SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, January 3, 2013

GURIS ATAU GORES, YANG MANA BETUL? (WRONG SPELLING DUE TO IGNORANCE)

Kesalahan umum ejaan dalam bahasa Melayu masih berleluasa, termasuk oleh surat khabar arus perdana. Pengarang dan wartawan yang terlatih dalam bidang komunikasi dan penulisan memang bijak memanipulasi dan memutar kata-kata, tetapi nampaknya membiarkan sahaja kesalahan bahasa seperti tiada kesudahannya. Adakah gaji seorang penasihat bahasa khas terlalu tinggi?

Mangsa kecuaian pengarang dan wartawan akhbar sudah tentu masyarakat awam dan warga sekolah. Walaupun tahap kepercayaan terhadap berita yang disiarkan mungkin tidak seberapa, tetapi kesan kesalahan ejaan boleh menular dalam majlis rasmi, tutur awam dan penulisan karangan dalam kalangan murid sekolah. Sebagai contoh, hingga kini martabak kekal dieja sebagai murtabak, sama ada di hotel, restoran dan juga pasar malam.
Isu kalimah: Jangan guris sensitiviti
Tajuk berita di atas tersiar dalam akhbar Berita Harian (edisi atas talian, hari ini). Memang fungsi tajuk berita (lead) ialah sebagai daya tarikan atau magnet supaya khalayak sasaran membuat keputusan untuk membaca kandungan seterusnya. Rangkai kata "Isu kalimah" sengaja dibiarkan tergantung begitu sahaja supaya pembaca tertanya-tanya, lalu berusaha mencari jawapan dalam tubuh berita.

Masalah yang berlaku ialah dari segi ejaan "guris". Kosa kata, leksikon atau istilah "guris" tidak terdapat dalam kamus bahasa Melayu pegangan, iaitu Kamus Dewan. Ejaan yang betul ialah "gores" yang membawa maksud garis, calar, coret (Kamus Dewan edisi IV, 2005:482). Sebagai tambahan, jika perkataan "gores" digabungkan dengan "api" lantas menjadi "gores api"  maka maksudnya ialah korek api atau mancis.

Jika gores menerima imbuhan "ber", maka maksudnya ialah bergaris(-garis), bercalar(-calar) atau berparut-parut. Menggores pula membawa maksud menggaris, mencalar, menggarit, manakala jika digabungkan dengan hati akan membawa maksud melukakan hati atau mengharukan. Tergores dalam hati memberi erti terlintas dalam hati atau terfikirkan (Ibid).

Goresan membawa maksud tanda atau bekas digores. Kata terbitan ini mengingatkan peminat muzik retro Melayu tentang tajuk lagu dendangan Fredo Flybaits berjudul "Gurisan Terakhir". Fredo sendiri sebagai penulis lirik mungkin boleh dimaafkan kerana dia bukan rujukan kebahasaan seperti bahan bercetak dan media.

Pihak Berita Harian sepatutnya menyiarkan ralat tentang ejaan "gurisan" yang mungkin hanya diterima dalam perbualan tidak rasmi kerana mungkin berpunca daripada sebutan orang pelat yang tiba-tiba menjadi ikutan awam. Jika Berita Harian memang tidak sedar tentang hal itu, tugas membuat teguran berpindah kepada orang-orang bahasa. Jika setelah itu, Berita Harian masih mengulangi kesalahan yang sama, pengarang akhbar berkenaan perlu didakwa di mahkamah bahasa!

Pernah suatu ketika judul lagu ciptaan kumpulan rap KRU, iaitu "Seksis" nyanyian Anita Sarawak dihujani kritikan hebat kerana istilah itu sebenarnya tidak wujud dalam kamus. KRU mungkin merujuk perkataan seksisme (Ibid, 1416), terjemahan sexism yang membawa maksud sikap diskriminasi yang berdasarkan jantina, terutamanya sikap memandang rendah terhadap kaum wanita (oleh kaum lelaki). Pelanggaran hukum tatabahasa dalam bidang seni kreatif memang dibenarkan, tetapi bukan memesongkan kosa kata yang sudah mantap.

Nampak gayanya kumpulan perniagaan penipu jalanan menggunakan istilah yang lebih tepat, iaitu "Gores dan Menang". Keadaan itu suatu ironis yang sungguh malang bagi bahasa kebangsaan. Orang baik salah eja, orang jahat pula yang lebih teliti!

Kalau dicari-cari, tentu banyak lagi kesalahan umum ejaan yang mencolok mata. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka disarankan supaya menganjurkan bengkel khas tentang kesalahan umum ejaan dan hukum tatabahasa kepada pengamal media arus perdana. Hakikatnya, martabat bahasa Melayu tiada tolak ansur...

No comments: