SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, September 23, 2013

MENGENAL PASTI UCAPAN BERBAUR SKANDAL (HIGH CLAIM OF MISDEED)

Orang yang cakna dan peka akan dapat menangkap sesuatu mesej hanya dengan mendengar cakap-cakap secara spontan walaupun hanya sepatah. Pakar pemasaran, penulis skrip dan guru ialah antara golongan yang memiliki kebolehan berkenaan. Namun, untuk mencungkil maklumat yang lebih lanjut, strategi yang tepat sangatlah penting supaya prospek pemberi maklumat sanggup bekerjasama.

Sebagai contoh, guru harus memberi perhatian terhadap murid yang selalu terlepas cakap kerana sifat ekstrovert yang tidak lekang daripada pembawaan mereka. Ujaran provokatif seperti guru hanya memberi perhatian kepada murid atau kumpulan murid yang tertentu mungkin membuat seseorang guru tersentak. Guru harus dengan segera membuat muhasabah diri bagi memastikan bahawa perkara itu tidak berlaku.

Ayat-ayat yang bersifat separuh benar atau sekadar memancing emosi boleh diklasifikasikan sebagai skandal (baca takrif skandal di sini). Orang awam mungkin memandang skandal yang berskala besar sahaja seperti pelakuan tidak bermoral, jenayah kolar putih dan sebarang pakatan yang berniat buruk. Hakikatnya, skandal juga perlu dilihat dalam konteks skala yang lebih kecil.

Skandal merujuk kepada sesuatu yang tidak kena atau sesuatu yang tidak wajar dalam proses membuat keputusan dan memberi layanan. Profesor Dr. Sidek Baba dalam buku beliau 'Seteguh Tekad' (klik di sini) merungut betapa ironi murid yang memiliki paras rupa yang menawan, datang daripada latar belakang keluarga tertentu dan berpencapaian baik sahaja mendapat layanan relatif lebih banyak. Sebaliknya, murid kurang beruntung sering terpinggir dan tersisih. 

Sudah menjadi naluri manusia mudah tertarik kepada kecantikan, keindahan dan budi bahasa. Namun, sebagai ahli ikhtisas, kaum guru terikat kepada etika dan konsep pendemokrasian pendidikan, iaitu memberikan pendidikan bermutu untuk semua murid. Dalam kata lain, semua murid diberi layanan yang adil berdasarkan prinsip aksesibiliti dan ekuiti dalam proses pembelajaran.

Maka, apabila terdapat aduan atau tema percakapan tentang diskriminasi layanan guru, langkah pembetulan tanggapan perlu dilakukan serta-merta. Jika dibiarkan sesuatu anggapan itu berlarutan, unsur skandal telah mula membenih dan tidak mustahil akan berkembang sebagai fitnah yang berbahaya. Perkara seumpama itu boleh menjejaskan kemuliaan kerjaya keguruan dan seterusnya mempengaruhi kepercayaan masyarakat terhadap pelaksanaan agenda pendidikan di sekolah.

Prinsip nilai murni merentas kurikulum mencerminkan tugas pendidikan yang sebenar. Sepatutnya, hanya perkataan, ungkapan dan ayat yang baik-baik sahaja digalakkan berkembang. Murid beroleh pengalaman pembelajaran yang luhur dan suci supaya muncul sebagai insan budiman dan berdikari apabila melangkah ke alam dewasa kelak.

Harapan terhadap dunia pendidikan di sekolah memang sentiasa demikian tinggi. Namun, tindakan yang bersifat spontan dan idak dirancang juga sering berlaku. Peluahan perasaan kadang-kadang tidak dapat dibendung sebagaimana peribahasa biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.

Jalan yang paling baik ialah berpegang kepada amalan terbaik dalam pendidikan. Sudah tentu bahawa guru lebih dewasa dan lebih matang berbanding dengan murid yang masih remaja. Guru harus sentiasa bersabar dengan kerenah murid yang tidak menentu dan segera mencari jalan keluar daripada perangkap minda tidak puas hati.

Dari segi psikologi, dalam keadaan tertentu, peluahan perasaan adalah lebih baik daripada dipendamkan. Namun, cara dan tempat perasaan itu diluahkan perlu diberi pertimbangan yang halus dan teliti. Guru harus dapat membimbing murid untuk menyuarakan luahan perasaan secara beradab, tetapi ikhlas dan telus ...

No comments: