SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, December 25, 2012

BENCANA BANJIR PERINGATAN ALLAH (BOATS ON THE ROAD)

Tahun lalu, bandar Kajang mengalami banjir paling dahsyat dalam sejarah apabila ditenggelami air akibat pengurusan saliran dan perancangan bandar yang mungkin terlepas pandang terhadap kemungkinan paling buruk. Tahun ini giliran bandar raya Kuantan mengalami nasib yang serupa. Negara tetangga, iaitu Indonesia dan Thailand juga berhadapan dengan ujian getir bencana alam yang datang dengan pakej risiko wabak penyakit bawaan air seperti taun dan masalah kulit.

Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan Jepun tidak terkecuali, malah lebih dahsyat justeru dibadai oleh taufan daripada lautan lepas yang tiada penampan. Pelbagai teknologi termaju tentang amaran bencana alam digunakan supaya mangsa bencana alam dapat mengambil langkah berjaga-jaga dan membuat tindakan yang perlu. Pasukan bantuan bencana juga dilengkapkan dengan data dan statistik yang merangkumi semua prospek mangsa dan persediaan lojistik penempatan sementara mangsa.

Di negara kita, ancaman banjir tidak seburuk negara tanah rendah seperti Bangladesh. Pasukan pengurusan bencana di bawah Majlis Keselamatan Negara akan segera diaktifkan meliputi pelbagai pasukan bantuan pasukan pakaian seragam, perubatan dan sukarela. Pertubuhan politik juga bertungkus-lumus menghulurkan bantuan yang perlu tanpa mengira latar belakang mangsa, sama ada penyokong atau prospek bukan pengundi mereka.

Pada musim banjir ini, golongan bangsawan dan kenamaan sibuk menunjuk muka di pusat penempatan sementara mangsa. Walaupun hakikatnya mereka tinggal di rumah agam dan kediaman yang mewah, setidak-tidaknya amalan menjenguk rakyat jelata yang ditimpa musibah tetap merupakan amalan yang terpuji. Sekurang-kurangnya mangsa banjir berkesempatan bersua muka dengan pemimpin yang jarang-jarang ditemui dan berkemungkinan pula dilaporkan dalam media massa.

Sifat air ialah rata pada permukaan, walaupun kawasan laluan air berkenaan terdapat longkang, lubang atau objek berbahaya. Warna air banjir pula keruh dan tidak jernih mengakibatkan mangsa tidak dapat mengagak keratan rentas permukaan kawasan yang dilalui. Ibaratnya mangsa banjir seperti orang kelainan upaya penglihatan yang memerlukan bantuan tongkat dan alat pengesan permukaan yang disangka sebagai jalan.

Kenderaan dan jentera juga perlu diletak di kawasan yang lebih tinggi dan selamat bukan sahaja dari segi kerosakan komponen jentera, bahkan daripada penyangak dan pengutip besi buruk. Dalam keadaan banjir, kenderaan ringan seperti motosikal dan kereta penumpang biasa boleh dihanyutkan oleh kederasan air banjir. Tayar kenderaan sebagai sentuhan terakhir dengan permukaan jalan sudah bertukar menjadi pelampung berat yang boleh jadi timbul atau terus tenggelam

Banjir menguji kesabaran insan sama ada mangsa atau petugas bantuan kecemasan. Banyak kehilangan dan keskuraran akan ditempuhi. Kehidupan harian biasa terjejas dan sisi keselesaan peribadi terpaksa dikorbankan.

Keadaan di tempat pemindahan sementara sudah tentu sempit dan terbuka pula tanpa pemisahan fizikal (bilik khusus) untuk seisi keluarga. Kaum wanita dan anak perempuan yang wajib menjaga aurat masing-masing lebih daripada kaum lelaki bakal berhadapan dengan cabaran getir. Bertudung kepala 24 jam bukan suatu perkara yang mudah, kecuali dengan benteng keimanan yang kental.

Mangsa di pemepatan sementara juga terdedah kepada risiko kacau ganggu. Anak-anak remaja juga semakin sukar dikawal dan bercampur gaul tanpa dapat ditegur dengan tegas sebagaimana di rumah. Wewenang ibu bapa tergugat, manakala autonomi remaja semakin terserlah. 

Maka, di samping kunjungan orang-orang kenamaan, perkhidmatan kaunseling patut disediakan bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mangsa banjir dan juga petugas bantuan kecemasan. Ibadah solat berjemaah boleh dihidupkan, diikuti oleh tazkirah yang sangat ringkas supaya input ilmu yang berkesan dapat menghiburkan hati mangsa banjir yang gundah gulana. Setiap musibah yang melanda pasti terkandung hikmah dan iktibar di sebaliknya...

No comments: