SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, February 7, 2013

KEBAJIKAN KAUM GURU (FRINGE BENEFITS FOR EMPLOYEES)

Sebaik sahaja dilantik sebagai kakitangan awam, seseorang pegawai dan kakitangan itu akan tertakluk kepada syarat dan terma perkhidmatan yang ditetapkan, terutama perintah am kerajaan (baca di sini), pekeliling yang sedang berkuat kuasa, serta dasar, undang-undang dan kehendak lain yang dinyatakan dari masa ke masa. Majikan dan ketua jabatan diberi peruntukan punca kuasa untuk melaksanakan hukuman tatatertib (Bab D, baca di sini) terhadap sebarang bentuk ingkar perintah atau kelakuan yang bercanggah dengan keutuhan perkhidmatan awam.

Kemudahan yang diperuntukkan bagi pegawai dan kakitangan awam masuk dalam kategori budi bicara (baca di sini). Barang diingat bahawa semua lantikan ke dalam perkhidmatan awam dibuat atas nama DYMM Yang Di-Pertuan Agong. Maka, semua kakitangan awam terikat kepada konsep kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi tertinggi negara itu.

Budi bicara dalam konteks kepimpinan, pentadbiran dan perhubungan manusia ialah kebebasan membuat pertimbangan yang sewajarnya daripada seseorang yang dianggap berkuasa (berwibawa) dalam sesuatu hal (Kamus Dewan edisi IV, 2005: 212). Seseorang majikan atau ketua jabatan tidak seyogia bergantung secara mutlak terhadap peraturan yang berkuat kuasa tanpa melihat prinsip pengecualian dan kelonggaran atas sebab-sebab yang istimewa. Tambahan pula, proses tindakan tatatertib bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya, tetapi harus mematuhi tatacara pentadbiran yang ditetapkan.

Perubahan persekitaran dan zaman telah mengakibatkan banyak peraturan mengalami kemas kini dan pindaan. Misalnya, dengan sistem saraan kakitangan awam yang lebih baik dan tinggi pada masa ini, pemilikan kenderaan yang dahulunya mungkin jatuh dalam kategori mewah sudah kurang relevan. Seorang pekerja kumpulan pelaksana / sokongan / pembantu am rendah yang mencapai gaji hingga RM1,500 sebulan sudah mampu memiliki sebuah kereta Viva yang bernilai RM25k (baharu) atau Wira terpakai (RM10k) menerusi skim bayaran ansuran fleksibel institusi kewangan yang sah.

Peraturan waktu datang dan balik dari tempat bekerja juga telah mengalami beberapa proses pengubahsuaian, terutama bagi menangani kesesakan waktu puncak di bandar dan untuk mengurangkan risiko nahas jalan raya kerana terlalu tergesa-gesa menuju destinasi. Walaupun semakin banyak pengangkutan awam disediakan, faktor kemanusiaan dan teknikal harus diambil kira jika ada pekerja yang didapati sesekali berhadapan dengan masalah ketepatan waktu. Demikian juga keadaannya kepada pegawai dan kakitangan yang harus mengurus ibu bapa yang uzur atau anak istimewa sebelum bergegas ke tempat kerja.

Suatu ketika dahulu, terdapat majikan swasta yang berdegil untuk menghalang pegawai dan kakitangan Islam daripada menunaikan solat Jumaat. Penulis blog (PB) sendiri pernah menghadiri satu temu duga sebagai pegawai kawalan kualiti di sebuah syarikat kabel swasta dan diminta kepastian supaya sanggup bekerja ketika waktu solat Jumaat. PB spontan berpegang teguh pada prinsip walaupun seorang lagi rakan PB berjaya mendapat jawatan berkenaan dan memberi alasan bahawa kesanggupan itu sebagai strategi sementara!

Masalah solat Jumaat tidak berbangkit di negeri-negeri yang berhujung minggu pada hari berkenaan, iaitu di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Memang suatu ironi bahawa cuti hujung minggu pada hari Ahad memberi keselesaan kepada pengunjung rumah ibadat yang tertentu. Maka, pegawai dan kakitangan Islam juga perlu beroleh kemudahan dan keselesaan untuk menunaikan solat Jumaat tanpa tergesa-gesa atau dalam keadaan berpeluh.

Sebagai langkah kompromi, pegawai dan kakitangan Islam lelaki dibenarkan keluar pejabat lebih awal, misalnya pukul 12.00 tengah hari walaupun waktu rasmi mereka ialah sehingga pukul 12.15 tengah hari. Gantian waktu boleh dibuat dengan mengawalkan waktu kedatangan atau melewatkan waktu pulang kerja bersamaan dengan tempoh 15 minit tadi. Kakitangan wanita Islam dan kakitangan lain boleh terus berada di tempat kerja sehingga 12.15 tengah hari bagi memberi laluan kepada pegawai dan kakitangan lelaki bergerak pulang lebih awal tanpa kesesakan jalan raya yang luar biasa.

Di sekolah, jadual waktu mengajar guru lelaki Islam dihadkan setakat pukul 11.45 pagi untuk hari Jumaat supaya mereka dapat bersiap-siap untuk pulang lebih awal. Perkara ini tidak menimbulkan masalah kerana bilangan guru lelaki Islam di sesebuah sekolah lazimnya hanya mewakili 20 hingga 30 peratus jumlah guru. Setelah kemudahan diberi, jika masih ada guru lelaki Islam yang sanggup menunggu lebih lama di sekolah, perkara itu sudah menjadi pilihan individu.

Selain solat Jumaat, isu guru menyambung pengajian ijazah lanjutan di universiti tempatan juga sering menjadi isu pentadbiran, misalnya kemudahan cuti tanpa rekod, kebenaran pulang lebih awal pada hari persekolahan tertentu dan sokongan moral. Sudah tiba masanya garis panduan yang lebih jelas, terkini dan terperinci disediakan untuk rujukan pengetua, guru dan pihak yang berkepentingan supaya calon ijazah tinggi dalam kalangan guru dapat menjalani proses pengajian dengan gembira dan selesa. Sumbangan kepakaran guru berijazah lanjutan akhirnya akan dipulangkan dalam bentuk pencapaian pembelajaran murid yang lebih berkesan, menarik dan menyeronokkan.

Proses inovasi dan transformasi perkhidmatan awam bermakna bahawa sistem penyampaian akan lebih cekap, berdaya saing dan sebagai pemangkin kepada pelaksanaan dan pencapaian segala dasar negara. Kerenah birokrasi yang bersifat tanpa wajah (faceless entity) sudah ketinggalan zaman dan hanya sesuai pada era jentera dan teori X dahulu. Aplikasi perkhidmatan atas talian telah mengurangkan beban perkhidmatan kaunter dan bersemuka, lalu mewujudkan keperluan tentang etika dan keselamatan data yang lebih kuat.

Guru-guru di sekolah juga berhadapan dengan murid dan ibu bapa yang memiliki akses maklumat yang lebih luas berbanding dengan zaman mereka bersekolah dahulu. Pengetua juga mengurus pasukan organisasi yang dipenuhi guru-guru yang berkelayakan tinggi dan pakar dalam bidang pengkhususan tertentu. Maka, kaedah kepimpinan, pentadbiran, pengurusan dan sebagainya perlu seimbang antara kehendak peraturan dengan pelaksanaan budi bicara dalam hubungan kemanusiaan...

No comments: