SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, November 30, 2011

SEKOLAH CEMERLANG UPSR 2011 (FAIR ACCESS FOR ALL CHILDREN IN SCHOOL)

Dengan sejumlah 74 orang murid memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru, SK Sura, Dungun ialah antara sekolah paling cemerlang di seluruh negara. Terdapat kelas yang mencatat 100 murid memperoleh 5A. Walaupun pencapaian akademik bukan ukuran mutlak kecemerlangan sesebuah sekolah, di mata masyarakat, kepercayaan (kesahan dan kebolehpercayaan) peperiksaan awam secara berpusat masih dianggap paling kuat.

Bagi mencapai kejayaan itu, banyak pengorbanan harus dilakukan. Misalnya, pihak sekolah mungkin menunda dahulu aktiviti dan program nilai tambah yang menjurus ke arah kebitaraan untuk layak muncul sebagai calon sekolah kluster kecemerlangan. PIBG dan sekolah sepakat untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pencapaian akademik supaya mobiliti sosial anak-anak kampung akan lebih cerah.

Program intervensi yang dilaksanakan juga bersifat adil dan menyeluruh kepada semua murid. Guru menjalankan tugas dengan ikhlas tanpa mengira bahawa seseorang murid itu memiliki kelebihan tertentu, atau kerana murid berkenaan anak guru sekolah itu atau orang-orang penting berkaitan dengan sekolah. Tiada murid berasa tersisih atau tidak diambil peduli.

Hubungan pihak sekolah dengan ibu bapa juga sangat erat. Ibu bapa sedia meluangkan masa untuk hadir ke sekolah, malah sanggup turun membantu dari segi persediaan program seperti masak-memasak dan menjadi petugas sukarela. Konsep hubungan sekolah dengan rumah dalam proses pembelajaran kanak-kanak digembleng ke tahap optimum.

Murid sekolah telah terbiasa dengan budaya mendengar kata. Sesiapa yang bersikap degil dan negatif tidak akan dibiarkan menjadi dominan dan berpengaruh. Program kaunseling rakan sebaya dan khemah ibadah yang memupuk sifat mahmudah dan menjauhi sifat mazmummah dianjurkan dari masa ke masa.

Kepimpinan sekolah mengambil berat tentang kebajikan guru dan murid. Kepentingan keseluruhan sekolah didahulukan daripada pencapaian peribadi sebagai pemimpin yang mungkin popular, atau asyik mengejar anugerah tertentu supaya mendapat peluang berdamping dengan tokoh tertentu, selain mengintai peluang melancong ke luar negara secara percuma. Kepimpinan demikian peka terhadap sebarang bentuk diskriminasi yang mungkin berlaku di sekolah masing-masing... 

Tuesday, November 29, 2011

LIRIK LAGU PROMOSI PERGAULAN BEBAS? (THE SONG MESSAGE)

Terdapat penulis lirik lagu mendakwa bahawa mereka sebenarnya bermaksud menyampaikan mesej ketuhanan dan cinta universial menerusi nyanyian. Benarkah begitu niat asal mereka, berselindung di sebalik justifikasi yang mengelirukan? Adakah mereka mahu menutup hakikat sebenar nilai komersial sesebuah lagu yang dialunkan oleh para penyanyi yang disaluti glamor?

Lagu Inggeris terkenal, You Light Up My Life dikatakan sebagai nyanyian gereja, tetapi diterima oleh penggemar irama pop sebagai bait-bait memuja kekasih. Lagu kontroversi itu terbabit dengan proses mahkamah setelah didendangkan oleh banyak penyanyi. Status sesuatu lagu yang dikomersialkan akan bergantung kepada tanggapan pendengar walaupun atas nama lagu rohani dan nasyid.

Namun, kebanyakan lagu yang bertema cinta secara terang-terangan menggalakkan gaya hidup yang tidak sihat. Gambaran tentang cinta kasih yang berlandaskan nafsu syahwat dibesar-besarkan. Dalam kes ekstrem, cinta teruna dara diungkap secara melampau, misalnya menerusi rangkap pantun:

          Nasi lemak buah bidara,
          Sayang selasih hamba lurutkan,
          Buang emak buang saudara,
          Kerana kasih hamba turutkan.

Sebuah lagu terbaru remaja yang mengisahkan perkenalan menerusi facebook mengandungi ungkapan lebih kurang bermaksud "pejam mata, lakukan apa sahaja" apabila si dara berada di persimpangan sama ada hendak berjumpa dengan teruna yang menjadi rakan sembang di laman sosial berkenaan. Secara tidak langsung, lirik lagu berkenaan membayangkan bahawa rujukan kepada ibu bapa langsung tidak perlu. Bab hukum hakam langsung tidak terlintas di dalam fikiran agaknya.

Sudah tentu kita tidak bermaksud untuk melabel semua lagu bertema cinta sebagai hampa dan rosak belaka. Maksudnya, para penulis lirik harus lebih berhati-hati dan teliti dalam pemilihan kata dan mesej sesebuah lagu. Jika tidak, lalu alunan gemersik dengan irama yang membuai perasaan juga sama sekali tidak membangun jiwa yang murni dan sihat.

Lirik lagu bertema cinta universal akan bersifat serba guna. Pilihan kata dan mesej yang disampaikan berfungsi sebagai kawalan akhlak remaja dan masyarakat secara bijaksana. Perjalanan bangsa dan umat untuk mencapai status khaira ummah masih berliku dan panjang sekali...

Monday, November 28, 2011

BAHASA MELAYU 2 STPM SEPINTAS LALU (PRE-UNIVERSITY ELECTIVE REQUIREMENT)

Secara umum, calon yang memilih mata pelajaran bahasa Melayu 2 STPM perlu menguasai kemahiran menulis karangan, menulis rumusan, menulis alih bentuk teks dan menulis analisis kesalahan bahasa. Sesuai dengan persediaan pengajian tinggi, aras bahasa dan idea yang digunakan berbeza dengan kertas Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pendek kata, kertas 2 memberi tumpuan terhadap mutu penulisan calon prauniversiti.

Bahagian Karangan

Calon dikehendaki menguasai pelbagai jenis karangan berformat dan tidak berformat, termasuk rencana, laporan, ceramah / pidato / syarahan / ucapan dan memorandum. Bidang tajuk yang paling kerap diuji ialah isu sosial dan sains / teknologi / alam sekitar. Isi dan huraian yang jitu perlu disampaikan menerusi bahasa yang betul, tepat dan berkesan.

Peruntukan markah untuk karangan ialah sebanyak 50 peratus. Calon disarankan supaya menulis sekurang-kurangnya lima isi, dengan panjang karangan antara 650 hingga 700 patah perkataan. Calon hanya perlu memilih salah satu daripada 4 tajuk dan menulis karangan dalam tempoh tidak melebihi sejam setengah.

Bahagian Rumusan (markah = 20 peratus; masa disyorkan = 40 minit)

Cara menulis rumusan STPM sama sekali berbeza dengan rumusan SPM dan PMR. Calon STPM dikehendaki mengolah semula kandungan teks dengan gaya sendiri tanpa mengubah maksud asal. Teks yang dihasilkan pula hendaklah lebih ringkas dan memperlihatkan kohesi dan koheren dengan bahasa yang tepat dan kemas.

Sesudah mengenal pasti isi utama, isu sokongan dan kesimpulan, calon perlu menyusun dan mengolah semula idea dan fakta supaya dapat disampaikan tepat dan ringkas. Bahasa yang digunakan pula harus segar, persis dan rapi. Jumlah perkataan dalam rumusan boleh berubah untuk tahun yang berbeza, namun masih dalam lingkungan 160 - 200 patah perkataan.

Bahagian Alih Bentuk Teks  (markah = 15 peratus; masa disyorkan = 30 minit)

Calon dikehendaki mengubah pelbagai bentuk teks dengan mengekalkan kandungan asal sepenuhnya. Teks atau petikan yang diuji boleh jadi berdasarkan genre sastera klasik dan moden, serta pelbagai laras moden seperti dialog, iklan dan undang-undang. Sebarang bentuk pindaan atau pendapat mesti dielakkan.

Bahagian Analisis Kesalahan Bahasa  (markah = 15 peratus; masa disyorkan = 25 minit)

Kesalahan bahasa yang diuji meliputi ejaan, tanda baca, kosa kata, imbuhan, frasa dan klausa / ayat. Calon hendaklah mengenal pasti kesalahan yang berlaku, menyediakan analisis dan membuat pembetulan. Setiap kesalahan yang dikenal pasti perlu dicatat, dinyatakan sebab kesalahan dan dibetulkan dengan lengkap.

Penutup

Wajaran markah kertas 2 mewakili 67.5 peratus markah keseluruhan Bahasa Melayu STPM. Kertas 1 yang menguji kemahiran sistem bahasa menerusi soalan aneka pilihan membawa wajaran markah 32.5 peratus. Bagi mencapai gred skor tertinggi, calon tidak boleh jemu membuat latihan tugasan sama ada diarahkan oleh guru, atau menerusi daya usaha kendiri...

MAMPUKAH IRAN HADAPI AMERIKA DAN ISRAEL? (MIDDLE EAST POLITICAL READING)

Ancaman Iran untuk melepaskan 150,000 unit peluru berpandu ke dalam wilayah rejim haram Yahudi Tel Aviv, serta pangkalan Nato di Turki jika diserang membayangkan pergolakan rantau Timur Tengah yang berpanjangan. Rampasan tanah Palestin dan beberapa buah negara Islam yang lain oleh Amerika dan sekutu bagi mewujudkan negara haram Yahudi pada tahun 1948 sentiasa menjadi duri dalam daging kepada keselamatan rantau berkenaan. Kebanyakan pemimpin Arab kelihatan begitu bacul untuk berhadapan dengan Rumah Putih, tetapi Iran bersikap sebaliknya.

Namun, Iran dilihat bersendirian walaupun suara lantang mereka sedikit sebanyak menyentap keangkuhan Washington dan Tel Aviv. Masyarakat Arab pada amnya tidak berkenan dengan fahaman Syiah yang menjadi anutan umat Islam Iran (90 peratus, Sunni 8 peratus). Sejarah kaum Khawarij dan peristiwa Thaqifah Bani Saidah tidak mungin terpadam daripada catatan sejarah perpecahan umat.

Iran juga diragui kerana pendirian yang tidak jelas terhadap peranan masyarakat Syiah yang bersekongkol dengan Amerika untuk menumbangkan rejim Saddam Hussien di Iraq. Iran juga membisu apabila kepimpinan Iraq dikuasai oleh kaum Syiah yang secara terang-terangan menikmati sokongan Amerika dan sekutu. Maka, apabila Iran cuba muncul sebagai wira dunia Islam, mereka sukar meraih sokongan padu.

Cadangan Iran supaya tanah suci Makkah dan Madinah diletak di bawah pengawasan Pertubuhan Negara Islam, OIC juga tidak disenangi dunia Arab. Apatah lagi, peristiwa tunjuk perasaan jemaah haji Iran satu ketika dahulu telah memburukkan keadaan. Sekatan terhadap kemasukan jemaah haji Iran telah ditarik balik.

Perang saudara antara Iran dengan Iraq memakan masa lapan tahun sebaik Revolusi Iran berjaya menurunkan Reza Shah Pahlavi daripada takhta singgahsana. Walaupun Amerika Syarikat melabelkan Iraq sebagai negara penaja keganasan yang menyokong Abu Nidal, secara diam-diam Amerika Syarikat membantu Iraq supaya tidak kecundang di tangan Iran. Hubungan Iran - Amerika Syarikat yang sudah sedia buruk akibat peristiwa penahanan 52 orang diplomat di kedutaan Amerika Syarikat di Tehran selama 444 hari mulai 4.11.1979 tidak pernah pulih, kecuali untuk pertandingan bola sepak.

Jika Iraq akhirnya ditakluk oleh Amerika Syarikat atas alasan pembangunan senjata pemusnah (WMD), kini Iran menghadapi tekanan tentang pengayaan uranium untuk program nuklear. Sekatan antarabangsa yang dihadapi menjadikan rakyat dan kerajaan Iran lebih berdikari. Dengan jumlah penduduk mencecah 76 juta jiwa (2008) dan saiz wilayah yang agak besar (1,648,000 kilometer per segi; negara ke-18 terbesar dunia), Iran tidak terlalu bergantung kepada pasaran dunia.

Unesco melaporkan bahawa nisbah enrolmen kanak-kanak perempuan di Iran adalah yang teringgi dalam kalangan negara berdaulat, iaitu 1.22:1.00 dibandingkan dengan kanak-kanak lelaki. Setiap tahun, universiti-universiti di Iran mampu mengeluarkan 750,000 orang siswazah. Sejumlah 60 peratus pelajar universiti ialah wanita dan kebanyakan mereka mengikuti kursus kritikal seperti kejuruteraan dan perubatan.

Apabila akses pendidikan dibuka seluas-luasnya, sifat taksub terhadap sesuatu pegangan dijangka menurun. Penganut Syiah dijangka bersikap lebih terbuka dan lunak kepada mazhab yang berlainan. Umat Islam yang kuat dan bersatu padu tidak menjadi ancaman kepada sesiapa jua pun, bahkan mereka membawa mesej damai dan sejahtera...

KAMPUNG SELABAK BERWAJAH BAHARU (SCHOOL DAYS MEMORY)

Sebahagian murid SMK Seri Perak, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan datang dari Kampung Selabak dalam lingkungan jarak dua kilometer sahaja. Semasa belajar di situ, penulis blog (PB) sering berkunjung ke rumah rakan-rakan di sana. Kadang-kadang, kami turut mengadakan pertandingan persahabatan badminton di ladang kelapa sawit berhampiran.

Selabak sinonim dengan tanaman nanas Eropa, sejenis nanas yang bersaiz besar, manis dan kurang tajam kerana bilangan mata nanas yang jarang. Kalau Sungai Manik terkenal dengan tanaman padi, maka Selabak terkenal kerana tanaman nanas yang istimewa itu. Sebelum Lebuh Raya Utara Selatan dibuka sepenuhnya pada tahun 1993, kenderaan yang menghala ke arah selatan sebahagian besarnya akan melewati Kampung Selabak menuju ke Bidor, Tapah, Sungkai, Tanjung Malim dan Kuala Lumpur.

Nanas Selabak sesuai dijadikan buah tangan kepada keluarga atau sahabat yang dikunjungi. Nanas Selabak sukar dibandingkan dengan nanas baka lain di pasaran. Nanas Selabak memiliki jenama yang sudah kukuh.

Kini laluan Jalan Changkat Jong hanya digunakan oleh penduduk tempatan, atau sesekali orang luar yang datang menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai. Maka, pemasaran nanas secara bersemuka tidak lagi rancak seperti dahulu. Namun, dengan kemudahan teknologi terkini, pemasaran nanas Selabak boleh dilakukan secara atas talian.

Andai terdapat usahawan yang kreatif, nescaya nanas Selabak boleh dijual sebagai jenama bertaraf antarabangsa dengan keluaran nilai tambah menerusi aktiviti industri hiliran. Selain dimakan mentah, nanas boleh diproses sebagai hidangan cuci mulut, jem dan jus. Malah, tidak mustahil bahawa nanas juga memiliki khasiat untuk proses penyembuhan dan pemakanan sihat.

Sahabat sekelas PB dahulu, Rosli Suratman khabarnya menyambung pengajian dalam bidang teknologi makanan. Barangkali Rosli boleh mengambil daya usaha penyelidikan tentang potensi nanas Selabak dari segi makanan kesihatan. Pasukan penyelidik Mardi dan UPM juga boleh mengusahakan sesuatu.

Selain nanas, Selabak juga terkenal dengan keluaran keladi yang sungguh istimewa. Saiz isi keladi Selabak juga besar, empuk dan paling penting tidak gatal. Harga sekilo keladi Selabak ialah RM4 dan pembeliannya pasti berbaloi. Sesiapa yang pernah menjamah keladi selabak pasti akan kembali ke sana atau membuat pesanan melalui teman yang berkunjung ke Selabak.
Gerai nanas dan keladi Selabak telah dinaik taraf kepada deretan kompleks perniagaan moden yang selesa dan selamat. Tempat letak kereta yang disediakan juga lebih luas. Mungkin pada peringkat permulaan, peniaga dan pembeli berasa kekok dengan perubahan itu, tetapi lambat laun pasti terbiasa...

Sunday, November 27, 2011

BAHRAIN MANFAAT KELETIHAN SKUAD HARIMAU MUDA (LATE GOALS SUNK MALAYSIAN YOUNG SIDE)

Kuala Lumpur, Ahad: 27/11/11 = 1 Muharram 1433

Faktor kecergasan setelah mengharungi sejumlah 8 perlawanan tahap tinggi, terutama setelah menghadiahkan pingat emas Sukan Sea ke-26 jelas dibayangkan menerusi kekalahan 2-3 kepada Bahrain hasil jaringan lewat pihak lawan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi. Bukan mudah untuk berada di puncak prestasi dalam tempoh yang lama, kecuali pasukan memiliki kemahiran taktikal para pemain yang setara. Beberapa orang tunggak pasukan juga diganggu masalah kecederaan yang biasa dialami oleh ahli sukan.
penjaga gol Bahrain tewas dengan rembatan kencang Nazmi Faiz yang baru berusia 17 tahun

Malaysia yang berjaya menyerap asakan Bahrain pada babak awal permainan kemudian berjaya mendahului lawan 1-0 pada minit ke-29 apabila tendangan deras kaki kiri Mohd Nazmi Faiz dari jarak jauh melengkung masuk ke penjuru gawang Bahrain. Kuisan bola muntah oleh Mahali Jasuli menggegar pintu gol Bahrain terus menceriakan kem Malaysia pada pertengahan separuh masa kedua, iaitu pada minit 67. Namun, setelah itu skrip perlawanan yang memihak tuan rumah mula berubah.

Walaupun kehilangan seorang pemain akibat layangan kad merah, strategi Bahrain membawa masuk tenaga segar pada lewat permainan membuahkan hasil. Dalam tempoh lima minit sahaja, mereka berjaya menjaringkan tiga gol berturut-turut bermula dengan sentuhan bola gunting, tendangan percuma berdekatan garis penalti dan satu gol padang yang pantas apabila barisan pertahanan dan penjaga gol semua sekali sudah terbaring, dan tidak sempat bangun untuk mencegah bola daripada menerjah jaring.

Hanya tinggal 10 minit tempoh permainan berbaki, skuad muda negara tidak mampu bertahan dengan kedudukan 2-0. Mereka telah mencuba sedaya upaya, tetapi terhalang oleh tahap kecergasan yang ketara menurun, berbanding dengan pasukan lawan yang masih kental dari segi stamina. Situasi begitu memang biasa berlaku, termasuk membabitkan pasukan handalan dunia sekalipun.

Beberapa kelemahan taktikal yang perlu diambil perhatian oleh panel jurulatih skuad negara ialah dari segi kawalan dan tampanan bola yang kurang kemas. Sering para pemain yang menerima umpanan rakan menahan bola dengan kaki mengakibatkan bola melantun kepada pemain  lawan atau keluar daripada kawasan permainan. Barangkali pemain-pemain kita boleh belajar daripada pemain Eropah yang berjaya menampan bola hasil umpanan deras rakan sepasukan.

Walaupun harus akur dengan hakikat kekalahan ketika kita di ambang kemenangan, sekalung tahniah kepada skuad muda negara. Semangat melawan dan corak permainan yang menghiburkan sudah cukup untuk menggamit penyokong kembali membanjiri stadium. Kita perlu mencari penyerang berbisa yang digeruni lawan supaya segala hantaran dari bawah dan tengah permainan berjaya disudahkan...

MYBRAIN 15: BIASISWA IJAZAH TINGGI (FINANCING POSTGRADUATE STUDY LOCALLY)

Dengan cogan kata "menjana modal insan berpengetahuan tinggi", muncul program Mybrain 15 menerusi kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KTPM). Program atau projek yang dikategorikan sebagai agenda kritikal Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) bermatlamat untuk mewujudkan kelompok sumber manusia yang berpengetahuan tinggi sebagai pemangkin kepada penyelidikan, pembangunan dan inovasi. Menjelang tahun 2023, jumlah penyandang Ph.D negara disasarkan berjumlah 60,000 orang.

Selaras dengan daya usaha memajukan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, pelaksanaan program Mybrain 15 ini bakal menggembleng dan menggilap bakat yang disebut first world talent base, iaitu setanding dengan pencapaian kesarjanaan di negara-negara maju. Kemudahan pembiayaan yang ditawarkan ialah MyPhD, MyMaster dan PhD Industri merangkumi yuran pengajian dan elaun sara hidup, tertakluk kepada syarat dan terma yang ditetapkan.

Antara syarat kelayakan permohonan ialah status warganegara, usia semasa memohon, gred PNGK (CGPA) semasa ijazah asas dan sarjana, serta status pekerjaan. Pembiayaan program Mybrain 15 ini dikhususkan kepada kakitangan bukan awam dan siswazah yang masih belum bekerja. Kakitangan awam, termasuk guru telah sekian lama memperoleh manfaat menerusi program Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dengan pelbagai kategori yang ditawarkan saban tahun tidak layak memohon.

Syarat kelayakan memohon pembiayaan yuran pengajian sarjana tidak melebihi RM10,000 untuk tempoh tidak melebihi 24 bulan ialah berusia tidak melebihi 45 tahun semasa memohon, pencapaian PGNK minimum 2.75 semasa ijazah asas dan bukan kakitangan awam. Kakitangan swasta, pensyarah institut pengajian tinggi swasta dan siswazah yang masih belum berpendapatan tetap yang layak juga dikehendaki menyambung pengajian di IPTA atau IPTS tempatan. Pensyarah IPTS juga disyaratkan mengikuti pengajian bukan di tempat bertugas secara separuh masa, manakala siswazah dikehendaki mengikuti pengajian sepenuh masa.

Pemohon Ph.D dan Ph.D Industri hendaklah berusia tidak melebihi 50 tahun semasa memohon, pencapaian PNGK minimum 3.0 di peringkat sarjana, atau PNGK 3.5 semasa ijazah asas, atau PNGK 2.75 ke atas semasa ijazah asas jika memiliki pengalaman 5 tahun bekerja dalam bidang pengajian yang dipohon. Syarat tambahan untuk pemohon Ph.D Industri ialah status pekerjaan sebagai eksekutif penyelidikan, pembangunan, inovasi dan peningkatan daya saing syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional dan Telekom Malaysia.

Jumlah pembiayaan pelajar Ph.D ialah RM24,000 dalam tempoh maksimum 48 bulan, sementelah Ph.D Industri sebanyak RM50,000. Selain itu, kedua-dua kategori Ph.D juga layak menerima elaun sara hidup berjumlah RM2,300 sebulan. Elaun sara hidup bulanan hanya disediakan untuk pelajar Ph.D sepenuh masa.

Permohonan dibuka mulai 1 Disember 2011 hingga tahun 2015 secara berterusan. Pemohonan pembiayaan sarjana dan Ph.D perlu dibuat secara atas talian melalui laman sesawang MyBrain 15 https://payloan.mohe.gov.my/MyBrain15. Permohonan Ph.D Industri pula perlu diajukan terus kepada Bahagian Biasiswa KTPM melalui sekolah pengajaian siswazah IPTS terpilih seperti yang tersenarai pada laman sesawang yang sama.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan menerusi alamat KTPM di Aras 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, Kompleks Kerajaan Persekutuan, 62200 Putrajaya. Talian telefon am ialah 03-8870 0058 atau 03-8888 0058 / 0032. Alamat e-mel juga tertera pada laman web rasmi MyBrain 15.

Saturday, November 26, 2011

HOTEL BUTIK PELAJAR UPSI (LODGING FOR POSTGRADUATE STUDENT)

Sama seperti Muar, Tampin dan Selama, bandar Tanjung Malim dikongsi oleh dua negeri yang berjiran. Muar lebih berwajah Johor walaupun disebut sebagai "Muau" dalam kalangan sebahagian penduduk tempatan di bahagian negeri Melaka. Bahagian Tampin di Melaka pula dikenali sebagai Pulau Sebang, betul begitu?

Selama menjadi pekan sempadan bahagian utara Perak dengan tenggara Kedah. Di Kelantan pula, Sungai Golok dikongsi oleh rakyat Malaysia dan selatan Thai. Walaupun berbeza negara, penduduk kedua-dua seberang sungai menjalinkan urus niaga harian dan sebahagian penduduk mempunyai pertalian darah.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga terletak dalam kedua-dua bahagian Tanjung Malim Perak dan Selangor. Kampus induk UPSI terletak di bahagian Perak, manakala terdapat kolej kediaman pelajar UPSI terdapat di bahagian Selangor. Maka, tiap hari pelajar UPSI berulang-alik antara dua buah negeri!

Apabila kampus UPSI Proton City beroperasi sepenuhnya, kampus induk di pekan Tanjung Malim dijangka memberi tumpuan kepada pengajian ijazah tinggi sarjana dan doktor falsafah. Malah, UPSI boleh menawarkan kursus pendek bertaraf sijil dan diploma kepada orang awam sepertimana yang dilakukan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM). Dengan itu, UPSI mampu menjana pendapatan tambahan, di samping membuka peluang kepada lebih ramai anggota masyarakat terhadap akses pendedahan ilmu tinggi.

Sasaran 40 peratus rakyat memiliki ijazah asas, ratusan ribu penyandang sarjana dan 100,000 lulusan Ph.D akan cepat tercapai menerusi program MyBrains dengan kemudahan penawaran kursus dan pembiayaan yuran pengajian, serta sara hidup. Warga Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Tanjung Malim boleh dianggap bertuah justeru kampus universiti yang aktif dengan pengajian ijazah tinggi berdekatan dengan rumah mereka. Tidak hairan jika cikgu sekolah rendah pun banyak yang sedang menyiapkan disertasi Ph.D!

Masalah utama pelajar ijazah tinggi di luar kawasan yang disebutkan ialah dari segi tempat penginapan. Pengalaman peribadi penulis blog (PB) semasa pengajian sarjana di UM juga adalah sama. Cuma, PB agak bertuah, justeru Kolej 12 yang baharu dibuka membenarkan pelajar sarjana menyewa bilik penginapan dalam tempoh berkenaan, tetapi setelah dipenuhi pelajar ijazah asas, kemudahan tersebut dihentikan.

Tidak seperti UKM yang memiliki hotel "Puri Pujangga", UM hanya memiliki "Rumah Universiti" milik Koperasi UM. Barangkali pada masa hadapan, sesuai dengan imej universiti nombor satu negara, UM akan membina hotel yang lebih canggih untuk kemudahan pelajar, tetamu dan kegiatan akademik bertaraf dunia.

Pelajar ijazah tinggi UPSI juga tidak terkecuali. Kebanyakan kuliah sarjana mod kerja kursus separuh masa  dijalankan pada hujung minggu, iaitu pada petang Jumaat dan Sabtu. Maka, penginapan pada hari Jumaat (malam Sabtu) menjadi masalah. Hendak tidur dalam masjid, menumpang sebagai "setinggan" di kolej kediaman, atau tidur dalam kereta sendiri akan mengundang risiko keselamatan dan tindakan undang-undang.
Kedai mamak di Taman Bahtera, berdekatan UPSI bijak menghidu peluang. Mereka menawarkan bilik penginapan bertaraf hotel di Sahara Inn dengan kadar sewa yang munasabah, iaitu daripada RM68 hingga RM150. Tentulah pelajar sarjana akan berkongsi bilik, dan ada yang sanggup memindahkan tilam ke bawah supaya lebih banyak ruang berbaring dapat dikongsi.

Tempahan untuk hari Jumaat dan Sabtu di Sahara Inn dibuat secara tetap sepanjang tahun. Tidak dapat dipastikan jika terdapat mana-mana individu yang menjadi broker atau" ulat" telah membuat tempahan awal dan kemudian menjual semula sewaan bilik untuk mengaut untung. Pelanggan walk-in sila cari hotel lain pada hari Jumaat dan Sabtu, kecuali ketika cuti semester.

Walaupun Tanjung malim berdekatan dengan ibu kota, kemudahan hotel di bandar berkenaan boleh disifatkan sebagai daif. Tiada hotel bertaraf bintang, melainkan hotel persendirian yang usang dan kurang terurus. Sahara Inn mungkin satu pengecualian.

Pihak Majlis Perbandaran Tanjung Malim boleh mempelawa usahawan bumiputera untuk mendirikan hotel yang lebih layak di kawasan strategik. Tanjung Malim tidak kurang dengan produk pelancongan sejarah. Muzium Pendidikan UPSI (dahulu SITC) boleh dinaik taraf sebagaimana himpunan khazanah manuskrip Melayu klasik di Universiti Leiden, Belanda. Hotel yang dibina boleh menjalin kerjasama dengan UPSI untuk penganjuran seminar bertaraf antarabangsa tentang sejarah pendidikan di Tanah Melayu dan pendidikan perbandingan di seluruh dunia.

Tanjung Malim bukan sebuah pekan koboi yang sunyi sepi. Tanjung Malim ialah sebuah bandar taman ilmu yang memiliki sejarah dan sumbangan pendidikan yang berkait rapat dengan kemerdekaan negara. Sebelum wujud menara gading, Maktab Perguruan Sultan Idris (kini UPSI) ialah institut ilmu yang berjasa melatih pejuang bahasa dan bangsa...

Friday, November 25, 2011

AZAM TAHUN BARU (PERSONAL DEAL AND PROMISE)

Mungkin sahaja azam tahun sebelum belum lunas, sudah mahu bikin azam baru? Tidak mengapalah, sebab kebanyakan perkara memang perlu diperbaharui. Mari kita bincangkan hal ini.

Doa akhir tahun hijrah 1432 disusuli doa awal tahun 1433 Hijriyyah. 

akan datang, tempah tapak dahulu...

Thursday, November 24, 2011

HIJRAH IALAH PERJALANAN DAN PERUBAHAN: PENGERTIAN DAN AMALAN (THE NEW YEAR OF LUNAR CALENDAR)

Alhamdulillah, kita masih bernafas untuk melalui hari terakhir tahun 1432 Hijriyyah dan Insya-Allah panjang umur murah rezeki memiliki kesempatan untuk menelusuri tahun baharu Hijrah 1433. Marilah sama-sama kita melakukan muhasabah diri supaya setiap detik dalam kehidupan kita penuh dengan barakah, pengampunan dan rahmah Ilahi. Sambutan Hijrah tidak membawa sebarang erti jika kita masih di takuk lama dan enggan melakukan perubahan ke arah kebaikan, kebajikan dan redha Ilahi.

Hijrah Junjungan Baginda Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam, keluarga dan sahabat dari Makkah ke Madinah lebih 14 kurun yang lalu merupakan titik tolak perkembangan Islam yang lebih pesat. Pelbagai jolokan diberi terhadap peristiwa hijrah berkenaan. Hijrah ialah pengorbanan, hijrah ialah perjuangan, hijrah ialah persaudaraan dan banyak lagi.

Secara fizikal, hijrah ialah perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Namun, barang diingat bahawa hijarah dalam konteks masyarakat Islam berlandaskan perintah Ilahi sebagaimana yang digariskan lewat al-Qur'an dan al-Sunnah. Hijrah hendaklah dilakukan dengan niat yang tulus semata-mata kerana Allah selaras dengan semangat hadith mutawattir, Innamal a'malu b'i'n-niah (ila akhir) yang berpunca daripada peristiwa Hatim yang berhijrah kerana mengejar-ngejar Ummu Qais.

Maka, umat Islam pada hari ini harus muhasabah diri terhadap proses hijrah dalam diri. Adakah detik demi detik, hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun kita melakukan proses perubahan ke arah yang lebih baik? Adakah solat kita lebih khusyuk, hafazan ayat suci kita bertambah dan tutur kata kita lebih baik?

bersambung...

Wednesday, November 23, 2011

EPILOG REVOLUSI DI MESIR (CIVILIAN, MILITARY AND INTERIM GOVERNMENT)

Sejurus setelah Hosni Mubarak berjaya dijatuhkan daripada tampuk kuasa kuku besi, rakyat Mesir berpesta di Dataran Tahrir. Kerajaan peralihan sementara yang diterajui tentera segera berjanji untuk mengadakan pilihan raya awam pada bulan September. Kini, setelah dua bulan berlalu, apabila tentera mungkir janji, rakyat Mesir kembali ke jalanan hingga puluhan penunjuk perasaan terkorban.

New York Times melaporkan bahawa kabinet (jemaah menteri) Mesir menawarkan peletakan jawatan, tetapi majlis tentera mahu mencalonkan anggota kabinet baharu. Sementera itu, penggerak demonstrasi, Ikhwanul Muslimin pula dilaporkan mahu menarik diri daripada protes jalanan kerana bimbang bahawa pilihan raya yang dijadualkan seminggu lagi tertangguh apabila majlis tentera punya alasan kekacauan untuk terus berkuasa. Perpecahan dalam kalangan penunjuk perasaan juga makin ketara apabila muncul pelbagai aliran sekular, moderat dan liberal yang mungkin dipengaruhi oleh agensi perisikan asing.

Masalah puak, suku dan kafilah di rantau Arab telah diwarisi sejak zaman Jahiliyyah lagi. Perpecahan yang berlaku sangat tajam, serta sukar sekali menemui titik persamaan. Umat Arab yang begitu besar bilangannya gagal untuk bersatu bagi menghadapi rejim haram Yahudi di Tel Aviv yang disokong oleh Amerika Syarikat dan sekutu.

Penulis blog (PB) masih ingat betapa seorang peniaga runcit keturunan Yaman di tanah suci mengutuk bangsa Arab yang ada sekarang sebagai "bahalul". Apabila PB bertanya lanjut, dia merujuk kepada hakikat betapa rejim haram Yahudi langsung tidak gentar dengan bangsa Arab. Pemimpin dan bangsa Arab asyik bertelagah dan lupa akan seteru sebenar mereka.

Mesir sangat terkenal sebagai destinasi pelancongan dan pengajian Islam. Program ziarah tempat-tempat bersejarah di sana sangat menarik. Apatah lagi, kesempatan untuk menyusuri Sungai Nil yang mengingatkan kisah Nabi Musa dan Firaun menjadi pengalaman yang sungguh menakjubkan.

Proses pemulihan ekonomi dan politik negara Mesir sudah tentu memakan masa yang panjang. Harga yang dibayar untuk menumbangkan sebuah rejim diktator begitu mahal. Banyak kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa yang berlaku.

Pengalaman pascarevolusi negara Iran yang dicetuskan oleh pemimpin dalam buangan di Peranchis, Ayatullah Rohullah Khomeini pada tahun 1979 menjadi bukti betapa tidak mudah untuk mencapai kata sepakat setelah kejayaan dikecapi. Hingga ke hari ini, kesinambungan revolusi Khomeini masih bertahan dalam citra lebih moden, iaitu Dr. Mahmoud Ahmadinejad selaku presiden yang berlatar belakang kejuruteraan awam dan perancangan pengangkutan, serta sentiasa mengenakan tali leher. Dari masa ke masa, muncul pelbagai kumpulan politik baharu yang mengancam status quo, bahkan kemenangan Ahmadinejad dalam pilihan raya kali kedua pada tahun 2009 mengundang tunjuk perasaan besar-besaran.

Perpaduan bukanlah perkara yang diingini oleh kaum penjajah dan saudagar senjata. Bagi mereka, pergolakan dan perang saudara lebih menguntungkan. Barang diingat bahawa dendam terhadap Salahuddin al-Ayubi tidak pernah padam...

Tuesday, November 22, 2011

LAPORAN KELAB PENULISAN DAN PENERBITAN PRAUNIVERSITI (NOT JUST ROUTINE ACTIVITIES)

KELAB PENULISAN DAN PENERBITAN
PELAJAR PRAUNIVERSITI SMK ST. MICHAEL, IPOH

Pengenalan

Berbeza dengan kelab dan persatuan lain yang melaksanakan aktiviti rutin mingguan, Kelab Penulisan dan Penerbitan menggalas tanggungjawab berat, iaitu mengelolakan majalah tahunan sekolah. Semua anggota berdaftar Kelab Penulisan dan Penerbitan secara automatik diserap sebagai anggota sidang redaksi majalah sekolah. Tugas mereka tidak berakhir dengan perjumpaan mingguan dan perjumpaan berkala, tetapi membabitkan kerja sepanjang tahun.

Ringkasan Aktiviti

1  Mesyuarat Agung Tahunan

2  Perjumpaan Mingguan 2011 sebanyak 4 kali

3  Perjumpaan teknikal secara berterusan apabila diperlukan

4  Merancang dan melaksanakan segala tugasan redaksi mengikut seksyen

5  Mengumpul bahan majalah berdasarkan jadual

6  Melaporkan perkembangan kepada panel penasihat guru mengikut seksyen

7  Menyusun bahan penerbitan majalah secara tertib

8  Melakukan proses suntingan dan semakan tatabahasa

9  Menghadiri perjumpaan teknikal dengan wakil percetakan majalah

10  Menambah baik draf kandungan majalah bagi mencapai sifar kesalahan


Penutup

Sebagaimana organisasi pelajar yang lain, tahap penglibatan dan sumbangan anggota kelab tidak sama. Beberapa orang anggota kelab mempamerkan ciri iltizam dan kepimpinan yang tinggi, manakala sebahagian besar anggota lebih bersifat biasa-biasa. Kejayaan kelab diukur menerusi naskhah majalah sekolah yang meraih kredit pelbagai pihak saban tahun.



Disediakan oleh:


AZHAR BIN MOHD RODZI
Ketua Guru Penasihat Kelab Penerbitan dan Penulisan,
Merangkap Setiausaha Panel Penasihat Guru Majalah,
SMK St. Michael, Ipoh

GELORA PENYOKONG TAKSUB SEBERANG (PSYCHOLOGICAL PERSPECTIVE ON POPULAR SPORT)

Permainan bola sepak ialah acara sukan paling berpengaruh di planet bumi. Bola sepak yang juga dikenali sebagai soccer di negara berbahasa Inggeris dan futbol di negara berbahasa Sepanyol dianggarkan mempunyai 3.3 hingga 3.5 bilion peminat di seluruh dunia, atau separuh penduduk bumi. Kelab Inggeris, Manchester United pula muncul sebagai kelab paling popular dengan mengumpul 450 juta peminat seantero dunia dengan nilai USD1.9 bilion.

Ukuran populariti bola sepak ialah dari segi bilangan kelab, pemain, stadium dan jumlah penonton yang hadir menonton perlawanan. Kriket menduduki tangga kedua dengan anggaran peminat berjumlah lebih dua bilion, kebanyakannya di benua kecil Indo-Pakistan, Eropah dan Oceania. Hoki juga mendapat perhatian hampir dua bilion peminat di seluruh dunia walaupun lebih bersifat sukan rekreasi di Eropah dan hanya mampu menggamit jumlah penonton yang sedikit, serta masuk percuma pula.

Sukan elit seperti golf (400 juta peminat), tenis (1 bilion), American football (400 juta), dan lumba motor F1 yang menawarkan hadiah jutaan USD lebih tertumpu kepada negara-negara berpendapatan tinggi. Hanya  belakangan ini negara berpendapatan sederhana seperti Malaysia mendapat hak penganjuran sukan elit berkenaan atas pertimbangan pelaburan dan pelancongan jangka panjang. Liputan acara sukan itu di seluruh dunia ialah satu bentuk promosi yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Sukan Sea edisi ke-26 yang baharu sahaja melabuhkan tirainya di Palembang juga menyerlahkan hakikat yang sama. Walaupun tuan rumah Indonesia gah dengan kemilau pingat emas hampir 200 butir itu, majoriti rakyat Indonesia berasa remuk redam di hati akibat kegagalan skuad bola sepak bawah 23 tahun mereka merangkul pingat emas. Walaupun pelbagai bentuk cemuhan dan provokasi melampau dikenakan ke atas pemain dan penyokong Malaysia, mereka tetap terkulai di laman sendiri.

Atlet tuan rumah yang meraih pingat emas bakal menerima ganjaran bernilai Rp200 juta atau RM72,000 seorang. Mungkin atlet Indonesia yang menerima ganjaran itu boleh bersaing di kejohanan bertaraf dunia seperti Sukan Olimpik sebagai pemenang pingat. Namun, luka kekalahan berganda skuad muda bola sepak mereka akan sukar sembuh dalam tempoh yang sangat panjang.

Kelakuan liar segelintir penyokong taksub tuan rumah terhadap pemain dan rombongan penyokong Malaysia sangat tidak wajar. Tega mereka mengepung, mencaci maki dan menyekat pergerakan kenderaan yang membawa skuad negara hingga hendak masuk ke stadium pun bagaikan gerombolan musuh yang sangat dibenci. Jurulatih Malaysia malah menganggap keletihan hampir sejam menghadapi kerenah kumpulan perusuh bola sepak berkenaan lebih teruk daripada keletihan di padang.

Selepas tamat saingan, hanya seorang pemain tuan rumah, Bonai menunjukkan sikap budiman dengan menghulurkan tangan tanda setia kawan dan semangat sukan yang tulen. Baki pemain lain sibuk melayan emosi dan remuk redam di hati masing-masing. Insiden yang lebih dramatik ialah apabila tiba-tiba muncul pasukan anti-dopping kononnya hendak membuat ujian air kencing sebaik usai penerimaan pingat.

Sampai bilakah peminat bola sepak Indonesia akan melayan emosi yang tidak terkawal seperti itu dengan memilih skuad Malaysia sebagai mangsa? Saingan sukan tahap tinggi memang membabitkan maruah negara, natijah ekonomi, bla bla bla... Malang sekali bahawa kegiatan sindiket mengatur keputusan perlawanan, perjudian dan rusuhan telah menjalar sebagai barah yang sukar diubati...

Monday, November 21, 2011

SUAR BAHASA JAMUNG BANGSA (THE POWER OF RIGHT EXPRESSION)

Tema Bulan Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu mungkin kedengaran janggal dan agak asing. Perkataan suar lebih kerap digunakan dalam operasi tentera, manakala jamung ialah alat suluh seperti obor yang digunakan pada zaman dahulu. Pada dasarnya, tema itu membawa makna "cahaya bahasa menyuluhkan bangsa".

Suar ialah penghasilan cahaya yang sangat terang atau suhu tinggi tanpa sebarang ledakan. Dalam operasi tentera, suar berfungsi sebagai alat isyarat, alat suluh kegelapan dan untuk memusnahkan kuasa infra merah pihak musuh. Di darat, suar dihasilkan menerusi pembakaran logam magnesium, manakala di air menerusi tindak balas logam kalsium. 
jamung dalam filem "Love Story" versi Indonesia

Jamung ialah andang atau alat suluh yang digunakan sebelum muncul teknologi elektrik dan lampu suluh. Orang kampung dahulu kala menggunakan jamung untuk bergerak pada waktu malam supaya dapat melihat keadaan laluan, di samping menakutkan binatang bisa dan buas. Jamung yang sengaja dilempar mungkin akan mengakibatkan kebakaran kawasan tanaman dan rumah.

Tema pilihan DBP itu lebih bersifat perlambangan atau metafora. Bahasa ibarat cahaya terang yang menyuluh gelap gelita yang menakutkan. Bahasa yang dimaksudkan sudah tentu berdasarkan akal budi insan dan telah diiktiraf sebagai wahana luahan fikiran dan perasaan, serta sebagai wahana komunikasi yang difahami.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara tidak pernah sunyi daripada menghadapi cabaran dan salah faham. Walaupun Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152, 153) dengan jelas memperuntukkan fungsi bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi awam dan pendidikan, masih ada pihak yang sangat degil. Kelompok yang memiliki mentaliti penjajah dan pendukung pluralisme berkenaan tidak pernah peka terhadap konsep jati diri dan semangat patriotik.

Bangsa yang merdeka wajib berbangga dengan bahasa kebangsaan mereka sendiri. Tidak salah untuk mempelajari mana-mana bahasa asing, tetapi penggunaan bahasa asing itu tidak sampai mengatasi kedudukan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Kita boleh menggapai bintang di langit, tetapi kita tidak boleh lupa akan rumput di bumi.

Andaian bahawa pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris akan mempercepat proses kemajuan teknologi hanya bersifat separuh masak. Teknologi terkini bukan hanya datang daripada sumber inovasi yang menggunakan perantaraan bahasa Inggeris. Jerman, Jepun, Korea, Itali, Peranchis dan Sweden ialah antara contoh negara kejuruteraan termaju yang tidak taksub dengan bahasa Inggeris.

Bahasa Melayu pula bukanlah bersifat tegar dan tertutup. Perkembangan korpus bahasa Melayu menunjukkan ciri akomodatif, iaitu meminjam dan menyerap sekian banyak kosa kata asing, khususnya daripada leksikon bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu bukan sekadar untuk citra budaya dan sastera, bahkan sebagai sarana ilmu tinggi...

MALAYSIA NAFI IMPIAN EMAS INDONESIA (TIGER DELIVER THE HOPE)

Jakarta, Isnin: 21/11/11 = 25 Zulhijjah 1432

Harimau Muda Malaya sekali lagi membaham Garuda Muda di laman lawan. Khairul Fahmi Che Mat (Apek) muncul sebagi hero dengan menyelamatkan dua tendangan penalti, manakala kapten pasukan, Badrol Bakhtiar boleh dikira bernasib baik kerana sepakan yang ditampan oleh Kurnia Mega bergolek masuk ke dalam gawang. Malaysia menang pingat emas menerusi penentuan sepakan penalti 4-3, setelah perlawanan sepenuh masa berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
bola tendangan penalti Badrol Bakhtiar tetap menerjah jaring walaupun ditampan oleh Kurniawan Mega

Indonesia bermula garang dengan jaringan seawal minit kelima menerusi tandukan pemain pertahanan, Gunawan. Tersentak dengan gol itu, Malaysia segera melancarkan serangan bertali arus hingga menghasilkan gol penyamaan menerusi tandukan tipis Asrarudin Putra Omar pada minit ke-35. Banyak cubaan bahaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan bawah 23 tahun kedua-dua negara, tetapi tidak mampu menggegar jaring.

Permainan masa tambahan 30 minit menyaksikan kedua-dua pasukan bermain berhabis-habisan dengan baki stamina yang agak menurun. Sejumlah 80,000 penyokong Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan menunjukkan disiplin yang tinggi walaupun dianggap sebagai peminat taksub tuan rumah. Tiada sebarang pancaran laser dan tiada balingan objek botol air mineral, bom asap, bunga api, atau mercun.

Ahmad Fakri Sha'rani boleh berasa lega walaupun telah mencemaskan kem Malaysia apabila tendangan leret lemah beliau ditampan kemas oleh Kurnia Mega. Namun, jasa beliau membawa Harimau Muda ke aksi akhir tidak boleh dilupakan dengan sentuhan gol tunggal ketika membenam Myanmar pada saingan separuh akhir. Sumbangan Fakri membolehkan Malaysia mengekalkan status quo selaku juara bertahan.

Dua hari lagi (23/11/11), Malaysia akan melayan kunjungan Syria untuk saingan kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bulit Jalil. Syria bukan Indonesia, tetapi pasukan mantap yang bermain pantas ala Eropah. Walaupun sudah keletihan dan dikatakan mencapai puncak permainan, percaturan jurulatih Olimpik, Rajagobal dengan kombinasi pemain terbaik masih boleh diharapkan...

Catatan Hujung

1   Sejumlah 50 orang penyokong pasukan Malaysia yang menaiki bas sewa khas berhadapan dengan ribuan penyokong taksub tuan rumah di luar stadium. Sebagai langkah keselamatan, bas diarah memasuki stadium menerusi laluan pemain. Mereka harus bergerak kira-kira 50 meter lagi ke tempat duduk VIP, tetapi disambut dengan ejekan penonton di dalam stadium.

2   Ruth Sahanaya, 44, penyanyi angkatan lama Indonesia meluahkan rasa kesal dengan sikap penyokong Indonesia. Dia berharap bahawa gelagat luar batasan itu hanya mewakili kelompok pinggiran sahaja, bukan gambaran masyarakat Indonesia yang budiman dan sopan.

3   Seorang bekas pemain skuad bola sepak kebangsaan yang biasa bermain di Gelora Senayan menggesa penyokong Malaysia mencontohi sisi positif penyokong taksub Indonesia. Mereka sanggup bersama-sama pasukan sama ada menang mahupun kalah. Barangkali gelagat penonton Malaysia yang lebih memuja pasukan elit Liga Perdana Inggeris ketika menentang skuad kebangsaan terlintas di benak pemain itu ketika memberi pendapat.

Sunday, November 20, 2011

GAJI SBPA TIDAK MERUGIKAN KAKITANGAN SENIOR (THE PRINCIPLE OF EMOLUMENT)

Sejak Belanjawan 2012 dibentangkan untuk sesi perbahasan parlimen, perbincangan tentang sistem gaji sebaris sistem saraan baharu perkhidmatan awam (SBPA) ialah antara tema perbualan orang ramai. Pelbagai hitungan matriks gaji sebaris diramalkan oleh beberapa penulis blog dan laman sesawang. Keputusan muktamad hanya diketahui apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyiapkan surat tawaran perubahan skim perkhidmatan, termasuk usia persaraan 60 tahun yang dijangka sekitar bulan Jun 2012 kelak.

Setiap kali berlaku perubahan sistem saraan dan skim perkhidmatan, kakitangan yang lebih junior biasanya lebih beruntung. Mereka menikmati faedah dan ganjaran perkhidmatan yang lebih baik lebih awal berbanding dengan kakitangan senior, khususnya mereka yang sudah berada pada penghujung perkhidmatan. Perkara demikian tidak dapat dielakkan justeru perjuangan generasi terdahulu hasilnya tidak serta-merta.

Pihak JPA tentu sudah menghalusi isu seperti jurang ganjaran kakitangan lama dengan kakitangan baharu. Misalnya, apabila Sistem Saraan Malaysia (SSM) menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB), tangga gaji tahun 2002 diletakkan sebagai tahun asas. Begitu juga dengan pertimbangan naik pangkat ke gred perjawatan yang lebih tinggi.

Gaji permulaan yang lebih tinggi menyaksikan bahawa kakitangan baharu sudah mampu memandu kereta baharu seawal minggu pertama lagi. Kakitangan lama (lingungan usia 35 tahun ke atas) hanya berjaya berbuat demikian pada tahun ketiga atau keempat perkhidmatan. Mereka bermula dengan kapcai cabuk, dan kemudian dengan kereta terpakai pula.

Barangkali kelebihan kakitangan lama ialah dari segi pemilikan harta tak alih dan hartanah. Pada masa dahulu tanah lot untuk sebuah banglo hanyalah berharga RM30,000 berbanding dengan masa kini mencecah RM80,000 dan sukar pula untuk mencarinya. Kakitangan junior akan beruntung jika ibu bapa mereka sudah membelikan tanah lot untuk mereka.

Dari segi ekonomi, kadar kenaikan gaji sekurang-kurangnya harus sama dengan kadar inflasi yang dialami. Secara purata, kebanyakan ekonomi yang normal akan mengalami inflasi pada kadar 4 hingga 5 peratus. Kenaikan gaji akan berfungsi sebagai elaun kepada kemerosotan pendapatan benar seseorang walaupun pendapatan nominal (pendapatan wang) yang diperoleh mungkin tetap meningkat sebagai akibat inflasi.

Kenaikan pendapatan nominal bererti kenaikan kuasa beli. Maka, jika para peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan, sebarang kemungkinan kenaikan pendapatan benar bakal terhapus. Khabarnya harga susu pekat manis akan naik sebanyak 30 sen, lalu harga minuman dan kuih-muih dijangka akan turut meningkat.

Wajaran indeks harga pengguna yang menjadi ukuran inflasi lebih tertumpu kepada harga barang keperluan yang bersifat tidak anjal. Dengan itu, pengguna harus bijak mengatur semula pengambilan makanan sesuai dengan kuasa tawar-menawar yang ada pada mereka, di samping pertimbangan kesihatan. Pengguna tidak seyogia membenarkan golongan peniaga melakukan eksploitasi dan manipulasi secara berleluasa.

Pengguna, termasuk kakitangan awam yang menerima durian runtuh juga tidak harus terpukau dengan sihir peniaga yang menawarkan pelbagai kemudahan hutang supaya jadi membeli barang dan perkhidmatan yang tidak bersifat kritikal, terutama barang mewah. Memang tujuan kenaikan gaji ialah untuk merancakkan aktiviti ekonomi domestik, tetapi pengguna mesti mengamalkan perbelanjaan berhemat. Potfolio kewangan lain seperti tabungan di bank, perlindungan takaful dan simpanan kecemasan yang lain hendaklah diperuntukkan secara munasabah.

Gaji kakitangan awam tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan golongan peniaga yang berjaya. Pendapatan nominal seorang kakitangan awam setahun mungkin hanya sama dengan pendapatan seminggu seorang peniaga yang berjaya. Bezanya, kehidupan kakitangan awam lebih stabil, sedang peniaga berhadapan dengan pelbagai risiko yang datang dari pelbagai arah...

Saturday, November 19, 2011

SK SERI AMPANG MESTI KEMBALI MELONJAK DI PERSADA (WHEN THE PENDULUM SWINGS DOWN)

Ayunan pencapaian yang tidak menentu sudah biasa dialami oleh mana-mana organisasi sejajar dengan putaran masa. Pengembalian dasar pengambilan murid sekolah asrama penuh untuk golongan kurang beruntung dijangka mempengaruhi pencapaian dalam peperiksaan awam sekolah-sekolah berkenaan. Sesebuah sekolah kluster dan sekolah berprestasi tinggi juga boleh dipintas oleh sekolah harian biasa pada bila-bila masa.

SK Seri Ampang, Ipoh (SKSA) tidak terkecuali. Keputusan UPSR yang diumumkan baru-baru ini menyaksikan sekolah berkenaan hanya mencatat 10 orang murid semua A, berbanding dengan tahun sebelumnya menghampiri 30 orang. SKSA telah ditinggalkan jauh oleh pesaing utama, SK Sungai Rokam (26 orang), SK Rapat Setia (12) dan SK Raja Perempuan. Sebagai sebuah sekolah yang baharu sahaja dinobatkan sebagai sekolah kluster kecemerlangan tahun lepas, hakikat berkenaan memang tidak diingini.

Barangkali faktor seperti kohort budak tahun 6 yang menduduki UPSR 2011 akan disebut-sebut. Mungkin segala unjuran TOV, ETR dan ATR menjadi sandaran hujah. Sejarah telah pun tersurat.

Sudah tentu Guru Besar dan guru-guru SKSA telah bertungkus-lumus menyediakan calon UPSR 2011, tetapi momentum lonjakan yang diharapkan tidak kesampaian. Selepas ini tentu pihak sekolah akan sibuk pula dengan bedah siasat program kecemerlangan yang telah dilaksanakan. Adakah pendekatan intervensi yang digunakan kurang berkesan atau tidak sejajar dengan gaya pembelajaran murid?

Di peringkat kebangsaan, Sabah mengalami penurunan ketara, tetapi Terengganu masih kekal teratas. UPSR akan digantikan dengan penilaian berterusan berasaskan sekolah, PKSR. Sehingga itu, UPSR masih menjadi ukuran pencapaian pembelajaran sekolah rendah...

TAHNIAH KEPADA SEMUA CALON UPSR 2011

PERCUBAAN GURU KERJA 9 JAM MANSUH (THE VOICE OF TEACHERS MUST BE HEARD)

Akhirnya Menteri Pelajaran mengumumkan projek rintis 5,000 orang guru di empat buah negeri bekerja 9 jam sehari ditarik balik. Cadangan berkenaan dilaksanakan berdasarkan satu kajian persepsi orang ramai bahawa tugas guru amat mudah. Kesatuan-kesatuan guru juga terkejut justeru mereka tidak mendapat makluman lebih awal tentang perkara berkenaan.

Walaupun kumpulan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) menduduki hierarki teratas dalam perkhidmatan awam, suara ahli ikhtisas dalam kumpulan perkhidmatan lain masih perlu dihormati. Dari segi kelayakan akademik, pencapaian penjawat awam lain mungkin sahaja setara atau lebih tinggi daripada anggota PTD. Kelebihan PTD ialah latihan khusus tentang pentadbiran secara makro dan antarabangsa, serta governan organisasi skala besar.

Ura-ura PTD masuk sekolah sebagai pentadbir utama bukan akademik sebenarnya tidak jadi masalah besar selagi tidak mencampuri urusan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menjadi tugas hakiki guru yang menerima latihan khusus. Sudah tiba masanya jawatan ketua pembantu tadbir yang mengendalikan hal gaji, kewangan dan perjawatan di sekolah dinaik taraf kepada penyandang bertaraf siswazah. Jawatan berkenaan boleh dibuka kepada guru atau PTD.

Kerjaya keguruan mempunyai 18 laluan naik pangkat sama ada secara time-based atau pintas. Namun, gred tertinggi bagi guru yang berkhidmat di sekolah ialah guru cemerlang (gred khas C), atau pengetua cemerlang (Jusa C). Untuk gred perjawatan lebih tinggi, guru perlu berkhidmat di JPN atau KPM sebagai pegawai tinggi bertaraf pengarah atau yang setara.

Berdasarkan SBPA Belanjawan 2012, guru boleh mencapai gred DG 48 dalam tempoh 16 tahun perkhidmatan, serta berpeluang naik pangkat hingga gred DG 52 bagi guru PdP. Kementerian Pelajaran telah berjaya melaksanakan transformasi kerjaya keguruan yang sebelumnya dianggap sebagai pilihan terakhir penjawat awam walaupun anggapan itu tidak tepat. Banyak daripada guru telah berjaya muncul sebagai tokoh pemimpin politik dan korporat yang hebat apabila memiliki peluang berbuat demikian.

Persepsi tentang bidang tugas atau beban kerja guru harus diukur menerusi instrumen penyelidikan yang memiliki kesahan dan kebolehpercayaan yang signifikan. Segala etika, tatacara dan rumusan yang dalam sepanjang proses penyelidikan hendaklah dipatuhi sepenuhnya. Sebarang unsur berat sebelah dan prasangka hendaklah disingkirkan tanpa kompromi.

Dari segi penggubalan sesuatu dasar, kaedah analisis hujah dialektik juga perlu diambil kira. Hujah-hujah yang saling bertentangan hendak dibandingkan secara saksama. Jika perlu, satu referendum boleh ditadbir kepada kumpulan sasaran yang akan terbabit dengan dasar yang hendak dilaksanakan.

Keberanian Kementerian Pelajaran memansuhkan percubaan projek rintis 9 jam kerja itu ialah hadiah gembira tahun baharu 2012. Persepsi masyarakat tentang bidang kerja guru mesti jelas dan tidak berdasarkan kes-kes terpencil yang mereka mungkin dengar dan lihat. Kaum guru juga mesti iltizam terhadap proses penambahbaikan kerjaya dengan menjadi pakar dalam bidang mereka sendiri, contohnya secara sukarela aktif dalam penyelidikan tindakan di sekolah...

Friday, November 18, 2011

PEMAIN MALAYSIA NAIK BARRACUDA DI GELORA SENAYAN (FANATIC SUPPORTERS MUST ALSO BEHAVE)

Dari satu segi, sokongan padu terhadap pasukan sendiri memang amat wajar. Selalunya, pasukan yang bertanding di laman sendiri bakal memiliki kelebihan untuk memenangi perlawanan berdasarkan tahap moral dan psikologi yang tinggi. Namun, kalau tidak kena gayanya, kelebihan yang dimiliki boleh bertukar menjadi senjata makan tuan.

Malaysia dan Indonesia ialah dua buah negara serumpun yang punya banyak persamaan dari segi bahasa, budaya dan sejarah. Sebagai jiran, sekali sekala tercetus juga perselisihan faham, misalnya pertindihan sempadan negara, paten batik dan tarian, serta beberapa isu kecil yang lain. Setakat ini, kebijaksanaan hubungan dua hala yang terjalin sekian lama telah berjaya mengekang sebarang bentuk provokasi daripada terus berkembang menjadi krisis diplomatik yang serius.

Jakarta dan Palembang menjadi tuan rumah Sukan Asia Tenggara (Sea) edisi 2011, mengatasi saingan Bandung dan Semarang. Sejumlah USD200 juta (RM650 juta = hampir 200 bilion rupiah) telah diperuntukkan bagi menjayakan temasya dwitahunan berkenaan. Sudah pasti perbelanjaan itu akan mencetuskan rantaian aktiviti ekonomi lain, atau wujud kesan pengganda yang mendatangkan pendapatan kepada rakyat Indonesia. Perancangan yang berhemat akan mengelakkan nasib yang dialami oleh Greece (muflis selepas penganjuran Olimpik) menimpa negara-negara penganjur Sukan Sea.

Upacara perasmian yang penuh warna dan gemilang sekali dengan teknologi lampu dan laser yang canggih di Stadium Palembang mempamerkan sambutan hangat tuan rumah kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian. Secara simbolik, Indonesia berjaya menonjolkan era gemilang empayar Sriwijaya, kekuatan semasa dan akan datang mereka. Dengan saiz negara dan jumlah penduduk yang besar, Indonesia memang memiliki potensi untuk muncul sebagai kuasa ekonomi dan sukan dunia.

Skrip yang berlainan terjadi di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta apabila skuad bola sepak kedua-dua negara berjiran membuat perhitungan. Indonesia mencatur tekanan psikologi dengan menurunkan pemain-pemain simpanan, sedangkan Malaysia dengan misi wajib menang menurunkan kesebelasan utama. Sejumlah hampir 100,000 penonton tempatan juga membuat bising ketika lagu "Negaraku" berkumandang.

Selain itu, rakan atlet lain juga dinasihatkan supaya tidak datang ke stadium, tetapi hanya menonton perlawanan di hotel penginapan masing-masing. Stadium menjadi senyap sepi apabila Syahrul Azwari Ibrahim, pemain kelahiran Tumpat, Kelantan yang baharu masuk tiga minit sebagai pemain gantian berjaya membuat jaringan cantik melepasi jangkauan penjaga gawang Indonesia. Harga yang dibayar untuk kemenangan sesudah 8 tahun itu sangat mahal.

Sekumpulan penyokong fanatik tuan rumah tidak dapat mengawal emosi, dan dilaporkan mencemuh skuad bola sepak Malaysia sebagai maling (pencuri). Pihak keselamatan (pak polisi) tidak mempunyai pilihan lain, kecuali mengiringi skuad Malaysia dengan menaiki barakuda, kenderaan kereta kebal pasukan polis republik itu. Mereka tidak pulang dengan bas eksekutif sebagaimana lazim.

Andai kedua-dua pasukan bertembung semula dalam aksi akhir, keadaan yang sama mungkin berulang. Hanya diharapkan bahawa penyokong tuan rumah mempamerkan semangat kesukanan dan menghormati tetamu kerana bola sepak ialah acara sukan, bukan peperangan soldadu antara dua buah negara. Sebagaimana tingkah laku budiman rakyat Indonesia di gedung beli belah dan jalan raya, begitulah hendaknya di stadium...

Nota:

1  Barracuda berasal daripada nama ikan alu-alu yang boleh mencapai saiz hingga 6 kaki panjang di kawasan air masin.

2  Seperti dijangka, Malaysia kembali bertembung dengan skuad tuan rumah pada aksi akhir setelah berjaya menafikan cabaran Myanmar 1-0 (Fakri Sha'rani, 85), manakala Indonesia menewaskan Vietnam 2-0.

3  Persatuan Bola Sepak Indonesia patut mengambil pengajaran daripada Lubnan yang dihukum oleh Fifa, iaitu bermain dalam stadium tanpa penonton di laman sendiri. Ancaman keselamatan terhadap mana-mana pegawai dan atlet merupakan kesalahan yang amat serius. Tindakan keras perlu dikenakan kepada tuan rumah yang gagal mengawal tingkah laku penyokong mereka.

PENDIDIKAN PERCUMA DAN PEMBERIAN RM100:KISAH-KISAH LUCU (NO CHILD LEFT BEHIND POLICY)

Di Amerika Syarikat, Akta Tiada Murid Tercicir (No Child Left Behind Act) dimulakan pada era George W. Bush tahun 2001. Sebelum itu, bekas pelakon koboi gred B Hollywood yang berjaya menghuni Rumah Putih, Ronald Reagan melancarkan dokumen reformasi pendidikan Amerika Syarikat, A Nation At Risk pada tahun 1983. Kedua-dua penyata penting itu banyak mempengaruhi sistem pendidikan Amerika Syarikat yang mengamalkan dasar disentralisasi, atau pengurusan berasaskan sekolah.

Perkembangan pendidikan Amerika Syarikat, Britain dan negara maju yang lain memang sentiasa menarik perhatian penggubal dasar pendidikan dan para penyelidik. Begitu juga dengan program pengajian tinggi yang bersifat terbuka. Universiti di sana menjadi gah dan terkenal justeru menghimpun sarjana ulung yang datang daripada pelbagai negara asing yang mungkin dianggap sebagai terbuang di negara sendiri.

Malaysia sendiri sedang menuju era transformasi pendidikan bagi menyokong model ekonomi pendapatan tinggi. Banyak program rintis seperti nisbah 60:40 untuk enrolmen pelajar sains kepada pelajar sastera. Penawaran program aliran sains dan teknikal menjadi bukti kesungguhan ke arah matlamat berkenaan.

Kekangan aksesibiliti pendidikan berkualiti ialah kewangan, kesedaran dan motivasi. Kisah kejayaan segelintir tokoh yang berjaya dari segi kebendaan tidak dapat menutup hakikat betapa di luar sana jauh lebih ramai kanak-kanak yang perlu campur tangan pihak lain supaya mereka mampu keluar daripada putaran kesempitan peluang yang mereka hadapi. Ringkasnya, mereka sering tersekat oleh kekurangan biaya.

Apabila yuran peperiksaan awam, kecuali Muet, dihapuskan, Malaysia sudah memulakan langkah menjurus pendidikan percuma. Kini, bantuan sekolah sejumlah RM500 kepada isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan pemberian khas one off sebanyak RM100 kepada semua murid sekolah untuk tahun 2012 mengukuhkan konsep itu. Walaupun muncul cakap-cakap tentang pilihan raya, kepada kanak-kanak, bantuan sebesar itu mungkin sahaja membuka laluan ke arah kecemerlangan dalam pencapaian pendidikan mereka.

Entah apa yang ada dalam fikiran para murid dan ibu bapa yang langsung tidak menyangka memperoleh bayaran pindahan, iaitu wang yang diterima oleh seseorang tanpa sumbangan produktif. Sekolah harian menghendaki ibu bapa hadir bagi serahan wang RM100 itu, manakala sekolah asrama penuh melakukan serahan langsung kepada murid. Kanak-kanak dalam kalangan keluarga berpendapatan tinggi turut menikmati pemberian berkenaan. 

Ada beberapa kisah lucu tentang serahan pemberian yang dilaksanakan semalam (Khamis 17/11/11) dan hari ini. Ada dua orang ibu yang baharu menerima wang pemberian bagi pihak anak masing-masing singgah di sebuah restoran. Setelah minum, salah seorang mereka berkata, "wah, ini boleh lapor ke suruhanjaya pencegah rasuah, salah guna wang awam!"

Si ibu yang satu lagi hanya mampu membentak di dalam hati, "sudah dibelanja, banyak songeh pula!" Belum lagi kisah mereka yang ke hulu ke hilir di kawasan sekolah untuk bertemu guru yang diamanahkan menyampaikan pemberian. Maklumlah, selalu bayar duit kepada sekolah, sekarang sudah terbalik!

Pasti ada banyak kisah lucu yang terjadi. Namun, semua itu hanyalah sebagai anekdot kepada sebuah impian besar pendidikan percuma. Masa bakal menjadi hakimnya...

Thursday, November 17, 2011

PROSES PENERBITAN MAJALAH SEKOLAH (NO TALK, ACTION ONLY)

Antara oleh-oleh kenangan yang dibawa oleh warga sekolah saban tahun ialah majalah sekolah. Naskhah itu hasil buah tangan sidang redaksi dalam kalangan pelajar sendiri menerusi bantuan dan bimbingan guru-guru penasihat yang berpengalaman. Walaupun laman sosial internet sedikit sebanyak menghakis minat membaca bahan fizikal seperti buku dan majalah sekolah, kelebihan dari segi data pencapaian dan maklumat organisasi sekolah menjadi sebab bahawa kebanyakan sekolah masil kekal dengan penerbitan bersifat tradisional itu.

Jawatankuasa majalah sekolah diletakkan di bawah pentadbiran Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Bergantung kepada bilangan guru sesebuah sekolah, sekumpulan guru disenaraikan sebagai panel penasihat kepada anggota sidang redaksi dalam kalangan murid. Pemilihan murid mungkin boleh dilakukan secara permohonan, senarai pendek dan temu duga, mahupun dipilih secara terus berdasarkan beberapa kriteria yang perlu.

Setiausaha jawatankuasa (panel penasihat) secara automatik hadir dalam mesyuarat induk pengurusan hal ehwal murid untuk menerima arahan dasar, di samping peringatan tentang keperluan akta pendidikan dan pekeliling lain yang berkuat kuasa. Setelah itu, setiausaha akan memanggil mesyuarat penuh jawatankuasa untuk perincian spesifikasi tugas setiap seksyen. Minit mesyuarat terakhir tahun sebelumnya dan post mortem akan menjadi panduan penting bagi tindakan selanjutnya.

Jadual kerja dan pelan luar jangka juga dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa yang pertama itu. Tatacara protokol yang melibatkan pihak berkuasa pendidikan dan tokoh tertentu akan diberi perhatian supaya tiada sebarang kesulitan yang bakal timbul. Contohnya, kata-kata aluan membabitkan menteri pelajaran, pengarah pelajaran negeri dan pegawai pelajaran daerah.

Jawatankuasa seksyen kata-kata aluan biasanya menyediakan draf awal untuk pertimbangan pihak yang disebutkan. Dengan kebanyakan pegawai tinggi pelajaran mempunyai setiausaha dan pembantu peribadi, teks kata-kata aluan yang seragam mungkin telah disediakan. Cuma foto terkini pegawai berkenaan perlu diperoleh.

Jawatankuasa panel penasihat setiap seksyen akan memulakan proses kerja dengan memanggil anggota sidang redaksi yang diletakkan di bawah seliaan masing-masing. Misalnya, bahagian maklumat am sekolah dan pencapaian, peristiwa utama sekolah (4 program wajib: hari anugerah kurikulum, hari anugerah kokurikulum, mesyuarat agung PIBG dan kejohanan sukan tahunan), peristiwa khas yang lain, petikan berita dan foto kelas. Laporan persatuan, kelab, permainan, sukan dan unit pakaian seragam hendaklah dikumpul secara sistematik dengan sistem borang yang mudah dan alamat e-mel majalah bagi mewujudkan fail soft copy yang bakal menyenangkan tugas bacaan pruf dan percetakan.

Mesyuarat jawatankuasa panel penasihat lazimnya dibuat sebaik usai mesyuarat induk hal ehwal murid yang diadakan tiga tahun sekali. Perjumpaan teknikal mengikut seksyen jawatankuasa majalah perlu kerap diadakan supaya jadual perancangan kerja dipatuhi. Sesetengah sekolah menetapkan bahawa majalah hendaklah diedarkan pada tahun semasa, manakala sesetengah sekolah yang lain berbuat demikian awal tahun berikutnya supaya laporan penuh tahunan dapat dimuatkan.

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mempunyai lebih daripada 2,000 orang murid berpeluang menubuhkan kelab penulisan dan penerbitan dalam kalangan pelajar prauniversiti tingkatan 6. Peluang juga dibuka kepada murid tingkatan 4 yang dikenal pasti memiliki keupayaan tertentu untuk dimasukkan dalam pasukan redaksi. Biasalah bahawa dalam sesebuah organisasi akan ada orang yang laju, yang perlahan, yang banyak alasan dan yang banyak sungutan...

Wednesday, November 16, 2011

DEBARAN STPM 2011 BAKAL BERMULA (THE FINAL HURDLE TO UNIVERSITY)

Rabu, 16/11/11 = 20 Zulhijjah 1432

Sejumlah 53,724 orang calon akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 744 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai Isnin hadapan, 21 November hingga 15 Disember ini. Daripada jumlah itu, 48,272 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,258 calon sekolah swasta, 4,003 orang calon persendirian individu, 187 calon sekolah kerajaan negeri, dan empat orang calon Sekolah Integriti.

Calon-calon dinasihatkan supaya pergi ke pusat peperiksaan terdekat dan melaporkan diri kepada Ketua Pengawas di pusat itu jika berlaku bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh yang menyukarkan mereka sampai ke pusat peperiksaan yang sepatutnya. Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), dalam kenyataan hari ini, menyatakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh peperiksaan itu, operasi Bilik Gerakan MPM beroperasi bermula 7.30 pagi hingga 6.00 petang dan boleh dihubungi di talian 03-61302666/03-61369663/03-61302664/03-61302646.

Sementara itu, MPM turut mengingatkan calon supaya sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) sepanjang peperiksaan di samping menyemak nama pusat peperiksaan. Calon-calon boleh melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my untuk mencetak butiran pendaftaran mereka. - BERNAMA  (petikan Berita Harian Online)

Tuesday, November 15, 2011

DEBAT GURU DI SEKOLAH 9 JAM MAKIN HANGAT (QUEUEING IDEAS ABOUT EDUCATION)

Kira-kira 5,000 orang guru daripada 104 buah sekolah di Kedah, Melaka, Johor dan Sarawak terbabit dengan program percubaan kerja 9 jam sehari. Bahang berita itu juga turut tersebar dengan pantas dalam kalangan warga pendidik di sekolah-sekolah seluruh negara yang kini mencecah bilangan 400,000 orang. Tidak semena-mena isu yang membabitkan kerjaya keguruan dilanda titik-titik panas yang mengundang resah.

Idea persekolahan satu sesi sudah sekian lama dilontarkan, tetapi masih belum dapat dilaksanakan secara tuntas. Paradoks sekolah kurang murid (SKM) dengan sekolah rebutan ibu bapa nampaknya berlanjutan. Sesetengah sekolah memiliki aura yang cukup kuat, manakala banyak sekolah pula bersifat biasa-biasa sahaja berdasarkan persepsi masyarakat.

Sejak dahulu kala terdapat begitu banyak metafora tentang guru sekolah. Antara yang paling klasik tetapi goyah ialah "guru ibarat lilin, membakar diri sendiri untuk menerangi orang lain". Kalau metafora itu benar, maka bermakna bahawa guru ialah golongan yang kerjanya hanya tahu berkorban demi kesejahteraan pihak lain.

Kemudian, ada pula metafora bahawa guru ialah matahari yang menyebarkan cahaya. Namun, matahari berada pada jarak yang sangat jauh dan tidak mungkin mampu didekati. Guru pula sangat dekat dengan murid, malah paling mampu menahan sabar terhadap aneka ragam tingkah laku tunas muda yang masih meniti perjalanan awal kehidupan yang penuh onak dan duri.

Metafora yang lebih adil dan tepat boleh diperoleh menerusi buku tentang kaedah pengajaran (pedagogi) dan ilmu jiwa (psikologi). Misalnya guru ibarat pelakon (selebriti), guru ibarat hakim, guru ibarat sahabat, guru ibarat pemimpin, guru ibarat pengurus dan banyak lagi. Gambaran tentang kepelbagaian peranan guru di bilik darjah dan di luar bilik darjah diungkapkan dengan lebih menyeluruh.

Dari segi undang-undang, guru juga memegang peranan in loco parentis, iaitu sebagai ganti ibu bapa untuk menjaga (dan merawat) kanak-kanak dan remaja di sekolah, atau mengambil alih peranan ibu bapa dengan batasan berjaga-jaga (duty of care). Dalam masa yang sama, guru mesti waspada terhadap kemungkinan berlaku kecuaian (negligence) supaya tidak terdedah kepada tindakan undang-undang. Walaupun secara prinsipnya, majikan, iaitu kerajaan Malaysia akan menyediakan pasukan pembelaan bagi guru, peruntukan perintah am bab D (kelakuan dan tatatertib) akan digunakan terlebih dahulu dalam proses siasatan dalaman.

Dakwaan bahawa tugas guru sangat mudah, apatah lagi datang daripada daripada dapatan kajian pihak di luar kerjaya keguruan tentu sahaja satu tamparan buat kaum guru. Guru yang menduduki strata paling bawah dalam organisasi pengurusan dan pentadbiran pendidikan tidak mempunyai daya untuk membantah sebarang bentuk eksperimen yang membabitkan mereka. Hanya kesatuan guru sahaja harapan untuk bersuara lantang bagi membela nasib guru.

Sebarang bentuk perbalahan tentang beban kerja siapa lebih berat dan beban kerja siapa lebih ringan tidak mendatangkan faedah yang jelas. Hakikatnya semua kakitangan kerajaan daripada yang bertaraf Jusa hingga kumpulan pekerja rendah am ialah satu mata rantai dalam jentera perkhidmatan awam. Begitu juga dengan tenaga kerja swasta, suka rela dan suri rumah, semua sekali memiliki kapasiti dan skala sumbangan masing-masing.

Guru mungkin tidak berhadapan dengan tentera musuh atau penjenayah nekad, tetapi peranan guru dari segi keselamatan negara tidak boleh disangkal begitu sahaja. Tanpa guru dan sekolah, masyarakat akan dipenuhi oleh kanak-kanak yang lebih mudah dipengaruhi oleh emosi dan persekitaran. Ibu bapa juga tidak dapat bekerja dengan tenteram justeru sentiasa bimbang tentang kegiatan anak masing-masing yang mungkin sahaja berada di mana-mana.

Mana-mana negara yang mengabaikan guru dan sekolah akan berhadapan dengan ancaman kejahilan dan jenayah. Daya pengeluaran negara akan terjejas dan lebih banyak sumber terpaksa disalurkan kepada usaha membendung kumpulan remaja anarkis dan kader para samseng. Ibu bapa hanya mampu berderai air mata menghadapi masalah anak yang muncul bertubi-tubi.

Sebagai manusia biasa, guru ialah insan yang memiliki kekurangan dan khilaf yang berlaku tanpa sengaja setelah mereka mengambil segala langkah yang perlu. Andaian bahawa guru banyak goyang kaki memang melampau. Bahkan, musim cuti hujung tahun guru sangat singkat justeru mereka dikehendaki melaksanakan tugas peperiksaan awam sama ada sebagai pengawas, penggubal item soalan dan skema pemarkahan atau sebagai pemeriksa... 

Monday, November 14, 2011

TIGA HARI YANG SANGAT BERBEZA (PEAK AND SILENT HIT)

Tanggal 13 November 2011, hari Ahad, iaitu sehari sebelum peperiksaan SPM bermula blog ini "diserbu" dengan paparan tertinggi, iaitu sebanyak 7,072 berbanding dengan hari sebelumnya, 2,447. Pada hari SPM bermula, jumlah paparan turun kepada 1,576. Masukan paling hangat ialah "Karangan Ciri-ciri Pelajar Cemerlang" yang mencatat 1,850 paparan untuk satu hari sahaja.

Satu hari dalam bulan November 2011 berjaya mengatasi jumlah paparan dalam sepanjang bulan November 2010 yang hanya mencatat 6,554 paparan. Lonjakan sebegini hanya berlaku sekali sekala sebagaimana pasaran saham yang mengalami bull run seperti pada tahun 1993. Keadaan boleh menjadi sebaliknya apabila jumlah paparan merudum di bawah 100 kali, sama seperti keadaan pasaran saham yang lengang akibat bearish run pada tahun 1998.

Dalam keadaan biasa, blog yang bersifat pembelajaran dan perbincangan isu semasa yang tidak bersifat sensasi ini hanya mampu menarik antara 300 hingga 700 bukaan paparan sehari. Berdasarkan pemerhatian, didapati bahawa kiraan jumlah pengunjung ialah separuh daripada jumlah paparan. Dalam kata lain, seorang pengunjung blog secara purata membuka dua paparan setiap kali mereka singgah di blog ini.

Blog ini hakikatnya mendapat sokongan terbesar daripada pengunjung awal remaja, iaitu murid sekolah tingkatan 1 hingga 5 yang mempelajari komponen sastera (komsas) dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Penulis blog (PB) sentiasa berusaha menampilkan input yang terbaik berdasarkan kehendak sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran dan buku teks yang asal. PB percaya bahawa dengan menikmati karya sastera yang asal sahaja bakal membolehkan murid menyempurnakan semua tugasan pembelajaran, termasuk peperiksaan dalaman di peringkat sekolah dan juga peperiksaan awam.

Sesekali PB memasukkan artikel yang bersifat ilmiah dengan rujukan bahan bacaan yang autentik dan data penyelidikan sebenar. Perkongsian maklumat seperti itu mampu mendekatkan PB dengan pengunjung blog yang memiliki wibawa tertentu dalam bidang pemerolehan ilmu. PB berterima kasih kepada sebilangan followers yang mempunyai pengalaman menulis buku sama ada buku teks, karya sastera dan sudah menjadi otai dalam penulisan blog.

Sebagai guru Bahasa Melayu dan Ekonomi, serta sebagai penyelaras unit penyelidikan pengajian prauniversiti tingkatan 6, PB akan sentiasa menerapkan pendekatan yang seimbang dan tertib dalam setiap masukan. Dalam kata lain, walaupun kelihatan seperti penulisan popular biasa, PB akan memberi suntikan elemen bahasa, ekonomi dan penyelidikan secara sederhana. PB berhasrat untuk sentiasa mengajak pengunjung blog berkongsi pengalaman yang berguna, sesuai dengan cogan kata (tag line) "berkongsi maklumat terkini, menjana minda cemerlang dan mengharap redha-Nya...

ULASAN NOVEL "DALAM MIHRAB CINTA" (THE IMPOSTER ACCUSED THE INNOCENT)

Setelah berjaya dengan naskhah mega "Ketika Cinta Bertasbih" yang juga mencatat kutipan pecah panggung dalam versi layar perak, dan jumlah penonton tertinggi dalam versi sinetron, Pak Habib terus menghasilkan novel sensasi "Dalam Mihrab Cinta" yang juga diangkat ke layar perak. Kali ini, Pak Habib sendiri yang memegang teraju sutradara. Peranan utama diserahkan kepada Dude Herlino, pelakon yang menerima bayaran paling mahal di seberang.
bersambung...

Sunday, November 13, 2011

CALON Ph.D BENTANG KAJIAN DI LUAR NEGARA (THE WORD CLASS DOCTORAL STUDY IN MALAYSIA)

Sejajar dengan hasrat kerajaan yang menetapkan sasaran 100,000 pemegang ijazah doktor falsafah, Ph.D di bawah program MyBrains, universiti-universiti tempatan memperuntukkan lebih banyak tempat untuk pencalonan ijazah tinggi berkenaan. Beberapa insentif menarik telah diumumkan dari masa ke masa, termasuk Belanjawan 2012, bagi menarik minat lebih banyak pemegang ijazah sarjana menyambung semula pengajian mereka. Calon sarjana yang masih dalam proses penyediaan penyelidikan mereka juga boleh menukar status pengajian kepada Ph.D dengan persetujuan pihak senat universiti.

Mulai beberapa tahun belakangan, sebahagian universiti tempatan mula menawarkan mod pengajian kerja kursus yang mewakili separuh jam kredit pencalonan Ph.D. Selama ini, semua calon Ph.D harus melaksanakan penyelidikan sepenuhnya menerusi penyediaan disertasi yang diselia oleh dua orang pensyarah yang pakar dalam bidang yang berkenaan. Menerusi mod kerja kursus, tugas calon Ph.D menyiapkan bab satu hingga tiga yang bertujuan menyediakan pernyataan masalah penyelidikan dan kerangka teori tahap tertinggi mungkin menjadi lebih ringan.

Sebahagian calon Ph.D yang ditamatkan pencalonan mereka kerana tidak berjaya melepasi sesi vetting bagi mempertahankan kertas cadangan penyelidikan mereka. Proses menyediakan cadangan penyelidikan sahaja boleh memakan masa hingga setahun atau dua semester penuh. Dengan adanya mod kerja kursus, calon Ph.D dapat mengukuhkan semula keupayaan mereka dari segi format, kaedah dan model kerangka teori bagi menyokong alasan mereka melaksanakan penyelidikan sebagaimana yang dicadangkan.

Calon Ph.D yang melepasi sesi vetting boleh dianggap sudah menyelesaikan separuh jalan menuju pencalonan ijazah tertinggi itu. Mereka sudah mendapat lesen bagi mengemas kini kerangka teori (bab 2) dan kaedah penyelidikan (bab 3). Tugas mengumpul data dan membuat analisis data mungkin memakan masa yang lebih panjang, tetapi boleh dianggap sebagai sudah menghala ke garis penamat.

Bagi menjaga mutu siswazah Ph.D universiti tempatan, kini beberapa keperluan tambahan perlu dipatuhi oleh calon. Antaranya ialah pembentangan kertas prosiding seminar di luar negara, biasanya tidak kurang daripada tiga buah negara. Salah satu negara yang dipilih mestilah sebuah negara maju yang tidak mewartakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Contohnya, calon Ph.D mungkin memilih England sebagai destinasi pertama, diikuti oleh Brunei dan Indonesia. Terdapat juga calon Ph.D yang kurang fasih berbahasa Inggeris harus mengupah pakar untuk menterjemah kertas prosiding yang disediakan dalam bahasa Melayu. Buat permulaan, mereka boleh menggunakan perisian Google untuk proses terjemahan dan merujuk kamus dalam talian seperti Merriam-Webster untuk belajar menyebut mana-mana perkataan dengan betul.

Secara perbandingan, proses pencalonan Ph.D lebih kurang 10 kali ganda lebih sukar daripada pencalonan ijazah sarjana. Begitulah pendapat seorang profesor pendidikan di Universiti Malaya yang sudi berkongsi pengalaman beliau di Universiti Oregon, Amerika Syarikat untuk penyelidikan tentang pengajian dasar pendidikan. Calon yang berjaya melepasi sesi viva bagi mempertahan disertasi yang telah siap akan diberi ucapan tahniah dengan gelaran doktor (Dr.).

Agak lucu apabila sistem panggilan nama di negara Barat lebih mementingkan nama keluarga (surname). Kata seorang lagi profesor, "saya yang penat-penat buat disertasi, nama bapa saya pula yang disebut dalam ucapan tahniah. Misalnya, congratulation Dr. Ahmad untuk calon Ph.D yang bernama Husna.

Proses dan pengalaman yang dilalui semasa menyiapkan disertasi Ph.D memang amat mencabar. Bak kata seorang teman penulis blog (PB) yang mengikuti program Ph.D kejuruteraan jentera di United Kingdom, "macam nak pecah kepala, siang dan malam macam sudah tiada beza lagi!" Maka, sokongan kaum keluarga sangat mustahak supaya calon Ph.D yang seolah-olah berada dalam dunia aneh dan tersendiri tetap dianggap siuman...

PERSEDIAAN SAAT AKHIR PEPERIKSAAN MASIH PENTING (THE OTHER DOOR IS STILL OPEN)

Esok, Isnin tanggal 14 November 2011 bersamaan 18 Zulhijjah 1432 Hijriyyah, lebih 400,000 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula melangkah masuk ke bilik atau dewan peperiksaan. Sementara itu, kebanyakan calon Sijil Tinggi Persekolaham Malaysia (STPM) akan mula menjalani peperiksaan besar dalam hidup mereka pada hari Khamis, 17.11.11 bersamaan 21 Zulhijjah 1432. Bilangan calon STPM dijangka sekitar 40,000 orang semuanya.

Kertas terawal SPM ialah Bahasa Melayu 1 dan Bahasa Melayu 2. Calon dikehendaki menulis dua buah karangan untuk kertas 1, iaitu karangan respons tertutup (30 markah) dan karangan respons terbuka (100 markah). Pemeringkatan gred karangan yang cemerlang bergantung kepada ketepatan calon mentakrif tugasan soalan yang digambarkan menerusi isi dan huraian yang ditulis.

Karangan respons tertutup mesti ditulis berdasarkan bahan rangsangan yang disediakan dalam soalan. Isi karangan terikat kepada gambaran atau maklumat tersurat yang disediakan. Hanya huraian dan contoh sahaja yang diberi kelonggaran menggunakan idea yang munasabah dan wajar, tetapi mesti sejajar dengan isi yang dikemukakan.

Karangan respons terbuka pula mengendaki calon memilih salah satu daripada tema diri sendiri (individu), keluarga, masyarakat, negara, antarabangsa dan komsas. Minimum tiga idea utama ditampilkan, diikuti dengan pengolahan yang matang. Unsur kecindan seperti peribahasa, kata-kata hikmat, petikan ucapan tokoh, mafhum ayat suci dan hadith sepatutnya dimasukkan, tetapi tidaklah terlalu banyak.

Sesuai dengan peruntukan masa selama 135 minit, bermakna nisbah markah dengan masa ialah 1:1.35. Maknanya, soalan bahagian A (respons tertutup) perlu disiapkan dalam tempoh tidak melebihi 40 minit. Karangan bahagian B (respons tertutup) eloklah diselesaikan dalam tempoh tidak melebihi satu jam setengah supaya ada baki 5 hingga 10 minit untuk semakan sepintas lalu bagi keseluruhan jawapan.

Untuk kertas 2, buat kesekian kalinya diingatkan bahawa calon tidak harus dikuasai oleh soalan ramalan atau memori per se. Tumpukan perhatian terhadap aras soalan (petikan, kbkk, komsas) dan kata kunci dalam tugasan soalan supaya menjawab hanya yang ditanya. Keperluan huraian atau sekadar isi telah dijelaskan berkali-kali sebelum ini.

Rumusan hendaklah ditulis dalam tempoh 30 minit sahaja jika calon telah memiliki kemahiran dan latihan yang mencukupi di bilik darjah. Sediakan perenggan khas bagi isi pendahuluan, isi tersurat dan isi tersirat supaya mudah untuk membuat sebarang pembetulan, jika perlu. Calon harus memastikan beroleh markah maksimum untuk isi tersurat, justeru ambilan isi terus daripada petikan tanpa ubah suai.

Bahagian paling bermasalah ialah pemahaman yang memperuntukkan 35 markah. Calon mesti berhati-hati dengan aras soalan dan tugasan soalan seperti yang disebutkan berulang-ulang. Huraian isi jika diminta boleh ditulis dalam ayat yang sama dengan isi jawapan (selain subjek dan predikat, iaitu bahagian frasa penerangan).

Jika sesuai, jawab soalan tatabahasa dan kajian novel dalam jangka masa tidak melebihi 40 minit. Dengan itu, calon mempunyai baki masa sebanyak 180 - 70 minit, iaitu 110 minit untuk memberi fokus terhadap soalan pemahaman dan semakan keseluruhan jawapan. Walaupun demikian, saranan ini bergantung kepada strategi setiap calon yang pasti berbeza...

SELAMAT MAJU JAYA

Saturday, November 12, 2011

SIAPA KATA KERJA CIKGU MUDAH? (PERCEPTION DISTORTION ABOUT TEACHING PROFESSION)

Nasihat Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong di Alor Setar hari ini (12.11.11) supaya guru tidak 'panik' dengan projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran merujuk projek yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan di empat negeri - Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak - berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenal pasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru. "Jadi saya rasa mungkin ada guru-guru yang khuatir kerana mereka merasakan tempoh sembilan jam waktu bekerja itu tidak mengambil kira waktu persediaan mengajar dan juga penglibatan dalam ko-kurikulum. Saya rasa semua itu akan diambil kira," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Kedah, Wee berkata, projek itu bagi melihat sama ada benar pendapat orang ramai bahawa tugas seorang guru itu sangat mudah. "Saya harap semua guru di empat negeri terbabit tidak perlu risau kerana kita hanya membuat percubaan."

"Apabila projek rintis itu meyakinkan kita dan kita dapat membuat kesimpulan secara konkrit, barulah kita memperluaskannya ke semua sekolah di seluruh negara," katanya. "Jangan anggap itu (projek rintis) sebagai satu kata putus dari kementerian. Biar mereka lakukan dahulu dan melihat hasilnya," katanya.

Petikan Berita Harian Online (sumber Bernama) di atas sudah tentu mengubah status quo bahawa guru berada secara fizikal di sekolah separuh hari, iaitu mulai pukul 7.00 pagi hingga 3.00 petang. Tempoh sedia ada itu sudah berjumlah lapan jam. Kalau dilanjutkan hingga 9 jam, bermakna bahawa guru kena balik paling cepat pukul 4.00 petang.

Ada juga pengetua yang gemar mesyuarat yang panjang dan berlarutan hingga pukul 6.00 petang. Jadi guru akan berada di sekolah hampir 12 jam lamanya. Keadaan akan lebih berat bagi guru-guru di sekolah bersaiz kecil apabila seseorang guru menyandang begitu banyak tanggungjawab kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid dan pengurusan am.

Penulis blog (PB) ingin mengulang semula cerita pengalaman peribadi berbual dengan seorang kakitangan am sekolah yang beranggapan bahawa kerja cikgu sangat mudah. Cikgu berpakaian kemas, bekerja di bawah kipas angin dan memiliki waktu tidak mengajar. Dia membandingkan dirinya bekerja di bawah terik matahari, berpakaian comot dan berpendapatan rendah.

Sebagai siswazah ekonomi yang biasa berhujah tentang teori kos lepas, PB hanya menjawab soalan pekerja am itu dengan soalan juga. "Baiklah, kalau begitu sanggup tuan bertukar tugas dengan saya selama seminggu? Tuan masuk kelas dan mengajar, biar saya pula yang bermandi peluh!"

Si pekerja am hanya mampu tersengih. Dia bersetuju dengan PB bahawa setiap kakitangan di sekolah, sama ada guru atau pekerja am memiliki spesifikasi tugas yang tersendiri sesuai dengan kelayakan  dan terma perkhidmatan yang ditetapkan. Malah, dia turut mengaku bahawa pekerja am lebih bebas dan tidak menanggung beban berfikir macam cikgu.

Persepsi bahawa tugas guru sangat mudah datang daripada pandangan mata kasar sahaja. Hakikatnya tekanan yang dihadapi dalam kerjaya keguruan sukar untuk dinafikan. Guru tidak dapat mengawal profesion mereka sendiri seperti bidang ikhtisas yang lain, sebaliknya perlu akur kepada susun lapis wibawa pendidikan yang begitu banyak superior.

Guru hanyalah subordinat yang melaksanakan segala keputusan yang ditetapkan oleh superior mereka. Walaupun berada di garisan hadapan dalam agenda pendidikan, dari segi peluang naik pangkat atau peluang mengikuti rombongan ke luar negara, guru sering tercicir. Akses kepada peluang berkenaan mungkin sahaja tidak sampai kepada mereka, atau disambar lebih awal oleh superior

Persediaan mengajar ialah antara tugas yang memakan masa. Guru bukan sahaja perlu menjadi pakar kandungan, tetapi juga pakar pedagogi dan psikologi. Menjadi atau tidak sesuatu proses pembelajaran sangat bergantung kepada persediaan memindahkan kandungan pembelajaran dalam bentuk aktiviti murid secara terancang.

Pada tahun pertama PB mengajar ekonomi, proses persediaan mengajar mengambil masa purata empat jam sehari, dan perkara itu berlaku di rumah. Orang ramai tidak akan nampak, dan kalau dimaklumkan mungkin memberi ulasan amatur mereka yang bersifat berat sebelah dan falasi. Usah cakap tentang menanda tugasan murid, merancang dan menyediakan item pentaksiran, serta menjalankan tanggungjawab untuk pelbagai jawatankuasa di sekolah.

Kajian eksperimental tentang beban tugas guru masih belum diumumkan. Begitu juga dengan kemudahan di sekolah bagi keselesaan perkhidmatan yang sejajar dengan status guru sebagai ahli ikhtisas. Jika guru juga pulang lewat malam dalam keadaan lesu setiap hari, adakah perkara itu menjadi jaminan bahawa persepsi orang ramai bahawa tugas guru sangat mudah dapat diubah?