SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, October 30, 2013

UNIVERSITI MALAYA DAPAT NAIB CANSELOR BAHARU LAGI (HIGHER LEARNING LEADERSHIP)

Sejak Pak Ungku (Profesor Diraja Dr. Ungku Aziz) berundur dari kerusi naib canselor pada tahun 1988, iaitu setelah 20 tahun memegang amanah memimpin Universiti Malaya (UM), jawatan panas berkenaan lebih kerap bertukar tangan. Dalam tempoh yang sama (1988 - 2008), enam orang tokoh cendekiawan dan pentadbiran awam diberi peluang menerajui UM (senarai penuh: klik di sini). Profesor Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon tamat kontrak beliau sebagai naib canselor mulai 7 November ini.
sumber ambilan: di sini

Tempat Profesor Ghauth bakal diisi pula oleh Profesor Datuk Dr. Mohd Amin bin Jalaludin yang merupakan alumni UM pada tahun 1982 dalam bidang perubatan (klik di sini). Beliau juga memperoleh sarjana kepakaran (FRCS) dari Edinburgh, Scotland pada tahun 1989 dalam bidang otorhinolaringologi (pembedahan kepala, mata dan leher). Profesor Amin ialah naib canselor ketiga yang memiliki latar belakang perubatan setelah Profesor Dr. Anuar Zaini (2000) dan Profesor Dr. Hashim Yaacob (2003). 

Tugas sebagai naib canselor UM memang begitu mencabar memandangkan status selaku universiti tertua dan terulung di Malaysia. Selain mengekalkan kedudukan nombor satu itu, UM harus sentiasa mencari jalan untuk muncul sebagai antara universiti terbaik dunia (pernah berada pada kedudukan ke-89 ketika era Profesor Hashim Yaacob). Profesor Amin juga diharapkan akan dapat meningkatkan pencapaian UM menerusi pemantapan kepimpinan universiti, kualiti penyelidikan dan penerbitan, kualiti staf akademik, mahasiswa, kedudukan di peringkat antarabangsa serta penjanaan pendapatan.

Ketika universiti awam yang lain, serta institut pengajian tinggi swasta, sibuk dengan isu kebolehpasaran siswazah masing-masing, UM dijangka meneruskan tradisi kecemerlangan akademia yang menjurus kepada kepimpinan dan pembaharuan. Bersama empat buah lagi universiti penyelidikan (UKM, UPM, USM dan UTM), UM sentiasa menjadi penanda aras utama pengajian tinggi tempatan. Universiti komprehensif lain memberi tumpuan kepada hands-on (gunaan dan vokasional), tetapi universiti penyelidikan terus di hadapan sebagai pemimpin dan pencetus pembaharuan.

UM pasti terus menjadi pilihan utama pelajar cemerlang di dalam negara. Malah, UM juga membuka pintu kepada pelajar antarabangsa, terutama pengajian siswazah (sarjana dan doktor falsafah). UM telah pun memiliki Institut Asia-Eropah yang menghimpunkan sarjana dan penyelidik terkemuka dunia.

Walaupun UM berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan sebagai universiti bertaraf dunia, citra tempatan tidak harus dipinggirkan begitu sahaja. UM boleh sahaja mengambil seberapa banyak profesor pelawat antarabangsa mengisi kedudukan akademik di mana-mana jabatan dan fakulti, tetapi kesarjanaan tempatan harus tetap unggul. Kes penjenamaan semula Institut Kepengetuaan kepada Institut Kepimpinan Pendidikan dengan tenaga pensyarah antarabangsa hampir sepenuhnya mungkin perlu dikaji semula.

Tanpa menafikan kesarjanaan Profesor Alma Haris di peringkat antarabangsa dengan teori kepimpinan pendidikan teragih dan transaksional beliau, tetapi kepimpinan pengetua harus menerima sentuhan input sarjana tempatan, sekurang-kurangnya untuk peringkat sarjana secara kerja kursus. Barangkali program pengajian sarjana dan doktor falsafah mod penyelidikan boleh dibuka kepada calon siswazah tempatan dan antarabangsa. Keseimbangan antara strategi pengantarabangsaan dengan citra tempatan harus mendapat perhatian kepimpinan baharu UM.

Tugas besar sudah menanti Profesor Amin di kerusi panas naib canselor UM. Balasan terhadap kepercayaan ialah kesetiaan, kesungguhan dan pencapaian. Semoga Profesor Datuk Dr. Mohd Amin bin Jalaludin akan berjaya memacu UM di puncak kecemerlangan dengan kepercayaan yang diberi, amin ...

No comments: