SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, March 5, 2013

PELAJAR PRAUNIVERSITI PERLU SENTIASA FOKUS (SUGGESTIONS FORM SIXTH FORM LEARNING)

Penggal dua sistem modular STPM sudah masuk pertengahan jalan. Pengumuman keputusan STPM penggal satu dan STPM terminal kohort terakhir akan keluar dalam tempoh terdekat. Sama ada 7 Mac atau 18 Mac, debaran calon sudah kencang.

Maklum balas dan pengamatan pada penggal yang lalu menunjukkan bahawa sebahagian calon STPM sistem modular masih terpinga-pinga dan belum menunjukkan kesungguhan yang optimum dalam proses pembelajaran. Barangkali (perlu disahkan menerusi kajian), mereka masih terbawa-bawa dengan sistem peperiksaan berpusat secara sekali gus di peringkat UPSR, PMR danSPM dahulu. Konsep 'bulan madu' masih melekat dalam minda walaupun pada hakikatnya peperiksaan sentiasa di hadapan pintu.

Perubahan yang agak ketara dapat dilihat apabila pelajar berkenaan memulakan penggal yang kedua Januari lalu. Mereka memberi alasan bahawa pencapaian gred kertas untuk penggal satu masih boleh dibaiki dalam penggal tiga nanti, iaitu dengan menduduki kertas yang sama sekali lagi. Namun, kertas penggal dua jika hendak diulang sudah berada di luar tempoh bergelar sebagai pelajar sepenuh masa di sekolah.

Perbualan penulis blog (PB) dengan seorang guru tingkatan enam yang sangat berpengalaman (berusia 53 tahun) semalam membandingkan sikap generasi muda sekarang terhadap proses pembelajaran. Beliau dahulu hanya seorang anak pekerja estet dan bersekolah aliran jenis kebangsaan (vernakular). Kemiskinan keluarga mengakibatkan pembelian bahan rujukan sangat terhad.

Guru berkenaan sanggup menunggu giliran supaya dapat membaca naskhah akhbar berbahasa Inggeris untuk meningkatkan perbendaharaan kata dan maklumat terkini. Pengorbanan itu sangat berbaloi apabila akhirnya beliau diterima masuk ke Universiti Malaya dengan pengkhususan pendidikan bahasa Inggeris hingga peringkat ijazah lanjutan sarjana. Pengalaman beliau itu bagaimanapun sukar untuk dikongsi oleh pelajar prauniversiti sekarang yang sudah biasa serba cukup.

Pelajar sekarang seperti tidak kisah justeru mereka mempunyai banyak pilihan pengajian, termasuk di kolej universiti swasta meskipun keputusan STPM mereka tidak seberapa. Mereka juga sangat berkira untuk membeli buku rujukan dan spesimen naskhah peperiksaan walaupun dicadangkan berbuat demikian. Pemberian baucar buku (BB1M) bernilai RM250 seorang belum mempunyai mekanisme kawalan supaya hanya digunakan ke arah yang berkaitan dengan kepentingan pembelajaran prauniversiti.

Hakikatnya cara berfikir generasi Y dengan generasi X dan boomers sudah jauh berbeza. Dahulu kelayakan masuk ke kelas tingkatan enam sangat ketat, malah hanya beberapa orang pelajar terbaik setiap sekolah bakal mendapat tempat di universiti yang hanya berjumlah lima buah ketika itu. Kini, dasar aksesibiliti pendidikan memberi peluang kepada sebanyak mungkin pelajar lulusan SPM untuk memasuki tingkatan 6 bagi mengimbangi pilihan pelajar ke program matrikulasi, asasi, persediaan luar negara dan pelbagai tawaran pengajian peringkat sijil dan diploma di institut kemahiran, politeknik dan kolej komuniti.

Guru tingkatan enam tidak mempunyai banyak pilihan selain menerima pelajar yang masih sudi bersekolah tanpa syarat. Kesudian mereka berdaftar sebagai pelajar prauniversiti tingkatan sebenarnya menyumbang terhadap kewujudan program pengajian tingkatan 6, serta mengekalkan norma perjawatan guru akademik tingkatan enam dengan penjenamaan semula sebagai pensyarah. Andai kata mereka semua lari, peruntukan bantuan per kapita untuk sekolah juga akan terjejas.

Jalan mesti dicari supaya satu kelompok rujukan unggul dalam kalangan pelajar tingkatan enam memiliki ciri kecemerlangan dalam proses pembelajaran. Misalnya, mereka tahu membawa diri dalam persekitaran pembelajaran aras tinggi dan sanggup menahan diri daripada tingkah laku lencongan. Pelajar juga berjaya dipujuk supaya mengutamakan kecerdasan emosi sehingga dapat membimbing diri sehingga tahu menghormati hak rakan untuk menikmati pengalaman pembelajaran yang terbaik.

Antara adab belajar supaya beroleh keberkatan ialah menghormati guru walaupun sebagai insan biasa mereka juga tidak sunyi daripada pelbagai kekurangan. Pelajar prauniversiti tidak seyogia terlalu sentimental atu taksub dengan kehendak peribadi hingga tidak dapat membezakan peranan guru sebagai pemudah cara pembelajaran dengan susuk penampilan dan pendekatan komunikasi guru yang berkenaan. Dalam jangka panjang, kedua-dua pihak, iaitu pelajar dan guru, mesti menggembleng segala sumber kekuatan yang ada bagi mengangkat martabat pengajian prauniversiti tingkatan enam sebagai laluan utama ke universiti...

No comments: