SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

MEMBUDAYAKAN KEBIJAKSANAAN (THE RIGHT MILESTONE)

Hikmah atau kebijaksanaan (wisdom) ialah suatu nikmat yang tidak terhingga nilainya. Dengan memiliki hikmah, kehidupan seseorang insan itu akan lebih bermakna dan fokus. Tanpa hikmah, manusia terpaksa bergantung kepada naluri, atau melakukan sesuatu yang dirasakan betul, iaitu secara cuba jaya (trial and error).

Apakah sumber hikmah yang boleh diterokai oleh seseorang dalam tempoh kehidupannya yang hanya sebentar di dunia fana ini? Hakikatnya terdapat dua sumber utama dalam usaha memperoleh hikmah yang tinggi, iaitu ayat-ayat Allah di dalam kitab (al-Quran), ayatullah fi'l-kitab, dan ayat-ayat Allah di muka bumi, ayatullah fi'l-kaun. Manausia digesa mempelajari kedua-dua sumber hikmah asas itu dengan melaksanakan pengamatan dan penyelidikan (tadabbur).

Era gemilang atau zaman keemasan umat Islam yang lalu berpunca daripada kedua-dua sumber hikmah. Sudah tentulah pembelajaran al-Quran perlu disokong oleh al-Hadith, ijmak, qiyas, masalih mursalah, istihsan, istishab, 'uruf dan sesenarai panjang kesahihan ilmu. Walaupun, terdapat begitu banyak prinsip umum kehidupan yang digariskan oleh al-Quran tanpa perlukan pengajian yang khusus.

Sebagai contoh, kejujuran dalam urus niaga. Surah al-Mutaffifin (83: 1-2) dimulai dengan amaran kepada kaum peniaga supaya sentiasa mencukupkan sukatan dan timbangan. Surah Ali Imran (3:191-192) pula menggesa manusia supaya sentiasa memerhatikan penciptaan langit dan bumi, dan silih berganti siang dan malam, lalu mengingati Pencipta dalam sebarang keadaan (berdiri, duduk, baring). Manusia yang sedemikian bakal dibukakan pintu (hikmah), iaitu tergolong sebagai uli'l-albab, orang-orang yang bijaksana.

Generasi awal Madinah, as-sabiquna'l-awwalun yang disebut-sebut sebagai bayangan masyarakat syurga berjaya menggunakan hikmah hingga berupaya memimpin dua per tiga dunia. Hanya apabila generasi terkemudian jauh daripada hikmah, kekuatan yang mereka miliki mulai goyah. Pesona duniawi, tipu daya syaitan laknatullah, dan tunduk kepada hawa nafsu menjadikan umat alpa, cuai, leka, lalai dan lesu.

Setelah sekian lama empayar terakhir Uthmaniah Turki berjaya dijatuhkan oleh musuh pada tahun 1924, kini seruan kecemerlangan umat kembali bergema di seluruh penjuru dunia. Umat perlu kembali kepada sumber hikmah yang menjadi kekuatan mereka selama ini. Mereka tidak boleh diperdaya dengan melayan al-Quran sebagai semata-mata rutin bacaan, atau hanya dialunkan untuk orang-orang yang sedang bertarung dengan sakaratul maut, atau dibacakan di pusara.

Hikmah al-Kitab perlu dikembalikan kepada orang-orang yang hidup, orang yang sihat dan orang yang mukallaf. Keseluruhan pembelajaran al-Quran hendaklah diinstitusikan dalam kehidupan masyarakat yang beraqidah, bersyariat dan berakhlak. Insya-Allah, umat akan segera dihormati...

(sedutan mimbar Jumaat)

"SYAIR MENDAPAT GEMALA NAGA" KOMSAS TINGKATAN 2 (THE TREASON STORY AND EMPATHY)

Pengenalan

Puisi tradisional selenggaraan Dr. Anwar Ridhwan dan Profesor Rahman Shaari ini termuat dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius, halaman 13 - 14. Permulaan syair ialah komunikasi antara dewa dengan naga yang bertumpu kepada luahan hati dewa yang berasa dirinya menjadi mangsa kezaliman saudaranya sendiri menyebabkan naga berasa simpati. Setelah dihadiahi gemala (hikmat) oleh naga yang membahasakan dirinya nenek, mereka berpisah membawa hala tuju sendiri. Akhirnya, dewa bertemu rumah nenek kebayan di hujung negeri.

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Dewa pun duduk ia bercerita,
          Asal mulanya dapat sengsara,
          Oleh disakitkan saudara,
          Setahun sudah di dalam penjara.

Dewa menceritakan punca dia sengsara (menderita) akibat perbuatan saudaranya sehingga terpaksa meringkuk di dalam penjara setahun lamanya.


          Sekalian habis diceritakan,
          Suatu tidak dilindungkan,
          Terlalu belas naga mendengarkan,
          Diambil gemalanya lalu diberikan.

Setelah semuanya diceritakan tanpa selindung, Naga berasa sangat belas (kasihan) hingga bersedia memberikan gemala (hikmat) kepada Dewa.

          Ambillah tuan muda bestari,
          Gemala ini nenek memberi,
          Harganya itu tujuh buah negeri,
          Apa kehendak keluar sendiri.

Dengan membahasakan dirinya nenek, naga menyerahkan gemala sambil mengatakan bahawa nilainya umpama tujuh buah negeri dan segala permintaan akan tertunai serta-merta.


          Jikalau orang terkena bisa,
          Airnya sapukan beri berasa,
          Jika ditolong Tuhan Yang Esa,
          Dengan seketika beroleh sentosa.

Naga memberi contoh bahawa jika seseorang terkena bisa, sapukan airnya hingga berasa (atau diberi minum sedikit). Insya-Allah, dengan Izin-Nya, sembuhlah dia.


          Atau cucuku hendak berperang,
          Di dalam gua keluarlah orang,
          Beribu keti keluarlah orang,
          Dua belas hulubalang yang garang-garang.

Jika Dewa berperang, dia boleh mendapatkan khidmat beribu-ribu orang tentera dan 12 orang hulubalang yang gagah perkasa daripada gua (gemala hikmat).


          Setelah dewa mendengarkan kata,
          Terlalu suka di dalamnya cita,
          Lalu bermohon keduanya serta,
          Menuju jalan tanahnya rata.

Dewa berasa sangat gembira mendengar kata-kata naga. Mereka kemudian  saling meminta diri (pamit) ke arah jalan tanah yang rata.


          Berjalan ia berdua bersaudara,
          Mengikut pantai tepi segara,
          Siang dan malam tiada antara,
          Terus ke negeri Inderanegara.

Dewa berjalan tanpa menghitraukan siang dan malam menuju negeri Inderanegara dengan menelusuri pantai di tepi laut.

          Setelah sudah paginya hari,
          Sampailah ia ke hujung negeri,
          Bertemulah rumah sebuah berdiri,
          Rumah kebayan orang yang bahari.

Akhirnya pada suatu pagi, Dewa sampai ke hujung negeri dan menemukan sebuah rumah yang dihuni oleh kebayan yang elok (bahari).

Tema:  Pertolongan terhadap pihak yang teraniaya

Perwatakan:

i)  Dewa:  berterus terang, tabah, bersungguh-sungguh (cekal)

ii)  Naga:  baik hati, simpati, pemurah, ikhlas

Nilai: Kecekalan, ketabahan, kesungguhan, keikhlasan, kejujuran, kasih sayang

Persoalan:

1   Berterus terang kepada pihak yang sesuai / dipercayai

2   Ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup / penganiayaan

3   Kecekalan / kesungguhan dalam mencapai tujuan yang dihajati

4   Keikhlasan dalam menolong pihak yang teraniaya

5   Kejujuran dalam menghulurkan pertolongan

6   Kasih sayang antara sesama makhluk Tuhan

Pengajaran:

1   Kita hendaklah berterus terang kepada pihak yang sesuai / dipercayai

2   Kita hendaklah tabah dalam menghadapi cabaran hidup / penganiayaan

3   Kita hendaklah cekal / bersungguh-sungguh dalam sesuatu kerja

4   Kita hendaklah ikhlas / jujur dalam menghulurkan pertolongan

5   Kita hendaklah menyayangi sesama manusia

Perbincangan kbkk:

1    Cara mengenal pasti orang yang boleh dipercayai: menerusi komunikasi bukan lisan / bahasa badan

2    Cara menolong orang yang teraniaya:  berdasarkan keupayaan diri / dapatkan bantuan pihak lain

3    Mengapakah kesungguhan menjadi penentu kejayaan?:  kesungguhan ialah penggerak sesuatu usaha

4   Mengapakah perlu ikhlas / jujur dalam menghulurkan pertolongan?:  supaya diberkati / orang yang ditolong berasa selesa

5   Wajarkah menolong orang yang belum dikenali?:  Wajar setelah membuat pertimbangan yang teliti /
     Tidak wajar jika wujud unsur mencurigakan.

BAHAS ALA PARLIMEN: TEKS PENGACARA PERTANDINGAN AKHIR (MC FOR PARLIAMENTARY DEBATE)


Dari Dewan SMK St. Michael, Ipoh dengan bangganya kami bawakan pertandingan akhir bahas ala parlimen Zon 2 Kinta Utara. Majlis mengalu-alukan kehadiran pasukan yang bertanding, para penyokong, tuan puan, saudara saudari hadirin yang dimuliakan.  Sebelum majlis diserahkan kepada Tuan Yang Dipertua Dewan Parlimen, terlebih dahulu marilah sama-sama kita mengikuti ucapan perasmian pembukaan pertandingan bahas ala parlimen Zon 2 Kinta Utara.

Dengan segala hormatnya, Encik Phoon Chong Chee, Pengetua SMK ST. Michael, Ipoh, merangkap pengerusi pertandingan bahas ala parlimen Zon 2 Kinta Utara menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan majlis.

(Cue:  pengetua akan menyampaikan ucapan ringkas yang lebih kurang bunyinya:

  Selamat sejahtera, selamat pagi
  Terima kasih pengacara majlis.

  Tuan Haji Mohd Sidik bin Zakaria, Guru Kanan Bahasa SMK St. Michael, Ipoh, dan pasukan beliau
  selaku urus setia pertandingan, guru-guru, peserta- peserta pertandingan yang memainkan peranan
  sebagai ahli-ahli Yang Berhormat, para penyokong, hadirin dan hadirat yang dimuliakan.

  Bagai pihak sekolah selaku tuan rumah, saya dengan sukacitanya mengalu-alukan tuan puan dan
  pelajar sekalian dalam majlis pertandingan pusingan akhir bahasa ala parlimen zon 2 Kinta Utara pada
  pagi ini. Pertandingan koakademik seperti ini dapat mencapai objektif supaya bakat para pelajar dapat
  diasah dan digilap sebagai sebahagian proses pengalaman pembelajaran yang ditawarkan dalam
  sistem pendidikan negara. Kebolehan menampilkan diri di hadapan khalayak bagi menyampaikan
  hujah-hujah bernas secara beradab dan tertib ialah suatu usaha memupuk daya kepimpinan generasi
  muda dalam kalangan pelajar sekolah. Fasa persiapan yang dilalui oleh pasukan sekolah yang
  mengambil bahagian merupakan prngalaman pembelajaran yang sangat berguna, serta tidak sama
  dengan proses-proses lain seperti membaca buku, atau sekadar mendengar pengalaman orang lain.

  Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih
  kepada semua pihak yang terlibat dalam pertandingan ini, sama ada secara langsung mahu pun tidak
  langsung. Kepada pasukan yang bertanding pada pusingan akhir pagi ini, saya mengucapkan selamat
  bertanding dengan penuh semangat kebahasaan.

  ”Bahasa jiwa bangsa, bahasa menunjukkan bangsa.

    Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang molek itu budi, yang indah itu bahasa.”

    Saya dengan sukacitanya merasmikan majlis. Terima kasih)
 

(Cue:  Tunggu sehingga pengetua mengambil semula tempat)

Terima kasih tuan pengetua. Bagi memulakan pertandingan, majlis diserahkan kepada Tuan Yang Dipertua persidangan bahas ala parlimen Zon 2 Kinta Utara, Saudara/i ...........................................................................


(Cue: Usai keputusan diumumkan oleh speaker, majlis diserahkan semula kepada pengacara)



Terima kasih Tuan Yang Dipertua Dewan Sidang Bahas Ala Parlimen Zon 2, Kinta Utara.
        
            Terukir indah lakaran meniti
            Pakaian bertatah bercekak mutiara
            Berakhir sudah debaran hati
            Penyampaian hadiah kemuncak acara

Sebelum itu, mari kita ikuti terlebih dahulu ulasan oleh ketua hakim.

Yang Arif Tuan / Puan ______________________________ dipersilakan.

(Cue: Usai ucapan dan ketua hakim kermbali ke tempat duduk)

Terima kasih tuan ketua hakim.

Kini, acara penyampaian cenderamata dan hadiah.

Majlis dengan sukacitanya mempersilakan Tuan Haji Mohd Sidik bin Zakaria mengiringi Encik Phoon Chong Chee ke atas pentas. Dipersilakan.

(Cue: setelah Haji Sidik dan Encik Phoon bersedia, mulakan pengumuman)

Sebagai menghargai jasa baik dan pertolongan yang dihulurkan oleh para hakim yang arif lagi bijaksana, majlis menyampaikan cenderamata kenang-kenangan. Diersilakan:

       Ketua Hakim, Tuan / Puan _____________________________________________

       Hakim, Tuan / Puan __________________________________________________

       Hakim, Tuan / Puan __________________________________________________

(Cue:  selesai penyampaian cenderamata hakim)

Pembahas terbaik pusingan akhir bahasa ala parlimen zon 2 Kinta Utara (cue: berhenti sejenak):

Saudara / saudari ___________________________________ dari SMK _________________________

Naib Johan pertandingan puisi pertandingan bahasa ala parlimen Zon 2 Kinta Utara jatuh kepada SMK

__________________________________________. Dipersilakan guru pengiring dan anggota pasukan menerima hadiah dan sijil penyertaan.

(Cue: usai naib johan mengambil hadiah)

Johan pertandingan bahas ala parlimen Zon 2, Kinta Utara:  SMK _____________________________________________

Dipersilakan Guru pengiring dan anggota pasukan.

(Cue:  Usai penyampaian hadiah)

Terima kasih Tuan Haji Sidik dan Encik Phoon. Tahniah kepada pasukan yang bertanding. Sebelum mengundur diri, saya bagi pihak majlis menyusun sepuluh jari memohon maaf atas segala salah dan silap sepanjang majlis ini berlangsung.

Sekian. (Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh). Terima kasih dan jumpa lagi...

Monday, March 28, 2011

MENJANA ISI KARANGAN MENERUSI KAEDAH PENYELURUHAN (GENERIC LEVEL OF DOMAIN AND PARADIGM)

Buntu ketika proses menulis ialah suatu pengalaman yang biasa. Penulis yang ternama juga kadangkala menghadapi keadaan yang sama, tetapi lebih cepat menemui jalan keluar kerana telah memiliki kerangka idea asas. Maka, murid dan dan pelajar disarankan untuk mempelajari beberapa "rahsia" asas yang mungkin dapat membantu mereka melepaskan diri daripada perangkap kebuntuan.

Perbincangan ini hanya memberi tumpuan kepada tujuan penulisan karangan peringkat sekolah dan peperiksaan, dan juga mungkin boleh digunakan untuk penulisan popular. Penulisan ilmiah dan penyelidikan tentulah sama sekali berbeza bagi memenuhi keperluan kaedah dan piawaian  pemerolehan data yang khusus. Sebaliknya, penulisan karangan biasa dan popular hanya bermodalkan input minda dan pen.

Antara golongan yang paling banyak menulis karangan ialah kaum wartawan. Mereka perlu bersaing untuk mendapat "scoop", atau pemberitaan yang boleh dijual kepada pembaca. Di samping itu, terdapat bahagian artikel pendek dan rencana yang ditempatkan di bahagian dalam sesebuah penerbitan akhbar atau majalah.

Kaedah asas menulis berita ialah 5W - 1H, iaitu 

          W  =   what,  apa
          W  =   who, siapa
          W  =   when, bila
          W  =   where, di mana
          W  =   why, mengapa

          H   =   how, bagaimana

Tidak semestinya semua 6 elemen itu mesti ada, atau mesti mengikut tertib susunan. Dalam konteks penulisan karangan biasa dan menulis konsep atau takrifan, kaedah 5W - 1H sangat sesuai. Misalannya, tugasan tentang cara-cara menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat:

          Apakah kehidupan sihat yang dikehendaki?
          Siapakah yang boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat?
          Bilakah waktu yang tepat bagi menyampaikan mesej kepada kelompok sasaran yang berlainan?
          Di manakah tempat yang tepat untuk menyampaikan mesej, atau menguatkuasakan peraturan?
          Mengapakah golongan tertentu menjadi keutamaan?

          Bagaimanakah bentuk penyampaian mesej gaya hidup sihat dapat disebarkan?

Soalan-soalan yang dibentuk dapat membantu penulis membina penyeluruhan (generalisasi) supaya karangan tidak hanya berkisar kepada satu idea tunggal. Kebolehan ini bukan sahaja penting dalam merangka karangan, bahkan dalam menulis isi tersirat rumusan, atau menjawab soalan aras kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (kbkk).

Selain itu, kaedah akronim, singkatan ejaan atau cerita kelakar juga boleh digunakan...

bersambung :)

PENDEKATAN AE-AS, J-W KESEIMBANGAN PENDAPATAN NEGARA (GEOMETRIC RELATIONSHIP IN MACROECONOMIC ANALYSIS)

Bab keseimbangan pendapatan negara ialah tajuk yang paling penting, paling panjang dan paling kerap diuji dalam peperiksaan. Bermula dengan model aliran pusingan pendapatan, perbincangan dilanjutkan kepada persamaan matematik dan analisis data hipotetikal. Setelah itu, kaedah grafikal menerusi pendekatan perbelanjaan agregat - penawaran agregat (AE - AS), dan pendekatan suntikan - bocoran (J-W) diperkenalkan.

Bahagian AE-AS menunjukkan hubungan antara AE dengan pendapatan negara (Y). Telah dibuktikan sebelumnya bahawa pendapatan negara = perbelanjaan negara = keluaran negara. Maka, paksi Y juga mewakili AS.

Garis 45° mewakili AE = AS. Lokus persilangan (titik potong) antara garis 45° dengan sebarang fungsi AE (sama ada fungsi C, fungsi CI, fungsi C + IG, fungsi C + I + Xn), akan disambung secara selari dengan paksi menegak AE hingga menyentuh paksi mendatar (Y). Di situlah keseimbangan negara tercapai.

Sebarang peralihan fungsi AE dipengaruhi oleh C,IG dan  X. Pada amnya, fungsi AE akan bergerak secara selari, sama ada ke atas atau ke bawah, melainkan apabila terdapat kesan cukai berkadar (proposional). Dalam kes pengecualian itu, AE bermula dari titik yang sama di paksi AE (ketika Y = 0), tetapi selepas itu beralih secara tidak selari (bentuk bercapah).

Bahagian J-W memerlukan keluk dibina dengan memisahkan nilai positif dan nilai negatif untuk paksi menegak. Paksi Y dan lokus keseimbangan Y masih sama, iaitu dengan menyambung hubungan geometrik daripada bahagian AE-AS. Bagi memudahkan analisis, fungsi suntikan J = I + G + X diandaikan sentiasa selari dengan paksi Y.

Tumpuan harus diberikan kepada hubungan geometrik fungsi AE dengan fungsi bocoran W = S + T + M. Titik mula fungsi AE mestilah sama jaraknya dengan campuran antara jarak antara fungsi suntikan dengan O. Maka, fungsi bocoran akan bermula seluruhnya pada lokus negatif.

Fungsi bocoran mestilah memotong fungsi suntikan pada setiap lokus keseimbangan Y. Maka, pelajar tidak perlu gusar jika fungsi bocoran tadi tidak memotong lokus keseimbangan Y pada paksi Y. Pelajar tidak perlu bersusah payah mensejajarkan fungsi bocoran sehingga dapat memotong kedua-dua lokus yang dimaksudkan.

Huraian teori dan penjelasan grafikal hendaklah menjurus terhadap hubungan geometrik yang berlaku antara dua pendekatan, jika tugasan menetapkan demikian. Sebaliknya, jika tugasan menetapkan analisis secara berasingan, tumpukan kepada pendekatan yang dikehendaki. Latihan melukis gambar rajah mungkin mengambil masa, tetapi dengan strategi menomborkan langkah, dan menggunakan warna pen yang berlainan, kecekapan pelajar akan meningkat berkali-kali ganda...

Sunday, March 27, 2011

TEKS PENGACARA BAHAS ALA PARLIMEN (THE SPEAKER'S NOTE)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Selamat sejahtera, selamat petang
Yang Arif Panel Hakim, peserta perbahasan, hadirin dan hadirat yang dimuliakan.

Sidang dewan akan dimulakan sebentar sahaja lagi.

Sebelum itu, sebagai speaker dewan izinkan saya memperkenalkan ahli-ahli dewan yang akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul, pegawai-pegawai dewan dan para hakim. Seterusnya, saya akan menggariskan beberapa peraturan asas perjalanan persidangan agar sesi perbahasan usul pada petang ini dapat dikendalikan sebaik mungkin.

Ahli-ahli Yang Berhormat, pegawai parlimen dan pemerhati sekalian

Persidangan ini dikenali sebagai Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Zon 2 Kinta Utara. Mohon kerjasama ahli-ahli Yang Berhormat dan pemerhati sidang mematuhi segala peraturan persidangan. Selaku speaker dewan, saya mempunyai kuasa untuk memberi sebarangan arahan yang dikira perlu bagi memastikan kelancaran persidangan.

Hanya tiga orang ahli Yang Berhormat kerajaan dan Yang Berhormat pembangkang akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri terlebih dahulu akan mengemukakan usul dan satu hujah. Yang Berhormat Ketua Pembangkang akan membahaskan usul berkenaan juga dengan satu hujah sahaja. Pembahas kedua kerajaan dan pembangkang akan mengutarakan dua hujah, manakala pembahas ketiga hanya perlu membidas hujah pasukan lawan.

Pembahas simpanan dibenarkan berada di sebelah belakang pembahas yang mengambil bahagian untuk mencatat nota dan memberikan bantuan hujah yang diperlukan, tetapi hendaklah dilakukan secara senyap.

Masa untuk berhujah bagi setiap pembahas ialah 8 minit sahaja. Apabila pembahas telah bersedia untuk memulakan hujah, loceng akan dibunyikan sebanyak sekali (Q: penjaga masa menekan loceng sekali). Setelah seminit, loceng akan dibunyikan sekali lagi (Q: penjaga masa menekan loceng sekali) menandakan bahawa izin laluan dibenarkan hinggalah ke minit yang ke-7 apabila tempoh izin laluan tamat. Loceng dibunyikan sekali (Q: penjaga masa menekan loceng sekali) menandakan pembahas mempunyai baki masa seminit untuk menamatkan hujahan. Apabila loceng dibunyikan sebanyak dua kali (Q: penjaga masa menekan loceng 2 kali) segala perbahasan Yang Berhormat selepas waktu berkenaan tidak akan diambil kira untuk penghakiman.

Usai ketiga-tiga Yang Berhormat kerajaan dan pembangkang berhujah, ucapan penggulungan akan dilakukan oleh kedua-dua belah pihak. Bagi meneliti dan menyediakan hujah, dewan membenarkan perbincangan sesama anggota pasukan dilakukan di tempat masing-masing sebelum wakil pasukan dijemput membuat penggulungan. Hanya empat minit sahaja diperuntukkan bagi setiap pembahas penggulungan. Loceng dibunyikan pada minit ketiga sebagai peringatan, manakala loceng dibunyikan dua kali pada minit keempat menandakan masa penggulungan telah tamat.

Sebelum memulakan sesi persidangan, dewan ingin mengingatkan bahawa sebarang isu sensitif yang menyentuh agama, kaum dan peribadi adalah dilarang. Penggunaan ayat al-Quran dan hadis untuk mengukuhkan hujah juga adalah dilarang sama sekali. Peraturan-peraturan lain seperti yang telah dimaklumkan lebih awal, termasuk kaedah izin laluan, adalah berkuat kuasa.

Sekarang, tibalah masanya saya memperkenalkan ahli-ahli Yang Berhormat kepada sidang dewan.

Pasukan kerajaan dari SMK ______( nama sekolah) ________ diwakili oleh:

1 Yang Amat Berhormat _____________(nama peserta)________ selaku Perdana Menteri

2 Yang Berhormat __________________(nama peserta)_____________ Menteri Kedua

3 Yang Berhormat __________________(nama peserta)_____________ Menteri Ketiga

4 Yang Berhormat ___________________( nama peserta )________ Menteri Keempat

5 Yang Berhormat Kelima _____________( nama peserta )_________ Menteri kelima

Pasukan pembangkang dari SMK _____________( nama sekolah)_______ dibarisi oleh:

1 Yang Berhormat __________________( nama peserta )________ selaku Ketua Pembangkang

2 Yang Berhormat __________________( nama peserta )__________ Pembangkang Kedua

3 Yang Berhormat ___________________( nama peserta )_________ Pembangkang Ketiga

4 Yang Berhormat ___________________( nama peserta )_________ Pembangkang Keempat

5 Yang Berhormat __________________( nama peserta )_______ Pembangkang Kelima

Panel hakim yang akan mengadili sesi perbahasan ialah:

1 Yang Arif, Tuan / Puan ________________________________ selaku Ketua Hakim

2 Yang Arif, Tuan / Puan ________________________________, dan

3 Yang Arif, Tuan / Puan ________________________________.

Dengan kuasa yang diberikan kepada saya, maka saya mengisytiharkan sidang dewan bermula.

(Q: pastikan keadaan tenteram untuk memulakan perbahasan)

Pihak dewan dengan sukacitanya mempersilah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bagi menegemukakan usul dan hujah beliau. Dipersilakan.

******************************************************************************************

(Q: usai hujahan pembahas pertama kerajaan)

Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Seterusnya dewan menjemput Yang Berhormat Ketua Pembangkang untuk membahaskan usul berkenaan. Dipersilakan.

****************(Q: loceng terakhir ditekan oleh penjaga masa)***************************
(Qsetelah pembahas pertama pembangkang duduk semula)

Terima kasih Yang Berhormat. Demikian tadi hujah ketua pembangkang bagi menolak usul kerajaan. Dewan mengucapkan terima kasih.

Persidangan diteruskan dengan hujah kerajaan. Yang Berhormat Menteri Kedua dipersilakan.

****************(Q: loceng terakhir ditekan oleh penjaga masa)***************************

(Q: setelah pembahas kedua kerajaan duduk semula)

Terima kasih atas hujahan Yang Berhormat Menteri Kedua. Terima kasih juga kepada semua ahli dewan dan pemerhati. Kini, dewan menjemput pula Yang Berhormat Pembangkang Kedua untuk menyanggah usul kerajaan. Dipersilakan.

****************(Q: loceng terakhir ditekan oleh penjaga masa)***************************
(Q: setelah pembahas kedua pembangkang duduk semula)

Demikian hujah bernas Yang Berhormat Pembangkang Kedua. Sidang dewan dihangatkan lagi dengan menjemput Yang Berhormat Menteri Ketiga. Silakan Yang Berhormat.

****************(Q: loceng terakhir ditekan oleh penjaga masa)***************************
(Q: setelah pembahas ketiga kerajaan duduk semula)

Terima kasih Yang Berhormat Menteri Ketiga. Bahagian pertama sesi perbahasan usul disudahi dengan hujah Yang Berhormat Pembangkang Ketiga. Dipersilakan.

****************(Q: loceng terakhir ditekan oleh penjaga masa)***************************
(Q: setelah pembahas pembangkang ketiga duduk semula)

Dengan berakhirnya hujah Yang Berhormat Pembangkang Ketiga, bahagian pertama perbahasan usul ditamatkan. Terima kasih Yang Berhormat Pembangkang Ketiga.

Sekarang, majlis berhenti rehat selama tiga minit bagi memberi peluang kepada kedua-dua pasukan kerajaan dan pembangkang bagi menyediakan hujah-hujah penggulungan. Masa tiga minit dikira bermula dari sekarang.

(Q: penjaga masa menekan loceng sekali)

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

(Q: Tempoh 3 minit berakhir. Penjaga masa menekan loceng 2 kali)

Terima kasih atas kesabaran sidang dewan. Dewan memohon perhatian sekalian ahli dewan dan pemerhati untuk kembali menumpukan perhatian kepada hujah-hujah penggulungan bagi kedua-dua pihak.

Jangka masa penggulungan ialah selama 4 minit sahaja. Pihak pembangkang akan berhujah terlebih dahulu sebelum pihak kerajaan.

Dewan dengan sukacitanya menjemput pihak pembangkang mengemukakan hujah-hujah penggulungan. Dipersilakan.

****************(Q: loceng terakhir ditekan oleh penjaga masa)***************************


(Q: setelah pembahas penggulungan pembangkang duduk semula)

Terima kasih Yang Berhormat (Ketua) / Pembangkang Kedua atas hujah penggulungan sebentar tadi.

Kini tibalah giliran pihak kerajaan menyampaikan hujah-hujah penggulung bagi mengukuhkan usul yang dibentangkan. Yang (Amat) Berhormat (Perdana) / Menteri (Kedua) dipersilakan.

****************(Q: loceng terakhir ditekan oleh penjaga masa)***************************
(Q: setelah pembahas penggulungan kerajaan duduk semula)
Terima kasih Yang Berhormat (Ketua)  / Pembangkang (Kedua).
 
Dengan itu berakhirlah kedua-dua bahagian perbahasan usul pada persidangan kali ini. Dewan sekali lagi berhenti rehat bagi memberi masa kepada Yang Arif Ketua Hakim bersama dua orang hakim yang lain memuktamadkan keputusan sama ada Dewan menerima atau menolak usul yang dikemukakan.
 
Hadirin dipohon tidak berganjak ke mana-mana. Dewan berhenti rehat...
 
(Qsetelah ketua hakim menyerahkan keputusan muktamad)
 
Terima kasih Yang Arif Ketua Hakim. Terima kasih juga kepada hakim-hakim yang lain, pegawai dewan, ahli-ahli Yang Berhormat, dan seterusnya pemerhati persidangan.
 
Kini, keputusan sudah berada di tangan saya.
 
(Q: berhenti sejenak untuk mewujudkan suasana saspens)
 
Dengan kuasa yang diperuntukkan kepada saya sebagai speaker dewan, maka dengan ini diisytiharkan bahawa usul yang dibentangkan telah diterima / ditolak.
 
Tahniah kepada pasukan pembahas (kerajaan / pembangkang) dari SMK _______________________
 
Pembahas terbaik ialah Yang Berhormat kerajaan / pembangkang pertama / kedua / ketiga, Saudara / Saudari _______________________________ dari SMK _________________________________. 
 
Tahniah kepada pemenang. Pasukan lawan teruslah berusaha untuk pertandingan pada tahun hadapan.
 
Saya akhiri majlis dengan lafaz (Assalamu alaikum Warahmatullahi wabarakatuh / Selamat petang)

KEMBARA AMIRA BAB 11 (THE UNPLEASANT IMPRESSION)

Pengenalan

Bab ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, kisah berkisar tentang imbas kembali Tau terhadap detik bahagia kehidupan lampaunya ketika masih bersama Ipah, isterinya. Kedua, kisah tentang perbualan antara Malque dengan Roslan yang risau dengan peristiwa Ah Chin dimarahi O'Hara, selain kemalangan yang berlaku terhadap penghuni Desa Karpus.

Peristiwa Imbas Kembali Tau

1   Tau mengahwini Ipah sebagai galang ganti kepada abangnya Ludin yang mahu dilantik sebagai ketua kampung. Perkahwinan dengan gadis asing tidak dapat diterima.

           Watak:  Tau
           Perwatakan:  Sanggup berkorban
        Latar masyarakat:  Masyarakat yang sanggup berkorban / masyarakat orang Asli / masyarakat yang bersikap tertutup
           Nilai:  Pengorbanan
           Persoalan:  Pengorbanan dalam menjaga maruah keluarga
           Pengajaran:  Kita hendaklah sanggup berkorban demi maruah keluarga

2   Tau melarang Ipah bekerja lagi di kem orang putih walaupun pada mulanya dia yang memberi izin. Apabila Ipah cuba membantah, Tau menggertak untuk membunuh Ipah Johnny yang dicemburuinya.

            Watak:  Tau
            Perwatakan:  Cemburu / melulu / garang / tegas
            Latar masyarakat:  Masyarakat yang cemburu / (bertindak) melulu / garang / tegas
            Nilai:  Ketegasan
            Persoalan:  Perasaan cemburu dalam rumah tangga / Ketegasan suami terhadap tingkah laku isteri
            Pengajaran:  Perasaan cemburu dalam rumah tangga hendaklah berlandaskan kasih sayang

3   Tau gagal menghidu musnihat (niat sebenar) Johnny ketika menghulurkan bantuan, termasuk menemukan kubur Ridley dan Brenda. Malah, Johnny ingin mengebumikan semula tulang-temulang itu di Australia tanpa menghiraukan bantahan Tau.

          Watak:  Johnny
          Perwatakan:  Licik / oportunis
          Latar masyarakat:  Masyarakat yang licik / oportunis
          Nilai:  -
          Persoalan:  Pertolongan yang dibalas dengan keburukan
          Pengajaran:  Kita hendaklah berhati-hati dalam menolong orang yang baharu dikenali

4   Tau mula menyendiri sejak Ipah lari bersama Johnny dengan membawa Sabi (Malique) sekali. Namun, dia masih menjenguk anak keduanya (Itai) yang dijaga oleh Ludian, abangnya.

           Watak:  Tau
           Perwatakan:  Penyayang
           Latar masyarakat:  Masyarakat yang penyayang
           Nilai:   Kasih sayang
           Persoalan:  Kasih sayang dalam keluarga
           Pengajaran:  Kita hendaklah menyayangi anggota keluarga kita sendiri

Peristiwa Perbualan Malique dengan Roslan


5   Malique menenangkan Roslan yang khuatir akan keselamatan dirinya kerana memberitahu O'Hara tentang pergaduhan pekerja semasa ketiadaan Ah Chin yang keluar berburu. Malique cuba mengalih perhatian Roslan dengan mengajaknya membantu kerja memasukkan data ke dalam komputer.

          Watak:  Malique
          Perwatakan:  Bijak / prihatin
          Latar masyarakat:  Masyarakat yang bijak / prihatin
          Nilai:   Kebijaksanaan / Keyakinan diri
          Persoalan:  Kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah / Keyakinan diri dalam menilai keadaan
          Pengajaran:  Kita hendaklah bijak / yakin dalam menghadapi situasai yang tidak menentu / konflik

6   Roslan menolak pelawaan Malique untuk mencari kerja di Melaka. Roslan tidak sanggup berpisah ddengan ibunya.

          Watak:  Roslan
          Perwatakan:  Penyayang
          Latar masyarakat:  Masyarakat yang penyayang
          Nilai:  Kasih sayang
          Persoalan:  Kasih anak terhadap ibunya
          Pengajaran;  Kita hendaklah menyayangi ibu bapa

7   Misteri tentang kegagalan fungsi brek kenderaan yang dipandu Pak Lias menyebabkan Malique dan Roslan membuat andaian sendiri. Akhirnya, mereka bersetuju menanyakan hal itu terus di Desa Karpus.

          Watak:  Malique / Roslan
          Perwatakan:  Ingin tahu
          Latar masyarakat:  Masyarakat yang memiliki rasa ingin tahu yang tinggi
          Nilai:  Ketelitian
          Persoalan:  Ketelitian dalam mengesahkan andaian / spekulasi
          Pengajaran:  Kita mestilah mendapatkan maklumat lengkap sebelum membuat kesimpulan.

Saturday, March 26, 2011

JATI DIRI MENERUSI BAHASA KEBANGSAAN (DE JURE IDENTITY OF THE NATION)

Amerika Syarikat tidak pernah mewartakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi mereka. Sebaliknya, Amerika Syarikat yang mengamalkan doktrin disentralisasi dalam kalangan 50 buah negerinya menyerahkan perkara berkenaan kepada setiap negeri. Terdapat sebilangan perbezaan ejaan dan sebutan dengan bahasa Inggeris baku, iaitu Queen's English, misalnya sebutan "zi" untuk huruf z (zet di United Kingdom), ejaan behaviorcolor (behaviourcolour), serta sebutan perkataan yang berakhir dengan -et (basket, market, pocket).

Bahasa Melayu pula termaktub sebagai bahasa kebangsaan utama di Singapura bagi menghormati masyarakat Melayu yang merupakan penduduk asal sebelum kaum imigran membentuk majoriti penduduk negara pulau bandar raya itu. Namun, dalam hampir semua urusan rasmi, bahasa Inggeris diberikan keutamaan. Pengalaman penulis blog (PB) ketika mengunjungi Singapura pada awal 1990-an sangat melucukan kerana jurupandu rombongan yang mengaku sebagai guru bahasa Melayu memohon izin bertutur dalam bahasa Inggeris, kononnya berasa lebih selesa!

Negara-negara bekas jajahan seperti Filipina, India, Namibia dan Nigeria pula menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di samping bahasa utama negara masing-masing kerana terlalu banyak dialek dan loghat yang dituturkan. Negara matahari terbit Jepun yang masih trauma dengan bencana gempa dan tsunami baru-baru ini lebih tegas dalam menjulang martabat bahasa kebangsaan masing-masing hingga pihak yang hendak berurusan dengan mereka mesti mempelajari bahasa Jepun. PB pernah cuba bersembang dengan pelancong Jepun dekat A Farmosa di Melaka suatu ketika dahulu, tetapi mereka lebih faham bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris!

Jumlah penutur terbesar bahasa Melayu ialah di Indonesia, walaupun negara 17,000 buah pulau itu memiliki tidak kurang daripada 300 bahasa berdasarkan wilayah seperti Melayu Riau, Batak, Minangkabau, Banjar (Kalimantan), Ambon, Menado (Sulawesi), Papua (Irian), Sunda (Jawa), Madura dan Bali. Pemerintah Indonesia begitu tegas dalam proses penyatuan (asimilasi) rakyat dengan memaktubkan bahasa Melayu (Indonesia) sebagai bahasa rasmi yang dituturkan dan medium tunggal pendidikan di sekolah. Mereka sanggup mengorbankan sistem ejaan bahasa Jawa klasik yang kini hanya dipelajari di universiti.

PB menyaksikan sendiri seorang kanak-kanak Cina berusia 5 atau 6 tahun berkomunikasi dengan ayahnya, seorang peniaga fabrik di Pasar Baru Bandung dalam bahasa Melayu Indonesia secara total. Tidak sepatah pun perkataan bahasa Cina dituturkan. Menurut pemandu pelancong, hanya baru-baru ini pemerintah Indonesia memberi kelonggaran kepada kaum Cina Indonesia untuk menonjolkan identiti kecinaan masing-masing, tetapi masyarakat Cina Indonesia yang sudah serasi dengan identiti tempatan berasa canggung dan kekok bagi melakukannya. 

Selain itu, tiada paparan tulisan Cina menghiasi gedung-gedung perniagaan di kota Jakarta dan Bandung. Hanya terdapat papan tanda bertulisan rumi dalam bahasa Melayu Indonesia, dan beberapa tulisan berbahasa Inggeris untuk maksud pelancongan. Kemungkinan masyarakat Cina Indonesia masih dibayangi peristiwa pembantaian pada tahun 1748 di tengah-tengah kota Jakarta, walaupun jumlah 3% daripada jumlah penduduk Indonesia itu kembali menguasai kegiatan ekonomi utama seperti konglomerat keluli Gunawan.

Jurujual keturunan Sunda yang cuba berbahasa ibunda mereka cepat-cepat menukar pertuturan mereka ke bahasa Melayu Indonesia apabila diminta berbuat demikian. Dari segi sejarah juga, orang-orang asing yang hendak berurusan di Indonesia perlu mempelajari bahasa Melayu Indonesia. Buktinya, Barrack Hussien Obama, presiden Amerika Syarikat masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu Indonesia dengan fasihnya...

MENGENALI KEPERIBADIAN DIRI (DEALING WITH SANGUINE PERSONALITY)

Belakangan ini, kajian keperibadian makin mendapat perhatian ibu bapa, guru dan majikan. Mereka berminat untuk mengenali tingkah laku anak, murid dan pekerja. Walaupun bijak pandai telah lama membuat klasifikasi keperibadian manusia, namun idea tentangnya masih dikembangkan, diulang-ulang, bahkan dikitar semula.

Cikgu-cikgu terlatih pasti arif akan aplikasi kecerdasan pelbagai yang dirumuskan oleh Howard Gardener. Sarjana psikologi dan pengurusan pula telah lama membahaskan penyesuaian tingkah laku (behaviour modification) dalam organisasi yang menampung kepelbagaian latar belakang. Kepentingan mengenali keperibadian sudah dianggap sebagai asas kelangsungan sesebuah organisasi.

Antara klasifikasi yang cuba dipopularkan semula ialah empat jenis keperibadian yang disebut sebagai sanguin (sanguine), kolerik (choleric), melankolik (melancholic) dan felgmatik (phelgmatic). Seseorang itu mungkin memiliki keperibadian tunggal, atau gabungan dua hingga tiga jenis keperibadian yang dominan dalam diri mereka. Ibu bapa, guru dan majikan disarankan supaya peka terhadap keperibadian dominan setiap subordinat masing-masing supaya kesampaian komunikasi berlaku secara berkesan.

Keperibadian kolerik lebih menjurus kepada kepimpinan, iaitu kebolehan mempengaruhi orang lain bagi mencapai matlamat organisasi. Keperibadian melankolik pula lebih mengutamakan kesempurnaan, kreativiti dan sikap berdikari. Seterusnya, keperibadian felgmatik berasa selamat dengan keadaan stabil, konsistensi, rasionaliti dan ketenangan.

Dalam sebuah masyarakat dan organisasi yang normal, kebiasaannya keperibadian sanguin lebih ketara. Secara amnya, sanguin paling mudah dikendalikan. Mereka menampilkan tingkah laku yang berani, berterus terang, ceria, yakin diri, mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu dan sukakan perincian. Sanguin bersifat ekstrovert (banyak bercakap), memerhati dan mendengar kerana naluri ingin tahu yang tinggi.

Keperibadian sanguin juga dapat dikenal pasti menerusi tingkah laku mereka yang suka memuji, sentiasa cuba mengambil hati dan tidak terlalu berkira dalam pergaulan. Sanguin sangat mengalu-alukan perubahan, serta mudah beralih angin. Walaupun kadangkala sanguin melayan emosi, tetapi secepat mana emosi mereka datang, secepat itu pula emosi pergi.

Sisi lemah sanguin ialah mereka mudah memberi jaminan lisan, tetapi lambat untuk melaksanakannya. Sanguin juga cepat makan puji (diperdaya), kurang setia (mudah melupakan sesuatu), membuat keputusan mengikut perasaan dan tidak peka terhadap halangan. Sanguin juga cepat bosan dengan sesuatu keadaan dalam masa yang singkat, serta tidak betah duduk diam dalam tempoh yang lama.

Dalam konteks bilik darjah, murid sanguin paling mudah dikendalikan kerana mereka sentiasa memberi perhatian terhadap aktiviti dan komunikasi yang berlaku sepanjang sesi pembelajaran. Mereka tidak menolak tugas, tetapi harus sentiasa diawasi dan diingatkan kerana komitmen mereka sukar untuk diambil serius. Guru sebenarnya bertuah dikelilingi murid sanguin, tetapi harus bersabar dalam proses memberi bimbingan supaya hanya pengaruh yang baik-baik sahaja menghiasi tingkah laku mereka, selain tidak menjejaskan kelompok tingkah laku dan keperibadian rakan mereka yang lain...

SAJAK "BANGKITLAH" KOMSAS TINGKATAN 5 (A CRUCIAL WAKE UP CALL)

Pengenalan


Sajak ketiga dalam antologi Dirgahayu Bahasaku ini ialah nukilan pemuisi tersohor, Rejab F.I. Dengan latar masa penulisannya pada tahun 1969, sajak "Bangkitlah" ditujukan kepada anak-anak muda supaya berusaha bersungguh-sungguh di bumi yang kaya dan subur ini bagi mendapatkan jaminan kehidupan yang lebih baik generasi demi generasi. Pada amnya, sajak "Bangkitlah" bertemakan patriotisme yang mengajak anak bangsa supaya tidak mensesiakan peluang memajukan diri dan masyarakat.

Perbincangan Rangkap Demi Rangkap

          Anak-anak yang sedang lena
          bangkitlah
          matahari sudah tinggi
          di puncak gunung.

Generasi muda yang masih dibuai mimpi digesa cepat-cepat bangun dan sedar bahawa hari sudah siang. Maksudnya, hadapilah kenyataan dengan bingkas bergerak, bukan bermalas-malas lagi. Perlambangan matahari sudah tinggi di puncak gunung menggambarkan betapa masa telah dibiarkan berlalu begitu sahaja.

          Lihat jernihnya pagi ini
          burung-burung berterbangan di udara
          dan pepohon hijau merendang daunnya
          apa kau masih belum bangkit?

Penyajak mengajak supaya anak muda merenung betapa bening dan indahnya suana pagi dengan burung-burung yang berterbangan, sambil pokok-pokok mengeluarkan daun hijau dengan rendang. Penyajak seolah-olah berasa tidak senang justeru anak muda masih belum bangkit menyahut cabaran kehidupan. Mereka begitu lambat untuk bertindak.

          Bangkitlah
          jangan sesal nanti
          madu bumi yang kekeringan
          isi laut kekosongan
          dan perut belantara menjadi ladang.

Penyajak menggesa anak muda supaya cepat bangun supaya tidak sesal pada kemudian hari. Kelak orang lain yang akan berjaya mengaut hasil mahsul bumi tinggalan nenek moyang mereka. Mereka tidak seyogia menunggu hingga segala hasil laut habis diambil, dan segala kawasn hutan diterokai orang menjadi ladang.

          Anak-anak
          esok apa yang akan kaumakan?
          tanah atau batu atau debu?
          tanpa air mata?

Penyajak melontarkan retorik (soalan untuk difikirkan) tentang nasib anak muda pada masa akan datang jika masih tidak bangkit berusaha. Perlambangan makan tanah atau batu atau debu ialah amaran serta ingatan supaya generasi muda tidak sampai menjadi begitu miskin hingga kelaparan. Pada ketika itu, kering air mata akibat tangitan sudah tidak berguna.

          Kalau tidak
          bangkitlah
          matahari belum lagi rembang
          dan burung-burung belum lagi menjamah awan!

Jika anak-anak muda tidak rela menempuh nasib yang dibayangkan, mereka mesti segera bangkit. Walaupun matahari telah tinggi (hari siang), anak-anak muda masih belum terlalu lewat sepenuhnya (belum rembang). Persaingan merebut rezeki masih terbuka (burung belum menjamah awan).

Persoalan

1   Kepekaan terhadap sikap anak muda bangsa

2   Tanggungjawab menyedarkan generasi muda yang masih leka

3   Harapan yang disandarkan kepada generasi muda

4   Keperluan membangkitkan kesedaran daya saing anak muda

5   Tindakan segera semasa kesempatan masih terbuka

Pengajaran

1   Kita hendaklah peka terhadap sikap anak muda bangsa yang merugikan

2   Kita hendaklah sentiasa berusaha membangkitkan kesedaran generasi muda

3   Kita hendaklah menyalakan harapan terhadap generasi muda

4   Kita hendaklah menyedarkan generasi muda supaya memantapkan daya saing

5   Kita hendaklah bertindak dengan segera sementara peluang masih ada

Nilai

1   Kepekaan / keprihatinan

2   Yakin diri / keyakinan

3   Kewaspadaan / beringat-ingat

4   Kerajinan / ketekunan

5   Ketangkasan

Contoh tugasan

Aras petikan:   Nyatakan tiga bentuk sesalan anak muda jika masih belum bangkit.

Cadangan jawapan:   Tiga bentuk sesalan itu ialah madu bumi yang kekeringan, isi laut kekosongan dan perut belantara menjadi ladang.

Aras kbkk:   Jelaskan dua cara yang berkesan bagi membangkitkan kesedaran generasi muda mengikut pendapat anda.

Cadangan jawapan:   Pada pendapat saya, cara yang berkesan ialah dengan menganjurkan kempen kesedaran daya saing generasi muda menerusi media cetak dan media elektronik. Selain itu, kesedaran generasi muda boleh dipupuk di sekolah-sekolah menerusi mata pelajaran bahasa, atau aktiviti kolurikulum.

Friday, March 25, 2011

PENDIDIKAN DI PERAK SUDAH ADA LAJAK (EDUCATIONAL STEP UP IN PERAK UNDER NEW DIRECTOR)

Cogan kata "Perak Sentiasa Di Puncak Kecemerlangan" segera membutirkan natijah yang diharapkan. Terkini, Perak berjaya melonjak sebanyak dua anak tangga (ke-14) dalam carta pencapaian kelulusan SPM kebangsaan. Sebelumnya, Perak turut menghuni puncak pencapaian STPM kebangsaan, iaitu kedudukan teratas (% lulus penuh), walaupun di tempat ke-4 dari segi gred purata sekolah (GPS).

Peningkatan lebih daripada satu peratus dalam pencapaian SPM membolehkan Perak menghampiri angka 90%. Dengan mengambil kira calon penutur jati Bahasa Melayu yang tidak sampai 50%, kejayaan mencatat kelulusan berkenaan merupakan satu kemajuan yang sangat memberangsangkan. Tahniah kepada pihak Jabatan Pelajaran Perak, khususnya Tuan Rauhi yang telah mengaktifkan intervensi "darurat" beliau sebaik sahaja mengambil alih kepimpinan JPN Perak pertengahan Ogos 2010.

Bilangan calon SPM 2010 yang meraih semua A+ juga telah meningkat kepada 32 orang, berbanding dengan hanya 15 orang pada tahun sebelumnya. Antara sekolah harian yang mempunyai calon semua A+ ialah Ave Maria (5), ACS (5), MGS (3), SMK St Michael, Ipoh (1) dan SMK Raja Perempuan, Ipoh (1). Nampaknya, sekolah-sekolah dalam seliaan PPD Kinta Utara masih ke hadapan dalam menghadiahkan calon cemerlang.

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) berjaya mengungguli carta sekolah terbaik peringkat negeri, sambil diekori rapat oleh Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng. Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star) yang baharu sahaja disenaraikan sebagai sekolah berprestasi tinggi hanya berpuas hati dengan kedudukan ketiga. Amalan pembaharuan memungkinkan sekolah yang belum panjang sejarahnya mengatasi sekolah-sekolah premier.

Ketika diwawancara menerusi siaran Perak.fm, Tuan Rauhi nyata berasa lega justeru Perak sudah berjaya diletakkan pada landasan yang tepat untuk memastikan cogan kata jabatan bukanlah kata-kata muluk semata-mata. Dengan peningkatan yang dicatatkan dalam semua peperiksaan awam (UPSR, PMR, STPM), Perak sudah mempunyai lajak untuk momentum pencapaian yang lebih tinggi. Keyakinan yang dirasai hendaklah dipindahkan dalam bentuk program intervensi yang lebih fokus dan terarah.

Bilangan pelajar berpencapaian tinggi mesti ditingkatkan lagi, manakala kumpulan pelajar berpencapaian sederhana dibantu dengan lebih berkesan supaya dapat memasuki kumpulan berpencapaian tinggi. Sementara itu, kumpulan berpencapaian rendah yang dikategorikan sebagai harapan lulus (halus) diikhtiarkan supaya paling tidak menguasai sukatan pelajaran minimum. Warga pendidik, ibu bapa dan masyarakat hendaklah berganding bahu, serta sanggup melakukan perubahan, justeru ikhtiar yang biasa-biasa akhirnya hanya mendatangkan pencapaian yang biasa-biasa juga...

Thursday, March 24, 2011

"SYAIR PERANG SAUDARA DI PAHANG" KOMSAS TINGKATAN 2 (THE CONFLICT FROM WITHIN)

Pengenalan


Putera Sulung, Bendahara Tun Tahir ditabalkan sebagai pemangku raja Pahang setelah paduka ayahanda mangkat. Adinda baginda, Encik Engku Ahmad mengembara ke Singapura, lalu tinggal dengan Tengku Jaafar, putera Sultan Singapura. Kemudian, Engku mendapat bantuan penduduk Singapura untuk menyerang kerajaan kekandanya (Putera Sulung) di Pahang.

Perbincangan

          Kisah nan tidak hamba panjangkan,
          Ceritanya banyak lagi disebutkan,
          Ini sekadar sahaya ringkaskan,
          Kisah berperang pula diceterakan.

Penyair sekadar mempersembahkan ringkasan cerita perang yang berlaku.

          Putera laki-laki yang tuanya,
          Ialah memangku paduka ayahandanya,
          Perintah negeri terserah kepadanya,
          Bendahara Tun Tahir konon namanya.

Bendahara Tun Tahir, putera sulung memangku pemerintahan negeri.

          Encik Engku Ahmad seorang anakanda,
          Putera yang tengah raja berida,
          Lima orang laki-laki paduka anakanda,
          Sikapnya elok lakunya syahda.

Putera tengah daripada 5 orang anakanda raja tua (berida = tua), Encik Engku Ahmad elok sikapnya dan mulia kelakuannya.

          Selang tiada berapa lama,
          Encik Engku Ahmad keluar mengembara,
          Pergi belayar ke Singapura,
          Sambil menghibur hati yang lara.

Tidak berapa lama kemudian, Encik Engku Ahmad membawa diri ke Singapura bagi menghibur kesedihan di hati (mungkin mengidamkan takhta)

          Pelayaran tiada berapa lamanya,
          Sampailah sudah konon dianya,
          Di Kampung Gelam tempat berhentinya,
          Di dalam kota tempat diamnya.

Di Singapura, Encik Engku Ahmad singgah dan tinggal di Kampung Gelam.

          Duduk bersama putera Sultan,
          Tengku Jaafar namanya tuan,
          Itulah kononnya menjadi taulan,
          Duduk di sana terlalu hairan.

Baginda tinggal berdsama Tengku Jaafar yang dijadikan sahabat karib dan kagum akan Singapura

          Serta beriringan teman dan kawan,
          Ramai menghantar handai dan taulan,
          Seketika sampai di dalam kenaikan,
          Lalu kembali mereka sekalian.

Encik Engku Ahmad kemudian dihantar dan diiringi ramai penduduk Singapura menuju pelabuhan.

          Sauh pun dibongkar dengan segera,
          Belayarlah sudah muda perwira,
          Ke sebelah barat mencari kira,
          Pergi Kemaman kononnya cetera.

Kapal belayar menuju barat ke arah Kemaman, Terengganu.

          Kata orang empunya madah,
          Ke dalam Kemaman sampailah sudah,
          Di situlah berhenti muda yang indah,
          Sultan Terengganu punya perintah.

Setiba di Kemaman, Encik Engku Ahmad singgah di sana atas titah Sultan Terengganu.

          Tiada berapa lama antara,
          Sampai di Kemaman lalu terkira,
          Dapatlah pakatan dengan segera,
          Hendak melanggar Pahang negara.  

Setelah memuktamadkan pakatan, hasrat untuk menyerang Pahang diteruskan.  

Tema:  Perang saudara untuk merebut takhta pemerintahan negeri.

Persoalan:

1   Peralihan kuasa pemerintahan beraja

2   Perasaan kecewa kerana tidak dipilih sebagai pemimpin

3   Kepentingan memilih sahabat yang dipercayai

4   Kepentingan nasihat yang baik / nasihat yang buruk mencetus sengketa

5   Proses membuat keputusan secara sepakat.

MENGHARGAI KARYA SENI (SCENIC VIEW IMAGINATION)


Lukisan minyak tertera dibeli di Cidabuyut, atau lebih dikenali sebagai Leather Street dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke kota Bandung, Indonesia. Harga permulaan yang diletakkan oleh pak cik penjual jalanan ialah 100,000 rupiah, bersamaan lebih kurang RM36. Setelah tawar-menawar, pak cik berkenaan meminta lebih sedikit daripada R50,000. Akhirnya, penulis blog (PB) tertewas dan membayar R60,000, atau lebih kurang RM22.

Setelah balik ke Ipoh, lukisan itu dibingkaikan dengan kos RM50. Nampak gaya mahal bingkai daripada lukisan. Sebenarnya, karya lukisan seperti di atas dihasilkan oleh pelukis jalanan yang dikelompokkan berhampiran Mangga 2, di tengah-tengah kesesakan bandaraya Jakarta yang mempunyai jumlah penduduk yang sama banyak dengan Tokyo, iaitu 13 juta jiwa. Di Malaysia, kita boleh mendapatkan karya seni yang serupa di Pasar Seni, Kuala Lumpur dan di pasar-pasar tani.

Apabila ditanya berapakah kos alat dan bahan bagi menghasilkan lukisan, orang Jakarta hanya mengatakan "otak". Kalau ditanya adakah artis jalanan bisa menjadi kaya, mereka menjawab bahawa masih ada tangan dan kaki sudah dikira kaya! Tubuh mereka yang kurus juga dikaitkan dengan kekurangan makan, bukan seperti perasuah atau penyamun harta rakyat jelata dengan bacaan indeks berat tubuh (BMI) melebihi 30 mata.

Pelukis jalanan boleh juga dianggap sebagai pelukis bebas (indies). Manalah tahu bahawa suatu hari nanti mereka mampu mengangkat martabat karya-karya jalanan ke ruang pameran eksklusif, lalu dibida oleh penggemar seni bercita rasa tinggi dengan kuasa beli yang juga tinggi. Kalau beberapa orang penyanyi mula dikenali menerusi you tube, pelukis jalanan juga mesti memiliki kepimpinan yang hebat supaya karya seni mendapat perhatian masyarakat awam...

Monday, March 21, 2011

PENGGANDA CUKAI (TAX MULTIPLIER)

Pengganda Cukai ialah pekali (koefisien) yang menunjukkan penurunan pendapatan negara sebagai akibat peningkatan cukai. Sebarang perubahan jumlah atau kadar cukai akan mempengaruhi pendapatan boleh guna (Yd), dan seterusnya penggunaan (C). Maka, pengganda cukai boleh dihitung menerusi dua pilihan rumus, iaitu:

          M  =  Y/C   ...........   (1)  

          atau  M  =   1  / (1-MPC) (1 - t)    =      1  ̘/ (1-b)(1-t);        b = MPC,  t = kadar cukai

Bukti:

Dengan adanya cukai, Yd akan turun, iaitu: Yd = Y - T

Yd  =   ∆(Y-T)   =  ∆(Y-tY)   =    Y(1 - t)   ............  (2)

Masukkan (2) dalam persamaan MPC =  C/Y   -->   C/Yd   =   Y(1 - t)

atau    b  =   Y(1-t)  ...........    (3)

bersambung...