SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, June 12, 2013

KETINGGIAN DAN SAIZ MURID ZAMAN SEKARANG (THE 'TOWERING' PHYSICAL APPEARANCE IN SCHOOL)

Perihal murid lebih tinggi daripada cikgu bukanlah cerita baharu, contohnya klik di laman forum di sini. Pelbagai andaian boleh dibuat tentang perkara berkenaan jika tiada kajian yang autentik dilakukan. Misalnya dari sudut positif, generasi muda sekarang dibekalkan dengan gizi makanan seimbang yang sihat dan berkhasiat sehingga menyumbang terhadap proses tumbesaran ke tahap optimum.

Dari sudut negatif pula, terdapat dakwaan bahawa ukuran ketinggian murid sekolah walaupun baharu di sekolah rendah tidak mempunyai hubung kait dengan tabiat pemakanan yang sihat. Sebaliknya, murid sekolah mengalami ketinggian yang agak luar biasa justeru banyak mengambil makanan segera yang mengandungi bahan kimia dalam daging ayam dan lain-lain. Bahan kimia berkenaan masih tidak terurai sepenuhnya, lalu berpindah aktif ke dalam tubuh kanak-kanak, lalu mereka mencatat ketinggian yang mendadak.

Sama ada ukuran ketinggian murid sekolah itu sesuatu yang tulen atau sebaliknya lebih elok dijelaskan menerusi satu proses penyelidikan skala besar. Pelajar siswazah (sarjana dan doktor falsafah) mungkin boleh mereka bentuk instrumen yang memiliki kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi untuk ditadbirkan. Buat sementara ini, kita hanya mampu mengatakan bahawa ketinggian yang munasabah ialah suatu kelebihan  fizikal kepada murid, termasuk untuk persediaan alam pekerjaan.

Barangkali ketinggian purata guru generasi X (40-an ke atas) ialah sekitar 5 kaki 3 inci atau 155 sentimeter bagi lelaki dan 145 sentimeter bagi wanita. Guru-guru yang lebih muda mencatat ketinggian purata 5 kaki 6 inci dan 5 kaki 2 inci bagi setiap satunya. Budak sekolah tingkatan 3 pun sudah banyak yang mencatat ketinggian sekitar 5 kaki 8 inci dan ke atas.

Maka, jika semua murid berdiri dan guru bergerak dari meja ke meja, guru perlu mendongak sedikit untuk melihat wajah murid dengan jelas. Memang peribahasa ada mengatakan bahawa kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa. Namun, paradoks yang berlaku masih perlu dikaji dari segi baik buruknya supaya segala kebaikan dapat dimanfaatkan, manakala jika ada keburukan dapat ditangani dengan wajar.

Bilangan guru lelaki di seluruh negara sehingga bulan April yang lalu hanya mewakili nisbah 30.73 peratus atau 128,515 orang, berbanding dengan guru wanita yang merangkumi 69.27 peratus atau 289,631 orang (klik di sini). Bilangan murid sekolah pula agak seimbang bagi kedua-dua jantina, iaitu lelaki 50.68 peratus (2,643,032 orang) dan perempuan 49.32 peratus (2,571,321 orang). Bagaimanakah agaknya guru wanita yang lebih besar bilangannya berhadap dengan murid yang tinggi belaka?

Di sekolah menengah guru wanita berjumlah 122,532 orang (68.81 peratus) dan di sekolah rendah berjumlah 167,099 orang (69.61 peratus). Bilangan pengetua dan guru besar dalam kalangan guru wanita juga semakin meningkat, termasuk di sekolah dominasi murid lelaki. Maka, adakah faktor saiz dan ketinggian murid sekolah zaman sekarang bakal menimbulkan beberapa isu disiplin dan persekitaran pembelajaran?

Walaupun gejala salah laku murid hangat diperkatakan oleh masyarakat, majoriti murid yang bersahsiah mulia tidak mendapat perhatian. Sebagaimana keluk taburan normal, bahagian hujung sebelah kiri sebanyak lima peratus mewakili ciri negatif sesuatu entiti, organisasi atau masyarakat. Maka, 90 peratus yang biasa dan 5 peratus kanan yang cemerlang selalu terlepas pandang.

Ketinggian dan saiz murid hanyalah perubahan luaran yang normal sejajar dengan kemajuan bidang pemakanan dan kesihatan. Pendidikan sekolah yang sentiasa memupuk pembelajaran berusaha mengembangkan potensi dan fakulti dalam diri murid secara optimum ke arah kebaikan, kesejahteraan dan keimanan. Adab belajar diberi penekanan supaya hubungan yang harmoni di sekolah tidak tenggelam dalam arus perubahan zaman dan persekitaran yang begitu pesat menerpa sepanjang masa.

Isu kesihatan murid memang sentiasa mendapat perhatian pihak sekolah walaupun hal ehwal peribadi mereka menjadi tanggungjawab keluarga dan merupakan maklumat yang bersifat rahsia serta sulit. Namun, sebahagian masa berkualiti murid dihabiskan di sekolah bersama bimbingan dan pertolongan ikhtisas para guru. Isu ini bakal dibincangkan pada kesempatan yang lain, insya-Allah...

No comments: