SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, March 9, 2012

PEMBELAJARAN KOMSAS DI SEKOLAH MENENGAH (ATTENTION AND ENGAGEMENT IN LEARNING)

Sekurang-kurangnya generasi muda kita pernah diberitahu tentang wujudnya pelbagai genre karya sastera penulis tempatan. Demikianlah harapan yang lebih realistik tentang pelaksanaan komponen sastera (komsas) di dalam bilik darjah. Justeru keperluan memperoleh skor tertinggi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu turut menyumbang terhadap tumpuan murid terhadap komsas.

Sepatutnya komsas akan menjadikan aktiviti pembelajaran lebih meriah dan mengujakan. Murid beroleh pengalaman pembelajaran yang menakjubkan menerusi kebijaksanaan dan segala kebaikan yang disampaikan lewat karya sastera terpilih. Antologi dan novel dibaca serta dibincangkan dalam kerangka pemupukan citra dan jati diri modal insan minda kelas pertama masyarakat kita.

Komsas biarlah dipelajari seadanya. Komsas tidak perlu dianalisis terlalu mendalam seperti mata pelajaran sastera tulen. Kepelbagaian latar belakang dan pencapaian murid mesti diambil kira.

Buku teks komsas bukanlah beban tambahan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Sebaliknya, seluruh karya yang terpilih boleh dijadikan bahan dan modul untuk aktiviti pembelajaran bahasa. Dalam kata lain, kaedah gabung jalin dan kontekstual akan bersifat sambil menyelam minum air.

Tanpa disedari lambakan buku ulasan komsas di pasaran telah mengalih perhatian murid daripada membaca karya sebenar daripada antologi dan novel yang ditetapkan. Alasan mereka ialah karya asal dalam teks sangat sukar difahami kerana sarat dengan bunga bahasa, falsafah dan jargon. Tambahan pula, buku bertaraf sekunder itu turut memuatkan format soalan dan contoh jawapan untuk tujuan peperiksaan.

Cabaran utama pembelajaran komsas ialah sikap asal ada dan sambil lewa. Komsas dilayan bagaikan bahagian asing dan tersendiri dalam pembelajaran bahasa. Komsas tidak dinikmati sebagai pengalaman pembelajaran yang kritikal.

Sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan. Pembelajaran komsas harus direka bentuk berdasarkan tujuan asal komsas diperkenalkan. Pembelajaran komsas juga mengukuhkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam kalangan murid.

Menerusi aktiviti pembelajaran komsas di bilik darjah, murid memiliki satu lagi kesempatan untuk proses luahan fikiran dan perasaan. Murid dibimbing supaya dapat menghargai disiplin berfikir secara bersahaja, tetapi tertib. Segala potensi dan fakulti dalam diri murid dapat dikembangkan ke tahap optimum menerusi aktiviti pembelajaran komsas yang sentiasa membahagiakan diri mereka...

No comments: