SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, March 29, 2012

PEMBIAYAAN SEKOLAH BANTUAN MODAL (FUN FAIR FOR RAISING SCHOOL DEVELOPMENT FUND)

Proses sejarah telah menjadikan sistem pendidikan negara kita begitu unik. Meskipun dasar berpusat (sentralisasi) menjadi amalan dalam pelaksanaan kurikulum kebangsaan, sekolah-sekolah vernakular dan bantuan modal mubaligh masih wujud. Demikian juga dengan sekolah swasta, antarabangsa dan pelbagai institut maahad tahfiz di seluruh negara.

Hanya sekolah bantuan penuh kerajaan menikmati peruntukan kewangan yang menyeluruh dari segi emolumen dan prasarana sekolah. Sekolah bantuan modal pula menerima pembiayaan dari segi emolumen dan geran per kapita murid, tetapi perlu mencari dana sendiri untuk pembangunan fizikal sekolah. Sekolah swasta, termasuk ma'ahad tahfiz yang bukan bertaraf sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) harus menanggung segala kos pengurusan sekolah sama ada gaji guru, mahupun penyediaan prasarana sekolah.

Sekolah bantuan modal dengan pangkal nama saint (St.), Convent, Methodist dan semua sekolah mission diasaskan oleh rangkaian pendidikan gereja yang berbeza semasa era penjajahan dahulu. Kini, semua sekolah berkenaan diletakkan pangkal nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sebagai tanda bahawa dasar-dasar sekolah tertakluk kepada kehendak sistem pendidikan kebangsaan. Melainkan kemudahan prasarana fizikal, sekolah mission juga menikmati peruntukan kewangan yang besar daripada pihak berkuasa pendidikan.

Antara jalan bagi mengumpul dana pembangunan fizikal ialah menerusi projek-projek yang bersifat amal dan sumbangan derma. Pihak sekolah bersama PIBG, persatuan bekas pelajar dan lembaga pengelola sentiasa berganding bahu bagi menggembleng segala sumber dan upaya untuk menjayakan semua projek yang dirancang. Ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah bantuan modal juga sudah faham benar tentang keperluan memberi sokongan dan sumbangan terhadap projek mengumpul dana pembangunan sekolah.

Projek pementasan drama tahunan ialah antara contoh usaha mengumpul dana. Semua tenaga penggerak darma bermula daripada pengurusan, penulisan skrip, pelakon dan teknikal dikendalikan sendiri oleh sumber dalaman sekolah, terutama dalam kalangan guru dan murid. Drama yang hendak dipentaskan perlu melepasi tapisan pihak berkuasa pendidikan supaya sentiasa sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan dalam akta pendidikan dan pekeliling yang berkuat kuasa.

Kebiasaannya,hasil jualan tiket hanya mewakili 20 peratus sasaran pungutan dana. Jumlah kutipan yang lebih besar datang daripada sumbangan dan tajaan individu dan organisasi korporat tertentu. Hasil kutipan bersih diperoleh setelah ditolak bayaran teknikal yang disewa daripada pengendali profesional luar sekolah.

Sekolah bantuan modal juga menganjurkan konsert pancaragam sekolah dan pertandingan muzikal. Walaupun jumlah kutipan mungkin tidak begitu lumayan seperti pementasan drama, pengurusan dan kos pengendalian acara muzikal lebih rendah. Sesetengah sekolah mengadakan pementasan drama dan pertandingan muzikal secara berselang tahun.

Pada tahun-tahun tertentu seperti sambutan jubli perak (25 tahun), jubli emas (50 tahun) dan se-abad (100 tahun), pementasan darma dan pertandingan nyanyian dijalankan sekali gus. Malah, sekolah juga mengadakan pesta ria kebajikan dan karnival keusahawanan murid. Pembeli kupon sudah faham bahawa mereka dengan rela hati membayar lebih demi sumbangan kepada pihak sekolah.

Pengunjung boleh membeli tiket menerusi urus setia pesta ria sekolah terlebih awal atau pada hari berkenaan. Kupon boleh ditebus dengan pelbagai item jualan yang ditawarkan. Pembeli kupon sudah pasti berebut-rebut menghabiskan kupon mereka dengan membeli secara "rambang mata" bagi mengelakkan kupon itu hanya bernilai sebagai cebisan kertas biasa sebaik tempoh pesta ria tamat.

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) misalnya bakal menganjurkan pesta ria pada 29 April akan datang. Pelbagai acara dan jualan akan disediakan kepada semua pengunjung yang bermurah hati. Pengunjung juga memiliki kesempatan untuk mengenali lebih dekat warga SMI, terutama pelajar yang bijak-bijak belaka...

No comments: