SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, April 19, 2013

SINGGAH SEBENTAR DI CYBERJAYA (PLANNED CITY EXPERIENCE)

Setelah mendaftar keluar dari tempat penginapan di Rumah Universiti, Universiti Malaya, penulis blog sekeluarga singgah sekejap di jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum meneruskan perjalanan ke Cyberjaya. Dalam suasana menjelang pilihan raya ke-13, perang bendera memang ketara, termasuk di sepanjang laluan menuju kampus. Namun, di dalam kampus memang tiada sebarang bendera parti politik yang kelihatan.

Cyberjaya ialah bandar pintar projek lebuh raya maklumat negara, MSC, sebagai pelengkap kepada Putrajaya yang berperanan sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan (baca lebih lanjut di sini). Cyberjaya seumpama Lembah Silikon, Amerika Syarikat atau banglore di India. Putrajaya pula mirip konsep Washington DC dan Canberra.
Cyberjaya menempatkan premis pejabat serantau syarikat korporat dan konglomerat bertaraf antarabangsa (multinational company, MNC) seperti BMWDHL, HPIBM dan Erricson. Dengan kawasan seluas 7,000 ekar, Cyberjaya yang dibangunkan oleh Setia Haruman Sdn. Bhd. masih rancak dengan pelbagai projek hartanah mega. Begitu juga sebagai bandar ilmu, Cyberjaya menempatkan Universiti Multimedia (MMU), milik Telekom Malaysia, Universiti Limkokweng dan Universiti Kolej Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS).

Sama seperti Putrajaya, tiada langsung penjaja jalanan yang kelihatan. Sebagai bandar pintar terancang, restoran dan medan selera diletakkan di bawah satu bumbung, serta berciri eksklusif. Misalnya di Cyber 6, terdapat kompleks yang menempatkan pelbagai sajian, termasuk kopitiam halal, restoran mamak, sajian utara dan lain-lain. 

Seorang petugas restoran warga Bangladesh yang ditemui mengatakan dia pernah bekerja di Tesco Ipoh, tetapi berpindah ke Cyberjaya kerana gaji yang lebih tinggi. Pengunjung restoran pula terdiri daripada golongan berkemampuan dan sebahagian lagi ekspetariat asing. Namun, harga makanan masih sederhana justeru pelajar juga menjadi pelanggan mereka.
Cyberjaya juga menempatkan sekolah berasrama penuh premier khusus untuk pelajar perempuan, iaitu Sekolah Seri Puteri (SSP). Persekitaran yang tenang dan mendamaikan menyumbang terhadap proses pembelajaran yang berkesan dan optimum. Pendedahan terhadap kegiatan perniagaan dan teknologi bertaraf antarabangsa membolehkan murid SSP beroleh dorongan yang kuat untuk muncul sebagai modal insan bertaraf sejagat.

SSP ialah kesinambungan tradisi cemerlang SSP Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur yang menjadi impian murid perempuan terbaik negara, selain Kolej Tunku Khursiah (kini di Nilai) dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Berjiran dengan SSP ialah sebuah kawasan perumahan yang baharu siap dan hanya beberapa buah rumah kelihatan berpenghuni. Terdapat iklan besar tentang pameran jualan hartanah Cyberjaya bertempat di Hotel Cyberview dalam tempoh terdekat.

Harga seunit rumah teres di Cyberjaya masih rendah, iaitu antara RM250K hingga RM300k, serta dikelilingi pagar keselamatan dan kawalan akses di pintu masuk kawasan perumahan. Keadaan itu berbeza dengan Putrajaya dengan harga seunit rumah teres setingkat yang sudah mencecah RM600k, serta tiada pagar sama sekali. Barangkali dalam jangka panjang, pembelian rumah kediaman di Cyberjaya sangat berbaloi, apatah lagi dengan kedudukannya yang berhampiran dengan semua kampus universiti utama negara dan lapangan terbang antarabangsa negara, KLIA...

No comments: