SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, September 21, 2013

MOTIVASI BELAJAR: ERTI KECEMERLANGAN DALAM PENCAPAIAN (THE SKY'S THE LIMIT OF SUCCESS)

Pelajar yang dikasihi,

Ucapan Tuan Haji Hashim bin Abdul Karim, pengetua Star, Ipoh semasa majlis bacaan Yasin dan solat hajat perdana PMR dan SPM malam tadi mengembalikan kenangan penulis blog (PB) ketika memegang amanah sebagai ketua unit kaunseling, Sekolah Menengah Teknik Ipoh, Persiaran Brash. Seorang murid perempuan keturunan Cina ingin mendengar pendapat kaunselor tentang cara untuk meningkatkan Kimia, walaupun dia telah mencatat 86 peratus dan terbaik di sekolah. Dalam kata lain, dia tidak cepat berpuas hati dengan apa-apa adanya, lalu mahu berusaha dengan lebih bijak dan kuat kerana sedar bahawa persaingan tidak hanya terhad di sekolah teknik.
Tuan Haji Hashim bin Abdul Karim, 54

Tuan Haji Hashim menceritakan bahawa seorang bekas pelajar Star yang aktif dalam sukan ragbi hanya mencatat keputusan 6A, 3B dalam SPM, tetapi terpilih mengikuti kursus persediaan luar negara. Badrun berusaha keras dan akhirnya mencatat kejayaan cemerlang dalam kursus berkenaan dan bakal berangkat ke United Kingdom untuk pengajian peringkat ijazah. Dia berasa tercabar kerana seorang pelajar keturunan Cina masih tidak berpuas hati dengan markah 95 yang dicatat dalam satu mata pelajaran.

Peribahasa Inggeris the sky is the limit dikatakan lebih kerap diungkapkan ketika kapal terbang mula-mula dicipta (klik di sini). Jika tiada manusia yang berfikiran di luar kotak begitu, nescaya pada hari ini, kita masih perlu mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk tiba di Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, India atau untuk menunaikan ibadah haji di Makkah. Malah, pengangkutan tradisional kereta api juga telah mengalami perubahan teknologi pergerakan dan mesra alam yang begitu menakjubkan.

Pelajar yang dimuliakan,

Bagaimanakah kita hendak menetapkan sasaran yang lebih tinggi bagi pembelajaran kita tanpa hanya berpuas hati dengan pencapaian seadanya? Mampukah kita mencontohi kegigihan ahli falsafah, cendekiawan dan ulama silam yang sanggup mengembara bertahun-tahun lamanya, serta berjauhan daripada keluarga, semata-mata untuk menemukan kebenaran dan ilmu yang sah? Adakah dalam era maklumat di hujung jari ini, kita masih bermalas-malas dan hanya suka melayan panjang angan-angan?

Jika kita masih di takuk lama dan bersikap selesa dengan seadanya, maka jelaslah bahawa sementara orang lain meluru ke hadapan, kita masih bertatih di kedudukan tercorot. Kita terpedaya dengan imaginasi dan paradigma palsu. Kita dibuai khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata, iaitu mengharapkan muncul lampu ajaib sepertimana kisah dongeng Aladin yang masyhur itu.

Walaupun pihak sekolah tidak pernah berhenti untuk mencungkil bakat terpendam kalian yang dikatakan berjumlah 120 itu, kalian juga perlu memiliki kesedaran kendiri. Selagi tubuh badan kalian masih sihat dan akal masih ligat berputar, ayuh, cari jalan menuju puncak kecemerlangan. Mulakan langkah kalian dengan betul, iaitu pantang mundur sebelum berjuang hingga ke titisan peluh yang terakhir.

Pelajar yang dirahmati,

Harga sebuah kejayaan ialah pengorbanan, susah payah dan pilihan yang bijaksana. Doa restu ibu bapa, keluarga, guru dan orang yang menyayangi kalian wajib sekali didambakan. Kalian tidak betah bersendirian dalam menempuh liku dan ranjau pembelajaran seumpama meredah gelora lautan yang tidak bertepi!

Langkah pertama ialah sikap yang tepat dan sentiasa mengalu-alukan ungkapan yang baik-baik tentang pencapaian pembelajaran. Hasutan negatif dijadikan sempadan supaya kita tidak tercampak dalam kegagalan yang serupa. Kita sentiasa dekat dengan magis inspirasi dan tidak mudah dipengaruhi oleh ajakan yang menjurus terhadap kebinasaan.

Terdapat sekian banyak contoh daripada insan pintar yang mencapai kejayaan hidup walaupun tidak melalui pendidikan formal yang tinggi. Sepasang suami isteri penjual pisang goreng di Taman Cempaka, Ipoh suatu ketika dahulu pernah berkongsi cerita. Mereka asalnya merantau dari Kedah dan hanya bekerja kilang.

Pelajar yang dihormati,

Suami isteri tadi menyedari tiada kesudahannya dengan hanya bergantung harap kepada pendapatan kecil bekerja kilang. Lalu, dengan kebolehan asas menggoreng pisang, mereka mula berniaga di dataran perniagaan (taman selera) Taman Cempaka yang menjadi tumpuan pelajar Maktab Perguruan Kinta (kini telah diambil alih oleh Politeknik Ungku Omar), penghuni asrama Star, sekolah teknik, Izzuddin dan orang awam. Dalam tempoh yang singkat, pasangan suami isteri berkenaan berjaya membeli van dan sebuah rumah teres di situ. Kini, kelibat mereka tidak lagi kelihatan, barangkali telah berjaya membeli hartanah dan membuka perniagaan lain di kampung halaman asal mereka di Kedah.

Peribahasa Melayu mengatakan bahawa jika tidak dipecahkan ruyung mana(kan) dapat sagunya. Demi pencapaian matlamat yang dituju, jalan yang tepat mesti dicari terlebih dahulu. Setelah itu, perancangan yang rapi mesti dilakukan, iaitu sama seperti peraturan tukang kayu: ukur dua kali, potong sekali sahaja. Lakarkan lintasan fikiran kalian pada kertas dan susun sehingga menjadi benar-benar konkrit serta boleh dilaksanakan berdasarkan prinsip SMART (spesifik, boleh diukur, boleh dicapai, munasabah dan ada jangka masa tertentu).

Pelajar yang berbahagia,

Humban jauh-jauh segala perasaan rendah diri atau lemah yang bersarang dalam diri. jangan biarkan perasaan serba salah dan takut menghantui kita hingga kita hanya mampu tidur dan melayan mimpi yang tidak kesampaian. Marilah kita bingkas bangkit melepaskan belenggu kesilapan yang lalu. Marilah kita membina impian yang baharu, imaginasi yang indah-indah dan menamatkan zaman leceh kita. 

Biarlah hanya cinta yang bersemi dalam sanubari kita menuju kecemerlangan dunia dan akhirat. Kita melihat kesempatan yang terbentang luas di hadapan kita. Kita berusaha, lalu berdoa  dan pasrah justeru Allah Maha Mengetahui waktu yang tepat untuk menganugerahkan kecemerlangan kepada diri kita, insya-Allah.

Akhir kata, kecemerlangan dalam pencapaian pembelajaran bererti sempadan yang tidak pernah kelihatan. Di samping berusaha bersungguh-sungguh, kita sentiasa mendambakan doa ibu bapa, kaum keluarga, guru dan rakan karib agar mampu melewati masa-masa sukar yang mungkin menggugat kemaraan kita ke puncak kecemerlangan. Sesungguhnya, kalian berhak menikmati kejayaan yang tertinggi dalam pembelajaran, amin.

Makan kacang di bilik pakaian
Sesal pula tiada etika
Kejayaan cemerlang milik kalian
Asal kena cara dan ketika

Sekian buat kali ini. Assalamualaikum dan salam kecemerlangan.

No comments: