SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, February 23, 2013

MOTIVASI BELAJAR: KELEBIHAN PENGAJARAN SEBAYA (THE BEST WAY OF LEARNING)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera


Perbincangan kita pada kali ini dimulai dengan petikan kata-kata Profesor Dr. Muhaya Mohamad, seorang pakar pembedahan mata kaedah LASIK, merangkap pendakwah selebriti ulung di negara kita.. Dalam buku 'Pelajar Bertanya Prof. Dr. Muhaya Menjawab' pada halaman 18 ada menyatakan bahawa "Antara cara untuk gagal adalah tidak ada keupayaan untuk berdiskusi... cara kita ingat adalah 70 peratus daripada perbincangan. Sekiranya kita membaca seorang diri, kita dapat mengingati 10 peratus sahaja."

Profesor Muhaya seterusnya menyebut bahawa apabila mendengar (daripada orang lain atau rakaman suara sendiri?), 20 peratus lagi bertambah. Kombinasi mendengar dan membaca menghasilkan 50 peratus, manakala amali meningkatkan daya ingatan kepada 60 peratus dan akhir sekali mengajar orang lain, kita dapat mengingat 100 peratus.

Pendapat Profesor Muhaya itu bukanlah perkara baharu dalam maksim tentang pembelajaran (bacaan lanjut di sini). Malah, Conficius juga dikatakan berpendapat sedemikian, I hear and I forget. I see and I remember. I do and I understand (sumber di sini). Maka, antara kaedah pembelajaran di bilik darjah ialah bual bicara, forum, pembentangan, seminar dan kolokium.

Setiap kaedah pembelajaran memiliki kelebihan dan kekurangan yang tersendiri justeru setiap orang tertakluk kepada kecerdasan yang pelbagai (teori Horward Gardener, baca di sini). Selain itu, kita pernah mendengar tentang pembahagian hemisfera otak kanan dan hemisfera otak kiri (lakukan ujian sama ada anda lebih cenderung ke arah hemisfera otak kanan atau hemisfera otak kiri di sini). Memandangkan cara belajar yang tidak sama antara golongan murid, kaedah pendidikan khas sama ada untuk kumpulan bermasalah pembelajaran atau kumpulan pintar cerdas semakin dikembangkan.

Adik-adik yang dikasihi,

Untuk berlaku adil, mari kita meminjam kebijaksanaan Profesor Muhaya yang begitu kaya pengalaman dan telah terbukti sangat berjaya dalam bidang pengajian perubatan yang dianggap sebagai kritikal dan sukar. Tambahan pula, amalan kerjasama dan jemaah ialah suatu tuntutan agama. Tinggal lagi bahawa kita perlu memindahkan saranan bestari Profesor Muhaya dalam bentuk amalan sebenar.

Proses pengajaran sebaya yang dilaksanakan di bilik darjah diperhatikan mempunyai batasan dan kelemahan yang tersendiri akibat sikap murid yang cenderung berlumba-lumba untuk mendapat perhatian. Selain persediaan pembentang atau pengajar sebaya yang ala kadar, rakan-rakan yang lain tidak memberi perhatian dan sokongan sebagaimana yang diharapkan. Mereka bukan sahaja kurang yakin dengan kebolehan rakan sebaya, bahkan khuatir bahawa populariti si pengajar akan melonjak, lalu mengatasi dirinya.

Sebagai pakar pembelajaran yang peka, guru mencuba kaedah pengajaran dan pembelajaran sebaya yang bersifat mikro, iaitu dalam kumpulan kecil antara dua hingga empat orang. Tugasan yang diberi dibincangkan bersama dalam tempoh tertentu. Hasil perbincangan bakal dibentangkan untuk penilaian skor tertentu.

Kaedah dyads (rujuk di sini) iaitu pembelajaran secara berpasangan dengan rakan di tempat duduk bersebelahan ialah suatu pilihan yang berkesan apabila kawalan dilaksanakan. Guru bergerak dari meja ke meja bagi memastikan bahawa murid memberi tumpuan terhadap tugasan dan bukan mengambil kesempatan untuk melencong tentang hal yang tidak berkaitan. Sebagai pakar pentaksiran, pengukuran dan penilaian formatif, guru telah bersedia dengan reka bentuk item yang membawa skor tertentu.

Adik-adik yang dimuliakan,

Kemusykilan yang lazim dibangkitkan oleh pelajar ialah tentang proses pembelajaran di luar bilik kuliah. Manakah yang lebih berkesan, belajar sendiri atau berkumpulan? Hakikatnya, kedua-dua kaedah belajar yang berkenaan perlu dilakukan.

Semasa belajar bersendirian, pelajar perlu sentiasa menyediakan pen dan buku catatan membuat hubungan grafik antara idea, isi atau pemboleh ubah yang terdapat dalam sesuatu teks. Apabila belajar berkumpulan, pelajar harus memastikan bahawa ahli kumpulan yang dipilih mempunyai kecenderungan yang sama untuk memberi sumbangan produktif, bukan sekadar penumpang. Idea kelakar atau penyampaian kreatif (seperti ayat berirama) boleh dibenarkan, tetapi mesti sentiasa dalam landasan pembelajaran.

Sekian sahaja perbincangan buat kali ini. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments: