SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, February 4, 2013

GAYA HIDUP MEWAH (RICH AND GLAMOUR)

Mewah membawa maksud segala-galanya banyak (makanan, harta dan lain-lain), serba berlebih, serba elok; sangat mahal dan memberi kepuasan serta keselesaan; barang-barang yang elok tetapi tidak mustahak benar; hidup dengan makanan dan barang-barang yang serba banyak (Kamus Dewan edisi IV:1030). Bermewah pula ialah berbelanja dengan berlebih-lebihan (Ibid). Dalam bahasa Inggeris, mewah merujuk kepada istilah luxury (rujukan maksud di sini atau di sini).

Gaya hidup mewah juga pernah dikaitkan dengan konsep ranggi (dalam bahasa perbualan, ranggi bermaksud angkuh, lagak, sombong; Ibid: 1282). Istilah ranggi yang merujuk hal berkenaan pernah digunakan oleh Allahyarham Ustaz Azizi bin Haji Abdullah, seorang novelis ulung negara dalam naskhah lewat beliau. Cikgu Azmi (Presiden Teras Pengupayaan Melayu), juga menyelar gaya hidup mewah atau elitis yang cenderung terhadap pembaziran dengan segala alasan dan justifikasi (Haram dalam Budaya Hidup, Persatuan Pengguna Pulau Pinang, 2012).

Kehidupan mewah tergambar menerusi pakaian yang elegan, kenderaan yang canggih, kediaman bak mahligai dan percakapan yang tinggi-tinggi belaka. Golongan mewah mula memandang gaya hidup biasa-biasa sebagai tiada kelas dan kufur nikmat. Malah, kedapatan juga pemuka agama yang menganjurkan perbelanjaan mewah sebagai tanda bersyukur terhadap limpahan rezeki yang dikurniakan.

Sesekali ingin merasa percikan kemewahan mungkin boleh difahami, tetapi jika sudah menjadi rutin, maka golongan mewah yang terbabit perlu diberi peringatan. Jika sudah larut dengan kelazatan duniawi, maka dikhuatiri bahawa maksud kehidupan itu sendiri sudah sirna. Sedikit demi sedikit, kepekaan mereka terhadap tanggungjawab hidup bermasyarakat dan menunaikan hak-hak orang lain semakin berkembang.

Sejarah membuktikan bahawa kebiasaan hidup mewah boleh meruntuhkan sesebuah empayar dan kerajaan yang dibina dengan susah payah. Pemimpin yang gila kemewahan akan lupa peranan sebenar mereka sebagai pemegang kepercayaan rakyat untuk memperuntukkan sumber khazanah negara untuk kebajikan dan kesejahteraan masyarakat dengan adil dan benar. Mereka hanya dikelilingi tukang kipas dan pembodek yang membenarkan sahaja penipuan yang berlaku.

Gaya hidup mewah lebih mirip kepada aliran kapitalisme dan hedonisme. Orang kaya memiliki kesempatan menimbun-nimbun harta tanpa mempedulikan kemungkinan berlaku pencerobohan dan penindasan terhadap golongan yang daif dan tidak mempunyai akses yang setara. Bagi mereka, hidup hanya ada dua pilihan, iaitu sama ada gembira (pleasure) dan sengsara (pain).

Pembersihan atau penyucian jiwa dan harta ialah jawapan kepada penyakit hidup bermewah-mewah tanpa kawalan itu. Orang-orang kaya boleh memperuntukkan sebahagian lebihan harta mereka untuk diagihkan semula kepada golongan yang memerlukan bantuan, sama kaum kerabat, jiran tetangga, orang yang meminta-minta dan organisasi berteraskan kebajikan. Di samping kewajipan mengeluarkan zakat, orang-orang kaya dan hartawan boleh berbelanja ke arah kebaktian (infaq fi sabilillah) sama ada derma, sedekah, wakaf dan yang seumpamanya.

Menjadi kaya bukan suatu kesalahan dan menjadi miskin bukan suatu kesucian. Saidina Ali karamallah wajhah pernah menegaskan andai kata kemiskinan itu wujud sebagai makhluk yang hidup, nescaya beliau bunuh. Pemimpin umat pada zaman dahulu sentiasa menjaga diri daripada menyentuh khazanah negara untuk kepentingan peribadi walaupun mereka sangat berpeluang untuk berbuat begitu (baca kisah Umar bin Abdul Aziz dan Salman al-Farsi).

...

....

No comments: