SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Friday, November 30, 2012

HARIMAU MALAYA 'BAHAM' SANG GERODA 2-0 (CRUCIAL MATCH AGAINST INDONESIA: FINALLY MALAYSIA THROUGH SEMI FINAL CLASH AGAINST THAILAND)

Hanya kemenangan, bukan seri dan bukan kalah. Itulah misi tunggal skuad Harimau Malaya ketika berhadapan dengan tetangga serumpun dari seberang, Indonesia. Bergantung harap kepada Laos supaya melakar kejutan ke atas Singapura bukan suatu impian yang konkrit kerana Sang Singa juga sudah terluka apabila tumpas 0-1 di tang Sang Geroda (Garuda?) Rabu lalu.

Kesebelasan utama negara mesti berjuang berhabis-habisan di semua kedudukan daripada penjaga gawang, pemain tengah dan jentera serangan tanpa mengira formasi yang dicatur oleh jurulatih. Kesibukan mengasak kubu lawan untuk gol awal tidak harus pula mengakibatkan kelekaan terhadap serangan balas yang pantas oleh pemain lipas kudung Indonesia seperti Andik Vermansyah, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy. Pasukan yang paling berjaya menutup ruang gerakan lawan dan tidak melakukan kesilapan bakal muncul sebagai pemenang.
jaringan gol kedua Harimau Malaya

Sekarang catatan secara langsung pada minit ke-30, Harimau Malaya garang di hadapan dengan kedudukan 2-0 hasil jaringan kreatif Azamudin Akil (Alex) pada minit ke-26 dan Mahali Jasuli yang menyambut hantaran Wan Zack Haikal dalam kotak penalti pada minit ke-29. Sementara itu, Laos sedang mendahului Singapura juga dengan 2-0 di Stadium Shah Alam. Datuk Hasbulah Awang menganggarkan sejumlah 70,000 orang penonton membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, termasuk 10,000 penyokong Indonesia.

Ahmad Shakir dibawa keluar kerana mengalami kecederaan dan diganti oleh Garry Steven Robert, manakala Indonesia pula memasukkan Andik bagi menggantikan Elie Aiboy yang mungkin kurang berkesan di jentera serangan mereka dalam keadaan rentak permainan yang begitu laju. Safee Sali juga kelihatan berada di tepi padang untuk menyatakan sesuatu kepada jurulatih, sedang Aidil Zaquan mengutip kad kuning kedua dalam kejohanan yang mengakibatkan dia tidak boleh beraksi untuk perlawanan berikutnya jika Malaysia layak ke separuh akhir.

Khabar dari Shah Alam, Singapura merapatkan defisit gol kepada 1-2 menjelang waktu rehat separuh masa pertama. Perlawanan secara serentak ini bagi mengelak sebarang kelebihan kepada pasukan yang bersaing, di samping mengelakkan sebarang cubaan mengatur perlawanan oleh kaki judi tegar atau bookies. Namun, dengan kecanggihan teknologi digital, kedudukan perlawanan dapat diketahui secara masa sebenar.

Setelah masuk minit ke-60, Indonesia tidak dapat mengharapkan pemain kelahiran asal mereka, lalu membawa masuk tiga orang pemain naturalisasi Belanda yang pernah beraksi dalam liga utama negara kuasa bola sepak dunia itu. Fakri Shaarani yang dilamar oleh sebuah kelab Portugal  pula dibawa masuk bagi menggantikan Azamudin Akil yang cedera pada minit ke-65. Seminit berselang, Amar Rohidan pula masuk menggantikan Mat Yo yang juga cedera akibat kawalan ketat dan asakan pemain lawan

Khabar di Shah Alam, Singapura berjaya memintas kedudukan Laos dengan kedudukan 4-3 pada waktu kecederaan bagi membolehkan mereka menjuarai kumpulan B untuk menempah pertemuan dengan naib juara kumpulan A, iaitu Filipina. Singapura memiliki kedudukan jaringan 7-4, berbanding dengan Harimau Malaya yang mencatat 6-4 walaupun kedua-dua pasukan mengutip enam mata hasil dua kemenangan. Malaysia menempah pertemuan dengan juara kumpulan A, iaitu Thailand.

Bekas pemain handalan kebangsaan, Zainal Abidin Hasan berpendapat bahawa barisan pertahanan Harimau Malaya telah menjalankan tugas dengan baik. Gandingan Mat Yo dan Safee Sali kurang menyerlah justeru diawasi dengan begitu rapi oleh benteng lawan. Namun, pemain muda lain yang memiliki kelebihan fizikal dan kepantasan seperti Wan Zack dan Mahali berjaya mengisi peranan mereka dengan begitu baik.

Perkara yang masih perlu tumpuan ialah tampanan bola yang kurang kemas, dan bola mudah dicuri pemain lawan. Nasib baik juga Indonesia gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan di hadapan pintu gol Harimau Malaya pada 15 minit pertama perlawanan sebelum pemain negara mula menunjukkan perwatakan sebenar mereka. Nafsu untuk menambah jaringan pada babak kedua juga kendur sedikit mungkin kerana tekanan pasukan lawan yang mencari gol semangat.

Tahniah Harimau Malaya yang telah berjaya melaksanakan misi ke separuh akhir. Peningkatan dalam setiap perlawanan menunjukkan pasukan lambat panas ini mencapai puncak pada saat yang lebih genting. Peminat fanatik yang sedikit beremosi sewaktu tewas di tangan Singapura 0-3 kini mungkin lebih bersedia memberi laluan kepada Datuk K. Rajagobal untuk terus membimbing skuad Harimau Malaya...

FORMAT MINIT MESYUARAT (BRIEF, CLEAR AND TERSE RECORD OF DECISION OR FORMAL DISCUSSION)

Pengenalan

Minit mesyuarat ialah suatu catatan ringkas tentang perincian perbincangan dan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat. Secara umumnya, segala butiran minit mesyuarat dianggap sebagai sulit, melainkan dinayatakan sebaliknya. Sebagai contoh, sudah banyak organisasi yang telah memuat naik catatan minit mesyuarat dalam laman sesawang masing-masing, tentu sekali setelah memadam maklumat untuk urusan dalaman organisasi, atau bukan untuk bacaan orang awam.

Kepentingan Minit Mesyuarat

Dokumen rasmi yang sah dari segi rujukan undang-undang

Catatan kemajuan organisasi dan arahan susulan

Bukti tanggungjawab membuat keputusan secara bersama / ijmak

Cara Mencatat Minit Mesyuarat

Masa sebenar: tulisan tangan setiausaha

Data mentah secara verbatim untuk disusun semula

Semakan dan pengesahan

Butiran Yang Wajib Ada

Tajuk mesyuarat:  nama organisasi, program, bilangan mesyuarat / tahun

Kehadiran / Tidak Hadir Bersebab / Tidak hadir

Agenda dan Perbincangan:  Ucapan pengerusi mesyuarat
                                  
                                       :  Konsep program / mengesahkan minit mesyuarat yang lalu

                                       :  Bidang dan Perancangan  Tugas  /  Perkara Berbangkit

                                       :  Hal-hal lain

Mesyuarat ditangguhkan pada pukul ...

Nama dan tandatangan pencatat minit

Cadangan Format Minit

Pilihan:  jadual atau tanpa jadual

Keperluan catatan tindakan

Sistem indeks nombor

Laras ayat dan bahasa

Penutup

...

...

Thursday, November 29, 2012

PENGARUH MEDIA BARU TERHADAP PERSEPSI ORANG MUDA (REAL-TIME GENERATION IN MANIPULATING THE EXPRESSION SHARING)

Tajuk ini sebenarnya terlalu luas untuk dibahaskan, bahkan mungkin bersifat retorik sahaja. Sementara kita menunggu dapatan penyelidikan skala besar, kita layan dahulu lontaran perbincangan secara santai dan bersahaja. Kalau media tradisional seperti akhbar, radio dan televisyen dianggap sebagai kuasa keempat (the fourth estate) oleh para sarjana komunikasi, maka dampak media baharu yang berciri masa sebenar sudah pasti memiliki kekuatan dan momentum yang tersendiri.

Kesempatan meluahkan perasaan dan mengungkapkan segala bentuk buah fikiran kini bukan monopoli kaum wartawan semata-mata. Laman sesawang dan laman sosial maya kini mendapat perhatian yang lebih kuat daripada media tradisional, khususnya dalam kalangan generasi muda yang tidak betah berenggang dengan gajet mudah alih dan capaian jalur lebar di mana-mana sahaja. Mereka tidak lagi terikat dengan mainan propaganda dan putar oleh wartawan profesional sepenuh masa.

Media tradisional tidak mampu melawan arus capaian maklumat secara digital, lalu muncul dalam edisi atas talian. Sebagaimana edisi cetakan, akhbar digital masih beroleh pendapatan menerusi paparan iklan yang diselitkan bersama. Walaupun berhadapan dengan risiko kemerosotan jualan edisi cetak, pemilik media tradisional tiada pilihan lain untuk kekal relevan dan berpengaruh, bak kata pepatah Inggeris, if you can't beat them, joint them  (jika anda tidak mampu mengalahkan mereka, maka sertailah mereka).

Memang benar bahawa akhbar edisi atas talian jauh mengatasi pengunjung laman sesawang atau weblog persendirian, tetapi hakikatnya ialah penerimaan generasi muda terhadap maklumat yang dipaparkan. Satu bancian atau perangkaan tentang paparan maklumat yang paling banyak dibaca dan maklum balas barangkali boleh memberi petunjuk yang lebih tepat. Sebagai generasi kbkk, pembaca muda tidak menelan bulat-bulat segala maklumat, khususnya yang tidak autentik atau bertaraf dakwaan semata-mata.

Maklumat yang diperoleh menerusi akhbar digital dipetik dan dibincangkan menerusi akaun facebook, twitter atau instagram masing-masing. Pendirian generasi muda lebih terserlah di sana. Pepatah Peranchis: jangan percaya langsung apa-apa yang kamu dengar; percaya separuh sahaja daripa apa-apa yang kamu lihat, boleh menjelaskan perkara berkenaan.

Media baharu turut mendebarkan jantung ahli-ahli politik yang bergantung kepada bacaan meter pengaruh dalam kalangan pengundi yang semakin sukar dijangka. Dunia politik penuh dengan drama, lakonan dan sandiwara tahap tertinggi. Kemunculan media baharu telah menambah rencam sepak terajang perebutan pengaruh dan undi yang tulen.

Generasi muda mungkin belum matang sepenuhnya dari segi pengalaman dan usia biologi, tetapi akses maklumat yang dibimbing oleh latar belakang pendidikan telah mengubah cara berfikir dan bertindak mereka. Generasi muda bersifat lebih radikal terhadap perubahan persekitaran dan tidak terlalu terikat dengan sejarah atau nostalgia yang diadun pula dengan emosi. Sebagai generasi pascamerdeka dan pasca-imperialisme ketenteraan, mereka hanya terdedah dengan pengalaman serba baharu.

Jurang generasi akan terus berlaku apabila berlalunya arus masa. Media baharu dijangka akan kekal di hadapan dengan kekuatan pengaruh yang berlipat kali ganda. Namun, akses maklumat media baharu masih tetap wajib dibimbing oleh ilmu pengetahuan yang sah...

Wednesday, November 28, 2012

HARIMAU MALAYA LAWAN LAOS (FACING CRITICAL GAME, MALAYSIA 4, LAOS 1)

Malam ini tumpuan seluruh peminat bola sepak tanah air terarah kepada kesebelasan utama skuad Harimau Malaya yang berhadapan dengan cabaran pasukan yang kurang menyerlah, iaitu laos yang mendapat bimbingan jurulatih dari Jepun. Malaysia tidak boleh memandang rendah keupayaan Laos yang telah berjaya mengikat naib juara edisi AFF yang lalu, Indonesia 2-2 kelmarin. Alasan jurulatih yang mengalihkan kesalahan kepada Apek semasa pertemuan dengan Singapura, serta desakan pasukan sorak Ultra Malaya supaya Datuk K. Rajagobal berundur mungkin dilupakan buat sementara hingga perlawanan berakhir nanti.

Kegirangan skuad Singapura kerana berjaya membenam Malaysia 3-0 sebelum ini nampaknya terjejas apabila tumpas 0-1 di tangan Indonesia sebentar tadi. Kini, perhitungan ke separuh akhir kembali terbuka, bergantung kepada keputusan perlawanan Malaysia dengan Laos. Catatan ini dibuat sebelum sepak mula.

Kini, perlawanan mendebarkan telah berakhir sebentar tadi. Harimau Malaya kembali membungakan harapan apabila menang selesa 4-1 ke atas Laos. Kedua-dua pasukan turun dengan 100 peratus pemain asal warganegara, tanpa kelibat pemain naturalisasi sepertimana Singapura dan Indonesia. Namun, Laos menerima sentuhan kejurulatihan dari Jepun, kuasa bola sepak Asia abad ini.

Malaysia bermula garang dengan asakan bertubi-tubi ke kubu lawan, tetapi buntu buat seketika untuk membolosi gawang. Kesempatan yang dinanti akhirnya tiba apabila skuad negara dihadiahkan dengan sepakan percuma di luar kotak penalti Laos. Jika waktu menentang Singapura tempoh hari, enam percubaan Safiq Rahim tersasar, tetapi kali ini pada minit ke-15, tendangan setpiece bola mati itu berjaya disudahkan untuk gol pendahuluan.

Dalam usaha Harimau Malaya untuk memburu jaringan besar, Laos berjaya juga menyusun beberapa gerakan bahaya serangan balas. Akhirnya pada minit ke-38, kedudukan kembali terikat 1-1 hasil tendangan lambung penyerang Laos yang kemudian terbias oleh tampanan Aidil Zaquan untuk mengelirukan Farizal Marlias yang menggantikan Apek kali ini. Tuan rumah berpeluang menambah jaringan, tetapi sentuhan penyudah oleh Mat Yo dan Safee Sali tidak tajam.

Selepas rehat, Safee Sali akhirnya menebus tujuh percubaan beliau yang tersasar sebelumnya apabila berjaya menolak bola hantaran secara satu dua bersama Mat Yo menerjah jaring gol Laos pada minit ke-66. Pemain tinggi lampai, Wan Zack Haikal melebarkan kedudukan kepada 3-1 apabila hantaran silang Kunalan yang berpunca daripada gerakan cantik Mat Yo berjaya ditanduk masuk dengan sempurna pada minit ke-75.
Khyril, berjersi biru gagal dihalang
(sumber gambar: Berita Harian Online)

Safee Sali kemudian meminta untuk digantikan kerana mengadu kecederaan dan tempatnya diambil alih oleh seorang pemain serba boleh, Khyril Muhymeen Zambri. Hanya beberapa minit di padang, Khyril terus menambah derita Laos dengan larian solo untuk memperdaya pertahanan dan seterusnya penjaga gol Laos pada minit ke-79. Kedudukan 4-1 kekal hingga wisel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan.

Buat seketika, Datuk Rajagobal boleh menarik nafas lega kerana berjaya menutup segala cemuhan yang dilemparkan setelah dimalukan oleh Singapura 0-3 pada hari Ahad yang lalu. Kemenangan gemilang malam ini bagaimanapun masih meletakkan Malaysia di tempat ketiga di belakang Singapura atas perbezaan jaringan gol. Malaysia wajib menang ke atas Indonesia jika tidak mahu bergantung kepada nasib baik.

Jika seri dengan Indonesia, manakala Singapura menewaskan Laos, maka Malaysia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan rantau Asean ini. Andai Singapura juga seri dengan Laos, maka kelebihan akan berpihak kepada Singapura atas perbezaan gol. Hanya jika Singapura tewas di tangan Laos, peluang Malaysia menjadi pasti dengan syarat tidak tewas kepada Indonesia.

Harimau Malaya jangan berharap bahawa Indonesia akan bermurah hati untuk menolong kita. Walaupun membariskan beberapa kudrat 'kuda tua' seperti Bambang Pamungkas dan Elly Aboy, Indonesia diperkuat dengan beberapa orang pemain naturalisasi kelahiran Belanda dan Brazil. Namun, dengan percaturan taktikal yang tepat, Harimau Malaya bakal menutup tirai pusingan awal dengan penuh bergaya....

Tuesday, November 27, 2012

PENGALAMAN DI PASAR PAGI WANG KLIAN (BORDER CROSSING TO THAILAND)

Penduduk Perlis sudah biasa menyeberang ke sempadan Thai menerusi Padang Besar, orang Kedah ke Danok menerusi Bukit Kayu Hitam, orang Perak ke Betong menerusi Pangkalan Hulu, dan orang Kelantan boleh memilih sepanjang laluan Sungai Golok, atau jalan darat di beberapa pintu masuk ke sana. Sebagai negeri bersempadan, penduduk boleh menggunakan pas sempadan sahaja jika tiada pasport antarabangsa. Sebahagian penduduk negeri utara Semenanjung juga mempunyai pertalian darah dengan penduduk wilayah selatan Thai yang terpisah akibat proses sejarah.

Pasar pagi Ahad di Wang Kelian, Perlis bersambung dengan Wang Prachan dalam wilayah Satun, selatan Thailand. Orang Malaysia menyeberang ke Wang Prachan untuk membeli barang keluaran Siam yang murah seperti beras dan buah-buahan. Namun, kini beras Siam menjadi barang larangan berkaitan dengan dasar perlindungan beras keluaran tempatan.

Kalau pun seseorang itu berjaya melepasi pemeriksaan imigresen, polis sempadan akan melihat keadaan tayar kenderaan yang dipandu. Jika didapati kempis, bermakna ada beban yang berat, terutama beras. Maka, beli sahaja beras Siam di pasar raya berdekatan rumah dan tidak usah cari masalah!

Nanas madu yang berharga tidak kurang RM4 di pasar kita dijual serendah RM1 di pasar pagi Wang Prachan. Pembelian untuk hidangan keluarga tiada masalah dari segi imigresen dan polis sempadan, tetapi kalau sampai penuh guni, sudah dikira mahu berniaga. Jika mahir bersoal jawab dalam bab undang-undang imigresen dan perniagaan antarabangsa, silakan!

Masalah pertama ketika tiba di Wang Kelian ialah tempat meletak kenderaan. Petua yang mudah ialah terus ke hadapan, dan sentiasa bersedia dengan isyarat membelok, sebab biasanya ada saha kenderaan yang akan keluar. Jika mengalah terlalu awal, alamat kena berjalan sehingga hampir dua kilometer!

....

...

....

,,,,

....

Monday, November 26, 2012

KAEDAH BELAJAR MAKROEKONOMI MODULAR PENGGAL 2 (LEARNING BY DOING SMART)

Pengenalan


Kini, pelajar STPM 2013 sudah boleh melupakan teori mikroekonomi buat sementara waktu kerana sudah pun diuji dalam peperiksaan sebenar pada 8 November yang lalu. Namun, sebenarnya kefahaman terhadap konsep mikroekonomi masih perlu dan menjadi asas kepada makroekonomi. Perbezaan yang berlaku ialah makro bertumpu kepada agregat, mikro terhadap individu, sila perhatikan beza ejaan a dengan i.

Mula-mula sekali memang pelajar bakal didedahkan serba ringkas tentang matlamat dasar makroekonomi, iaitu pertumbuhan tanpa inflasi dan pengangguran, serta imbangan pembayaran yang positif. Lama-kelamaan, pelajar akan mendapati bahawa bidang pembelajaran kedua-dua makro dan mikro adalah sama, iaitu berdasarkan tiga kegiatan asas ekonomi: penggunaan, pengeluaran dan pertukaran. Dalam pendekatan makro, rumus Y = C + I + G + Xn mewakili keseluruhan skop pembelajaran yang dimaksudkan.

Perakaunan Pendapatan Negara

Kaedah perbelanjaan terus merujuk rumus di atas, dengan sedikit ubah suai. Kaedah pendapatan pula menggunakan bayaran kepada faktor, iaitu upah, sewa, bunga dan untung. Kaedah keluaran pula berdasarkan senarai sektor ekonomi menerusi kaedah nilai tambah bagi mengelakkan hitungan dua kali.

Pelajar kemudian harus dapat membezakan antara keluaran dalam negara kasar (KDNK, GDP) dengan keluaran negara kasar (KNK, GNP) yang mengambil kira pendapatan faktor bersih luar negara (YB = YL - BL). Seterusnya, perbezaan antara harga pasar (hp) dengan harga faktor (kf) berpunca daripada cukai tak langsung dan subsidi (hp = + ctl - SUB; kf = -ctl + SUB).

Jika perlu menukarkan KDNK atau KNK kepada keluaran negara bersih (KNB), maka susut nilai perlu ditolak.Sila awas bahawa KNB berbeza pula dengan keluaran negara benar (KNb) yang mengambil kira indeks harga pengguna bagi mengukur pengaruh inflasi. Hitungan tidak menjadi masalah kerana boleh menggunakan mesin kira (kalkulator), tetapi slot item bakal menentukan jalan hitungan yang tepat.

Keseimbangan Ekonomi Dua Sektor

Ambil balik rumus asas kajian makro, tetapi tinggalkan Y = C + I sahaja. Y ialah pendapatan negara, C ialah penggunaan, manakala I ialah pelaburan. C dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu C + S. C ialah bahagian pendapatan yang dibelanjakan, manakala S atau tabungan ialah bahagian pendapatan yang tidak dibelanjakan.

Fungsi penggunaan: rumus, keluk

Fungsi tabungan

Pelaburan: konsep dan andaian

Pengganda

Analisis AE - AS

Analisis J - W

Keseimbangan Ekonomi Tiga Sektor

Rumus asas makro ditambah pemboleh ubah perbelanjaan kerajaan dan cukai (G)  menjadikan Y = C + I + G.

Konsep Yd = Y - T

Fungsi G

Fungsi T

Pengganda tiga sektor

Analisis AE - AS

Analisis J - W

Keseimbangan ekonomi empat sektor (ekonomi terbuka)

Semua sekali pemboleh ubah dalam rumus asas makro digunakan

Fungsi X

Fungsi Y

Analisis AE - AS

Analisis J - W

Keseimbangan Pendapatan Negara Kaedah AD, AS

Perbezaan konsep

Perbezaan keluk, label paksi

Aplikasi teori

Dasar Fiskal dan Dasar Kewangan

Alat DF

Alat DK

Kes inflasi, melambung

Kes deflasi, meleset

Perdagangan Antarabangsa

Tumpuan diberi terhadap teori faedah berbanding, khususnya kaedah jadual. Konsep kos lepas akan muncul kembali untuk menentukan pengkhususan keluaran sesebuah negara. Selain itu, ayat berbunyi: pengeluaran pada KKP, tetapi penggunaan di luar KKP mungkin perlu dibiasakan.

Beberapa istilah penting: faedah mutlak, harga relatif, kadar pertukaran, laba, keluaran dunia

Kelebihan dan kekurangan teori PAB

Kewangan Antarabangsa

Kadar pertukaran mata wang asing

Penentuan kadar pertukaran:  apungan, tambatan

Keperluan devaluasi, revaluasi

Implikasi kegiatan PAB

Saranan pembelajaran

Beri tumpuan terhadap kuliah, perbincangan

Tolak pengaruh negatif, alasan

Latih tubi berterusan

Gunakan baucar RM250 beli buku teks, kertas spesimen yang dicadangkan oleh guru ekonomi

Cermat dan tekun

Penutup

...

...

Sunday, November 25, 2012

KAHWIN MUDA DAN KESUBURAN REPRODUKSI (ISOLATED CASES OF FAMILY INSTITUTION)

Pada zaman nenek moyang kita dahulu, perkahwinan dalam usia awal remaja, iaitu antara 12 hingga 19 tahun adalah perkara lumrah sahaja dan tidak pernah menjadi isu. Kini, keadaan sudah terbalik apabila lebih banyak pasangan pasangan berkahwin pada usia lewat 30-an. Ahli ekonomi berpendapat bahawa tempoh pendidikan yang panjang telah melewatkan usia perkahwinan seseorang.

Natijah yang jelas dari segi kadar kelahiran (fertility) sangat jelas, iaitu kebarangkalian memperoleh bilangan anak yang banyak mempunyai hubung kait (korelasi) positif dengan usia pasangan yang mendirikan rumah tangga. Kebanyakan ibu bapa moden hanya memiliki purata antara dua hingga tiga orang anak sahaja, sedangkan ibu bapa dahulu kala mampu memiliki zuriat lebih sedozen walaupun banyak juga yang meninggal dunia akibat penyakit biasa seperti demam panas dan kuning kerana kurang kemudahan rawatan. Malah, banyak penyelidikan mendapati bahawa lebih 30 peratus pasangan yang mendirikan rumah tangga tidak berjaya memperoleh cahaya mata penyeri rumah tangga setelah bertahun-tahun hidup bersama.

Kebanyakan negara dijangka berstatus negara tua (baca: banyak warga tua) apabila kadar kematian (mortality) secara relatif menjadi lebih rendah daripada kadar kelahiran. Ironinya, ibu bapa berpendidikan tinggi hanya memiliki seorang dua anak, sedangkan ibu bapa dengan latar belakang sosioekonomi sederhana dan rendah memiliki jumlah anak yang ramai. Negara bakal bermasalah jika perancangan pendidikan dan guna tenaga tidak sejajar dengan perkembangan yang berlaku.

Isu buang bayi hasil perhubungan terlarang remaja juvana (bawah 18 tahun) mungkin dapat diatasi jika usia perkahwinan muda dibenarkan kembali. Masalah yang timbul ialah apabila pasangan yang terbabit terdiri daripada remaja yang masih di bangku sekolah. Kes zina sedemikian memerlukan jalan penyelesaian bersifat jangka panjang.

Pergaulan bebas lepas dalam kalangan remaja banyak dipengaruhi oleh adegan drama dan filem, bahan bacaan bercetak, bahkan novel yang ditulis oleh pengarang tersohor.  Walaupun bertujuan pendidikan, gambaran terperinci tentang pergaulan bebas remaja nyata menyumbang terhadap gejala maksiat yang berlaku. Panel penilai novel komponen sastera (komsas) harus mengambil kira hakikat ini supaya pengaruh hedonisme dan hawa nafsu tidak berleluasa dalam kalangan generasi muda kita.

Sikap ibu bapa yang tidak kisah terhadap kegiatan anak di luar rumah mengakibatkan remaja yang masih mentah bertindak mengikut perasaan. Kawalan yang longgar terhadap penggunaan komunikasi maya jalur lebar dan aplikasi telefon bimbit juga menyumbang terhadap fenomena pergaulan bebas yang sudah semacam tidak berkaitan dengan dosa dan pahala lagi. Hujah sebegini mungkin dilabel sebagai ekstrem atau keterlaluan, tetapi kita tidak boleh terjebak dengan gaya hidup masyarakat Barat yang tidak terikat dengan nilai-nilai agama dan budaya yang luhur.

sumber gambar: nst online

Petikan Kosmo Online:
Boleh kahwin muda jika bersedia

Perkahwinan pada usia terlalu muda tidak menjadi masalah sekiranya sesebuah pasangan itu sudah bersiap sedia daripada segi fizikal dan mental untuk menempuh alam perkahwinan. Perunding motivasi, Datuk Zawawi Yusof berkata, Islam menghalalkan perkahwinan asalkan ia memenuhi syarat walaupun pada usia yang muda. “Jika pasangan pengantin sudah cukup umur untuk berkahwin dan faham mengenai tanggungjawab yang mereka perlu galas, maka ia dibenarkan.
“Kita juga perlu memahami keadaan sekarang sudah berubah dengan remaja zaman ini lebih cepat matang selepas mendapat banyak pendedahan yang membantu mereka berfikir,” katanya ketika dihubungi semalam. Zawawi diminta mengulas langkah satu pasangan muda, Nur Fazira Saad, 12, dan Mohd. Fahmi Mohd. Alias, 18, dari Kulim, Kedah bernikah pada 17 November lalu dan mengadakan kenduri perkahwinannya mereka kelmarin.
Bagi seorang lagi pakar motivasi, Prof. Madya Md. Izzudin Ali, perkahwinan pada usia muda mungkin jalan penyelesaian terakhir dan terbaik untuk mencegah remaja daripada terjerumus dengan masalah sosial seperti seks bebas dan bersekedudukan. “Sekiranya tidak ada jalan lain yang mampu dilakukan, maka tidak ada masalah untuk berkahwin pada usia muda,” katanya.
...

...

...
sumber gambar: the star online
...

...

...

HARIMAU MALAYA BELUM KEBAH HADAPI CABARAN AFF 2013 (EXCUSES AND SCENARIO, MALAYSIA 0, SINGAPORE 3)

Keputusan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan Hong Kong, Thailand dan Bangladesh menimbulkan resah dalam kalangan peminat dan pemimpin sukan bola sepak negara. Jurulatih, Datuk K. Rajagobal berhadapan dengan ujian besar untuk membuktikan bahawa skuad negara hanya akan mencapai puncak prestasi pada kejohanan Piala Suzuki AFF sebenar yang bermula malam ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Apakah Harimau Muda mampu menjinakkan Singapura, sebuah pasukan yang sentiasa menjadi duri dalam daging, di samping hakikat bahawa mereka membariskan beberapa orang awang import yang diberi taraf kerakyatan segera, berdasarkan peraturan badan induk bola sepak dunia, iaitu Fifa?

Jawapannya sudah diperoleh, iaitu Malaysia berjaya menghadiahkan kemenangan selesa buat skuad seberang Tambak Johor, Singapura 0-3. Kini, Harimau Malaya berhadapan dengan tugas getir untuk menumpaskan skuad Sang Garuda (Indonesia) dan Laos dlam pertemuan seterusnya. Untuk rekod, kedua-dua pasukan berkenaan telah mencatat keputusan seri 2-2 dengan Laos dua kali mendahului, serta kedua pasukan beraksi dengan 10 pemain mulai minit ke-33.

Ketumpulan jentera tengah dan kurang sokongan kepada barisan pertahanan telah disebut sebagai punca pasukan Singapura bermaharajalela. Kapten Singapura, Shahril Ishak menghukum kerapuhan taktikal benteng terakhir negara menerusi dua jaringan gol berturut-turut dalam minit ke-31 dan 37. Sehingga tamat separuh masa pertama, kedudukan kekal dengan Singapura di hadapan 2-0.

Sesekali penyerang berbisa negara, Safee Sali dan Mat Yo (Nor Khairul Idlan Talaha) berjaya lolos ke petak penalti lawan, tetapi mereka kurang mendapat sokongan rakan yang lain. Dalam babak kedua, Harimau Malaya membawa masuk Mahali Jasuli dan Wan Zack Haikal bagi mengisi posisi Kharul Muhaymin dan Azmi Muslim yang kurang berkesan. Malaysia melancarkan serangan bertali arus, tetapi masih buntu untuk membolosi gawang Singapaura.

Pakar tendangan percuma, Safiq Rahim yang juga kapten skuad Harimau Malaya memperoleh tidak kurang enam peluang sepakan percuma bola mati, tetapi semua sekali tersasar. Pintu gol Liverpool berjaya digegar, tetapi kali ini Safiq tidak berjaya. Peminat bola sepak yang meletakkan harapan menggunung juga kempunan.

Ketika permainan berbaki 20 minit, Shahril Ishak, 28, digantikan oleh Alaksender Duric, 42, pemain kelahiran Serbia yang masih prolifik sebagai pencetak gol Singapura. Duric membuktikan bahawa percaturan jurulatih, Radojko Avramovic, juga dari Serbia, berbaloi apabila dia berjaya memperdayakan Apek (Khairul Fahmi Che Mat) yang berseorangan selepas benteng pertahanan tewas belaka untuk gol ketiga Singapura pada minit ke-74.

Usaha Harimau Muda untuk mendapat gol sagu hati juga berakhir dengan kekecewaan. Rembatan kencang Mat Yo pada minit terakhir perlawanan berjaya melepasi jangkauan Izwan, tetapi terkena tiang sebelah kiri sebelum dapat didakap kemas oleh penjaga gawang Singapura itu. Sejurus selepas itu, wisel penamat dibunyikan bagi memanjangkan episod duka skuad Harimau Malaya dan Rajagobal.
sumber gambar: nst online

Tekanan untuk skuad Harimau Muda selaku juara bertahan Piala Suzuki AFF, kejohanan rasmi bola sepak Asia Tenggara, bertambah tinggi. Alasan dan analisis jurulatih sudah bersifat klise dan tidak bernilai lagi. Hanya kemenangan dalam dua pertemuan dengan Indonesia dan Laos sahaja yang mampu menjadi penawar.

Mutu permainan Harimau Malaya mungkin tidak jatuh, tetapi mutu permainan lawan serantau yang meningkat secara mendadak. Sesuatu tindakan yang radikal perlu dilakukan jika Harimau Malaya mahu kembali digeruni bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara, bahkan mampu memberi saingan di peringkat benua Asia. Malaysia pernah memenangi pingat gangsa di Sukan Asia di Tehran 1974 ketika peledak berbisa legenda, Syed Ahmad, bergandingan dengan Allahyarham Mokhtar Dahari.

Amalan mengambil tanggungjawab sepertimana dalam liga bola sepak yang maju seperti EPL patut dicontohi. Chelsea misalnya memecat Roberto de Meteo apabila skuad kendalian beliau mula bermasalah walaupun sebelumnya beliau wira pasukan apabila berjaya membawa pulang Piala Juara-juara Eropah buat julung-julung kali ke Stamford Bridge. Mereka tidak terikat kepada nostalgia, tetapi sentiasa dahagakan kejayaan sepanjang masa.

Kedudukan Roberto Mancini di Etihad bersama Manchester City juga tergugat apabila pasukan berkenaan hanya gah di peringkat liga domestik, tetapi kecundang di pentas Eropah. Tony Fernandez, pemilik Air Asia yang menguasai Queens Park Rangers juga bertindak memecat Mark Hughes untuk digantikan dengan Henry Redknapp setelah QPR berada dalam zon penyingkiran Liga Perdana setelah mengharungi 12 perlawanan. Adakah perkara yang seumpamanya berani dilakukan dalam kancah bola sepak tempatan kita?

Saturday, November 24, 2012

NOVEL 'SUTERA DALAM LUKISAN' KOMSAS TINGKATAN 5 (THE HIDDEN TRUTH)

Pengenalan

Sebuah lagi novel komponen sastera tingkatan 5 ialah 'Sutera Dalam Lukisan' (SDL) karya Abdul Talib Mohd Hassan, 65, guru yang berasal dari Teluk Intan dan mendapat pendidikan sepenuhnya juga di Teluk Intan, Perak. Novel SDL merangkumi 20 bab, setebal 329 halaman an turut memuatkan glosari perkataan yang mungkin asing bagi murid sekolah pada muka surat 330 - 331.

Nama panggilan watak utama novel SDL, Bujei hanya disebut buat pertama kali pada muka surat 14, manakala nama penuh Bujei, iaitu Mohamad Hafiz hanya ditemui pada halaman 94. Ilustrasi wajah Bujei tertera pada halaman 11 (ketika cuba menyelamatkan ibunya, Fatimah) dan halaman 40 (ketika pertama kali bersua dengan Adila yang ditemani oleh Same'ah, sepupunya). Kulit hadapan novel dihiasi dengan linangan air mata seorang gadis, barangkali Adila, watak utama kedua (heroin) dalam naskhah SDL, anak Kuala Lumpur  yang mendapat pendidikan tinggi di England, tetapi membawa diri ke rumah sepupunya untuk merawat hati yang terluka. 
Tema

Sinopsis / Kandungan

Novel SDL berkisar tentang kisah Bujei atau Mohamad Hafiz yang mengalami penderitaan akibat penderaan bapa tirinya, Harun dan cemuhan orang kampung yang menganggap dirinya kurang akal dan tidak normal. Kehadiran Adila telah membatu Bujei kembali menemui harga diri dan jati diri yang telah hilang sebelumnya. Walaupun hidup sebatang kara, Bujei masih mendapat simpati keluarga Tuk Sidang Saman, anaknya Same'ah, Samsul dan isterinya Mak Lamah. 

Binaan plot

Permulaan

Perkembangan

Konflik

Puncak / klimaks

Peleraian


Teknik plot / penceritaan

Sudut pandangan orang ketiga

Imbas kembali

Monolog dalaman

Dialog / perbualan

Kejutan / saspens

Unsur lucu / mencuit hati / kelakar

Latar tempat

Tepi sungai kecil: tempat yang selalu dikunjungi oleh Bujei untuk berehat dan mengenang nasib dirinya.
                           Bujei disergah oleh Tuk Sidang Saman kerana dia membenamkan diri ke dalam air separas
                           betis itu. Sangka Bujei Alias yang datang.

Rumah arwah nenek Bujei: Bujei menyuap pisang berangan sambil menonton televisyen yang tidak berfungsi,
                                         dan mendngar radio tanpa bunyi (rosak).

Simpang berhampiran jambatan:  Bujei menunggu kalau ada pelawaan untuk dia bekerja menoreh getah.
                                               :  Dapat minum kopi, makan bengkang dan dua sudu mi goreng sebagai upah
                                                  membawa beg Kasim, Sulaiman, Sani dan Husin.

Kedai makan Pak Sulong:  Bujei mundar-mandir sambil berharap ada orang yang sudi mempelawanya bersarapan

Rumah Alias: Bujei membasuh motosikal Alias dengan harapan mendapat upah seringgit. Alias mungkir janji,
                     tetapi Mak Som kasihan dengan Bujei, lalu memberi seringgit dan juga sarapan.

Rumah Sidang Saman:  Adila berbual dengan Same'ah tentang Bujei sambil menyiapkan bekas bunga telur untuk perkahwinan Same'ah.

Latar masa

Senja / hampir waktu Maghrib:  Bujei melayan perasaan di tepi sungai kecil
                                      :  Bujei dibelasah hingga pengsan oleh Harun kerana merosakkan dokumen serahan harta arwah Fatimah.

Rembang / tengah hari:  Bujei disergah oleh Samsul ketika hendak memetik buah betik di kebun Sidang Saman.

Lewat rembang / petang:

Malam:  Majlis perkhawinan Same'ah berlangsung. Hadirin terpegun dengan alunan lagu 'Bahtera Merdeka' oleh Bujei.

Pagi: Adila meminta penjelasan Same'ah tentang dakwaan Alias kononnya Bujei berpenyakit kulit dan maniac. Sebaliknya,
         cerita Same'ah tentang kisah lucu Bujei dengan putik nanas yang disangka bom oleh Alias dan orang kampung.

Watak dan perwatakan

Watak utama: Bujei / Mohamed Hafiz
                    : Adila binti Dahlan

Watak sampingan:  Same'ah
(protagonis)         :  Sidang Saman
                           :  Mak Lamah
                           :  Samsul
                           :  Saniah
                           :  Mak Som (ibu Alias)
                           :  Wak Senen (pembeli tanah pusaka Bujei tanpa dokumen)

Watak sampingan:  Harun
(antagonis)          :  Alias
                          :  Opah Arah
                          :  Sahak
                          :  Sani
                          :  Faizal / bekas kekasih Adila

Latar masyarakat

Nilai murni (kemanusiaan / kemasyarakatan)

Kasih sayang

Persoalan

Pengajaran

kbkk

Friday, November 23, 2012

KUNJUNGAN SINGKAT KE PUTRAJAYA (THE CONCEPT OF AN ADMINISTRATION CITY)

Jika Amerika Syarikat berbangga dengan Washington DC dan Australia dengan Canberra, maka Malaysia pula memiliki Putrajaya. Canberra dan Washington DC terus diangkat sebagai ibu negara, tetapi Putrajaya lebih bersifat pemusatan pentadbiran persekutuan, manakala Kuala Lumpur masih kekal dengan status berkenaan. Bandar pentadbiran negara diasingkan daripada ibu negara yang sibuk dengan pelbagai urusan perniagaan skala besar dan kesesakan jalan raya.

Tapak Putrajaya asalnya ialah ladang getah Phrang Besar (perang besar?), iaitu tanah status pertanian. Kini, nilai setiap inci tanah dan hartanah di Putrajaya telah melonjak berlipat kali ganda. Sebagai perbandingan, seunit rumah teres dua tingkat bersaiz 24 X 75 yang berharga RM240k pada tahun 2004 kini mencecah nilai RM750k, dan dijangka naik hingga ke RM1 juta dalam beberapa tahun sahaja lagi.

Putrajaya yang memiliki status sebagai sebahagian Wilayah Persekutuan sebagaimana Kuala Lumpur dan Labuan, dilepaskan oleh negeri Selangor dengan sejumlah pampasan tertentu. Namun, Cyberjaya, bandar pintar teknologi bersebelahan Putrajaya masih di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Cuma, dari segi pentadbiran am, sebahagian urusan di Putrajaya masih perlu merujuk pejabat-pejabat di Sepang yang turut menjadi tuan rumah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sebagai sebuah bandar pentadbiran persekutuan dan bandar pintar, Putrajaya ialah sebuah bandar terancang yang canggih dan sentiasa disenggara dengan cermat oleh pihak pemaju, iaitu Perbadanan Putrajaya, sebuah badan berkanun di bawah Jabatan Perdana Menteri. Model Putrajaya juga dicontohi oleh beberapa negeri lain seperti Nusajaya di Johor Bahru dan Seri Aman di Sarawak. Tiada gerai penjaja jalanan dapat dilihat dan setakat ini semua unit kediaman tiada binaan tembok atau pagar.

Kebanyakan kompleks kementerian, kecuali Kementerian Pelancongan, Penerangan, Kementerian Kebudayaan dan Kesenian, serta Kementerian Kerja Raya berpusat di Putrajaya. Kediaman rasmi Perdana Menteri dan jemaah menteri juga ditempatkan di sana. Segala keputusan penting kini dilakukan di Putrajaya.  

Menjelang pilihan raya umum ke-13 yang bakal dilaksanakan paling lewat pada bulan Mac 2013, slogan seperti 'Mempertahankan Putrajaya' dan 'Menuju Putrajaya' sering dilaungkan. Maksudnya, Putrajaya ialah lambang pusat pemerintahan kerajaan persekutuan. Semua pihak telah akur akan status Putrajaya sebagai bandar pentadbiran negara walaupun suatu ketika dahulu ada 'ancaman' bahawa Putrajaya bakal dilelong!
Semalam, buat kesekian kalinya penulis blog (PB) mampir ke Putrajaya atas satu urusan di sebuah kementerian. Nampaknya, pegawai dan kakitangan di kementerian berkenaan akur kepada piagam pelanggan dan sasaran Nilai Keberhasilan Utama Negara (NKRA, national key result area) apabila perkhidmatan dan layanan yang ditunjukkan begitu baik. Tiada suara kasar dan tinggi yang terdengar, melainkan layanan mesra pelanggan dengan wajah yang berseri-seri.

Tepat pukul 12.30 tengah hari, lampu mula dipadamkan secara berperingkat menandakan segala urusan pejabat perlu dihentikan kerana waktu solat Jumaat sudah dekat. Namun, petugas kaunter masih melayan orang awam yang datang sehingga mereka berpuas hati. Panduan tentang urusan atas talian selanjutnya juga diterangkan dengan terperinci.

Barangkali masalah yang masih menjadi rungutan orang awam ialah tempat meletak kenderaan yang begitu terhad. Jika kenderaan diletak terlalu jauh, orang awam perlu berjalan kaki hingga berpeluh dan mereka berasa tidak selesa untuk berurusan walaupun dalam kompleks berhawa dingin. Peringatan tentang 'kunci tayar' membuatkan pemandu kenderaan berasa resah.

Bagi mengelakkan kesesakan di kompleks kementerian dan bagi menjamin keselamatan, terdapat saranan yang lebih kreatif untuk pertimbangan Perbadanan Putrajaya. Mungkin satu lapangan atau medan khas meletak kereta disediakan dengan kadar bayaran yang munasabah disediakan di satu lokasi, kemudian orang awam diangkut dengan perkhidmatan shuttle untuk ke kompleks kementerian yang dituju. Maka, risiko untuk berpeluh ketika panas terik, atau risiko untuk basah kuyup apabila hujan dapat dielakkan...

Thursday, November 22, 2012

REJIM ZIONIS UJI PEMIMPIN BAHARU RANTAU ASIA BARAT? (THE EPILOUGE OF ARAB SPRING)

Pergolakan antara rejim haram Tel Aviv dengan Palestin memasuki pascaperubahan kepimpinan di sebahagian negara yang berjiran dengan mereka. Mesir di tangan Presiden Morsi kelihatan lebih berwibawa dan cerdik dalam mengukur persediaan umat untuk menghadapi keupayaan militan Yahudi yang disokong oleh Barat. Gencatan senjata tetap dimeterai walaupun Tel Aviv sama sekali tidak menyangka bahawa peluru berpandu yang dilancarkan dari Gaza berjaya tiba di ibu kota kebanggaan mereka.

Selama ini Mesir dan Turki pernah dianggap sebagai sekutu utama rejim Tel Aviv ketika zaman pemerintahan diktator dan sekular. Mesir pernah menutup pintu sempadan untuk menghalang rakyat Palestin bagi mendapatkan bekalan makanan, ubat-ubatan dan mungkin juga senjata api. Turki juga menjadi pangkalan tentera Amerika Syarikat dan Nato untuk masuk ke rantau Arab.

Kini, Morsi diberi pujian oleh Amerika atas daya usaha beliau menjayakan gencatan senajata yang disambut oleh penduduk Gaza sebagai kekalahan yang memalukan Tel Aviv. Namun, persetujuan gencatan senjata itu juga mungkin berupa suatu helah, muslihat atau taktik membeli masa untuk melengah-lengahkan kemaraan lawan. Barangkali juga gencatan senjata boleh jadi sebagai cara untuk mengambil nafas sebelum mengatur strategi pertempuran selanjutnya.

Jika Tel Aviv berasa angkuh dengan pesawat pengintip kawalan jauh yang mampu menembak sasaran dengan tepat, Palestin juga memiliki kekuatan teknologi persenjataan yang tidak kurang hebatnya. Begitu banyak saintis muda Palestin yang berkhidmat di luar negara termasuk Amerika Syarikat bersedia untuk menyumbang terhadap ibu pertiwi yang dikasihi.

...

...

...

...

...

...

Wednesday, November 21, 2012

GURU BAGAIKAN KULI? (HIDDEN TRUTH IN SCHOOL SETTING)

Ulasan seorang pembaca Berita Harian Online tentang usaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) meningkatkan kualiti keguruan menerusi latihan dalam perkhidmatan berasaskan sekolah barangkali harus mendapat maklum balas pihak yang beliau sebutkan. Terdapat unsur 'dakwaan' yang serius dalam ulasan pembaca yang menggunakan nama 'Zul' tersebut. Sebelum perbincangan dilanjutkan, ada baiknya petikan asal ulasan 'Zul' diturunkan semula seperti di bawah: 


Saya rasa bukan Kemahiran, kualiti guru yang perlu dipertingkat tetapi kemahiran kementnterian pelajaran yang perlu dipertingkat. kerjaya seorang guru sekarang seolah-olah kuli di sekolah dimana kerani lebih berkuasa. CUba turun padang secara mengejut. Lihatlah sendiri bagaimana guru bekerja. Sehinggakan perlu dibawa balik ke rumah. 


Antara kerja guru yang tidak logik, jaga pagar, mengiring pelajar ke surau, fotostat..kerja² pengkeranian, kutip yuran. sedangkan kerja kerani lebih senang yg hanya perlu duduk dalam pejabat berhawa dingin manakala guru pula terpaksa berjalan kepanasan...naik turun tangga... kaji la secara terbuka.

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

Tuesday, November 20, 2012

Sunday, November 18, 2012

45,054 CALON DAPAT SEMUA 'A' UPSR (ALMOST 9 PERCENT ACHIEVED FLYING COLOURS)

Isnin, 19/11/2012 = 5 Muharam 1434

Sebentar tadi, Dr. Naimah binti Ishak, Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia mengumumkan analisis keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu. Pada keseluruhannya, gred purata kebangsaan (GPN 2.31, turun 0.1) dan bilangan calon cemerlang semua A mencatat sedikit penurunan. Punca perkara itu dapat diketahui apabila laporan setiap jabatan pelajaran negeri disiapkan kelak.

Persaingan murid lepasan UPSR ke sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah elit yang lain tetap sengit. Bilangan pemohon yang  berjaya dijangka berjumlah 15,000 orang, termasuk pemohon laluan khas yang tidak semestinya mencatat 5A, sebaliknya berdasarkan merit latar belakang sosioekonomi dan lokasi tempat tinggal murid. Selepas ini, ibu bapa akan lebih sibuk daripada anak-anak mereka sendiri untuk mengemas kini status permohonan atas talian, dan juga mungkin pilihan yang lain.

Sekolah terbaik UPSR Terengganu, Sekolah Kebangsaan Sura mencatat 76 orang calon semua A, iaitu bertambah seorang daripada tahun 2010. Sementara itu, di Ipoh, Sekolah Kebangsaan Seri Ampang, sebuah sekolah kluster kecemerlangan merekodkan 24 orang calon semua A, berbanding dengan 10 orang pada tahun sebelumnya.

Jumlah calon = 517,179 orang; bilangan semua A = 8.94 peratus. BM pemahaman -0.7 (91.50, penulisn +0.03 mata. BI gred +0.8 peratus. Matematik +0.6% (GPNP +0.02).

...

...

...

...

...

...

ANAK CUTI SEKOLAH, IBU BAPA PENING (THE BUSINESS OF CAMPING)

Sepatutnya apabila tiba musim cuti panjang, seluruh keluarga bergembira justeru dapat berkumpul bersama. Suasana di rumah menjadi meriah dan ramai. Kemesraan dalam sesebuah institusi rumah tangga bertambah mantap.

Sehari dua begitulah keadaannya. Ibu bapa masih mampu melayan anak dengan pelbagai aktiviti di rumah dan di luar rumah. Bagi keluarga yang berkemampuan, mereka boleh terbang ke destinasi pelancongan idaman.

Belum pun habis minggu pertama cuti, suasana ceria dan gamat di dalam rumah mula kehilangan momentum. Ibu bapa sudah kering idea untuk menyediakan aktiviti anak-anak selanjutnya. Si anak juga mula berasa puas (bosan) kerana asyik melekat di rumah.

Apabila ibu bapa buntu, si anak pun mula melayan permainan video atau komputer berjam-jam lamanya. Si ibu mulai pening, manakala si bapa menggeleng kepala. Si anak mahu berehat daripada alam buku dan kerja sekolah.

Ibu bapa yang sibuk, tetapi memiliki wang lebihan (bukan 'berwang') sudah menempah pelbagai pakej kem seperti tahfiz, jati diri, bina semangat dan macam-macam jenama yang dianjurkan oleh para saudagar motivasi, sama ada penganjur bertauliah atau sekadar auta. Ibu bapa demikian berlepas tangan, dan si anak tidak jadi rapat juga dengan mereka.

Sekarang giliran si anak bercuti, manakala ibu bapa sibuk dengan pelbagai urusan. Kelak suatu masa jika panjang umur murah rezeki, kedudukan akan menjadi terbalik. Ibu bapa sudah bersara dan lanjut usia, manakala anak pula yang sibuk dengan urusan masing-masing!

Mungkin ibu bapa sanggup berulang alik ke surau dan masjid, atau dihantar oleh anak ke program motivasi warga emas. Giliran ibu bapa pula mengalami detik-detik yang panjang jika hari yang berlalu tidak diisi dengan perkara yang bermanfaat sepertimana selayaknya. Walaupun tidak bermaksud balas dendam, tetapi ibu bapa bakal menerima 'balasan' atas perbuatan mereka dahulu.

Pengisian masa cuti anak memerlukan perancangan ibu bapa tanpa mengharapkan program swasta semata-mata. Barangkali satu kajian impak cuti boleh dilakukan oleh sarjana pengajian keluarga. Anak-anak muda generasi Y yang berlainan pengalaman dan persekitaran sepatutnya beroleh kesempatan menikmati cuti di rumah dalam suasana mahabbah dan mawaddata'w-wa rahmah...

Saturday, November 17, 2012

BENARKAH GAJI GURU BERLEBIHAN? (SCHOOL PRODUCTIVITY AND REWARD)

Di Malaysia, terdapat sejumlah 500,000 orang guru sekolah, atau kira-kira dua peratus daripada jumlah penduduk. Sebagai perbandingan, di Amerika Syarikat pula, bilangan guru sekolah mencecah 3.5 juta orang, atau 2.5 peratus daripada guna tenaga. Dari sudut yang lain, sekolah memainkan peranan yang sangat penting dari segi penjanaan modal insan, keselamatan negara, ketenteraman awam, perniagaan, mobiliti sosial dan sebagainya.

Dalam kajian ekonomi pendidikan, isu gaji guru diberi perhatian yang mendalam kerana sangat berkaitan dengan daya pengeluaran dalam bidang perkhidmatan. Sebagai buruh, maka secara konservatif, tingkat upah guru ditetapkan berdasarkan hasil keluaran sut (marginal revenue of production, MRP) pada titik keseimbangan, iaitu apabila bersamaan dengan kos sut buruh (marginal cost of labour, MCL). Perbincangan lebih lanjut secara kuantitatif seperti ekonometrik sangat sukar untuk difahami oleh orang awam (http://scholar.harvard.edu/mkraft/files/papay__kraft_-_productivity_returns_to_experience_in_the_teacher_labor_market_-_nov_2011.pdf.)

Jika gaji guru ditetapkan berpandukan daya pengeluaran, bagaimanakah ukuran yang hendak dipilih? Pemboleh ubah pencapaian murid misalnya mengundang perdebatan falsafah dan konseptual yang panjang. Pencapaian murid tidak hanya tertumpu kepada keputusan peperiksaan dan pentaksiran, tetapi menjangkau domain bukan kognitif seperti kemahiran insaniah, disiplin, sahsiah dan kecerdasan sosial. 

Namun, sumbangan asas pendidikan terhadap keselamatan negara dan ketenteraman awam sangat mudah difahami. Kanak-kanak dihantar ke sekolah supaya mereka berada dalam jagaan dan perlindungan organisasi yang mendapat kepercayaan ibu bapa yang perlu meninggalkan rumah untuk aktiviti mencari rezeki. Jika tidak, ibu bapa tidak mungkin mampu bekerja sepenuh hati apabila asyik memikirkan anak-anak di rumah.

Di Eropah, kemunculan revolusi industri pada abad ke-17 mengakibatkan kanak-kanak memiliki lebih banyak masa lapang justeru fungsi tenaga buruh (tulang empat kerat kanak-kanak) telah digantikan oleh jentera. Kesedaran terhadap hak kanak-kanak juga telah diinstitusikan dalam bentuk undang-undang, khususnya dari segi akses pendidikan di sekolah. Perkataan school berasal daripada  kosa kata Greek schole yang bermaksud masa lapang (sila  rujuk http://www.billcasselman.com/unpub3/school.htm).

Guru-guru dilantik untuk tugas reka bentuk aktiviti pembelajaran di bilik darjah dan juga pengalaman luar bilik darjah. Sudah tentu pada masa dahulu, upah guru tertakluk kepada prinsip kos lepas, iaitu bayaran bagi mengelakkan guru berkenaan berpindah kepada pekerjaan kedua terbaik. Kini, gaji guru ditetapkan menerusi sistem saraan yang mengambil kira kelayakan akademik dan ikhtisas, serta susun lapis perkhidmatan sesebuah negara.

Sumbangan guru terhadap keselamatan negara dan ketenteraman awam mungkin tidak begitu jelas jika dibandingkan dengan perkhidmatan tentera dan polis yang berhadapan dengan ancaman fizikal secara berhadapan. Namun, tanpa sekolah dan guru, ibu bapa tidak dapat keluar bekerja dengan tenang, kanak-kanak akan berkeliaran di jalanan, dan kejahilan akan mengakibatkan tingkah laku orang awam bersifat semberono dan kawalan sosial yang lemah. Masyarakat yang kekurangan pendidikan akan bersikap lebih agresif dan sukar menghormati norma sosial dan peraturan.

Kuasa beli

Peluang perniagaan di sekolah

Tanggapan basi dan klise cikgu kerja mudah dan banyak cuti

Pengamatan Ibnu Khaldun

Kajian tindakan dan PBS

Kesimpulannya, golongan guru sepertimana kakitangan awam yang lain hanya mampu hidup serba sederhana dan seadanya. Pengecualian hanya berlaku jika seseorang guru itu mempunyai pasangan hidup (suami atau isteri) yang kaya, atau mewarisi sejumlah harta yang melimpah ruah. Bakat guru dalam bidang kerjaya dan aktiviti yang lain tidak boleh dipandang enteng memandangkan bahawa agak banyak juga guru yang memilih untuk bersara awal kerana menceburi bidang perniagaan, politik atau kecendekiawanan...

KEPENTINGAN JURUSAN SAINS TERHADAP KEMAJUAN NEGARA (FALLACIES AND SOUND PROBABILITY)

Baru-baru ini isu tentang dasar enrolmen murid 60:40, iaitu 60 peratus jurusan sains dan 40 peratus jurusan sastera hangat kembali. Apabila sistem persijilan terbuka Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula diperkenalkan mulai tahun 2003, murid yang mencatat pencapaian cemerlang dalam mata pelajaran matematik dan sains semasa PMR juga boleh memilih jurusan kemanusiaan, sastera tulen atau vokasional-teknologi (VT). Murid kurang cemerlang juga boleh dipertimbangkan untuk jurusan sains.

Murid cemerlang matematik-sains yang memilih jurusan bukan sains atas pelbagai alasan, misalnya berkaitan dengan cita-cita untuk mengikuti program pengajian tinggi dalam bidang perakaunan atau undang-undang. Mereka juga berhujah bahawa telah berlaku lambakan siswazah sains dalam pasaran yang masih menganggur. Cerita siswazah kejururawatan dan akademi penerbangan yang hanya mampu bekerja sebagai jurujual di pasar raya atau gerai burger seolah-olah mengesahkan hujah seumpamanya.

Amerika Syarikat sendiri pernah mengalami femonena berlebihan siswazah fizik apabila musim permintaan untuk calon angkasawan dan kejuruteraan angkasa menjadi tepu. Kemudian, giliran pemegang ijazah tinggi sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) pula mengalami nasib yang sama. Maka, pelbagai punca masalah dikenal pasti dan pelbagai saranan tentang perancangan universiti dan pasaran guna tenaga disuarakan.

Di China, lima juta orang siswah keluar setiap tahun untuk bersaing di pasaran pekerjaan, demikian juga dengan India. Namun, ibu bapa masih berebut-rebut mengambil ujian kelayakan bagi memastikan anak mereka mendapat tempat di universiti. Siswazah negara Filipina pula sanggup menerima upah yang rendah di negara asing dengan menawarkan kelayakan ijazah mereka.

...

...

...

...

...

...

...

...

Friday, November 16, 2012

AYAT LUCU BERITA TELEVISYEN (SPONTANEOUSLY INTERVIEW OUTCOMES)

Jika dibandingkan saluran TV9 dengan TV3 samalah seperti akhbar Kosmo kepada Utusan Malaysia. Buat masa ini TV9 kurang terbabit dengan kontroversi berbanding dengan TV3 walaupun kedua-duanya bernaung di bawah Kumpulan Media Prima. Slot berita TV9 misalnya lebih humanistik dan merakyat.

Kesempatan untuk menonton berita televisyen memang terbatas kerana urusan seharian yang padat. Namun, malam semalam penulis blog sempat menjengah sebentar siaran berita TV9. Terdapat dua temu bual yang sungguh mencuit hati. Maklumlah jawapan yang terpacul secara spontan tanpa sempat difikirkan secara mendalam sudah pasti banyak kekurangannya sepertimana orang berucap tanpa teks yang disediakan terlebih dahulu.

Pertama, seorang pak cik nelayan di Terengganu ditemui dalam keadaan lemah kerana hanyut di Laut Cina Selatan. Walaupun nampak lesu sekali, jawapan pak cik kepada soalan wartawan televisyen kelakar sekali. Kata pak cik nelayan, "Pok cik dan panggil, tapi orang yang melintas buat dono (don't know) sahaja!"

Cerita sedih bertukar menjadi lucu. Simpati dan empati bertukar kepada Agaknya pak cik nelayan itu memang seorang yang kelakar dan pandai membuat lawak.

Kedua, seorang pengarah Jabatan Pendaftaran Negara berkunjung ke rumah tiga orang adik-beradik kurang upaya untuk urusan kad pengenalan. Mereka bertiga tidak mampu ke pejabat pendaftaran walaupun sudah berusia antara 40 hingga 70 tahun. Laporan awal oleh wartawan juga bersifat rasmi dan serius.

Namun, apabila masuk bab wawancara, si pengarah sudah mula tergagap mencari perkataan yang sesuai bagi menjawab soalan si wartawan. Maka terkeluar ayat yang lebih kurang berbunyi, "...sudah hampir puluhan tahun mereka di muka bumi..." Hahaha, macamlah sebelumnya tiga beradik malang berkenaan pernah berada di planet lain.

Paparan berita itu juga mengingatkan kisah seorang bekas pengarah pendaftaran sebuah negeri (Jusa D = 54) yang memberitahu bahawa dia seperti menganggur di dalam bilik pengarah bersendirian. Sebabnya, kebanyakan kerja dibuat secara atas talian. Maka, hanya sesekali dia diminta menandatangani beberapa dokumen tertentu atau hadir dalam mesyuarat.

Berbalik kepada berita TV9. Hakikatnya, percakapan dan respons spontan oleh orang awam lebih kelakar daripada pelawak sepenuh masa yang sering membosankan atau kering idea. Tahniah TV9!

Thursday, November 15, 2012

KUALA LUMPUR SEMPIT DALAM LUAS (CITY LIFE AND SURVIVAL)

Pengalaman semasa tinggal di Bukit Kernchi C2 berhampiran kompleks Angkasapuri (RTM) masih segar dalam ingatan. Bersama dengan lima orang pelajar siswazah diploma pendidikan UIAM dari Kelantan, penulis blog (PB) menyewa rumah sambungan (extension) di situ. Ketika itu PB hanya menggunakan motosikal kapcai Yamaha C80 untuk ke kampus UIAM di seksyen 17, Petaling Jaya yang kini pusat matrikulasi universiti berkenaan.

Motosikal perlu menggunakan laluan khas kerana lebuh raya persekutuan hanya khusus untuk kenderaan empat roda ke atas. Sesekali jalan singkat melalui kampus Universiti Malaya menjadi pilihan, tetapi pengawal keselamatan di sana bertegas mengarahkan 'orang luar' berpatah balik walaupun hampir benar dengan pintu keluar ke Petaling Jaya. Lazimnya, seharian pelajar diploma pendidikan berada di kampus, iaitu sejak 8.00 pagi hingga menjelang waktu Maghrib justeru jadual kuliah yang padat dan keperluan mendapatkan bahan rujukan di perpustakaan universiti.

Kalau semasa belajar di UKM, Bangi untuk ijazah pertama ekonomi, PB hanya menjadikan Kuala Lumpur sebagai persinggahan, terutama sekali hentian Pudu Raya. Kemudian, apabila menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universti Malaya, Lembah Pantai, ibu kota sekali lagi menjadi destinasi ulang alik dari rumah ke kampus. Jika tidak membawa keluarga, PB menggunakan perkhidmatan bas ekspres, terutamanya Plus Liner dan singgah di stesen KTM berhampiran KL Sentral sebelum mengambil teksi ke kampus.

Selain itu, setelah siap projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang menghubungkan Plus dengan Karak hingga ke plaza tol Jabor, Kuala Lumpur juga menjadi pilihan untuk singgah ke Sogo atau Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk makan-makan, mencari bahan bacaan atau keperluan yang lain. Tempat meletak kereta di kompleks Pertama lebih selamat dan mudah untuk akses ke gedung perniagaan atau premis perniagaan berdekatan. Kalau hendak ke Bukit Bintang untuk ke Plaza Imbi atau Low Yatt, PB dan keluarga lebih suka menggunakan pengangkutan MRT kerana jalan di sana sangat sesak hinggakan berjalan kaki kadang-kadang lebih cepat sampai berbanding dengan memandu kenderaan sendiri pada waktu puncak.

Semalam, PB sekeluarga ken Kuala Lumpur lagi untuk menghadiri satu majlis perkahwinan keluarga terdekat  di Taman Mawar, Kinrara, Puchong yang tidak jauh dari Hotel Pearl International, Jalan Kelang Lama. Oleh sebab tidak melanggan perkhidmatan perayauan peta jalan (GPS), beberapa kali juga PB berhenti di stesen minyak untuk bertanya jalan. Malangnya, petugas di sana kebanyakannya Bangla atau Indon!

Akhirnya, PB sekeluarga tiba juga di rumah pengantin pada waktu puncak tetamu datang, iaitu selepas waktu solat Zuhur. Sekali lagi, kesesakan berlaku, tetapi kali ini di bawah khemah buffet. Ada seorang pak cik yang datang dengan dengan keluarga secara berterus terang meminta sekumpulan anak muda yang masih berborak selepas makan supaya memberi laluan kepada mereka. Kemudian, dia berkata kepada PB, bahawa orang muda sekarang kurang peka dengan tanggungjawab sosial!

...

...

...

...

...

Wednesday, November 14, 2012

PREMIS MAKANAN GRED C (FOOD HYGIENE AND SANITATION)

Sebelum ini penulis blog (PB) hanya pernah melihat penarafan kedai makan gred A atau B sahaja, tetapi sebentar tadi berjumpa pula gred C, iaitu tahap memuaskan sahaja. Mungkin disebabkan waktu malam (selepas Maghrib), premis makanan yang terletak di aras  yang agak tinggi itu kelihatan cantik dari jauh. Kebetulan, banyak pengunjung sedang menikmati makanan di situ.

Setelah meletak kereta, PB dan keluarga pun menapak ke arah sebuah premis makanan sebuah kolej kediaman sebuah universiti ternama di ibu kota. Hidung yang tidak berapa sensitif ini pun terhidu bau yang busuk dari arah longkang berhampiran. Namun, kerusi di premis makanan berkenaan hampir penuh dengan anak-anak muda, barangkali mahasiswa.

Semua pembeli bagaikan buat-buat tidak nampak label gred C yang dipamerkan berdekatan dengan kaunter bayaran. Bau busuk longkang tadi telah berjaya diatasi dengan bau masakan yang menusuk lubang hidung. Semua pelayan dan tukang masak terdiri daripada jejaka belaka, 'agak-agak' sendirilah!

Dari meja makan, pengunjung dapat melihat dengan jelas proses penyediaan makanan kerana konsep dapur terbuka di premis tersebut. Tukang masak tidak memakai apron atau penutup kepala. Ironinya, bilangan pembeli yang beratur untuk membuat pesanan masih panjang!

Berdasarkan pengamatan PB, pengunjung nampaknya menikmati hidangan dengan berselera sekali. Tukang masak memang agak selekeh, tetapi mi goreng disajikan membuat sesiapa juga kecur air liur. Tuan kedai tidak perlu menggunakan 'ilmu pelaris' atau layanan kelas pertama.

Semasa belajar di Universiti Malaya dahulu, kawan-kawan sekuliah sering membawa donat dan karipap. Kata mereka, dua jenis kuih itu bagaikan menu rasmi orang Kuala Lumpur. Kata mereka lagi, orang Kuala Lumpur 'apa kisah' dengan mi bodoh (tanpa rencah dan sayur) di tepi longkang pun kerana yang penting ialah 'layan' perut keroncong dan jimat belanja!

Alang-alang sudah tercegat di situ, PB pun membuat pesanan mi goreng dan nasi goreng daging masak kunyit secara bungkus. Apabila siap, memang aroma menambat selera. Tiada minyak berlebihan, bahkan sekilas panjang macam mi goreng di kafe hotel mewah.

Pepatah Inggeris bahawa 'usah menilai buku berdasarkan kulit semata-mata' ada kebenarannya. Kriteria penarafan premis makanan mungkin juga boleh dibezakan berasaskan mutu kebersihan atau sambutan pelanggan. Namun, kalau sudah sampai penarafan gred C, tuan punya premis makanan terbabit perlu dipanggil 'membela diri' atau diberikan tempoh tertentu supaya meningkat sekurang-kurangnya ke gred B...

Tuesday, November 13, 2012

DOA AKHIR TAHUN 1433h, AWAL TAHUN 1434H (HAPPY NEW YEAR FOR MUSLIM)

Takwim tahun 1433 Hijriyyah bermula pada 26 November 2011 dan bakal berakhir pada 14 November 2012. Hari terakhir kalendar Hijrah pada hari Khamis ini dikira hingga sebelum masuk waktu solat Maghrib, atau kira-kira pukul tujuh malam. Setelah berakhir waktu Asar, kalendar hijrah bertukar kepada tahun 1434.

Umat Islam digalakkan berdoa sempena akhir tahun hijrah 1433 pada penghujung waktu Asar dan doa awal tahun hijrah 1434 sebaik masuk waktu solat Maghrib. Hakikatnya, umat Islam bebas berdoa apa-apa sahaja, tetapi ulama telah mencadangkan doa akhir tahun seperti berikut:

Doa awal tahun baharu pula ialah:
ambilan: www.pkggombak.com
...

...

...

Sementara itu, tema sambutan Ma'al Hijrah peringkat kebangsaan ialah Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.

...


Monday, November 12, 2012

PENGGUNAAN E-MEL DALAM PENERBITAN MAJALAH SEKOLAH (ACCESSING SHOWPIECE OF ORIGINAL WRITING EASILY)

Walaupun komunikasi atas talian seperti facebook, instagram, twitter dan weblog mampu merakamkan  dokumen, imej,dan maklumat secara masa sebenar atau kumpulan arkib, serta mampu diakses di segenap penjuru alam, media cetak masih belum pupus sepenuhnya. Kelebihan utama media cetak ialah dari segi tanggungjawab penulisan yang lebih autentik dan jelas justeru hanya mampu diterbitkan dengan kos yang agak tinggi. Media cetak memerlukan kelulusan pihak berkuasa dan tertakluk kepada garis panduan dan kuat kuasa peruntukan undang-undang.

Majalah sekolah merupakan suatu projek yang agak besar bagi sesebuah sekolah kerana melibatkan kutipan yuran khas, misalnya antara RM10 hingga RM20, bergantung kepada kebenaran jabatan pelajaran negeri. Selain kos percetakan yang dibiayai menerusi kutipan yuran murid dan mungkin sedikit sumber iklan, penerbitan majalah sekolah memerlukan 'kepakaran' dan kesanggupan sekumpulan guru untuk membimbing murid yang terpilih sebagi anggota sidang redaksi. Dengan pelbagai tugas yang menanti, guru majalah tidak boleh membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa mencatatkan sebarang kemajuan dari segi perancangan dan pentadbiran bahan dan reka bentuk majalah.

Seterusnya penerbitan majalah sekolah membabitkan proses kerjasama skala besar seluruh warga sekolah. Memang benar bahawa bentuk 'paksaan' boleh dibuat atas nama pengetua, tetapi pilihan yang bersifat lunak akan lebih disenangi bagi menjaga suasana harmoni di sekolah. Sebagai contoh, sesi penggambaran memerlukan ketepatan masa dan disiplin supaya tidak menjejaskan aktiviti pembelajaran atau masa di luar sesi bilik darjah. 

Demikian juga petugas fotografi perlu dijadualkan supaya tidak terlepas acara-acara penting sekolah, termasuk perhimpunan mingguan yang menyelitkan upacara penyampaian hadiah khas atau pelancaran program tertentu. Guru majalah yang menjaga hal ehwal fotografi juga mesti menyimpan suatu sistem rekod tentang semua gambar yang diambil. Proses pemindahan gambar digital daripada kad memori kepada cakera padat atau pemacu komputer juga mesti dilakukan secara teratur.

Sejajar dengan status dokumen rasmi, segala maklumat yang hendak dimuatkan dalam majalah sekolah mestilah benar dan sah. Nama-nama individu mesti dieja dengan betul, serta mematuhi protokol. Majalah sekolah akan dianggap sebagai catatan sejarah yang bernilai tinggi pada masa hadapan.

Risiko kehilangan bahan akibat kerosakan peranti elektronik yang digunakan boleh diatasi menerusi sistem e-mel yang khusus. Jawatankuasa majalah mesti mengaktifkan sekurang-kurangnya dua alamat e-mel untuk tujuan hantar dan terima. Semua anggota panel guru dan sidang redaksi dibenarkan mengetahui kata laluan e-mel supaya akses kemajuan penerbitan majalah dapat dilakukan di mana-mana.

Setiausaha majalah hendaklah menyediakan satu senarai semak bagi mencatat e-mel yang diterima untuk suntingan dan seterusnya dikumpul dalam satu folder berdasarkan seksyen tertentu sebelum dihantar pula kepada pencetak yang dilantik oleh pihak sekolah. Tindakan susulan mudah dilakukan berdasarkan rekod senarai semak berkenaan. Kemajuan kerja juga lebih mudah untuk dilaporkan semasa mesyuarat jawatankuasa induk majalah sekolah.

Sistem e-mel yang diaktifkan untuk majalah sekolah bakal mengurangkan penggunaan kertas dan fail yang tebal untuk dipamerkan di sudut tertentu bagi memuaskan hati orang yang tertentu pula. Tambahan pula, pihak pencetak mampu menjimatkan masa dengan hanya memindahkan mesej teks e-mel (attachment) untuk proses type-setting. Ralat ejaan dan maklumat juga dapat diminimumkan justeru bahan yang dihantar menerusi e-mel telah disemak dengan teliti di peringkat panel panasihat dan sidang redaksi majalah sekolah...