SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, December 7, 2012

PERSEKITARAN RUMAH IDAMAN (PALACE WE MAY ROAM)

Sekali lagi disebutkan bahawa disiplin pengurusan cenderung memberi takrif rumah sebagai ruang pemisahan fizikal yang memboleh para penghuninya melakukan kegiatan persendirian. Rumah bukan sekadar tempat tinggal, tetapi mesti ada ciri jaminan keselamatan, keselesaan dan kerahsiaan seisi keluarga. Walaupun sesebuah rumah mungkin serba sederhana, tetapi penghuni rumah berkenaan masih mampu mengecap nikmat kebahagiaan dan kesejahteraan apabila ciri asas sebuah rumah yang diingini berada di hadapan mereka.

Sebaliknya, sesebuah rumah yang tersergam indah dan luas akan bertukar sebagai penjara layaknya jika ada penghuni yang berasa sengsara, resah dan tersisih. Kecanggihan dan kemewahan yang tersedia tidak mampu mengganti suasana keluarga yang ceria dan mesra. Masing-masing sibuk melayan dunia maya dan kegiatan luar rumah yang tidak pernah ada penghujung.

Kebahagiaan dan kesejahteraan dalam sesebuah rumah tangga bukan semata-mata kerana faktor kebendaan, sebaliknya jalinan komunikasi dan kasih sayang sebagai pelengkap. Komunikasi yang dibina perlu berlandaskan adab, akhlak dan ilmu yang luhur, bukan atas dasar cuba jaya. Kasih sayang bermakna wujud komunikasi mesra yang tulen, iaitu saling menghargai, tolak ansur dan kecindan.

Kepimpinan keluarga yang baik pula dibina atas asas kasih sayang, tanpa unsur kekerasan dan penderaan akibat kepercayaan terhadap prinsip hubungan kuasa (autonomi dan autokrasi) yang melampau. Sikap tegas ditunjukkan secara berbeza dengan menjurus kepada dorongan untuk anak-anak berfikir dan membuat pertimbangan yang baik, benar dan berguna. Nada suara yang lunak dan rendah tidak semestinya melambangkan kelemahan, manakala nada suara yang kasar dan tinggi tidak semestinya bakal ditakuti.

Dalam sebuah rumah idaman, pemimpin keluarga bukan sekadar mampu menyatakan arahan atau melaungkan amaran, tetapi menunjukkan jalan menerusi contoh teladan. Tingkah laku anak-anak ialah bayangan tingkah laku ibu bapa masing-masing. Anak-anak umpama salinan ibu bapa!

Jika ibu bapa berharap bahawa anak-anak sentiasa akan menghormati mereka, ibu bapa perlu menunjukkan contoh dengan memberi layanan yang terbaik kepada orang tua masing-masing. Anak-anak harus selalu dibawa menjenguk datuk nenek mereka jika masih ada, atau sesekali menziarahi pusara jika mereka telah kembali ke rahmatullah. Maka, andai kata anak-anak melihat ibu bapa asyik sibuk dengan urusan masing-masing dan mengabaikan perasaan orang tua, adakah anak-anak bertingkah laku secara berlainan?

Terdapat juga ibu bapa yang asyik melayan siaran televisyen dan mula berleter apabila anak-anak ikut serta. Alasan ibu bapa ialah mereka sudah berjaya dalam pekerjaan, sedangkan anak-anak masih di alam pembelajaran. Hakikatnya, anak-anak tidak dapat masuk ke zaman silam ibu bapa, tetapi hanya melihat tingkah laku di hadapan mata.

Di rumah keluarga masyarakat Islam, spesifikasi dan reka bentuk fizikal yang digunakan wajib akur kepada dorongan ibadah dan keselamatan akidah. Maksudnya, anggota keluarga akan sentiasa dalam kedudukan dhikrullah (mengingati Allah) dengan menjaga iman, melaksanakan kebaikan dan mencegah keburukan. Tujuan hidup masing-masing sangat jelas, iaitu demi mencapai redha Ilahi, bukan seperti binatang ternak yang tahunya makan minum dan biak.

Rumah idaman tidak pula menyebabkan para penghuni hanya mahu terperap di dalamnya tanpa menunaikan tugas dan tanggungjawab di luar rumah dan dalam kalangan masyarakat. Keasyikan yang melampau terhadap hiasan dan kemasan mewah, serta binatang peliharaan tidak sampai melalaikan mereka untuk solat berjemaah dan kegiatan kemasyarakatan yang lain. Tuntutan perjuangan untuk mengangkat martabat ummah dan kelangsungan risalah tawhid mengatasi rasa hendak bermalas-malas dalam persekitaran rumah yang disalut kemewahan dan hiburan duniawi.

Sudah tentu tidak salah untuk memiliki sebuah rumah idaman serba lengkap yang selamat dan selesa buat seisi keluarga, bahkan sangat digalakkan. Namun, setiap suatu perkara tetap mempunyai batasan dan sempadan. Pendek kata, rumah idaman yang dibina hendaklah berasaskan ciri-ciri persekitaran (bi'ah) yang kudus dan luhur...

No comments: