahawanan. Menurut Yang Mulia Raja Zainal Abidin, guru besar SKSA, projek tahunan sekolah itu bertujuan menyemai semangat keusahawan dalam kalangan murid sejak tahun satu. Lot niaga diserahkan kepada kelas terpilih untuk kendalian murid, di bawah bimbingan dan pengawasan guru.
Beliau mengakui bahawa ketahanan murid menjaga gerai mungkin sukar sampai lima jam, iaitu jumlah masa yang diperuntukkan. Sebagai kanak-kanak yang tidak betah duduk diam, mereka juga teringin untuk berlegar-legar meninjau gerai-gerai yang lain. Sebab itulah menjelang pukul 10 pagi, gerai mula "diserahkan" di bawah kendalian guru pembimbing mereka!
Namun, pendedahan kira-kira dua jam awal berkenaan sudah cukup sebagai titik tolak inspirasi keusahawan. Mereka sudah boleh mempelajari pengalaman sebenar urus niaga dan mengaplikasikan kemahiran interpersonal yang selama ini dipelajari di dalam bilik darjah. Kenangan yang diperoleh pasti sukar dilupakan walaupun barangkali mereka memilih bidang yang lain sebagai punca pendapatan masa hadapan mereka.
Selain ruang niaga, SKSA turut menjemput beberapa organisasi untuk menjayakan pameran dan promosi keluaran masing-masing. Walaupun di bandaraya Ipoh ibu bapa boleh membawa anak mengunjungi pameran yang lebih besar, kedatangan petugas organisasi yang bersedia melayani pertanyaan murid sekolah rendah dirasakan mempunyai impak yang tersendiri. Lagi pun, bahan-bahan pameran bersesuaian dengan objektif karnival yang turut menekankan keusahawanan yang luhur dan sihat.
Sebagai daya tarikan supaya ibu bapa dan murid menunggu lebih lama dan barang jualan lebih laris, beberapa acara sampingan diadakan. Terdapat pertandingan bola jaring, futsal dan tarik tali yang bermula dari awal pagi hingga ke penghujung karnival. Kedatangan ibu bapa yang "dipaksa" oleh anak-anak merupakan satu lagi peluang untuk berkomunikasi dengan pentadbiran dan guru-guru SKSA...

Friday, October 29, 2010

PERANAN GENERASI MUDA MENCEGAH JENAYAH (CRIME FREE SOCIETY AT ST MICHAEL'S INSTITUTION)

Ipoh, Jumaat: 29.10.10 / 21 Zulkaedah 1431

Sebagai bakal pemimpin negara masa hadapan, murid sekolah ialah golongan yang paling tepat untuk didekati supaya lebih peka terhadap usaha mewujudkan masyarakat yang bebas daripada ancaman jenayah. Penubuhan kelab pencegahan jenayah dan pasukan pakaian seragam yang lain mampu menjadi wahana bagi merealisasikan hasrat berkenaan. Demikian intisari ucapan Tan Sri Lee Lam Thye ketika melancarkan program pencegahan jenayah peringkat sekolah di negeri Perak pagi tadi.
Pengetahuan tentang taktik penjenayah perlu didedahkan dalam kalangan murid sekolah yang sering dijadikan mangsa. Konsep sekolah selamat yang telah lama diperkenalkan masih berjalan supaya hak murid, khususnya di sekolah rendah tidak diperlakukan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak. Haji Roli, Timbalan Pengarah, Jabatan Pelajaran Perak menegaskan perkara itu dalam ucapan alu-aluan beliau.
Majlis terlebih dahulu dimulai dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Marhalim, ketua panitia Pendidikan Islam, SMK St Michael, Ipoh (SMI). Doa yang turut diaminkan oleh ketua polis negeri, pengarah bahagian pengurusan sekolah, kementerian pelajaran dan ketua sektor kemanusiaan jpn perak di atas pentas utama memohon supaya Allah memberi petujuk kepada kalangan yang berkecenderungan melanggar undang-undang, di samping membawa mereka yang sudah terbabit kembali ke pangkal jalan. Kos makan minum banduan di penjara dan penagih di pusat serenti sekitar RM50 sehari barangkali lebih baik disalurkan kepada mahasiswa  yang sering kesempitan wang dan terpaksa pula menanggung beban hutang setelah tamat pengajian (nota: tiada dalam teks doa, sebaliknya ulasan seorang khatib).
Sebelum itu, Tan Sri Lee memeriksa barisan kehormat yang terdiri daripada beberapa buah pasukan pakaian seragam sekolah-sekolah sekitar Ipoh yang dipilih khas oleh penganjur. Beliau diiringi pengetua SMI selaku tuan rumah. Sambil itu, pasukan pancaragam SMI, naib juara negeri Perak memainkan lagu-lagu patriotik.
Acara lain yang menarik perhatian hadirin ialah demonstrasi anjing pengesan oleh Unit Antinarkotik PDRM. Anjing yang berusia 10 tahun bersamaan dengan 70 tahun usia manusia, dan jika sudah uzur akan dilupuskan. Arahan yang diberi hendaklah keras dan tegas supaya segera dituruti.
Sensiviti deria hidu si anjing terhadap najis dadah memang tajam. Walaupun dadah disembunyikan oleh seorang pelajar yang dipelawa oleh anggota polis secara spontan, anjing pengesan dapat menemuinya dengan begitu cepat. Bahkan, dari jauh lagi anjing itu sudah meronta-ronta untuk menunjukkan lokasi dadah di bawah pasu.
Pameran yang bermula dari dewan sekolah dan keseluruhan blok tingkatan 3 aras bumi dijayakan oleh pelbagai organisasi dan juga kelab pencegah jenayah sekolah-sekolah pilihan penganjur. Walaupun tempoh pameran agak singkat, iaitu tamat sebelum 12.30 tengah hari, wakil-wakil sekolah dan organisasi yang hadir dapat membawa pengalaman berkenaan ke tempat masing-masing. Hubungan sekolah dengan pihak polis bakal diperkukuh menerusi penyeliaan pejabat pendidikan daerah masing-masing.
Pihak penganjur tidak lupa menyediakan pek makanan untuk wakil sekolah jemputan dan organisasi yang mengambil bahagian. Pengedaran pek makanan bahagian murid diuruskan oleh pasukan kadet bomba tingkatan 6 SMI. Semuanya berjalan lancar justeru perancangan telah dilakukan dengan teliti...

Thursday, October 28, 2010

KADET BOMBA BANTU PERSIAPAN JAMUAN (SMI HOSTING ANTI-CRIME CAMPAIGN)

Kedudukan lokasi strategik SMK St Michael, Ipoh (SMI) di tengah-tengah jantung bandaraya Ipoh mungkin menjadi faktor pemilihannya dalam banyak acara besar peringkat negeri berkaitan dengan pendidikan. Terkini, SMI dipilih sebagai tuan rumah pelancaran bulan pencegahan jenayah peringkat negeri Perak. SMI bakal dikunjungi pegawai tinggi jabatan pelajaran negeri, polis, wakil kementerian, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil murid sekolah seluruh negeri Perak.
Persiapan sedang rancak dijalankan. SMI menjadi sangat sibuk dengan kenderaan dari pelbagai jabatan dan organisasi. Sejak seminggu yang lalu, beberapa orang ketua jabatan dan pengetua yang mengganggotai jawatankuasa pelancaran telah membawa rombongan masing-masing bagi membuat persiapan terakhir.
Persekitaran SMI sendiri tambah berseri. Beberapa batang pokok di kawasan letak kereta guru telah ditebang oleh pihak Dewan Bandaraya Ipoh bagi mewujudkan suasana yang lebih bercahaya dan terang-benderang. Pasu bunga dan tiang juga dicat semula.
Tapak perhimpunan juga berubah wajah. Esok, tetamu dari seluruh negeri Perak akan memenuhi ruang yang disediakan dari awal pagi hinggalah sejam sebelum solat Jumaat. Masjid India yang berjiran dengan SMI mungkin sekali menerima pertambahan bilangan jemaah.
Pentas utama di hadapan tapak perhimpunan telah dihias dengan cantik sekali. Pelancaran bakal dilakukan oleh Tan Sri Lee Lam Thye, yang juga bekas pelajar SMI dekad 1960-an. Sudah tentu beliau akan mengimbau kenangan silam ketika berdiri bersama-sama rakan lain di tapak perhimpunan yang sama ketika itu.
Gelanggang badminton bersebelahan bilik guru, dewan dan kompleks bilik darjah bertukar menjadi ruang jamuan tetamu utama (VIP). SMI mendapat promosi percuma atas kehadiran sejumlah penjawat tinggi awam dan pertubuhan bukan kerajaan. Promosi sedemikian tidak terhingga nilainya, serta kesannya bersifat jangka panjang, malah tidak dapat dibeli dengan wang ringgit yang berlaksa-laksa.
Nurul Habibi Hijazi, Pasvinder Kaur, Rashvinder Kaur, Yee Jing Wah

Kerja-kerja belakang tabir dan berskala kecil yang lain tidak kurang pentingnya. Umpama skru kerdil dalam sebuah jentera raksasa tetap perlu sentiasa dipastikan berkeadaan baik supaya tidak menjejaskan operasi, hal-hal yang zahirnya remeh-temeh tidak seyogia diabaikan. Urusan jamuan murid jemputan yang berjumlah hampir 300 orang juga perlu dirancang supaya pengedaran pek makanan dan pengurusan kebersihan berjalan dengan lancar.
Ngui Bee Chua, Vijay, Surenthar, Naga Vishnu, Mathan

Di samping menyediakan tempat pengedaran pek makanan dan kerusi meja untuk menikmati hidangan itu, sejumlah 15 orang anggota kadet bomba tingkatan 6 telah ditugaskan sebagai pembantu jawatankuasa makanan seksyen pelajar. Mereka akan mengawasi tatacara pengedaran pek makanan dan menyediakan pengurusan kebersihan. Sumbangan mereka sebenarnya begitu bermakna...

Wednesday, October 27, 2010

JAMUAN KELAB STAF SMI 2010 (SMI'S STAFF ANNUAL DINNER)

Ipoh, Rabu: 27.10.10 / 19 Zulkaedah 1431

Sudah menjadi tradisi dalam organisasi bahawa pada setiap hujung tahun akan dianjurkan majlis jamuan yang bertemakan keceriaan, ramah mesra dan riang ria. Kelab Staf SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah memilih Hotel Regency Tower, sebagai lokasi jamuan tahun ini. Kehadiran anggota dianggarkan melebihi 85 peratus, iaitu bilangan yang menunjukkan sokongan padu terhadap kepimpinan kelab.
Sebaik melangkah masuk ke dewan jamuan, hadirin dihadiahi dengan cenderamata kenangan (door gift) berupa beg dokumen dan tuala muka yang memaparkan logo sekolah. Acara dimulakan kira-kira pukul 8.15 malam apabila tempat duduk telah dipenuhi. Ucapan alu-aluan ringkas disampaikan oleh Cikgu Shahrolnizam, pengerusi kelab dan Encik Phoon Chong Chee, pengetua SMI merangkap penaung kelab.
Jamuan dibuat ala-buffet. Kebaikannya ialah menjimatkan kos, tetapi tiada jaminan bahawa sesiapa yang beratur di bahagian belakang akan mendapat hidangan yang sama seperti teman-teman di hadapan. Nasib baiklah guru dan kakitangan SMI tergolong dalam kalangan insan asertif, yang ingat bahagian orang yang kemudian.
Sambil menjamu selera, acara cabutan bertuah diadakan. Nombor yang diundi tertera pada kad undangan majlis. Kemudian, hadiah ditentukan dengan undian spontan di hadapan penyampai hadiah. 
Seperti biasa macam-macam hadiah disediakan menjadi teka-teki dan usikan sesama sendiri. Bukan nilai hadiah yang direbut-rebutkan, tetapi keseronokan seakan-akan kembali ke zaman anak-anak sekolah sepuluh dua puluh tahun yang silam. Mungkin sahaja ada hadiah yang melucukan, namun tetap berguna kepada penerima.
Cikgu Prakas, guru data yang bakal menyambung pengajian di UPM 
(sarjana pendidikan teknikal) di bawah hadiah latihan persekutuan bergaji penuh JPA

Hadiah bonus diberikan berdasarkan permainan berkumpulan mengikut meja. Sebagai cikgu dan kakitangan sekolah, permainan yang disediakan tetap ada unsur intelektual. Selain itu, kelab staf juga menyampaikan penghargaan kepada anggota yang mendapat cahaya mata, merekodkan kehadiran penuh tanpa cuti, dan kepada bekas anggota yang telah berpindah ke tempat lain...

Tuesday, October 26, 2010

HADIAH PENYELIDIKAN PRAUNIVERSITI SMI (MICHAELIAN'S YOUNG RESEARCHER AWARD)

Ipoh, Rabu: 27.10.10 / 19 Zulkaedah 1431


TEKS PENYAMPAIAN HADIAH
PENYELIDIKAN DAN KOLOKIUM
PRAUNIVERSITI SMK ST MICHAEL, IPOH

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera

(Guru bertugas, penolong-penolong kanan, guru dan Michaelian sekalian)

Mulai tahun 2009, sistem pengajian tingkatan 6 telah mengalami transformasi dan penambahbaikan sebagai program prauniversiti yang ulung di negara kita. Pelaksanaan aktiviti kurikulum dan kokurikulum dijenamakan semula dengan tumpuan terhadap elemen kepimpinan, perkhidmatan dan kebajikan. Selain itu, pelajar diberi pendedahan melaksanakan aktiviti penyelidikan berdasarkan proses dan tatacara yang autentik, ilmiah, dan piawai.
Pemenang hadiah penyelidik muda bersama Penolong Kanan Tingkatan 6 SMI

Pada pagi ini, pihak pengurusan prauniversiti tingkatan 6 SMK St Michael, Ipoh ingin memberi pengiktirafan kepada sekumpulan penyelidik muda prauniversiti SMI yang telah menunjukkan mutu atau kualiti penyelidikan yang mencapai tahap cemerlang, dengan mengambil kira kawalan sumber yang dimiliki. Sebelum itu, unit penyelidikan pengajian tingkatan 6 merakamkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua 201 orang penyelidik muda tingkatan 6 Rendah yang telah berusaha bertungkus-lumus selama 4 bulan bagi menyiapkan projek penyelidikan masing-masing. Semua laporan penyelidikan telah dibentangkan dalam program kolokium, dan akhirnya sebanyak 8 projek penyelidikan telah dipilih untuk menerima hadiah wang tunai dan sijil penghargaan.

Saya dengan hormatnya mempersilakan Puan Tan Cheng Choo, Penolong Kanan Tingkatan 6 SMK St Michael, Ipoh tampil ke pentas bagi menyampaikan hadiah.

Q:  tunggu hingga PK t6 naik ke pentas

Pemenang bagi kumpulan A:

ke-4:   Loo Min Yue, Ng Yeen Kit, Ow Jia Mun (6 Rendah Sains 2, LS2)
ke-3:   Chow Swee Kwan, Calvyn Ee Han Xen (LS3)
ke-2:   Jagendran a/l Ravindran, Kelvinder Singh (LS4)
johan:  Lee Jia Shyan, Ong Ji Yan (LS1)

Pemenang kumpulan B:

ke-4:   Ng Weng Joh, Tan Sze Ngou (6 Rendah Sastera 3, LA3)
ke-3:   Aroona a/p Alagan, Marian Cynthia Martin (LS5)
ke-2:   Rhasvinder Kaur a/p Ambar Singh, Young Hui Ling (LA2)
johan:  Yee Jing Wah (LA1)

Terima kasih Puan Tan Cheng Choo. Tahniah kepada semua pemenang. Semoga program pengajian prauniversiti tingkatan 6 SMK St Michael, Ipoh terus meniti dan menjiwai kecemerlangan.

Sekian. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Monday, October 25, 2010

10 MUSUH KREATIVITI (CREATIVITY KILLERS)

Kreatif bermaksud menjana idea yang asli. Sama dengan proses perubahan, idea kreatif mungkin sekali menggugat status quo, tidak disenangi oleh orang-orang di zon selesa, serta menghadapi risiko kehilangan sahabat, kedudukan dan pengaruh. Ibnu Khaldun, bapa sosiologi moden dipulaukan ketika hayatnya, dipenjarakan dan dicop sebagai gila. Hanya empat abad selepas ketiadaannya, idea dan falsafah (kreatif) tentang kajian masyarakat beliau diangkat sebagai bidang ilmu yang baharu!

Dalam dunia pendidikan, potensi kreatif murid sekolah perlu digilap, dikembangkan dan dipupuk menerusi aktiviti pembelajaran terancang oleh para guru. Peluahan kreatif murid ialah petanda keupayaan mereka dalam inovasi masa hadapan. Maka, para guru boleh menggunakan senarai semak di bawah untuk menentukan sama ada mereka termasuk dalam kalangan penyokong kreativiti, atau sebagai pembunuh kreativiti...

1 + 1 = ?; 6 - 1 = ?

1. JAWAPAN MESTI BETUL

Dalam kehidupan, terdapat banyak jawapan betul yang kedua dan seterusnya. Situasi inilah yang berlaku terhadap pemikir, pencipta, penjelajah terbaik sejak dahulu kala.

2. MESTI LOGIK

Keterlaluan dalam pemikiran logik menyekat imaginasi. Kadangkala kita mesti mendengar gerak hati (deria keenam)

3. IKUT PERATURAN

Tekanan budaya, jangan cuba menggoncang sampan. Buat perkara mengikut kelaziman. Jika hanya mengulang-ulang perkara yang serupa, tiadalah penambahbaikan.

4. MESTI PRAKTIKAL

Imaginasi melangkaui realiti @ pengetahuan sedia ada.

Musuh kreatif sentiasa membunuh idea baru. Nasib baik orang kreatif bersikap degil dan tidak mudah mengalah. Edison & Harland gagal beribu-ribu kali sebelum mencetus inovasi.

5. BERMAIN-MAIN ITU TIDAK SERIUS

Kunci minda terbuka di taman permainan mental. Kalah sekalipun kita belajar. Kita bermain dengan idea sebelum dipindahkan menjadi proses sebenar.

6. ITU BUKAN BIDANG SAYA

Kita sanggup meminjam idea bidang lain selagi ia berguna

7. HINDARI KETIDAKPASTIAN

Ada ketikanya ketidakpastian menjadi rangsangan imaginasi.

Provokasi menjana idea baru. Separuh drp 8 ialah 0, 3, E, M

8. JANGAN KELIHATAN BODOH

Kita tidak semestinya akur dengan majoriti. Tambahan pula idea baru tidak terbentuk dalam persekitaran kepatuhan. Idea gila-gila mungkin benar!

9. JANGAN BUAT SILAP

Insan kreatif menyedari nilai kesilapan sebagai batu loncatan idea baru.

Penemuan dimulakan dengan andaian yang salah / idea yang pernah gagal.

Brazil dijumpai kerana kapal hanyut. Amerika dijumpai kerana salah sangka

10. SAYA TIDAK KREATIF

Inilah halangan paling membinasakan!

Insan kreatif memiliki keyakinan dan kepercayaan bahawa ideanya bakal diterima kelak

TEKS PENGACARA PERTANDINGAN PUISI DAN LAGU [MASTER OF CEREMONY'S SCRIPT]

Atas permintaan sahabat-sahabat, diturunkan contoh skrip pengacara majlis sebuah pertandingan puisi yang pernah disediakan untuk kendalian pelajar. A dan B ialah dua orang pengacara bertugas. Cue ialah arahan untuk pengacara, bukan untuk dibacakan.

TEKS PENGACARA
PERTANDINGAN PUISI DAN LAGU
DAERAH KINTA UTARA ZON 2

dewan smk st Michael, ipoh  2 april 2010

Cue
setelah mendapat isyarat guru kanan bahasa, pengacara mengumumkan


A
Acara pertandingan akan dimulakan sebentar lagi. Para peserta dan tetamu dipersilakan mengambil tempat. Terima kasih.


Cue
Setelah keadaan tenteram, dan sekali lagi mendapat isyarat guru kanan bahasa


B
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera. Salam puisi dan lagu!
Bagi pihak jawatankuasa pertandingan puisi dan lagu zon 2 daerah Kinta Utara, saya dengan sukacitanya mengalu-alukan kehadiran tuan puan, dan saudara saudari ke dewan SMK St Michael, Ipoh ini. Moga kehadiran anda semua bakal mengakrabkan hubungan sesama kita warga sekolah zon 2 Daerah Kinta Utara. Di samping bersaing secara sihat, aktiviti seumpama ini juga berupa proses pembelajaran sebagai persediaan pelajar menempuh kehidupan sosial dan rasmi pada masa hadapan dengan lebih yakin, insya-Allah. Saya, ……………… dan rakan pengacara ………………. memohon untuk memulakan acara pertandingan.


A
Yang Berusaha Encik Poon Chong Chee, Pengetua SMK St Michael, Ipoh, Encik Mohamad Sidik bin Zakaria, Guru Kanan Bahasa SMI merangkap penyelaras pertandingan, hakim pertandingan, guru, peserta, dan seterusnya hadirin yang dimuliakan.  Sebagai pembuka kata majlis pertandingan, saya dengan segala hormatnya mempersilakan Encik Poon Chong Chee, Pengetua SMK St Michael, Ipoh selaku tuan rumah menyampaikan sepatah dua kata aluan.


Cue
setelah selesai ucapan pengetua, tunggu hingga pengetua mengambil tempat


B
Terima kasih Encik Poon Chong Chee. Sebelum pertandingan bermula izinkan saya membacakan peraturan pertandingan. Setiap pasukan tidak melebihi enam orang, dan puisi yang dilagukan hendaklah karya asli pelajar berkenaan. Tema yang ditetapkan ialah "……………………", "………………………", dan "………………………..", dan peserta dibenarkan memilih salah satu daripada tiga tema yang disebutkan. Seyogia diingatkan bahawa perkara sensitif seumpama agama, budaya dan kaum perlu dielakkan.


A
Puisi dideklamasikan oleh seorang pelajar sahaja dengan iringan muzik secara langsung (live). Melodi juga merupakan karya asli pasukan. Seterusnya puisi yang sama akan dinyanyikan secara solo (individu) atau berkumpulan, dengan iringan muzik oleh ahli kumpulan yang sama, tanpa menambah, atau mengurangkan perkataan daripada puisi asal. Sebagai makluman, alat muzik iringan yang digunakan mestilah alat muzik akustik, yakni tanpa elektrik (unplug)

B
Penggunaan masa bagi kedua-dua aktiviti ialah 6 minit. Setiap satu minit yang lebih akan dipotong 2 markah. Persembahan bagi kedua-dua aktiviti ialah 8 minit. Masa dikira setelah peserta mengambil tempat di atas pentas dan memulakan persembahan. Giliran peserta adalah berdasarkan undian yang telah dibuat.


A
Saya dengan ini menjemput para hakim pertandingan, dan penjaga masa mengambil tempat. Dijemput.


Cue
Setelah hakim dan penjaga masa mengambil tempat


A
Izinkan saya memperkenalkan tiga orang panel hakim pertandingan. Yang pertama, ……………………………………………………….……..selaku ketua hakim. Kedua,………………………………………….. …………………………………………...  Ketiga, ……………………………………………………………………... Keputusan hakim adalah muktamad, dan sebarang bantahan tidak dibenarkan.


B
Penjaga masa pertandingan ialah _________________________________. Setelah cukup tempoh masa yang diperuntukkan, penjaga masa akan menekan loceng sebanyak dua kali.


Cue
Setelah penjaga masa menekan loceng dua kali sebagai contoh


A
Pertandingan Puisi dan Lagu Peringkat Zon 2 Sekolah Menengah Daerah Kinta Utara tahun 2010 dimulakan dengan menjemput peserta pertama dari SMK ___________________________________


Cue
Selesai persembahan peserta pertama, dan mereka selamat turun pentas. Tunggu isyarat ketua hakim sebelum menyambung pertandingan


A
Demikian persembahan penuh kreativiti peserta pertama. Seterusnya majlis mempersilakan peserta kedua dari SMK _____________________________________


Cue
Selesai persembahan peserta kedua, dan mereka selamat turun pentas. Tunggu isyarat ketua hakim sebelum menyambung pertandingan


B
Terima kasih. Satu persembahan yang mengkagumkan. Kini tiba giliran peserta ketiga.

Peserta dari SMK _______________________________________ dijemput


Cue
Selesai persembahan peserta ketiga, dan mereka selamat turun pentas. Tunggu isyarat ketua hakim sebelum menyambung pertandingan






B
Selain terhibur, persembahan peserta ketiga sebentar tadi menampilkan mesej untuk direnungkan. Nampaknya saingan kian hangat. Hadirin hadirat. Mari kita tumpukan perhatian terhadap persembahan peserta keempat dari SMK ___________________________________________________



Cue
Selesai persembahan peserta keempat, dan mereka selamat turun pentas. Tunggu isyarat ketua hakim sebelum menyambung pertandingan


A
Terima kasih peserta keempat yang merupakan peserta terakhir


Cue
Selesai persembahan peserta terakhir, dan mereka selamat turun pentas. 


A
Dengan berakhirnya persembahan peserta keempat. debaran kian memuncak. Peserta manakah yang akan menyandang gelaran johan pertandingan puisi dan lagu Zon 2 sekolah menengah daerah Kinta Utara tahun 2010?  Pasukan manakah yang bakal membawa pengiktirafan berupa sijil daripada Pejabat Pelajaran Daerah? Penglibatan dan pencapaian yang tercatat ialah tanda penyertaan dalam aktiviti kokurikulum peringkat zon. 


B
Kita beri masa kepada panel hakim untuk memuktamadkan keputusan. Sementara itu kesempatan masa yang ada boleh digunakan untuk berinteraksi dan bertanya khabar dengan para peserta yang hebat-hebat belaka.


Cue
Muzik instumental (cd) dimainkan

Setelah hakim menyerahkan keputusan pertandingan, muzik instrumental dihentikan





A



Kini tiba detik yang dinantikan, iaitu pengumuman keputusan yang sudah pun berada di tangan pengacara. Sebelum pemenang diisytiharkan, bagi pihak majlis saya dengan sukacitanya mempersilakan Encik Mohamad Sidik bin Zakaria mengiringi Pengerusi Jawatakankuasa Pengelola Pertandingan, Encik Poon Chong Chee naik ke pentas bagi menyempurnakan penyampaian cenderamata dan hadiah.


Cue
Tunggu hingga pengetua, En Sidik, dan pembawa dulang sijil mengambil tempat


B
Tanpa para hakim yang bijaksana, sesuatu pertandingan tidak akan dapat dijalankan. Sebagai menghargai kesudian mereka meluangkan masa, pihak penganjur menyediakan oleh-oleh yang tidak sepertinya. Dipersilakan …………………………………………………
………………………………………………... Terima kasih daun keladi. Jika diundang, harap datang lagi.

Cue
Selesai penyampaian sagu hati kepada hakim, dan mereka selamat turun pentas


A
Debaran peserta bakal bertemu titik noktah. Diumumkan pemenang ketiga jatuh kepada peserta dari SMK _________________________________________________
Dipersilakan naik ke pentas.


Cue
Selesai penyampaian hadiah kepada pemenang ketiga, dan mereka selamat turun pentas


B
Pemenang kedua jatuh kepada SMK ________________________________________
Syabas. Dipersilakan.


Cue
Selesai penyampaian hadiah kepada pemenang kedua, dan mereka selamat turun pentas


A, B
Johan pertandingan puisi dan lagu peringkat zon 2 sekolah menengah daerah Kinta tahun 2010………..   SMK _______________________________________________


Cue
Selesai penyampaian hadiah kepada johan , dan mereka selamat turun pentas


A
Terima kasih Encik Poon, dan Encik Sidik. Tahniah kepada semua pemenang, dan tahniah juga kepada peserta yang lain yang telah berusaha gigih dan memberi saingan. Jadikan pengalaman ini satu kenangan manis yang pernah kalian lalui.


Cue
Setelah En. Poon dan En Sidik mengambil tempat


B
Majlis berakhir di sini. Bagi pihak majlis dan Jawatankuasa Pengelola pertandingan, saya memohon maaf andainya terdapat kesilapan dan kekurangan yang berlaku. Seterusnya saya dengan sukacitanya menjemput para tetamu, hakim, guru pengiring, dan peserta menikmati kudapan.

Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Hingga jumpa lagi.


© cikgu azhar, AJK Bahagian Juruacara