SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, January 9, 2013

PELAJAR CEMERLANG KERANA GRAF LULUS RENDAH? (SIGNIFICANT LEVEL AND ERRORS)

Terdapat dakwaan (claim) bahawa pelajar cemerlang dengan pencapaian gred A dalam hampir semua kertas yang diduduki tidak sehebat mana apabila melanjutkan pengajian di universiti dan politeknik. Ada yang mencatat A+ dalam Matematik Tambahan SPM, tetapi seolah-olah tidak tahu apa-apa tentang kalkulus, matriks, persamaan serentak, kebarangkalian dan operasi tukar ganti. Maka, terdapat pensyarah yang kurang sabar membuat andaian kononnya graf taburan normal dalam penentuan skor peperiksaan awam telah diturunkan bagi mewujudkan gambaran yang baik (feel good factor) terhadap sistem pembelajaran dan  pentaksiran negara.

Pemarkahan dan pemeringkatan gred peperiksaan awam telah mengalami pelbagai bentuk perubahan, terutama setelah dasar persijilan terbuka diperkenalkan. Sistem penjumlahan agregat SPM berdasarkan 6 kertas terbaik dimansuhkan. Demikian juga sistem gred 1, 2, 3 dan SAP hanya tinggal sejarah.

Cara penganugerahan gred di peringkat STPM turut mengalami perubahan dengan penjenamaan baharu gred subsidiary yang dahulunya dicatat sebagai 'O' dan kemudian 'R' sebagai petanda lulus sebahagian. Konsep sijil penuh yang pernah menjadi kebanggaan lulusan STP (HSC) juga sudah tiada lagi. Kini, calon STPM lebih mementingkan pencapaian PNGK masing-masing.

Hakikatnya sistem pengukuran, penilaian dan pentaksiran yang dilaksanakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) memiliki tahap kesahan dan kebolehpercayaan yang tertinggi berbanding dengan peperiksaan di peringkat pengajian tinggi atau kelayakan profesional. Sebagai bukti, penetapan gaji permulaan sektor swasta akan merujuk kepada pencapaian SPM walaupun syarat penerimaan jawatan ialah ijazah.


                                                                       sumber asal klik SINI

Amalan biasa pemeringkatan gred peperiksaan dibuat menerusi analisis taburan normal yang berbentuk loceng seperti di atas dengan mengambil kira hitungan min (purata) dan sisihan piawai (serakan min daripada ukuran kecenderungan memusat. Keluk simetrikal yang terhasil menunjukkan kawasan ekstrem dua hujung, iaitu di ekstrem kiri untuk calon gagal, manakala ekstrem kanan untuk calon cemerlang.

Pengecualian mungkin berlaku akibat pencongan data (skewed) yang mengakibatkan min tidak lagi berada di tengah. Jika data skor akur dengan taburan normal, maka kedua-dua ekstrem hujung mewakili lima peratus setiap satu, manakala zon biru mewakili 11 peratus setiap satu dan zon hijau mewakili 68 peratus. Namun, dalam pentadbiran data peperiksaan, pembahagian zon skor dalam taburan normal tidak akan didedahkan.

Penulis blog (PB) pernah menghadiri bengkel pengukuran dan penilaian yang dikendalikan oleh seorang pegawai LPM, Dr. Wan yang berkelulusan Ph.D dari Manchester, UK. Teknikaliti statistik yang digunakan mematuhi tatacara kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi dengan kemungkinan ralat yang paling kecil. Namun, beliau mengakui bahawa sistem pengukuran dan penilaian tidak bersifat statik, sebaliknya terbuka kepada pembaharuan dan penambahbaikan.

Hari ini sistem peperiksaan berpusat sepenuhnya sudah dikurangkan, sebaliknya sebahagian tugasan pentaksiran skala besar diagihkan berdasarkan prinsip autonomi sekolah, iaitu pentaksiran berasaskan sekolah (PBS). Perubahan yang berlaku mungkin meresahkan kumpulan status quo, sambil berharap untuk kembali kepada sistem yang lama. Sama seperti sistem peperiksaan berpusat sepenuhnya, sistem PBS juga akan terdedah kepada kritikan dan kontroversi akibat kekurangan pengetahuan atau perbezaan pendapat yang melulu.

Sistem peperiksaan berpusat atau PBS juga berfungsi sebagi instrumen yang mengukur skor data menerusi tatacara pentadbiran yang ketat bagi meminimumkan sebarang peluang kebetulan atau ralat. Falsafah bahawa skor data umpama sekeping foto yang benar untuk satu ketika sahaja boleh diaplikasikan kepada pencapaian calon peperiksaan. Dengan berlalunya masa, tahap kebolehan dan tingkah seseorang itu boleh mengalami perubahan yang sukar dijangkakan...

No comments: