SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, October 30, 2011

TEKS PENGACARA MAJLIS PENUTUP KEJOHANAN SUKAN (EMCEE FOR SPORT CLOSING CEREMONY)

SMK ST MICHAEL, IPOH
KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH PREMIER
TEKS PENGACARA MAJLIS PERASMIAN PENUTUP

Q: Apabila isyarat diterima Pengarah Pelajaran Perak tiba, bersedia dengan pengumuman.

A: Mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia, Dato’ Mohd Rauhi bin Mohd Isa, Pengarah Pelajaran Negeri Perak Darul Ridzuan.

Q: Pengarah akan menyaksikan perlawanan bola sepak akhir. Maklumkan kedudukan perlawanan yang sedang berlangsung.

A: Sebagai makluman Dato’, perlawanan yang sedang berlangsung di padang ialah antara SMK Anderson Ipoh menentang SMK Clifford Kuala Kangsar. Sepak mula ialah pada pukul 8.52 pagi. Kedudukan semasa ialah SMK Anderson mendahului SMK Clifford 1-0.

Q: Pengarah akan dijemput untuk minuman pagi. Minta semua kontinjen berada di padang.

A: Assalamu alaikum dan selamat pagi. Mohon semua peserta kontinjen dan guru pengiring berada di kawasan padang untuk taklimat protokol.

Q: Setelah kontinjen bersedia, jemput Cikgu Borhan menyampaikan taklimat protokol

A: Dijemput Cikgu Borhan menyampaikan taklimat protokol kepada semua kontinjen. Mohon diberi perhatian supaya majlis penyampaian hadiah oleh Dato’ Pengarah Pelajaran Perak sebentar lagi dapat berjalan lancar.

Q: Apabila Cikgu Helmi menerima isyarat “walkie-talkie” daripada Cikgu Adi, sesi taklimat protokol ditamatkan. Maklumkan supaya semua kontinjen mengambil tempat masing-masing dan bersedia untuk upacara majlis

A: Terima kasih Cikgu Helmi dan Cikgu Borhan. Majlis akan bermula sebentar sahaja lagi. Mohon semua kontinjen bersedia di tempat yang ditetapkan.

Q: Sebaik Dato’ Pengarah dan tetamu kehormat duduk, ambil masa bertenang selama satu minit. Setelah itu, mulakan majlis dengan lagu-lagu rasmi.

A: Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera, dan selamat pagi

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu “Negaraku” dan lagu “Negeri Perak” dengan iringan pasukan pancaragam SMK St. Michael, Ipoh. Diikuti dengan nyanyian lagu “Perak Sentiasa Di Puncak Kecemerlangan”. Mohon hadirin bersama-sama bersedia menyanyikan lagu-lagu yang disebutkan.

Q: Usai nyanyian, ucapkan terima kasih dan jemput tetamu dan hadirin duduk. Pengacara akan menyampaikan kata alu-aluan ringkas dan menghadap majlis. Baca senarai tetamu berdasarkan nota protokol majlis.

A: Terima kasih. Tetamu dan hadiirin dipersilakan duduk.

Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rauhi bin Mohd Isa, Pengarah Pelajaran Negeri Perak,
Yang Berusaha Pegawai-pegawai Kanan JPN Perak dan Tuan PPD yang hadir,
Yang Berusaha Puan Loh Wei Seng, Pengetua SMK St Michael, Ipoh
Yang Berusaha Puan Hajah Nuriza binti Dato’ Sulaiman, Pengetua SMK (P) Treacher Methodist, Taiping
Yang Berusaha Tuan-tuan pengetua sekolah-sekolah premier negeri Perak
Pengurusan dan peserta pasukan sekolah premier yang mengambil bahagian,
Hadirin hadirat yang dimuliakan.

Majlis mengalu-alukan kehadiran Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rauhi bin Mohd Isa, Pengarah Pelajaran Negeri Perak ke majlis penutupan rasmi kejohanan sukan sekolah-sekolah premier zon Perak edisi 2011 kelolaan bersama SMK ST Michael, Ipoh dan SMK (P) Treacher Methodist, Taiping. Sesungguhnya kehadiran Yang Berbahagia Dato’ ialah lambang keprihatinan terhadap sumbangan sekolah-sekolah premier dalam merealisasikan slogan “Perak Sentiasa Di Puncak Kecemerlangan”.

Anak muda mengalun qasidah
Tiada kekok tampil ke depan
Pembuka kata berlalu sudah
Mari kita mendengar ucapan

Majlis menjemput Yang Berusaha, Puan Loh Wei Seng, Pengetua SMK St. Michael, Ipoh selaku pengerusi bersama jawatankuasa pengelola kejohanan sukan sekolah-sekolah premier negeri Perak 2011 menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Q: Usai ucapan pengetua, ucapkan terima kasih. Tunggu hingga beliau mengambil tempat semula.

A: Terima kasih Puan Loh Wei Seng. Kini, tibalah masa yang dinanti-nantikan. Majlis dengan segala takzim dan hormatnya mempersilakan Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rauhi bin Mohd Isa, Pengarah pelajaran Negeri Perak menyampaikan ucapan dan seterusnya menutup dengan rasminya kejohanan sukan sekolah-sekolah premier zon Perak. Yang Berbahagia Dato’ dipersilakan.

Q: Usai ucapan penutup, ucapkan terima kasih. Bersedia untuk acara penyampaian hadiah setelah Pengarah mengambil tempat. Jemput pasukan bola jaring bersedia di atas pentas penerimaan hadiah.

A: Majlis merakamkan terima kasih atas ucapan penutup oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rauhi bin Mohd Isa, Pengarah Pelajaran Perak sebentar tadi.

Jalan lengkok redup berkalis
Damba pedoman menyongsong arah
Ucapan Dato’ merasmi majlis
Tanda kejohanan berlangsung meriah

Majlis diteruskan dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Secara keseluruhannya sebanyak 21 buah sekolah premier negeri Perak telah mengambil bahagian dalam kejohanan yang bermula awal September yang lalu. Sebanyak tiga acara telah dipertandingkan, iaitu:
Bola jaring, disertai 10 pasukan;
Hoki lelaki, disertai 9 pasukan; dan
Bola sepak, disertai 10 pasukan

Penyampaian hadiah setiap acara daripada tempat pertama hingga keempat akan dijalankan secara serentak. Penyampaian hadiah dimulakan dengan pemenang-pemenang pertandingan bola jaring. Semua anggota kontinjen pasukan bola jaring dipersilakan bersedia dia atas pentas penerimaaan hadiah.

Q: Tunggu hingga pasukan bola jaring bersedia dia atas pentas penerimaan hadiah. Jemput Puan loh mengiringi Dato’ Pengarah ke tempat penerimaan hadiah. Teruskan dengan pegawai pengiring gai penyampai hadiah yang seterusnya.

A: Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Puan Loh Wei Seng menjemput dan mengiringi Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rauhi bin Mohd Isa bergerak ke tempat penyampaian hadiah untuk pasukan yang berjaya menjadi johan.

Q: Tunggu hingga kedua-dua Dato’ Pengarah dan Puan Loh berada di tempat penyampaian hadiah. Umumkan pula pegawai pengiring bagi penyampai hadiah yang seterusnya.

A: Majlis seterusnya mempersilakan Puan Nuriza binti Dato’ Sulaiman, Pengetua SMK (P) Treacher Methodist Taiping selaku pengerusi jawatankuasa bersama pengelola kejohanan bagi menjemput dan mengiringi Yang Berusaha Tuan Haji Rozi bin Puteh Ahmad, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Perak ke tempat penyampaian hadiah naib johan.

Puan Hajjah Normah binti Haji Karimin, Penolong Kanan Kokurikulum SMK St Michael, Ipoh untuk mengiringi Yang Berusaha Puan Ommi Kalsom binti Mohammad, Pegawai Pelajaran daerah larut, Matang dan Selama ke tempat penyampaian hadiah pemenang ketiga.
En. Badrol Hisham bin Hamzah, Penolong Kanan Kokurikulum SMK (P) Treacher Methodist Taiping mengiringi Yang Berusaha Encik Kamal bin Mansor, Pegawai Pelajaran Daerah Perak Tengah ke tempat penyampaian hadiah pemenang keempat.

Q: Setelah semua penyampai hadiah bersedia, mulakan dengan bola jaring.

A: Penyampaian hadiah dimulakan dengan pemenang-pemenang pertandingan bola jaring. Semua anggota kontinjen dipersilakan menerima hadiah.

Q: Sambil hadiah-hadiah disampaikan, umumkan nama pasukan yang menang.

A: Johan bola jaring kejohanan sukan sekolah-sekolah premier zon Perak 2011 jatuh kepada: SMK Raja Perempuan Ipoh
Pemenang kedua: SMK Ave maria Convent, Ipoh
Pemenang ketiga: SMK Perempuan Methodist, Ipoh
Pemenang keempat: SMK Raja Perempuan Kalsom, Kuala Kangsar

Pemenang akan bergambar kenangan dengan tetamu kehormat selaku penyampai hadiah

Q: Usai sesi bergambar, teruskan dengan penyampaian hadiah acara hoki lelaki.

A: Seterusnya majlis mempersilakan pemenang-pemenang acara pertandingan hoki lelaki tampil menerima hadiah.

Q: Sambil hadiah-hadiah disampaikan, umumkan nama pasukan yang menang.

A: Johan hoki kejohanan sukan sekolah-sekolah premier zon Perak 2011 jatuh kepada:
SMK Anderson, Ipoh
Pemenang kedua: Kolej Melayu Kuala Kangsar
Pemenang ketiga: Sekolah Tuanku Abdul Rahman Ipoh
Pemenang keempat: SMK Anglo Chinese, Ipoh
Pemenang akan bergambar kenangan dengan tetamu kehormat selaku penyampai hadiah

Q: Usai sesi bergambar, teruskan dengan penyampaian hadiah acara bola sepak.

A: Akhir sekali penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan bola sepak. Johan bola sepak kejohanan sukan sekolah-sekolah premier zon Perak 2011 jatuh kepada: SMK Anderson, Ipoh
Pemenang kedua: SMK Clifford, Kuala Kangsar
Pemenang ketiga: SMK King edward VII Taiping
Pemenang keempat: Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh

Pemenang akan bergambar kenangan dengan tetamu kehormat selaku penyampai hadiah

Q: Usai sesi bergambar, teruskan dengan sesi penyampaian cenderamata.

A: Sebagai tanda terima kasih, majlis mempersilakan Yang Berusaha Puan Loh Wei Seng menyampaikan cenderamata kepada Yang Berbahagaia Dato’ Mohd Rauhi dan Mohd Isa, Pengarah Pelajaran Negeri Perak.

Q: Umumkan cenderamata seterusnya.

A: Seterusnya dipersilakan Yang Berusaha Puan Nuriza binti Dato’ Sulaiman menyampaikan cenderamata kepada Yang Berusaha, Tuan haji Rozi bin Puteh ahmad.

Dipersilakan pula Puan Hajjah Normah binti Haji Karimin menyampaikan cenderamata kepada Yang Berusaha, Puan Ommi Kalsum bin Mohammad.

Dipersilakan En. Badrol Hisham bin Hamzah menyampiakan cenderamata kepada yang Berusaha Encik Kamal bin Mansor.

Q: Usai penyampaian cenderamata, ucapkan terima kasih.

A: Terima kasih Yang Berbahagia Dato’ dan tetamu-tetamu kehormat yang sudi menyempurnakan upacara penyampaian hadiah sebentar tadi.

Q: Tunggu hingga Dato’ Pengarah dan ketiga-tiga KS diiringi semula ke tempat duduk utama.
Bersedia untuk bacaan doa.

A: Sebagai tanda syukur bahawa majlis pada hari ini berjalan dengan jayanya, dengan hormatnya dipersilakan al-Fadil Ustaz Suhaimi bin Hamid untuk memimpin bacaan doa. Tafaddhal ya ustaz.

Q: Usai doa, ucapkan terima kasih. Tunggu hingga Ustaz Suhaimi kembali ke tempat duduk. Umumkan sorakan 3 kali pimpinan Encik Borhan.

A: Terima kasih al-Fadil Ustaz Suhaimi.

Seterusnya ialah sorakan semangat sebanyak 3 kali sebagai tanda sokongan kepada slogan “Perak Sentiasa Di Puncak Kecemerlangan”. Silakan Encik Borhan.

Q: Umumkan pula tetamu meninggalkan majlis.

A: Seterusnya majlis mempersilakan sekali lagi Puan Loh Wei Seng menjemput dan mengiringi Dato’ Mohd Rauhi bin Mohd Isa ke bilik jamuan makan tengah hari. Semua tetamu jemputan juga dipersilakan bergerak ke bilik-bilik jamuan yang telah disediakan.

Q: Setelah Pengarah dan tetamu beredar

A: Majlis berakhir di sini. Tahniah kepada semua pemenang.

Pengumuman kepada semua wakil semua kontinjen dan para petugas. Di jemput ke kawasan di belakang khemah utama ini bagi mendapatkan pek makanan tengah tengah hari.

Sekian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saturday, October 29, 2011

FOKUS PERUBAHAN TERANCANG DALAM ORGANISASI PENDIDIKAN (THE SCHOOL TRANSFORMATION)

Pada hakikatnya, organisasi ialah entiti abstrak yang tidak mempunyai sebarang matlamat sendiri. Ohmae (1991:202) misalnya menganggap organisasi bermakna manusia. Segala yang disebut sebagai matlamat organisasi sebenarnya merupakan matlamat manusia, atau lebih khusus lagi matlamat pemimpin yang memiliki atau menerajui sesuatu organisasi (Jaffee,2001:3). Dengan itu tiada kepastian bahawa semua orang dalam sesuatu organisasi akan berkongsi matlamat yang sama belaka. Maka dalam melaksanakan proses perubahan terancang, organisasi pendidikan (EO) tidak terkecuali daripada melihat faktor kritikal, yakni manusia yang diharapkan bakal menjayakan sebarang bentuk reformasi, termasuk perubahan struktur dan kurikulum EO.

Perubahan terancang bermaksud proses anjakan atau pergerakan yang mendalam, pesat, radikal dan melibatkan keseluruhan jentera organisasi, dilaksanakan secara besar-besaran demi kelangsungan organisasi yang sentiasa mengalami tekanan persekitaran, serta ancaman pesaing (Ab. Aziz Yusof,2004:14). Disebabkan ia memusnahkan ikatan silam, mengganggu status quo, dan berhadapan dengan risiko, perubahan terancang mempunyai dua matlamat serentak, iaitu perubahan fizikal organisasi dan perubahan sikap subordinat.

Perubahan di luar EO dalam tempoh 10 tahun terakhir lebih banyak daripada yang berlaku dalam 50 tahun sebelumnya (Rahimah Haji Ahmad, 2003:1) dan kita boleh menjangkakan bahawa perubahan dalam tempoh lima tahun akan datang akan jauh lebih banyak daripada tempoh 10 tahun terakhir ini. Dengan kepesatan teknologi dan akses internet, semakin banyak pesaing yang tidak diketahui muncul. Kebolehramalan menjadi perkara silam (Peters,1991:11) Sebagai organisasi yang menghasilkan produk masa depan, EO mesti berusaha menganjakkan tahap keseimbangan sedia ada, keluar dari kepompong keselesaan dan mengorbankan sebahagian besar keterikatan masa lalunya.

Era masyarakat hyper serba rencam (Moos,2003), masyarakat serba membuang (disposable society) (Toffler,1991) dan pelbagai metafora masyarakat lagi tidak memungkinkan EO kekal dengan status quo dan memilih strategi berisiko rendah sehingga berlaku kejam dengan menyajikan kurikulum yang tidak berguna untuk masa depan generasi muda. Allan Bloom dalam karya beliau The Closing of the American Mind (1987) pernah memperincikan hal ini dengan membandingkan ciri kurikulum di beberapa buah negara maju seperti US, UK dan Jerman.

Maka fokus terhadap kurikulum dalam melaksanakan perubahan terancang EO tidak dapat dielakkan. Jika tidak, EO akan dianggap sistem yang runtuh, lambat dan terbelenggu dengan struktur industri lama yang penuh hierarki itu. Aspek jati diri dan kesedaran akar umbi dalam konteks kenegaraan dan bangsa boleh dipupuk dalam versi futuristik. Anjuran lebih ekstrim menyarankan supaya terdapat beberapa set kurikulum yang boleh ditukar ganti mengikut keperluan (Toffler,1987:380) dan penglibatan pelbagai pihak, hatta pelajar dalam proses reka bentuk kurikulum (Shanklin et al, 2003:370).

Sehebat mana pun reformasi kurikulum dirancang, ia tidak akan mendatangkan kejayaan yang diharapkan tanpa mengambil kira faktor orang dalam EO. Maka lazimnya perubahan struktur dilakukan,terutama dari segi hubungan formal yang menentukan tatacara kerja dan bidang tugas baru dalam organisasi. Langkah yang biasa diambil ialah dengan melatih guru sebagai subordinat dalam EO, untuk peningkatan kemahiran, kualiti peribadi dan pengetahuan untuk melaksanakan perubahan kurikulum .

Pendekatan ini sebenarnya menafikan hakikat bahawa guru ialah profesional pintar yang berkemahiran tinggi, serta mempunyai pemikiran dan pendapat yang wajar diberi perhatian. Kegagalan dalam penyampaian kurikulum kebanyakannya bukan berpunca daripada kelemahan peribadi, kemahiran atau pengetahuan guru, tetapi diakibatkan oleh persekitaran kerja berasaskan keterasingan eksklusif berpusatkan bilik darjah (Hangreaves,1990:91). Dalam persekitaran yang sentiasa berubah, individu paling hebat dalam sesuatu organisasi sekalipun tidak berupaya dan tidak mempunyai masa untuk membuat keputusan atau strategi perubahan seorang diri, melainkan beralih kepada sistem kerja berpasukan (Kotter,1996:163-164).

Budaya kerja berstruktur yang rigid di peringkat sekolah mengurangkan peluang guru untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan, berdebat tentang teori pendidikan terkini, atau membuat introspektif dengan rakan, apatah lagi dengan sekolah lain, atau menekuni jurnal yang diiktiraf. Kelesuan perkembangan intelektual di kalangan guru adalah fenomena sejagat. Schumaker (2001:41) mendapati bahawa hanya antara lima hingga sepuluh peratus guru di US yang beliau temui mengetahui kewujudan jurnal Educational Leadership atau Phi Delta Kappan. Selain itu, tidak sampai satu peratus yang tahu tentang judul karya terkini bidang mereka sendiri.

Fungsi sekolah sebagai barisan hadapan EO banyak mengalami perubahan justeru pembelajaran semakin banyak berlaku di luar sekolah. Maka asas pembelajaran di sekolah harus lebih menjurus kepada permulaan pembelajaran bagi meneroka pengetahuan mengikut pertambahan ilmu, serta pemupukan sikap pembelajaran sepanjang hayat (life long learning and relearning ) (Rahimah,op.cit:2). Menjadi tugas utama seorang pemimpin EO di peringkat sekolah untuk sentiasa mengingatkan subordinat, iaitu guru bahawa semua keputusan dan perubahan adalah semata-mata berfokuskan pembelajaran pelajar.

Perubahan terancang dalam EO selalu menempuh jalan sukar justeru ia didatangkan dari atas (top-down), yang sering pula kelihatan sebagai hasil desakan awam, media dan ahli politik. Komuniti EO, khususnya guru menganggap pihak luar tidak memiliki pengetahuan profesional tentang perubahan yang hendak dipaksakan (Schumaker,2001:47). Secara tidak langsung, daya rintangan terhadap perubahan menjadi dominan dan tiada rasa kesegeraan, sementelah rutin terus cuba dipertahankan.

Dalam konteks ini, kepemimpinan EO wajar menggembleng permuafakatan guru dalam merangka sebarang daya usaha perubahan terancang sehingga akhirnya guru menerima hakikat bahawa EO tidak lagi boleh beroperasi seumpama sebuah pulau terpencil yang tidak mempunyai kaitan dengan masyarakat lebih luas, terutama dengan kemunculan pelbagai bentuk teknologi maya, dan kepelbagaian SES yang diakibatkan oleh perbezaan akses. EO tidak selama-lamanya boleh berkubu dan berlindung daripada campur tangan luaran (Louis,2003:375-379).. Organisasi yang tidak betah menghadapi cabaran berada dalam situasi bahaya kepupusan (Kotter,1996:161 dan Moos,2003:368).

Rahimah (op.cit:5-6) mencadangkan konsep sekolah pintar, iaitu sekolah bestari yang serba-serbi fleksibel dari segi organisasi dengan diterajui oleh pengetua yang menguasai kepemimpinan strategik, kepemimpinan pendidikan, kepemimpinan responsif dan kepemimpinan kebudayaan. Bagi sesebuah organisasi berskala besar seperti EO, proses melaksanakan perubahan terancang memerlukan pemimpin yang memahami kompleksiti perubahan (Fullan,1999) dengan disokong oleh governan dan struktur sekolah, serta pengurusan kurikulum dan pedagogi yang mengoptimumkan proses pembelajaran.

Pengalaman seorang pengetua di Australia (Ridden,1991) mendapati bahawa perubahan struktur dan kurikulum hanya akan berkesan jika modifikasi sikap pengetua dan guru diusahakan terlebih dahulu. Mengubah sekolah bermakna mengubah orang. Perubahan tidak mudah dilaksanakan, berupa proses yang mengambil masa, memerlukan kesediaan dan perlu berfokus kepada keseluruhan sekolah.

Di Malaysia, faktor orang dalam proses perubahan terancang EO tidaklah diabaikan, namun perlu didefinisikan semula supaya menjadi keutamaan. Komuniti EO di Malaysia belum biasa dengan perubahan besar-besaran dan masih dalam proses penyediaan sumber manusia yang mudah dilatih untuk menerima perubahan seperti pelaksanaan program pensiswazahan guru di semua peringkat persekolahan. Pensarjanaan pemimpin EO, khususnya pengetua, juga masih di peringkat awal.

Kesimpulannya, di peringkat makro, perubahan terancang dalam EO tidak dapat lari daripada memberi fokus terhadap struktur dan kurikulum, sesuai dengan sifatnya sebagai organisasi berskala besar dan mempunyai pelbagai tahap sistem. Di peringkat mikro pula, setiap EO pula memiliki ciri khusus tersendiri, dan harus mempunyai autonomi untuk membentuk budaya yang bersesuaian supaya proses perubahan terancang benar-benar mencapai maksudnya. Faktor manusia sebagai ejen perubahan dalam EO kelihatan diabaikan justeru perubahan membabitkan risiko dan kebimbangan. Inilah yang perlu diuruskan dengan bijaksana.

BIBLIOGRAFI

Ab. Aziz Yusof (2004). Kepemimpinan dalam Mengurus Perubahan dari Dimensi Kemanusiaan. Petaling Jaya: Pearson Prentice Hall

Bushreel, David S & Rappaport, Donald (ed) (1971). Planned Change in Education, A System Approach. New York: Harcourt Brace Jovavich, Inc.

Caldwell, Brian J & Spinks, Jim M (1998). Beyond the Self-Managing School. London: Falmer Press

Davies, Brent (2003). “Rethinking Strategy and Strategic Leadership in Schools”. Dalam Educational Management & Administration, Vol 31(3) pp 295 – 312. London: SAGE Publications

Fullan, Michael (1999). Change Forces – The Sequel. Philadelphia: Falmer Press

Jaffe, David (2001). Organization Theory – Tension and Change. Singapore: McGraw-Hill International Editions

Hangreaves, Andy (1990). Curriculum and Assessment Reform. Portsmouth: Open University Press

Kotter, John P. (1996). Leading Change. Boston: Harvard Business School Press

Louis, Karen Seashore (2003). “School Leaders Facing Real Change: shifting geography, uncertain paths”. Dalam Cambridge Journal of Education, Vol. 33, No. 3, November 2003, pp 371 – 382. Oxfordshire: Carfax Publishing

Ohmae, Kenichi (1991). Pemikiran Ahli Strategi – Seni Perniagaan Jepun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (edisi terjemahan)

Peters, Tom (1991). Thriving on Chaos. New York: HarperPerennial

Rahimah Haji Ahmad (2003). “Kepemimpinan dan Kepengetuaan: Strategi dan Pendekatan di Alaf Baru”. Dalam Pemimpin – Jurnal Institut Pengetua. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya

Ridden, Phil (1991). Managing Change in Schools. New South Wales: Ashton Scholastic

Schumaker, David R (2001). Being A Successful Principal – Riding the Wave of Change without Drowning. California: Corwin Press,Inc.

Shanklin, Nancy, et al (2003). “Examining Renewal in an Urban High School through the Lens of Systemic Change”. Dalam School Leadership and Management Vol. 23, No. 3, pp 357 – 378. Oxfordshire: Carfax Publishing

Toffler, Alvin (1991). Kejutan Masa Depan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (edisi terjemahan)

Friday, October 28, 2011

HADIAH PENYELIDIK MUDA PRAUNIVERSITI 2011 (DIGGING THE ROOT OF KNOWLEDGE)

Assalamu alaikum warahamatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih pengacara perhimpunan

Yang Berusaha Puan Pengetua, penolong-penolong kanan, guru, pemimpin pelajar dan seluruh warga SMK St Michael, Ipoh yang dimuliakan.

Izinkan saya mengambil sedikit masa yang berharga pada perhimpunan pagi ini bagi menyempurnakan acara penyampaian hadiah penyelidik muda prauniversiti edisi 2011. Sejajar dengan proses penjenamaan semula pengajian tingkatan 6 sebagai prauniversiti sejak tahun 2009, semua guru akademik tingkatan 6, iaitu pensyarah dan pelajar disyaratkan untuk menghasilkan penyelidikan yang didokumentasikan secara tertib. Khusus kepada pelajar, mereka juga dikehendaki mengikuti kuliah penyelidikan, menyediakan cadangan penyelidikan, mentadbir pengumpulan data, membuat analisis dapatan dan kesimpulan, dan seterusnya mempertahankan laporan penyelidikan mereka dalam program kolokium. Pelaksanaan penyelidikan di SMK St Michael, Ipoh telah mendapat perhatian daripada seluruh Malaysia, dengan menerima pertanyaan menerusi blog dan e-mel, facebook, serta lawatan.

Daripada 100 pasangan penyelidik muda prauniversiti SMI, sebanyak 8 pasangan telah dipilih menerusi sistem saringan yang ketat untuk menerima hadiah berupa sijil dan wang tunai sumbangan PIBG. Sehubungan itu, saya dengan sukacita mempersilakan Puan Tan Cheng Choo, Penolong Kanan Tingkatan 6 mengiringi Yang Berusaha, Puan Loh Wei Seng, Pengetua SMK St. Michael, Ipoh untuk menyampaikan hadiah. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Pemenang bagi Kelompok A:

Keempat: Riskson Khor dan Mark Siew Kit-Tze, LS3
Ketiga:     Teoh Jia Heng dan Choong Li Fatt, LS1
Kedua:     Racheal Har Ann Li dan Daljeet Kaur a/p Gag Jit Singh, LS4
Johan:      Teh Vincent dan Jotham Jeremy a/l Lourdes, LS2

Pemenang Kelompok B:

Keempat:  Joshua Loo Zhi Ziong dan John Baptist a/l John Bosco, LS5
Ketiga:      Loh Weng Seng Daniel, LA1
Kedua:      Lim Sheng Shyan dan Teoh Kah Wai, LA3
Johan:       Wong Jing Siong dan Shassidaren a/l Deva Sana Paty, LA2

Terima kasih Puan Pengetua dan Puan Tan. Tahniah kepada semua pemenang.

"Penyelidikan menyumbang terhadap tubuh ilmu dan refleksi amalan terbaik."

Sekian, terima kasih. Assalamu alaikum...

Thursday, October 27, 2011

KEBAIKAN MEMBELI BARANG TEMPATAN (DOMESTIC MARKET AND PROTECTIONISM PRACTICE)

Ekonomi negara maju hanya bergantung kurang daripada 10 peratus terhadap kegiatan ekonomi antarabangsa. Sebaliknya, negara-negara yang sedang membangun dan ketinggalan akan bergantung lebih daripada 50 peratus pendapatan negara terhadap sektor antarabangsa. Pergantungan yang tinggi terhadap ekonomi antarabangsa sangat berisiko tinggi justeru terdedah kepada keadaan ayunan ekonomi dunia.

Sejak merdeka, Malaysia telah melaksanakan dasar penggantian import, dan kemudian dasar galakan eksport. Dasar penggantian import bertujuan bagi mengurangkan pergantungan kepada bekalan keluaran luar negara, khususnya sektor pertanian. Negara harus berdikari dari pengeluaran barang makanan asas seperti beras dan gula, sambil menggiatkan aktiviti penyelidikan bagi pengeluaran makanan yang lain.

Dasar galakan eksport perlu dilaksanakan atas hakikat bahawa saiz pasaran tempatan agak kecil untuk proses pengeluaran skala besar yang berkaitan dengan kecekapan kos. Sumber hasil bumi yang melimpah ruah telah dimajukan untuk dijual di pasaran asing, khususnya negara-negara rakan dagang yang besar seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun. Pertumbuhan sektor eksport menyumbang terhadap pendapatan negara, guna tenaga dan imbangan pembayaran yang positif.

Namun, mutakhir ini prestasi ekonomi dunia banyak dipengaruhi oleh kontrak niaga hadapan dan spekulasi mata wang. Pemain-pemain pasaran komoditi dan pasaran wang itu bukan sahaja terdiri daripada pemilik empayar perniagaan bertaraf antarabangsa, bahkan turut disertai oleh entiti pelaburan kerajaan tertentu. Jika aktiviti ekonomi negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun boleh terganggu akibat kegiatan spekulasi, mampukah negara-negara yang masih bergelut dengan pelbagai krisis ekonomi akan boleh bertahan?

Malaysia pernah mempunyai dasar 70 juta orang penduduk menjelang tahun 2050 bagi mengukuhkan pasaran dalam negara. Kini, dasar berkenaan dikukuhkan dengan pengenalan model ekonomi berpendapatan tinggi. Dalam kata lain, penduduk Malaysia disasarkan memiliki kuasa beli yang tinggi bagi menyokong aktiviti ekonomi tempatan.

Kempen makan buah-buahan tempatan ialah antara strategi pemasaran keluaran sektor pertanian negara. Selain kebaikan mengambil buah-buahan yang masih segar, permintaan terhadap keluaran pertanian tempatan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan rantaian kegiatan ekonomi yang lain. Sebagai contoh, sejak dikomersialkan, jualan air kelapa muda melonjak tinggi dan dapat diangkat sebagai produk pelancongan.

Khasiat ulam-ulaman telah berjaya dieksploitasi hingga ke hidangan hotel mewah bertaraf antarabangsa. Sambal belacan dan pecal ala kampung juga menjadi menu tetap kebanyakan hotel. Begitu juga dengan gulai ikan patin yang sinonim dengan pekan Temerloh di Pahang.

Sejak awal 1980-an Malaysia telah mengorak langkah memajukan sektor industri berat dan industeri teknologi tinggi. Kenderaan nasional, Proton Saga dan disusuli Perodua Kancil dan MyVi telah menguasai segmen pasaran kereta penumpang. Permintaan terhadap kereta pelbagai guna (MPV)tempatan seperti Alza, Exora dan Naza Ria juga makin meningkat.

Kemajuan industri automatif tempatan telah membina jaringan vendor yang membekalkan alat ganti pada tahap harga yang munasabah. Dari masa ke masa, jalinan strategik dengan gergasi automatif dunia seperti Citroen, Kia, Lotus, Mitsubishi dan Toyota akan memastikan tahap jaminan kualiti kenderaan yang mematuhi spesifikasi keselamatan dan keselesaan pemanduan. Pemasangan kereta mewah seperti BMW, Honda dan Volkswegen di Melaka dan Pahang ialah bagi memenuhi segmen permintaan golongan berada ssuai dengan keadaan iklim dan permukaan jalan raya di Malaysia.

Percutian dan pelancongan dalam negara juga berjaya diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pengusaha chalet, inap desa dan khidmat pelancongan yang lain juga boleh tidur lena. Kadar penginapan hotel juga mencapai tahap 60 peratus secara purata.

Industri yang agak terpukul dengan teruk ialah industri persembahan pentas, rakaman album nyanyian dan filem. Saingan yang diterima daripada artis asing seperti tsunami yang sukar ditahan. Cita rasa dan selera golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa dalam melayan keluaran hiburan sangat sukar untuk dijangka.

Keperluan mencetuskan fenomena terhadap permintaan keluaran tempatan perlu diberi keutamaan. Pergantungan terhadap sektor ekonomi asing mengundang risiko terhadap keselamatan dan pembangunan negara. Menjelang tahun 2020, iaitu pencapaian status negara maju menghendaki rakyat Malaysia menyokong pasaran dalam negara...

Wednesday, October 26, 2011

KEMBARA AMIRA BAB 18 TAMBAH SASPENS (ARCHAEOLOGICAL TREASURE OF AN ANCIENT CAVE)

Pengenalan

Pelawaan Tau untuk menunjukkan sesuatu yang berharga untuk kajian arkeologi mereka membawa Amira, Jacintha, Dr. Zawawi dan Rusdi ke Gunung Gua Gajah, sambil ditemani oleh Itai dan Tau. Gua yang dipenuhi kelawar dan berbau hancing itu mengandungi begitu banyak lakaran arkeologi zaman neolitik, bahkan penemuan kapak batu oleh Rusdi bakal membantu kajian Profesor Zaidah. Keadaan gua yang gelap menyebabkan mereka bergantung kepada jamung yang dibekalkan oleh Tau yang tampak begitu mahir dengan selok-belok gua misteri berkenaan.

Perbincangan Peristiwa Menarik

Jacinta (JC) cuba menarik perhatian Itai supaya membantu Amira mencari Malique yang hilang tanpa sebarang jejak. Malah, JC mencadangkan supaya mereka menarik diri daripada ekspidisi ke Gunung Gua Gajah dan membiarkan Dr. Zawawi dan Rusdi sahaja yang meneruskan rancangan. Itai meminta JC bersabar kerana peluang yang dikatakan oleh Tau tidak mungkin dilepaskan begitu sahaja.

Watak:  Jacinta
Perwatakan:  setia kawan / prihatin
Latar masyarakat:  masyarakat yang setia kawan / prihatin; masyarakat pelajar
Nilai:  kesetiakawanan / keprihatinan
Persoalan:  Kesetiakawanan dalam persahabatan / perhubungan; keprihatinan terhadap rakan
Pengajaran:  Kita hendaklah mengamalkan sikap setia kawan / prihatin dalam persahabatan / terhadap rakan



bersambung...

CERITA DARI NILAI 3 (THE PARENT'S SECRET)

Ahad lalu (23.10.11 / 25 Zulhijjah 1432), penulis blog (PB) bersama si cilik memandu bersendirian sejauh 260 kilometer menuju Hotel Empress, Sepang. Alhamdulillah, perjalanan begitu lancar dan label arah jalan dapat dibaca dengan jelas. Hanya sesudah tol Sepang ke arah kiri KLIA, label arah ke sana tiba-tiba lesap.

PB mengambil keputusan singgah di balai polis KLIA bagi memperoleh maklumat. Syukur, justeru PB hanya perlu membelok ke kanan lampu isyarat terdekat ke arah Bandar Baru Salak Tinggi. Sekali lagi tiada sebarang panduan tentang jarak ke hotel berkenaan.

Supaya tidak terlajak, PB memandu di laluan sebelah kiri, kecuali memotong kenderaan yang bergerak perlahan. Tiba-tiba, tanda arah Hotel Empress muncul dan PB perlu membelok ke arah kiri serta-merta. Setelah lima minit, barulah kelihatan hotel yang terletak di tengah-tengah kawasan perumahan.

Tiada caj tempat letak kereta dikenakan. PB dan si cilik terus sahaja menyelesaikan segala urusan. Petangnya, sudah bertiga, kami menghala ke Nilai 3, kira-kira 10 kilometer daripada hotel.

Cerita tentang Nilai 3 sebagai destinasi beli-belah hujung minggu sudah biasa didengar. Namun, ada cerita menarik yang ingin PB kongsikan. Dalam kunjungan singkat itu, PB sempat juga menyelami kisah hidup seorang pemandu lori sebuah firma permaidani yang terbesar di Nilai 3.

Pemandu lori berkenaan berusia dalam lingkungan pertengahan 40-an. Anaknya sudah hendak masuk lima orang, termasuk dalam kandungan. Anak gadis sulungnya sudah berada dalam tingkatan 4.

Sebelum bekerja di firma permaidani sekarang, dia bekerja di kedai lampu dengan pendapatan RM800 sebulan. Dia sekeluarga mendiami rumah pangsa kos rendah. Pendapatan sebanyak itu terlalu kecil untuk menyara seisi keluarga, apatah lagi pembiayaan persekolahan anak-anak yang sedang tumbuh membesar.

Isterinya juga harus keluarga bekerja sebagai pembantu di sebuah butik. Pendapatan bulanan si isteri hanya RM600 sebulan. Maka, dia harus menambah jumlah pendapatan sekeluarga.

Tauke permaidani menawarkan gaji RM1,000 sebulan. Tambahan sebanyak RM200 sebulan sudah cukup besar. Riak wajah si pemandu lori itu menampakkan rasa bahagia.

PB melihat melihat betapa pengorbanan ibu bapa seperti pemandu lori di Nilai 3 itu mungkin tidak dimengerti oleh anak-anak remaja. Mereka hanya tahu merengek meminta itu dan ini. Bayangkan seharian bekerja, si ayah membawa pulang purata RM33 dan si ibu RM20 sehari.

Memang ada peluang lain untuk menambah pendapatan keluarga seperti berniaga kecil-kecilan, atau menyertai skim jualan langsung. Namun, kajian menunjukkan bahawa peratus kejayaan aktiviti sampingan seumpama itu hanya sekecil 20 peratus. Selebihnya berakhir dengan kekecewaan.

Kesusahan ibu bapa perlu disedari oleh generasi remaja. Pekerjaan seperti pemandu lori di syarikat permaidani tiada jaminan tetap. Pendapatan yang diperoleh akan banyak dipengaruhi oleh jumlah jualan dan jumlah untung yang dinikmati oleh firma berkenaan.

Sudah banyak kisah duka tentang pekerja yang terpaksa ditamatkan khidmat kerana firma atau syarikat tidak mampu membayar upah. Ketiadaan kerja dalam usia lanjut ialah cabaran yang sangat pahit untuk ditelan. Kemiskinan dan kemelaratan sudah menjengah di muka pintu.

Rezeki dari Allah. Anak-anak remaja hendaklah memanjatkan doa ke Hadrat Ilahi semoga ibu bapa mereka sentiasa sihat sejahtera dan tidak putus punca pendapatan. Hadiahkan mereka dengan kejayaan sebagai anak yang soleh dan sebagai penyejuk mata ibu bapa...


Tuesday, October 25, 2011

"SYAIR PEMBERONTAKAN PATANI" KOMSAS TINGKATAN 5 (THE LOYAL OFFICER)

Pengenalan

Walaupun penyusun antologi berpendapat bahawa syair yang ini sebagai menggunakan bahasa yang teratur dan mudah difahami oleh pembaca, hakikatnya tidak demikian. Syair senggaraan Mohd Yusof Mohd Nor dan Abd Rahman Kaeh yang termuat dalam Dirgahayu Bahasaku, muka surat 9-10 mengandungi 10 rangkap berkisar terhadap tugas mendapatkan cogan Raja Senggora. Laksamana perlu menggalas tugas berat itu demi negara sekalipun ibu saudara dekat beliau terlantar sakit.

Tema syair ialah tentang mendahulukan kepentingan negara daripada kepentingan peribadi. Laksamana memiliki semangat patriotik yang tulen apabila sanggup berjuang untuk negara supaya ancaman asing dapat dipatahkan. Para remaja hendaklah menjadikan Laksamana sebagai contoh dalam membuat keputusan dan tindakan apabila bersabit dengan kewajipan kenegaraan dan perkhidmatan.

Perbincangan Rangkap Demi Rangkap

          Laksamana dititahkan Betara,
          Ke negeri Patani berjalan segera,
          Mendapat cogan Raja Senggora,
          Akan menerima hukum dan dera.

Laksamana menerima perintah istana supaya segera ke negeri Patani (kini di selatan Thai) bagi mendapatkan cogan (lambang kebesaran) daripada Raja Senggora.

          Barang yang hendak dihukumkan,
          Sekalian tidak boleh disalahkan,
          Kesalahan pinta dimaafkan,
          Pegawai yang dipegang itu dipohonkan.

Laksamana membawa misi memohon maaf bagi pihak raja beliau.

          Setelah demikian titah Betara,
          Laksamana tiada berani dura,
          Kerana negeri hendak dipelihara,
          Kelak menjadi huru-hara.

Walaupun berhadapan dengan tugas berat, Laksamana tidak berani menunjukkan rasa gelisah, risau atau susah hati justeru beliau bertanggungjawab menjaga keamanan negara.

          Bonda Duli Mahkota Indera,
          Pada Laksamana emak saudara,
          Sakit terlantar hampir bermara,
          Meninggalkan dia tiada terkira.

Laksamana harus meninggalkan ibu saudaranya yang terlantar sakit tenat.

          Daripada kerja terlalu berat,
          Ke atas negeri hendak mudarat,
          Jadilah dititahkan duli hadirat,
          Bimbang dan masyghul disuruh kerat.

Laksamana mesti menolak ke tepi sebarang perasaan bimbang dan sedih apabila menggalas tanggungjawab negara.

          Tiadalah lagi terkata-kata,
          Sudah dengan titah Sang Nata,
          Diputuslah hati yang bercinta,
          Kepada Allah diserah semata.

Laksamana pasrah terhadap amanah negara yang digalas, sambil berserah kepada Allah.

          Niat Laksamana yang pegari,
          Daulat baginda barang berdiri,
          Jika selamat sentosa negeri,
          Biarlah susah di atas diri.

Hasrat yang terpancar pada reaksi Laksamana ialah untuk mempertahan daulat raja. Beliau sanggup berhadapan dengan susah payah asalkan negeri selamat sentosa.

          Berjalan ia berhati hampa,
          Bonda yang sakit tiada dilupa,
          Kerana sakit berat menimpa,
          Yakin hatinya tiada berjumpa.

Sebagai manusia biasa, Laksamana tetap melangkah dengan perasaan yang hampa apabila terkenang ibu saudara yang sakit. Peluang untuk berjumpa semula sidah tipis.

          Daripada sudah demikian peri,
          Keberatan tertanggung di atas negeri,
          Yang sakit itu seorang diri,
          Bala yang datang meliput negeri.

Laksamana menetapkan pendirian bahawa bala atau kesusahan yang bakal menimpa negeri lebih berat daripada kesusahan peribadi.

          Jadilah dititahkan Seri Betara,
          Tiadalah lagi terkira-kira,
          Berjalanlah pergi bersegera-segera,
          Mendapat cogan Raja Senggora.

Maka, akhirnya tanpa bertangguh, Laksamana segera menuju ke patani bagi mendapatkan cogan daripada Raja Senggora.

Contoh Tugasan

i)   Nyatakan dua bukti bahawa Laksamana lebih mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri sendiri.   (3 markah)

ii)   Jika anda ialah Laksamana, jelaskan dua cara anda memastikan bahawa ibu saudara yang ditinggalkan sakit itu beroleh rawatan?   (4 markah)

iii)    Berikan dua persoalan daripada syair.   (3 markah)

Analisis Tugasan Soalan

i)   Aras soalan:  petikan
      Ambilan jawapan:  daripada petikan
      Tumpuan soalan:  dua bukti
      Keperluan huraian:  tiada

ii)   Aras soalan:  kbkk
       Ambilan jawapan:  luar petikan
       Tumpuan soalan:  dua cara
       Keperluan huraian: ya, dua contoh

iii)  Aras soalan:  komsas
       Ambilan jawapan:  luar petikan
       Tumpuan soalan:  dua persoalan
       Keperluan huraian:  tiada

Jawapan cadangan

i)   Dua buktinya ialah Laksamana tidak menunjukkan dura atau susah hati (atas perintah yang diterima), dan sanggup meninggalkan ibu saudaranya (yang terlantar sakit).

ii)  Jika saya ialah Laksamana, saya akan mengupah tabib untuk merawat ibu saudara saya. Selain itu, saya akan mendapatkan pertolongan keluarga terdekat bagi menjenguk ibu saudara saya.

iii)  Dua persoalan dalam syair ialah keutamaan terhadap kepentingan negara, dan kepatuhan terhadap pemimpin.

TAHNIAH MUHAMMAD HAFIZ, GURU MATEMATIK ORANG PERAK (YOUNG TEACHER BLOGGER REWARDED)

Kuala Lumpur, Selasa: 25.10.11 / 27 Zulkaedah 1432

Berita Harian Online sebentar tadi melaporkan bahawa Muhammad Hafiz Ismail, 25, guru dari Perak berjaya menewaskan kira-kira 250 pencalonan lain, apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri (Terbaik Dalam Kalangan Terbaik) pada majlis penyampaian `MSC Malaysia Asia-Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards’.  Menerusi laman blog `Life through My Eyes’ (www.apistakkesah.blogspot.com) Hafiz memaparkan kisah hidup harian mengajar Matematik di Sekolah Kebangsaan Kampung Kenang, Sungai Siput (Utara)  dengan rata-rata murid terdiri daripada kanak-kanak Orang Asli suku kaum Temiar. 

“Saya tidak menyangka hasil luahan perasaan dan pendekatan saya mengajar murid dengan menggunakan kaedah interaktif mendapat perhatian masyarakat di luar sana. Malah, ia turut menarik minat pembaca blog saya dari Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Jerman. “Pelbagai kaedah menarik digunakan bagi memastikan murid memahami mata pelajaran yang diajar dan saya kongsikannya dalam laman blog yang dikemas kini setiap minggu,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Turut hadir ialah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC), Tan Sri Abdul Halim Ali. Muhammad Hafiz berkata, kini semua kaedah pengajaran yang dikongsikannya dalam blog peribadi itu diterbitkan dalam sebuah buku bertajuk `Life Through My Eyes: A Teachers’s Little Steps Towards Perfection’, untuk dimanfaatkan orang ramai.

Tahniah Cikgu Muhammad Hafiz. Catatan dan segala rekod yang cikgu dokumenkan itu boleh melalui proses paten untuk menjadi model pembelajaran matematik di seluruh dunia. Bahkan, usaha itu boleh dikembangkan dalam bentuk penyelidikan ijazah tinggi supaya mendapat tempat dalam jurnal terkemuka (refereed journal).

Kejayaan peribadi Cikgu Hafiz juga akan dikongsi dalam kalangan guru matematik, khususnya untuk pendidikan awal kanak-kanak di sekolah kebangsaan bukan sahaja di Perak, bahkan seluruh negara. Slogan "Perak Sentiasa Di Puncak Kecemerlangan" kini menambah koleksi bukti pencapaian yang autentik. Kejayaan yang dilakar itu bakal menjadi dorongan kepada guru-guru lain untuk melakukan inovasi dan penambahbaikan yang berterusan dalam kerjaya...

SOALAN HANGAT KERTAS MIKROEKONOMI (SPOT QUESTIONS FOR ECONOMICS)

Bahagian B  [30 markah]


1 Huraikan tiga ciri sistem ekonomi seperti yang diamalkan di Malaysia.      [6 markah]

Malaysia mengamalkan sistem ekonomi campuran :1:

Sebahagian penyelesaian masalah asas ekonomi ditentukan oleh mekanisme pasaran, manakala sebahagian lagi menerusi keputusan kerajaan :1:

Individu (isi rumah), firma, kerajaan bebas memiliki harta dan sumber ekonomi, serta bebas menggunakannya untuk mencapai objektif masing-masing :2:

Firma bebas bersaing mengeluarkan barang ekonomi untuk memaksimumkan untung, kerajaan mengeluarkan barang awam untuk memaksimumkan kebajikan :2:


2 Terangkan perbezaan antara barang pengguna dengan barang modal.  [6 markah]

Barang pengguna: barang yang dapat memuaskan pengguna secara langsung :1:

barang akhir / tidak perlu diproses lagi :1:

contoh – sabun, buah-buahan, pakaian :1: (dua contoh o.k.)

Barang modal: sumber yang digabungkan dengan sumber ekonomi lain untuk

mengeluarkan barang pengguna atau barang modal yang lain :1:

: memuaskan kehendak pengguna secara tidak langsung :1:

: contoh – jentera, lori, peralatan, kilang :1: (dua contoh o.k)


3 Mengapakah jumlah penawaran sesuatu barang lebih banyak dalam jangka panjang dibandingkan dengan jangka pendek? Jelaskan alasan anda.          [6 markah]

Dalam jangka panjang, semua input merupakan input berubah :1:

Maka, firma boleh meningkatkan penawaran sesuatu barang dengan membesarkan skala pengeluaran :1:

Firma juga boleh memajukan teknologi baharu / canggih :1:

Dalam jangka pendek, input terdiri daripada input tetap dan input berubah :1:

Maka, firma hanya dapat meningkatkan penawaran dengan menambahkan penggunaan input berubah sahaja :1:

Firma hanya dapat meningkatkan penawaran dengan jumlah yang sedikit dalam jangka pendek :1:


4    Dengan menggunakan contoh, terangkan tentang keseimbangan pasaran yang melibatkan permintaan dan penawaran                                         [6 markah]

Definisi: kuantiti permintaan pengguna = kuantiti penawaran pengeluar sesuatu barang pada tingkat harga tertentu :1:

Berlaku apabila keluk permintaan bersilang dengan keluk penawaran :1:

Keluk :1:

Huraian keluk: kes lebihan penawaran – harga jatuh menuju P, Q keseimbangan :1:

kes lebihan permintaan – harga naik menuju P, Q keseimbangan :1:

titik keseimbangan – kuantiti diminta = kuantiti ditawar :1:


5 Jelaskan dengan ringkas keanjalan permintaan pendapatan bagi kumpulan barang berikut:

   (a) barang kemas;   (b) gula;   (c) beras hancur                  [6 markah]


(a) Ey barang kemas +ve kerana merupakan barang mewah :1:

Apabila pendapatan pengguna meningkat, permintaan barang kemas juga meningkat :1:

(b) Ey gula = sifar kerana gula barang mesti :1:

Walaupun pendapatan pengguna meningkat, permintaan terhadap gula tidak berubah :1:

(c) Ey beras hancur = -ve kerana merupakan barang bawahan :1:

Apabila pendapatan pengguna meningkat, permintaan terhadap beras hancu  akan berkurangan :1:


6 Dengan menggunakan gambar rajah, terangkan hubungan antara jumlah utiliti dengan utiliti sut.

Definisi: TU ialah jumlah kepuasan yang diperoleh daripada penggunaan sesuatu barang / MU ialah perubahan jumlah utiliti akibat tambahan seunit kuantiti barang yang diguanakan :1: (jika beri satu definisi juga diberi 1 markah)

Keluk hubungan geometrik menegak :2: jika dilukis berasingan :1:

Berdasarkan g/rajah, apabila TU naik, MU > 0 iaitu mulai kuantiti 0 hingga Qo :1:

Apabila TU maksimum, MU = 0 (sifar), pada Qo :1:

Apabila TU menurun, MU = -ve, iaitu selepas kuantiti Qo :1:


7 Dengan memberikan contoh, terangkan maksud firma, industri dan input pengeluaran.   [6 markah]

Firma ialah organisasi / pihak /pelaku ekonomi yang menggabungkan faktor pengeluaran bagi melaksanakan aktiviti pengeluaran (barang dan perkhidmatan) :1:

Contoh – pengeluar sayur yang menggabungkan keusahawanan, bahan mentah, tanah dan modal untuk aktiviti pengeluaran sayur :1:

Industri ialah sekumpulan firma yang menghasilkan barang dan perkhidmatan yang sama :1:

Contoh – industri kraf tangan terdiri daripada semua firma dalam kegiatan ekonomi yang berasaskan kerja anyaman, sulaman, ukiran dan pemasaran :1:

Input pengeluaran ialah barang atau perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran barang dan perkhidmatan yang lain :1:

Contoh – buruh, modal, tanah, usahawan :1:


8 Huraikan perbezaan antara kos eksplisit dengan kos implisit.    [6 markah]

Definisi: kos eksplisit ialah perbelanjaan yang sebenar dibayar oleh firma ke atas sesuatu input / faktor (bagi mengelakkannya daripada berpindah kepada kegunaan kedua terbaik) :1:

Kos implisit ialah (nilai) penggunaan input yang tidak dibayar oleh firma :1:

Konsep: kos eksplisit ialah perbelanjaan nampak / secara langsung atas input /

faktor bukan milik firma :1:

kos implisit ialah perbelanjaan tak nampak / kos lepas, iaitu input / faktor

milik firma boleh menerima bayaran jika dijual kepada firma lain :1:

Contoh: kos eksplisit – upah / gaji, bunga pinjaman bank, bil elektrik dan air :1: (satu contoh mencukupi)

kos implisit – gaji pemilik firma sendiri jika bekerja di tempat lain, sewa bangunan, bunga atas modal :1:      (satu contoh mencukupi)


Bahagian C [20 markah]

9 Dengan menggunakan gambar rajah, huraikan aliran pusingan pendapatan ekonomi dua sektor. [10]

Definisi: aliran fizikal dan aliran wang yang berlaku antara isi rumah dan firma dalam sesuatu ekonomi :2:

Gambar rajah / model (lengkap) :2:

Aliran fizikal pergerakan faktor milik isi rumah ke pasaran faktor :1:

Dibeli oleh firma bagi proses pengeluaran barang dan perkhidmatan :1:

Aliran fizikal pergerakan barang dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh firma ke pasaran barang :1:

Dibeli oleh isi rumah untuk penggunaan :1:

Aliran wang bayaran atas faktor, iaitu upah, sewa, bunga dan untung oleh firma kepada isi rumah :1:

Pendapatan isi rumah dibelanjakan untuk membeli barang dan perkhidmatan :1:

Aliran wang bayaran atas barang dan perhkhidmatan oleh isi rumah kepada firma :1:

Pendapatan firma dibelanjakan untuk membayar pembelian faktor :1:         [nota: maksimum 10 markah]


10 Berdasarkan gambar rajah yang sesuai, dan dengan andaian ceteris paribus, huraikan kesan terhadap keseimbangan pasaran ayam di negara anda sekiranya:


(a) harga makanan ternakan ayam meningkat


(b) persatuan pengguna berjaya meyakinkan masyarakat bahawa ikan ialah sumber


protein yang terbaik untuk kesihatan


(c) kerajaan memberi subsidi kepada penternak-penternak ayam. [10 markah]

 (a) Keluk / label   D, S1, So, E1, P1, Po Eo, D;  Kuantiti (unit), Q1 Qo.

Keluk :1:

Huraian harga input naik, kos naik, SS alih ke kiri, P naik, Q turun :2:

(b) Harga (RM), Do, S, D1 Eo, P1, E1, Po Eo, Do, S D1, O Kuantiti (unit), Q1 Qo

Keluk :1:

Huraian DD berkurangan, DD alih ke kiri, harga jatuh, kuantiti turun :2:

(c) Harga (RM), D So S1, Eo, P1, Po E1, So D, O Kuantiti (unit), Qo Q1

Keluk :1:

Huraian kos jatuh, SS alih ke kiri, harga jatuh, kuantiti naik :2:

(Nota: beri bonus 1 markah jika semua jawapan betul)


11 Dengan menggunakan pendekatan utiliti kardinal, terangkan pembentukan keluk permintaan individu. [10 markah]

Definisi: keluk permintaan individu menunjukkan hubungan negatif antara harga dengan kuantiti yang diminta bagi sesuatu barang :1:

Konsep: pembentukan keluk DD yang bercerun negatif / ke bawah dari kiri ke kanan dapat diterangkan menerusi hukum utiliti sut berkurangan :1:

Contoh: Andaian 2 barang, Px, Py, Y :1:

: Jadual Q, TUx, MUx, TUy, MUy :2:

: syarat keseimbangan 1 - MUx/Px = MUy / Py :1:

: syarat keseimbangan 2 - PxQx + PyQy ≤ Y :1:

: andai Py jatuh, Px tetap --> tambah Qy, Qx :1:

: jadual P,Q bagi barang y :1:

: keluk permintaan individu bagi barang y :1:


12 Apakah hukum pulangan berkurangan bertentangan dengan ekonomi bidangan?
     Jelaskan kedua-dua konsep dengan menggunakan gambar rajah.                        [10 markah]

Hukum pulangan berkurangan (HPB) tidak bertentangan dengan ekonomi bidangan (EB), malah memiliki persamaan :1:

HPK berdasarkan konsep jangka pendek, dengan andaian apabila input berubah ditambah terus-menerus atas input tetap, jumlah keluaran (TP) mulanya bertambah pada kadar yang makin meningkat, kemudian pada kadar menurun mencapai titik maksimum :1:

Dalam SAC, hukum ini digambarkan pada bahagian mencerun ke atas :1:

EB merujuk konsep jangka panjang, iaitu semua input ialah input berubah :1:

Apabila firma menambah keluaran secara terus-menerus, LAC akan menurun :1:

Digambarkan dengan bahagian keluk LAC mencerun ke bawah :1:

Label keluk: Kos (RM), B, SACo, A, SAC1, C, LAC, 0, Qo Q1 Keluaran (unit)

Huraian: jika firma menambah keluaran dari OQo ke OQ1, HPK berlaku

merujuk SACo, kos purata naik dari AQo ke BQ1

firma tidak lagi menggunakan loji SACo, sebaliknya SAC1

untuk meneluarkan OQ1, kos purata jangka panjang turun ke CQ1, iaitu bahagian LAC menurun @ EB

(keluk: 2 markah, huraian: 2 markah)
© azhar bin mohd rodzi, m.ed (distinction) (malaya)

Monday, October 24, 2011

CERPEN "TANGGAR AMANAT" KOMSAS TINGKATAN 5 (ABOUT SENTIMENTAL VALUES)

Pengenalan

Perkataan "tanggar"  berasal dari dialek Melayu Johor yang membawa maksud memikul atau menggalas beban  (Dirgahayu Bahasaku,2010: 350; Kamus Dewan edisi IV, 2005: 1599). Tanggar juga boleh digunakan bagi merujuk sanggup (pekerjaan) dan bergalah ke mudik. Amanat pula ialah pesanan, wasiat atau nasihat (Ibid: 42).

Cerpen "Tanggar Amanat" karya Amaruszati Noor Rahim termuat dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, muka surat 177 - 184. Hawa, bakal ibu berada di persimpangan, sama ada hendak pulang ke Malaysia, atau terus tinggal di Yellowstone, Amerika Syarikat yang menjadi tempat empayar warisan perniagaan almarhum Ahmad Abdullah. Akhirnya, bayi dalam kandungan Hawa yang berusia 4 bulan bertindak sebagai suara nurani untuk Hawa membuat keputusan yang rasional.

Watak dan Perwatakan

Hawa

Watak utama. Generasi ke-7 Ahmad Abdullah. Sangat menghargai warisan keluarga. Hatinya terlalu berat untuk meninggalkan Yellowstone walaupun risiko letusan kawah gunung berapi di situ sangat tinggi. Juga bakal ibu yang penyayang. Hawa sangat sayang akan kandungannya yang baru berusia 4 bulan. Hawa dan Adam telah bersabar selama 8 tahun sebelum kehamilan pertama itu. Hawa juga rasional. Dia akur akan hujah kandungannya bahawa keturunan Ahmad Abdullah lebih penting daripada harta yang diwariskan.

Adam

Suami Hawa. Penyabar. Adam tetap memujuk Hawa dengan lemah lembut walaupun Hawa sangat degil dan tegar dengan pendirian mempertahan harta warisan. Adam juga petah berkata-kata. Dia berjaya menangkis setiap hujah Hawa yang dipengaruhi emosi. Apabila kesabarannya habis, Adam berlalu tanpa sepatah kata.

Anakanda

Bayi dalam kandungan Hawa. Bijak berhujah. Dia dapat menggambarkan kuasa Allah mentadbir alam dan membayangkan kesan bencana gunung berapi. Dia juga berpandangan jauh / futuristik. Saran supaya Hawa membuka perniagaan di tempat lain ialah bagi mengelak hasil yang diperoleh di bumi Amerika disalurkan kepada negara haram Yahudi. Selain itu, prihatin. Dia mahu Hawa patuh kepada suami, Adam dan supaya dia berluang lahir ke dunia, serta tidak menjadi korban bencana.

Ahmad Abdullah dan Maria Cruz Abdullah

Datuk dan nenek kepada Hawa. Bermula dengan chalet di pinggir jalan hingga mampu mengasaskan perniagaan besar.

Latar Tempat

Taman Nasional Yellowstone

Taman tema persendirian yang diasaskan oleh Ahmad Abdullah. Terletak di permukaan kawah gunung berapi aktif. Sebuah kawasan subur nan indah, ditumbuhi pokok dan bunga, serta diidiami pelbagai spesies haiwan. Juga menjadi pusat motivasi (Devils Tower)Namun, ahli kaji bumi (geologi) meramalkan letusan boleh berlaku bila-bila masa.

Ruang rahim kandungan janin / bayi

Hawa menjengah masuk ke dalam ruang tubuhnya sendiri, secara rohani. Hawa bertemu dan berdialog dengan janin yang dia kandung. Di situ Hawa terperangah (tercengang, tidak dapat berkata-kata, payah; Ibid, 55) dengan hujah si janin, walaupun dengan sang suami, Hawa masih enggan mengalah.

Nilai murni

Ketegasan: Hawa tetap tidak mahu berganjak daripada Yellowstone walaupun tahu akan risiko tempat itu

Kesabaran:  Adam sanggup bertahan dengan sikap degil Hawa yang enggan berpindah ke Malaysia

Kebijaksanaan:  Janin dalam kandungan Hawa berjaya menangkis hujah Hawa yang lebih dipengaruhi emosi

Rasional / berpandangan jauh: Janin Hawa dapat mengaitkan hasil bumi di Amerika dengan pembiayaan negara haram Yahudi

Kasih sayang:  Hawa menyayangi harta warisan, tetapi dia disedarkan oleh janin bahawa kesinambungan keturunan lebih utama

Ketaatan / kepatuhan:  Janin menggesa Hawa akur akan pujukan Adam untuk kembali ke Malaysia

Persoalan

Ketegasan dalam menyatakan pendirian: Hawa tetap tidak mahu berganjak daripada Yellowstone walaupun tahu akan risiko tempat itu

Kesabaran dalam usaha memujuk seseorang: Adam tidak menyerah terhadap sikap degil Hawa yang enggan berpindah ke Malaysia

Kebijaksanaan dalam berhujah: Janin dalam kandungan Hawa berjaya menangkis hujah Hawa yang lebih dipengaruhi emosi

Sikap rasional / berpandangan jauh dalam membuat keputusan / tindakan: Janin Hawa membuka minda ibunya bahawa hasil bumi di Amerika disalurkan kepada negara haram Yahudi

Kasih sayang dalam keluarga: Hawa akhirnya disedarkan bahawa kesinambungan keturunan lebih utama daripada harta warisan

Ketaatan / kepatuhan terhadap suami: Hawa akur akan gesaan janin untuk menerima pujukan Adam supaya kembali ke Malaysia

Pengajaran
(sila gunakan contoh yang sama)

Kita hendaklah tegas dalam pendirian

Kita hendaklah sabar dengan kerenah ahli keluarga

Kita hendaklah bijak dalam berhujah

Kita hendaklah rasional / berpandangan jauh dalam membuat keputusan / tindakan

Kita hendaklah berkasih sayang dalam keluarga

Kita hendaklah patuh / taat kepada suami


Contoh Tugasan

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

        "Nendamu berpesan, tetap teguhlah di Yellowstone, jaga sayap niaga waisan berzaman. Akauntabiliti bonda di sini. Moyang-poyangmu, Ahmad Abdullah dan Maria Cruz Abdullah, bermula dengan chalet di pinggir jalan menuju Gibbon Waterfall, kemudian merebut ruang di Canyon Village, Mammoth Hot Springs, Jackson City, Hayden Valley ... ."
        "Bonda merebut ruang di Devils Tower, begitu banyak khidmat yang bonda tawarkan hingga kepada kursus motivasi musim bunga. Peserta-peserta, rata-rata orang putih, dimotivasikan oleh keturunan Melayu Ahmad Abdullah. Cukup membanggakan."
        Dia dimercupi bahagia, menerima pujian anakanda.
        "Tapi bonda patuhilah pujukan ayahanda. Kembalilah ke Malaysia."
        "Perusahaan turun-temurun di Yellowstone ini?"
        "Bonda boleh usahakan yang lain, di tempat lain meski cabaran dan tentangannya berbeza. Kenapa bonda masih mahu alirkan keuntungan ke dalam peti negara angkuh itu? Bukankah dolar itu digunakan untuk membiayai Israel memusnahkan negara-negara Islam. Bonda membiayai penumpasan saudara seagama sendiri!" Dia terdiam menerima bangkangan anaknya.
        "Yellowstone akan meledakkan kemarahannya, bonda."
        "Lari dari Yellowstone belum pasti selamat."
        "Kenapa, bonda? Kerana jangkaan geologis bahawa letupan itu akan menyebabkan suhu dunia tidak tentu hala? Awan debu tebal menghalang pancaran matahari ke bumi? Hujan asid akan melanda dunia?"
        Dia terperangah menerima soalan bertalu-talu.
        "Siapa tahu kita antara yang bakal selamat daripada bahana hujan asid? Benar kata ayahanda, lari daripada satu takdir untuk mendepani takdir yang lain adalah satu usaha. Allah menggesa umatnya berikhtiar, bonda. Kalau Ahmad Abdullah masih hidup, barangkali dia akan memberitahu bonda."
        "Beritahu apa?"
        "Selamatkan keturunan Ahmad Abdullah."
        Dia tertampar.

i)   Berikan maksud membiayai penumpasan.     (2 markah)

ii)   Apakah hujah-hujah si anak yang menyokong pendapat ayahandanya?    (3 markah)

iii)  Pada pendapat anda, mengapakah kita harus mengambil kira pendapat orang lain sebelum membuat sesuatu keputusan dan tindakan?   (3 markah)

iv)   Jelaskan satu  pengajaran daripada petikan dan satu pengajaran daripada cerpen.   (4 markah)

Analisis Tugasan Soalan

i)   Aras soalan: petikan
      Tumpuan tugasan:  maksud rangkai kata
      Keperluan huraian:  tiada

ii)  Aras soalan:  petikan
      Tumpuan tugasan:  hujah-hujah si anak  (2 isi)
      Keperluan huraian:  tiada

iii)  Aras soalan:  kbkk
       Tumpuan soalan:  sebab-sebab mengambil kira pendapat orang lain  (2 isi)
       Keperluan huraian:  tiada

iv)   Aras soalan:  komsas
        Tumpuan soalan:  pengajaran (masing-masing satu daripada petikan, satu daripada cerpen)
        Keperluan huraian: ya, menerusi contoh peristiwa

Jawapan Cadangan

i)  Maksudnya ialah menyumbang perbelanjaan kemusnahan / kekalahan

ii)  Hujah-hujah si anak ialah lari daripada satu takdir untuk mendepani takdir yang lain adalah satu usaha. Allah menggesa umatnya berikhtiar.

iii)  Pada pendapat saya, kita harus mengambil kira pendapat orang lain untuk membuat perbandingan dan untuk memperoleh maklumat yang lebih tepat.

iv)   Pengajaran daripada petikan ialah kita hendaklah bijak dalam berhujah. Si anak berjaya meyakinkan bondanya bahawa usaha perniagaan boleh dilakukan di tempat lain. Pengajaran daripada cerpen ialah kita hendaklah sabar dengan kerenah ahli keluarga. Adam tidak jemu-jemu memujuk Hawa yang enggan berpindah ke Malaysia.

Sunday, October 23, 2011

BARAT TIDAK AKAN BERHENTI (THE WHITE "BURDEN")

Agenda Barat bagi memetakan semula rantau Arab mengikut kepentingan ekopolitik mereka tampak makin menyerlah apabila satu demi satu pemimpin kuku besi beberapa buah negara pengeluar minyak berjaya ditumbangkan. Bermula dengan Saddam Hussien, dan terakhir Muammar Ghadafi. Keinginan rakyat tempatan untuk bebas daripada belenggu rejim diktator digunakan sebagai tiket untuk menceroboh wilayah berdaulat dan melakukan serangan udara ke atas sasaran idaman mereka.

Nato yang pernah dilabel sebagai no action talk only membuktikan bahawa mereka mampu menamatkan pemerintahan sesebuah negara dalam tempoh yang singkat. Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara itu pasti tidak berbuat demikian secara percuma. Di samping dapat menguji senjata terbaharu, mereka pasti mencongak kawalan sumber petroleum di negara yang di"bantu".

Sementara itu, Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC, Oh I See!), Pertubuhan Negara Afrika dan Liga Arab hanya mampu membisu seribu bahasa. Paling kuat tindakan yang boleh dilakukan ialah memanggil persidangan tergempar. Sensitiviti terhadap pengaruh hedonisme dan sekularisme acuan Barat bagaikan suatu ancaman yang ringan sahaja.

Entah giliran pemimpin Arab mana pula selepas ini. Jika sebelum ini masing-masing sibuk berfoya-foya, leka dengan hidup mewah melampau dan melahap kekayaan negara, kini kepala lutut mereka mula menggeletar. Kedudukan mereka sudah seperti telur di hujung tanduk!

Tidak dinafikan bahawa pemimpin diktator juga memiliki sisi baik seperti melaksanakan projek awam untuk rakyat jelata, menghulurkan dana kepada aktiviti kebajikan antarabangsa dan berani mengangkat kepala terhadap pemimpin koboi dan James Bond. Namun, prinsip bahawa matlamat tidak menghalalkan cara telah dilanggar. Kezaliman terhadap rakyat jelata sukar dimaafkan.

Rantau Arab dan dunia Islam perlu kepada kepimpinan intelektual yang dapat merangka agenda mereka sendiri. Walaupun Barat berwajah manis, rekod dramatik sejarah imperialisme mereka jelas amat buruk. Barat umpama telunjuk lurus, kelingking berkait...

Saturday, October 22, 2011

KENANGAN DI SK LELAKI, TELUK ANSON (EARLY URBAN EXPERIENCE)

Apabila datuk dan opah mengambil keputusan berpindah ke Kampung Bahagia dan meninggalkan Sungai Tukang Sidin, sebagai cucu tiada pilihan selain akur sahaja. Dari kawasan rumah seluas hampir 10 ekar ke kawasan rumah kecil dengan saiz tanah kecil. Mungkin faktor usia datuk yang sudah lanjut menyebabkan keperluan tinggal berdekatan dengan anak lelaki tidak dapat dielakkan.

Sekolah aliran Melayu terdekat ialah Sekolah Kebangsaan Lelaki, bersebelahan kilang padi. Dari rumah ke sekolah memakan masa 10 minit dengan kenderaan awam. Kalau berjalan kaki memerlukan 30 minit.

Antara rakan sekelas ialah Jamilul Hayat Haji Ali (kemudian menjadi penyanyi rakaman terkenal, adik kepada "raja pop"), Abdul Ghani (penjaga gol bola sepak sekolah), Hasan, Omar, Zawawi dan beberapa orang lagi. Berbeza dengan sekolah campur di Sungai Tukang Sidin, budak lelaki suka bergumpal. Atas sebab kecil sahaja, meletus pergaduhan fizikal.

Dua orang kanak-kanak saling bergumpal, tetapi dikelilingi sekumpulan kanak-kanak lain yang membuat provokasi. Keadaan tidak ubah seperti perlawanan gusti amatur. Hanya apabila kelibat guru kelihatan, semua sekali bubar dan bersurai serta-merta.

Guru bandar lebih garang berbanding dengan guru kampung. Tangan mereka ringan untuk hinggap di pipi kanak-kanak. Denda berbentuk junjung kerusi, ketuk ketampi dan berdiri di atas meja setiap hari berlaku.

Kanak-kanak menangis dengan kuat, tetapi guru tidak peduli. Sedikit pun simpati tidak terlihat di wajah mereka. Murid juga tidak pernah memanjangkan cerita di bilik darjah kepada ibu bapa.

Berbanding di Sungai Tukang Sidin, cikgu bandar memiliki kereta. Kereta yang menarik perhatian murid ialah Holden, buatan Australia. Guru Besar bernama Jamaluddin, berbadan agak gempal dan memiliki kumis sejemput.

Walaupun sekolah lelaki, tiada seorang pun ustaz yang mengajar. Namun, semua tiga orang ustazah yang ada sangat pemurah dan penyayang. Setiap Jumaat, anak-anak yatim dimuliakan. Kutipan derma dilakukan dalam kalangan warga sekolah untuk diagihkan kepada murid yang tiada ibu atau bapa.

SK Lelaki Teluk Anson berjiran dengan Horley Methodist Secondary School (HMSS). Namun, kebanyakan murid SK Lelaki tidak ke sana untuk pengajian menengah kerana perlu memasuki remove class terlebih dahulu. Sebaliknya, kebanyakan budak SK Lelaki memiliki SMK Seri Perak, sebuah sekolah menengah aliran Melayu di Jalan Changkat Jong...

Friday, October 21, 2011

DIKTATOR TERIMA BALASAN (THE LIMIT OF COERCIVE POWER)

42 tahun dahulu ketika Raja Idris menjalani rawatan di luar negara, Muammar Ghadafi, pegawai tentera telah merampas kuasa bagi menamatkan sistem beraja di Libya. Selama empat dekad beliau menyangka akan terus mampu mengekang minda rakyat jelata dengan kuasa tentera dan undang-undang. Namun, 23 Ogos yang lalu, kerajaan beliau terusir dengan penuh hina di tangan rakyat yang sekian lama memendam rasa.

Semalam (Khamis, 20.11.11), seluruh dunia gempar dengan kematian pemimpin yang pernah dijulang sebagai begitu gagah perkasa. Ghadafi diprojekkan dengan imej hebat oleh pasukan pemutar (spin) yang terdiri daripada media arus perdana, dengan sokongan pasukan keselamatan dan mahkamah bagi membuli dan mendera semua musuh beliau. Nasib diktator seumpama Ghadaffi dalam sepanjang sejarah kepimpinan sama sahaja, iaitu berakhir dengan tragis.

Sebuah sajak Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh yang bertajuk "Sejarah" sangat tepat dalam mengungkapkan segala ciri dan nasib diktator yang tidak betah bertahan dengan penipuan untuk jangka masa yang lama. Semua pemerintah yang tidak menghormati ilmu dan maruah pasti tersungkur di kaki rakyat dalam tempoh yang singkat. Sayangnya, sifat diktator tidak pernah lekang daripada sebahagian besar individu yang mabuk kepayang di singgahsana kuasa.

Kepimpinan ialah amanah, bukan keistimewaan. Ayat seperti itu mudah diucapkan, tetapi sangat sukar untuk dipindahkan kepada tindakan. Banyak pemimpin yang menjadi gelap mata justeru segala akses hidup mewah dan senang berada dalam genggaman mereka. Segala institusi dan instrumen yang dapat melenyapkan tentangan juga akan dikawal menerusi budak suruhan yang bebal, kejam dan mata duitan.

Segala kerja jahat sang diktator akan ditutup menerusi aktiviti lakonan kebajikan dan mesra rakyat terpilih. Eksploitasi terhadap kejahilan dan tamak haloba segolongan masyarakat menjadi benteng kuasa. Segala organisasi penting diserahkan kepada kaki rasuah yang mudah diugut jika cuba belot.

Buat sementara rakyat Libya sangat gembira dengan kuasa politik kembali ke tangan mereka. Namun, cabaran epilog revolusi seumpama itu tidak mudah. Moga-moga Libya akan beroleh pemimpin yang cinta kepada ilmu dan menghormati maruah rakyat...

Thursday, October 20, 2011

SENJATA BIOLOGI USIR PENCEROBOH (THE FINAL BATTLE)

Saya bergelar Panglima Immunoglobulin. Bunyi macam nama Russia, tapi saya berdarah Melayu. Saya masih muda, belum mencapai usia 40 tahun pun! Saya tidak boleh beritahu identiti penuh saya kerana kalau bocor kepada musuh, alamat saya berlaku khianat terhadap tugas saya sendiri.

Saya ketua ketumbukan soldadu yang cukup besar bilangannya. Kalau saya katakan bahawa bilangan kami melebihi jumlah penghuni planet bumi, barangkali anda akan ketawa. Baik, tunggu sahaja siapa yang akan kena!

Sebenarnya saya tumpang duka apabila skuad bola sepak negara dibalun oleh Australia sampai 5-0, sedang kita pernah mengalahkan mereka 1-0 dalam kejohanan Jakarta Raya pada tahun 1992 kalau tidak silap bacaan saya. Maka, saya ingin cadangkan kepada pakar taktikal bola sepak supaya mencuba teknik Y kami yang terbukti berkesan yang diwarisi generasi demi generasi.

Kami menggunakan strategi Y bagi mengepung musuh yang kami label sebagai antigen. Jika musuh membuat serangan besar-besaran, kami menghadapi mereka dengan label phatogens. Kami akan membentuk gabungan rawak yang mengelirukan musuh.

Platun kecil monomer digandakan menjadi dimer atau pentamer. Jangan fikir bahawa musuh sahaja yang licik membuat penyamaran. Memang kami sengaja berlakon seolah-olah termakan dengan penyamaran musuh. Hakikatnya, kami sudah lebih awal membiarkan mereka salah baca kemampuan kami.

Kalau tekanan musuh sangat hebat dan kami dalam posisi bertahan sahaja, selaku panglima, saya akan mendapatkan bantuan tentera elit membran. Setakat ini gabungan dua panglima memang akan membuat musuh lari lintang-pukang! 

Namun, sebagai makhluk yang tetap ada titik lemah, pihak musuh dapat menyelinap ke dalam. Ya, kami dipecahkan dari dalam. Panglima Immu dan panglima Membran sudah buntu!

Tiba-tiba kami mendapat isyarat bantuan sahabat yang bersimpati. Setelah segala sumber tempatan digembleng, dan harapan menang tipis, apa pilihan kami? Rantaian Y kami banyak yang putus. Bilangan korban tentera makin menakutkan. Apakah empayar kami akan lenyap ditelan bumi?

Mujur bantuan yang kami harapkan cepat tiba. Setelah tiga hari dihujani api dan peluru, kami mendapat suntikan semangat baharu. Skuad khas penembak tepat yang diketuai Panglima Antibiotik segera melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap musuh kami yang muncul entah dari mana.

Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, anak buah Panglima Antibiotik berjaya membunuh hampir semua tentera musuh yang membuat penyamaran mutasi persekitaran. Sebenarnya, mereka masih juga ketumbukan bakteria dan virus yang iri dengan keamanan yang dinikmati oleh empayar tuan kami, iaitu jasad jasmani manusia.

Sekarang baharu anda mahu percaya? Variasi atau puak kami sahaja sudah mencapai 10 bilion banyaknya, hitunglah jumlah kami! Walaupun kami ialah para soldadu atau tentera yang tidak kelihatan, amanah melindungi empayar tuan kami tidak pernah gagal. Kami berikrar akan bertahan walaupun jiwa dan raga kami sebagai taruhan akan melayang.

Satu sahaja nasihat kami. Supaya kami tidak cepat lemah, tuan puan jagalah aturan makan minum dan kegiatan fizikal. Jangan jadikan perut sebagi bekas yang paling buruk dipenuhi dengan segala makanan dan minuman yang tidak terkawal. Makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebihan. Pesanan al-Quran itu semat dalam minda...



Saturday, October 15, 2011

KAMAR KECIL JAKARTA PALING KOTOR DI ASIA? (SANITARY MANAGEMENT AWARENESS)

Kamar kecil (tandas) di Indonesia dikategorikan sebagai tandas paling kotor di Asia. lapor satu kajian Pertubuhan Tandas Sedunia (WTO). Agensi melaporkan Indonesia berada pada kedudukan ke-12 dalam kalangan negara Asia yang terpilih. Naning Adiwoso, pengasas Persatuan Tandas Indonesia (ATI) dipetik sebagai berkata bahawa kamar kecil di sana jauh lebih teruk berbanding Filipina, Malaysia, Singapura dan Thailand walaupun mengatasi kedudukan Vietnam.

WTO mengumpul data tentang jumlah kuman ditemui di tandas yang diperiksa secara rawak. Sekurang-kurangnya, 80 juta kuman ditemui dalam satu tandas dan kuman itu boleh membawa kepada penyakit berjangkit seperti demam kepialu. Amalan mengepam tandas tidak mampu memusnahkan kuman, tetapi pembersihan dan sanitasi berterusan diperlukan. Kesedaran bahawa kamar kecil ialah tempat yang perlu sentiasa bersih mesti disemai dalam kalangan penduduk.
pemandangan pinggir Jakarta

Kecenderungan membebaskan bahan urea dan urin di tempat terbuka mesti diberhentikan. Pihak berkuasa harus menetapkan piawaian kebersihan kamar kecil awam. ATI yang ditubuhkan 10 tahun lalu itu akan menganjurkan Hari Tandas Sedunia pada 19 November ini. Sebagai sebuah negara majoriti umat Islam terbesar dunia, prinsip bahawa kebersihan sebahagian iman hendaklah dipindahkan dalam bentuk amalan, termasuk hal pengurusan kamar kecil.

Kunjungan penulis blog (PB) ke beberapa buah negara mendapati bahawa kamar kecil masih dianggap sebagai tempat yang hancing, jijik dan kotor. Anggapan seperti itu perlu diubah dengan segera. Dunia sedang menuju era pikto bagi menggantikan era nano, tetapi mentaliti sebahagian besar penduduk dunia masih di tahap kuno.

Pada zaman dahulu (1970-an ke 1990-an) pemandangan orang mencangkung di tepi sungai ialah pemandangan biasa. Begitu juga tali air terbuka menjadi pilihan keluarga desa untuk mandi-manda tanpa rasa segan silu. Lebih teruk ialah terdapat banyak rumah yang cantik tetapi langsung tiada kemudahan kamar kecil.

Isi rumah sudah biasa dengan amalan tandas layang seperti bungkus daun keladi atau sebarang bahan bungkusan yang lain. Selain menjadi tumpuan lalat, bungkusan itu menjadi perangkap kepada mangsa yang bernasib malang. Kini, fenomena demikian mungkin berkurangan, tetapi masih ditemui di kawasan pedalaman.

Konsep kamar kecil atau tandas perlu kepada perubahan. Di negara-negara maju, kamar kecil dipanggil bilik rehat. Kamar kecil dicuci secara berjadual dan semburan wangi dijadikan rutin...