SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, September 20, 2013

HASHIM YAACOB PROFESOR PERGIGIAN KINI DI UNIVERSITI QUEST (THE RARE MULTI-INTELLECTUAL FIGURE)

Bapanya penoreh getah yang hidup dalam keadaan seadanya. Di belakang rumahnya terdapat bukit bukau yang ditumbuhi pokok yang menghijau. Bapanya selalu berpesan supaya menjadi seperti pokok yang berada di puncak tertinggi di bukit berkenaan.

Dia tidak pernah mendengar bapanya memuji kecantikan ibunya, maka dialah yang melafazkan pujian yang sangat didambakan oleh sekalian kaum wanita. Berkat pesanan ayahanda dan doa ibu, dia akhirnya mencapai puncak kerjaya dalam dunia akademik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya sebelum bersara dan menyertai beberapa buah institut pengajian tinggi swasta juga sebagai naib canselor. Walaupun mengkhusus dalam pengajian pergigian, pemilik nama Hashim Yaacob juga pejuang bahasa Melayu dan penggiat budaya.
sumber ambilan gambar di sini

Hashim Yaacob tidak meninggi diri, malah bersifat kelakar apabila berhadapan dengan khalayak remaja. Permintaan pelajar SMK Raja Perempuan Ipoh (RPS) ketika ceramah motivasi beliau pagi tadi supaya beliau menyanyi ditunaikan dengan tajuk "Sunyi Sepi'. Beliau pun berdiri sahaja dan kemudian mengatakan, "sekianlah sahaja persembahan nyanyian saya".  (Biodata Profesor Hashim Yaacob:  klik di sini).

Penulis blog (PB) berada dalam satu majlis dengan Profesor Hashim sewaktu pertemuan pelajar sarjana pendidikan dengan naib canselor. Dalam majlis berkenaan, beliau mengumumkan pelantikan Profesor Dr. Suffean Husin sebagai dekan baharu fakulti pendidikan bagi menggantikan Profesor Dr. Nik Azis Nik Pa supaya sejajar dengan dasar pentadbiran UM yang baharu, iaitu mesra pelajar. Prof. Hashim tidak membaca teks ucapan yang disediakan, sebaliknya membuka majlis untuk soal jawab secara langsung tanpa protokol yang berlebihan.

Ibu bapa Prof. Hashim tidak pernah bersekolah, tetapi memiliki pengamatan yang begitu tajam dan gigih berusaha bagi menanggung persekolahan anak-anak. Selain menoreh getah ketika hening selepas Subuh, pak cik Yaakob juga mengerjakan sawah padi pada sebelah pagi dan menarik beca pada sebelah petang dan malam. Prof. Hashim menyuruh budak RPS meneka pekerjaan ibu beliau.

Jawapan yang diterima ialah suri rumah. Lagi? Suri rumah tangga!

Ibu saya tidak semalas itu. Ibu saya turut menoreh getah dan membanting padi. Cuma ibu saya tidak menarik beca seperti ayah.

Prof. Hashim membulatkan mata kepada budak RPS menyebabkan mereka ketawa berderai. Beliau menyambung bahawa ketika di kampung, ibunya hanya berpeluang duduk di kerusi rotan. Maka, apabila beliau menyandang jawatan naib canselor, beliau memberi peluang kepada ibunya duduk di kerusi empuk naib canselor dan beliau sendiri berdiri di sisi ibunya.

Kerusi empuk naib canselor UM hakikatnya panas, mudah dibadai oleh angin kencang yang kejam. Namun, oleh kerana ibu beliau telah menanam akar tunjang yang kukuh dalam diri Profesor Hashim sejak kecil, beliau mampu bertahan walaupun hanya selama tiga tahun. Semasa era beliau sebagai naib canselor, UM pernah berkedudukan universiti ke-87 terbaik dunia berdasarkan penarafan Times Higher Educations.

Menutup bicara, Prof. Hashim mengatakan betapa orang berilmu tetap dihargai walaupun telah bersara daripada dunia akademik. Keinginan untuk berkebun di kampung terpaksa dilupakan justeru keperluan menyebarkan ilmu dan berkongsi kepakaran lebih utama. Bahkan, beliau sempat mengingatkan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) ialah laluan bagi pelajar yang lambat mencapai kematangan dan kesedaran untuk berjaya, lalu terpaksa menanggung kos pengajian yang lebih tinggi ...

2 comments:

Unknown said...

terima kasih banyak cikgu Azhar kerana menulis mengenai diri saya dengan baik dan mesra. bolehkah kita berjumpa suatu hari. prof emeritus dato dr hashim yaacob.

CIKGU AZHAR RODZI said...

saya berbesar hati atas kesudian yang berbahagia prof emeritus dato meluangkan masa untuk membaca catatan saya yang seadanya. saya juga berharap dapat berjumpa prof. saya e-mel butirannya ...