SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, April 6, 2013

KEPINCANGAN INSTITUSI KELUARGA PENYUMBANG GEJALA SOSIAL REMAJA (HOME PROBLEMS)

Keluarga ialah seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami dan isteri, atau berserta anak-anak (Kamus Dewan edisi IV, 2005:725) yang wujud menerusi hubungan biologi, perkahwinan atau keturunan yang sah. Kepincangan pula merujuk kepada keadaan yang tidak seimbang atau tidak sebagai yang sepatutnya, kekurangan dan cacat cela (Ibid, 1210). Gejala sosial remaja dalam perbincangan ini membawa maksud tanda-tanda bahawa generasi muda menunjukkan kecenderungan tingkah laku yang melencong daripada norma masyarakat dan nilai murni. Kebimbangan tentang hal itu memang wajar kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Isu pergaulan bebas, keruntuhan akhlak, lari daripada rumah, buang bayi dan vandalisme ialah antara gejala yang dimaksudkan. Semua kesalahan tidak patut diletakkan kepada remaja semata-mata, bahkan seluruh masyarakat perlu memikul tanggungjawab atas krisis sosial yang semakin ketara itu.

Keluarga ialah bayangan sebuah masyarakat kecil yang memiliki kepimpinan, kewangan, susun lapis, komunikasi, permuafakatan dan perbezaan pendapat. Asas pembinaan rumah tangga ialah ikatan perkahwinan sepasang suami isteri. Hakikatnya, institusi perkahwinan ialah percantuman sejumlah perbezaan antara dua insan yang bersetuju menjalani kehidupan berumah tangga. Walaupun si suami dan isteri dilengkapkan dengan input keibubapaan, tetapi perspektif yang berbeza tentang pengurusan keluarga tidak dapat dielakkan akibat perbezaan latar belakang sebelum bernikah. Maka, persaingan idea yang unggul dapat diubah kepada bentuk kesepakatan jika wujud tolak ansur dan saling menghormati.

Suami isteri yang tidak dapat menyembunyikan persaingan idea unggul antara mereka, lalu mencetuskan pergaduhan terbuka menyebabkan anak-anak menjadi keliru. Perasaan kecewa bersarang di hati mereka kerana harus menyaksikan orang dewasa yang sepatutnya menjadi teladan berlaku sebaliknya. Sebagai anak yang dilabel masih mentah, mereka hanya mampu berdiam diri sambil memendam perasaan tertekan. Keadaan menjadi lebih buruk apabila anak-anak meniru tingkah laku agresif seperti ibu bapa mereka setiap kali berhadapan dengan perbezaan pendapat di sekolah. Mereka tidak kisah untuk melanggar peraturan atau dikenakan hukuman. Petanda gejala sosial remaja sudah bermula di situ.

Kesibukan dengan urusan di luar rumah seperti mencari rezeki, menghadiri pelbagai majlis dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya menyebabkan masing-masing lesu ketika tiba di rumah. Masing-masing kemudian melayan perasaan menonton televisyen atau menghadap skrin komputer dan gajet mudah alih yang lain. Kisah seorang anak yang meminta wang RM10 daripada ayahnya, lalu dimarahi, tetapi akhirnya si bapa terkedu apabila si anak menghulurkan kembali RM20 bagi membeli masa si ayah selama satu jam. Kisah yang selalu diceritakan oleh penceramah motivasi keluarga itu membawa erti bahawa ada ibu bapa yang mengabaikan masa berkualiti bersama anak-anak sehingga mereka berasa tersisih, tidak penting dan kurang kasih sayang. Keadaan itu amat berbahaya kepada remaja perempuan kerana tempat mereka mendapat perhatian diambil alih oleh lelaki bukan mahram yang berniat buruk. Apabila si anak gadis dirosakkan, penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Di suatu ekstrem lain, berlebihan kasih sayang atau terlalu memanjakan anak tanpa usul periksa juga membawa mudarat yang tidak terduga. Segala kehendak dan pujuk rayu si anak diturutkan sahaja. Gejala rempit atau lumba haram masih berleluasa walaupun pihak berkuasa telah mengambil pelbagai langkah pencegahan seperti sekatan jalan raya dan menyiasat dalang bengkel ubah suai motosikal 'kapcai' dan kuasa tinggi. Ibu bapa hanya bertanya sambil lewa tentang tujuan anak mereka keluar rumah, malah memberi wang belanja yang mewah. Jiran-jiran pula tidak berani membuat teguran justeru khuatir dikatakan suka menjaga tepi kain orang. Lama-kelamaan, ibu bapa yang kurang wibawa seperti itu hanya menyumbang terhadap gejala sosial yang lebih berat apabila si anak berjinak-jinak dengan kegiatan tidak sihat seperti lepak, membuat kacau ganggu, jenayah kecil, merokok dan mengambil bahan terlarang, terutama arak dan dadah.

Gejala sosial dalam kalangan remaja juga berpunca daripada tahap penghayatan agama yang rendah dalam sesebuah institusi keluarga. Pengabaian terhadap kewajipan asas agama seperti aurat, solat, hukum hakam dan pergaulan mengakibatkan seisi keluarga semakin hanyut dengan gaya hidup hedonisme dan bebas lepas. Anak-anak remaja menganggap tiada salahnya bagi mereka bergaul bebas dengan bukan mahram sambil mendedahkan aurat kerana ibu bapa mereka juga begitu dan tidak pernah melarang mereka. Maka, tanpa menghiraukan isbat sosial, segolongan remaja sebaliknya berasa bangga kerana dapat meniru gaya hidup masyarakat Barat yang kononnya maju. Jati diri sebagai masyarakat Timur sudah tunggang terbalik. Gejala sosial jelas bermula dari rumah tangga.

Institusi rumah tangga yang tidak menekankan prinsip pembelajaran sepanjang hayat juga menyebabkan pengurusan keluarga dilakukan secara cuba jaya.Maksudnya, tiada usaha yang serius oleh ibu bapa bagi meningkatkan ilmu pengetahuan yang sah tentang hak dan tanggungjawab setiap anggota keluarga. Hak anak-anak untuk memperoleh kasih sayang dan perhatian ditunaikan secara sambil lewa. Tanggungjawab sebagai anak yang soleh yang dipelajari di sekolah kurang mendapat pengukuhan dalam institusi rumah tangga. Anak-anak dibiarkan dalam dilema menghadapi cabaran persekitaran yang menjurus kepada tarikan gejala sosial secara bersendirian. Ibu bapa lepas tangan, anak-anak hilang haluan.

Bentuk keluarga nukleus semakin menyerlah, iaitu anak-anak hanya mengenali ibu bapa dan adik-beradik sendiri sahaja. Ibu jarang-jarang membawa anak menjenguk datuk nenek, ibu bapa saudara dan sepupu sepapat mereka. Dengan itu, sikap keakuan dan egosentrik semain berkembang dalam diri anak-anak. Tingkah laku agresif, iaitu mementingkan diri sendiri semata-mata mengungguli sikap asertif, iaitu menjaga hak diri sendiri dan hak orang lain. Tidak hairanlah gejala vandalisme seperti laku musnah harta awam dan grafiti di tempat yang dilarang semakin berleluasa. Sebagai bukti, dinding tandas awam diconteng dengan pelbagai mesej dan ilustrasi yang tidak senonoh. Ibu bapa tidak kisah, gejala sosial remaja semakin parah.

Tidak semua kepincangan institusi keluarga berpunca daripada kelemahan ibu bapa. Pengaruh persekitaran yang sangat kuat mengakibatkan anak-anak tidak lagi menjadikan ibu bapa mereka sebagai rujukan peribadi unggul. Ibu bapa yang tidak berpeluang menikmati pembelajaran terbaik mungkin mengalami perasaan rendah diri di hadapan anak-anak. Maka, kekurangan yang berlaku membuka ruang untuk si anak lebih dominan dalam proses membuat keputusan yang kurang matang. Nasihat dan teguran ibu bapa tidak berbekas. Bibit-bibit derhaka itu merupakan gejala sosial yang sedang berkembang dalam masyarakat kita.

Kesimpulannya, kepincangan institusi keluarga menyumbang terhadap gejala sosial dalam kalangan remaja masa kini. Kepimpinan ibu bapa yang terhad, kesibukan mencari rezeki, peningkatan ilmu yang statik dan amalan agama yang kurang mantap ialah antara punca yang dimaksudkan. Menyedari perkara berkenaan, semua pihak dalam masyarakat mesti mencari jalan memperkasa semula institusi keluarga supaya anak-anak tidak terdedah dan seterusnya terjebak dalam gejala sosial. Dasar-dasar tentang pekerjaan, aktiviti luar rumah dan pengaruh media mesti dikaji semula supaya ibu bapa mempunyai peruntukan masa untuk masuk semula ke sekolah keibubapaan dan mengukuhkan hubungan dengan anak-anak. Institusi keluarga perlu meraih sokongan segmen lain dalam masyarakat luas supaya dapat berperanan sebagai perisai gejala sosial dalam kalangan remaja.

No comments: