SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, November 4, 2012

WADAH KESINAMBUNGAN ABIM (POST-YOUTH AGE ORGANISATION)

Apabila dasar belia negara menetapkan had usia anggota dan pemimpin pertubuhan belia mestilah dalam kalangan individu berusia 35 tahun ke bawah, secara automatik orang-orang muda beroleh kesempatan untuk menerajui organisasi belia. Semua pertubuhan belia bergabung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM). Kebetulan, ibu pejabat Perhimpunan Belia Sedunia (World Assembly of Youth, Way) bertempat di Ayer Kroh, Melaka sejak diterajui oleh Datuk Ali Rustam dan kini Datuk Haron Idris, ahli parlimen Tangga Batu.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ialah sebuah pertubuhan belia yang begitu berjaya dan disegani. Di samping sebagai anggota MBM, Abim mempunyai hubungan rapat dengan Himpunan Pertubuhan Islam Sedunia (Wamy) dan organisasi Islam yang lain. Sejak mula ditubuhkan, Abim terkenal dengan peranan jurubicara ummah dan imej non-partisan.

Pendekatan Abim yang berteraskan intelektual telah menarik banyak cerdik pandai dan profesional menyertainya. Salah seorang bekas presiden Abim yang menonjol ialah Dato' Dr. Siddiq Fadhil. Anak kelahiran Sungai Tiang, Bagan Datoh, Perak itu ialah bekas guru lepasan maktab yang kemudiannya memperoleh ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian Kelas Pertama dari Universiti Malaya. Beliau seterusnya memperoleh ijazah sarjana persuratan (M.Litt) dan doktor falsafah (Ph.D) dengan cemerlang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi penyeliaan cendekiawan terkemuka, Profesor Dr. Syed Mohd Naquib al-Attas.
Kegiatan jemaah tidak mungkin tamat begitu sahaja selepas usia belia. Maka, Dr. Siddiq bersama rakan-rakan beliau menubuhkan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) bagi memanfaatkan pengalaman intelektual dan lapangan bekas aktivis Abim. Wadah masih mengekalkan hubungan erat dengan Abim bagi meneruskan tradisi belia yang berperanan sebagai jurubicara ummah.

Wadah muncul sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat perhatian begitu cepat. Dr Siddiq sebagi tokoh yang disegani bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia Islam, tidak menang tangan memenuhi jemputan dari dalam dan luar negara bagi menyampaikan input inteletual dan pengalaman lapangan beliau. Di peringkat negeri, Wadah juga mula mempunyai rangkaian yang teratur.

Kini, Wadah telah mencapai usia enam tahun penubuhannya. Muktamar Nasional Wadah keenam baharu sahaja berlangsung pada pertengahan bulan September lalu  di Kompleks Dar Al Hikmah, Sungai Ramal Dalam, Bandar Baru Bangi. Semangat belia kelihatan masih menjelma dan berkobar-kobar dalam kalangan anggota Wadah yang sudah pun berstatus mantan aktivis Abim.

Wadah bukan sebuah pertubuhan bersifat nostalgia, tetapi sebagai pertubuhan orang dewasa yang menyambung perjuangan belia yang pernah disertai sebelumnya. Jika Abim dianggotai oleh kaum belia berusia antara 16 - 35 tahun, Wadah pula menampung bekas belia aktivitis Abim tanpa had umur. Selagi masih sihat dan boleh menyumbang, anggota Wadah akan terus memainkan peranan aktif di tengah-tengah masyarakat pelbagai lapisan.

Pidato Perdana Dato' Dr. Siddiq Fadhil bertajuk 'Al-Amr bi'l-ma'ruf wa'n-nahyu an'il-munkar dalam konteks demokrasi' di Chepor membuktikan idealisme dan intelektualisme yang tidak pernah goyah dalam diri beliau. Pidato Dr Siddiq tetap hebat, iaitu berselang seli antara ungkapan intelektual dan kecindan. Bagi beliau, perjuangan orang baik-baik dapat dirangkumkan dengan ketegasan al-amiruna bi'l-ma'rufi wa'n-nahuna ani'l-munkar (surah at-Taubah, 9:112) menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, serta dilakukan secara jemaah...

No comments: