SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, December 25, 2012

GURU MENGGENGGAM HARAPAN TAHUN 2013 (THE DREAM SCHOOL AND CAREER IN THE NEW YEAR)

Kebanyakan sekolah sudah memulakan mesyuarat guru sepanjang minggu ini, dan bersambung pula pada hari Isnin, 31.12.2013. Sesi persekolahan yang baharu bermula pada 2.1.2013 bersamaan dengan hari Rabu, 18 Safar 1433 Hijriyyah. Ibu bapa juga telah berbelanja besar untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak, sama ada di pasaran atau di kedai buku dan koperasi sekolah.

Ternyata bahawa urusan pendidikan juga membabitkan jual beli secara besar-besaran. Pengilang, pemborong dan peruncit turut menumpang tuah kepada ibu bapa kanak-kanak yang prihatin terhadap kelengkapan pembelajaran anak masing-masing. Semasa cuti panjang yang lalu, sektor pelancongan telah menikmati caj harga puncak yang membolehkan mereka bertahan andai kata kadar penginapan dan jualan merosot sedikit pada musim persekolahan.

Beberapa buah kesatuan guru juga mengambil kesempatan untuk menganjurkan seminar dan persidangan, lalu memperakukan naskhah resolusi yang dimajukan kepada pihak Kementerian Pelajaran. Kongres misalnya telah membuat usul supaya guru bukan siswazah (diploma perguruan lepasan maktab perguruan) yang sudah mencecah usia 50 tahun diberi kenaikan automatik ke gred DG 42 (gred naik pangkat mesti diakhiri dengan angka genap bagi membezakan lantikan pertama dengan angka ganjil) tanpa perlu kelayakan ijazah sarjana muda. Kemudian, KPPK atau NUTP pula mengulangi tuntutan supaya guru yang memiliki ijazah tinggi sarjana dan doktor falsafah dianugerahkan dua dan tiga pergerakan gaji.

Hakikatnya isu gaji dan naik pangkat ini memang panas dan sensitif kepada semua pihak, sama ada dari segi terma perkhidmatan atau prinsip upah yang tulen. Cadangan Kongres akan disokong bulat-bulat oleh guru diploma maktab, tetapi reaksi yang berbeza daripada siswazah terus (fresh graduate) yang telah bertungkus-lumus semasa belajar di universiti, akibat sering terlepas pandang. Hujah Kongres ialah Kementerian Kesihatan telah melaksanakan proses berkenaan, namun sudah tentu akan ada tuntutan balas oleh guru siswazah terus yang juga mahukan keadilan akademik untuk diri mereka.

Isu guru sarjana dan Ph.D telah mendapat maklum balas positif pihak kementerian, tetapi masih tertakluk kepada kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang lebih arif tentang kemampuan kewangan kerajaan. Dalam perkhidmatan awam, setakat ini hanya kakitangan akademik dan sarjana kepakaran yang menikmati gred gaji yang berbeza antara pemegang ijazah pertama dengan ijazah lanjutan. Pensyarah universiti pula mengeluh kerana proses kenaikan pangkat ke gred 52 dan 54 lebih sukar daripada guru sekolah dengan keperluan menyiapkan sejumlah penyelidikan dan bergelar profesor madya.

Kaum guru bukan kemaruk kebendaan dan wang ringgit yang melimpah ruah justeru menerima hakikat bahawa kakitangan awam hanya masuk dalam kategori kelas pertengahan, tidak seperti ahli perniagaan yang kaya raya. Mereka hanya berharap untuk memiliki keperluan dan keselesaan seadanya supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pendidikan anak bangsa dan ummah. Pemilikan unit kediaman dan kenderaan yang selamat ialah antara perkara yang diberi keutamaan hingga membabitkan hampir separuh pendapatan guru saban bulan.

Guru juga memasang impian memiliki keluarga yang sejahtera dan menyumbang terhadap masyarakat dalam kawasan kejiranan masing-masing. Namun, terlalu banyak tukang fikir di luar sekolah yang memberi arahan dan cadangan yang mengakibatkan sekolah umpama tempat longgokan idea dan agenda yang melampaui kegiatan pembelajaran di bilik darjah. Hasrat untuk menggantikan metafora bahawa guru umpama lilin yang membakar diri dengan guru umpama matahari yang menerangi nampaknya tinggal omong-omong belaka.

Hendaknya kedatangan tahun 2013 bakal membuka lembaran baharu terhadap kerjaya keguruan. Pihak-pihak berkepentingan yang membuat arahan dan cadangan kepada sekolah patut mencermin diri sendiri dan lebih empati. Guru akan terus berpegang kepada ikrar perkhidmatan dan membimbing murid untuk menikmati pengalaman pembelajaran yang terbaik, berkesan dan menarik, insya-Allah...

No comments: