SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, November 22, 2013

DI SEBALIK KISAH VILLA NABILA (JUMPING THE CONCLUSION)

Tidak semena-mena, remaja kelainan upaya (bermasalah pembelajaran), Mohd Izzat Izzudin bin Hussin, 16, menjadi perhatian media tradisional dan mencetuskan viral media sosial maya. Tanpa usul periksa, banyak pihak melemparkan kata nista yang tidak berasas terhadap Izzat dan keluarga (klik di sini). Pengamal rawatan tradisional juga mempamerkan kesilapan yang ketara apabila begitu yakin bahawa Izzat telah disorok makhluk halus di villa seluas 2.6 hektar  (hampir 6 ekar) milik warga Singapura di kawasan peranginan Danga Bay, Johor Bahru.

Hussin Md Tap, 61, memberitahu Izzat ialah anaknya yang ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Seorang adik Izzat yang berusia 15 tahun juga remaja kelainan upaya dengan usia akal yang dianggarkan tiga tahun sahaja. Mereka tinggal di sebuah rumah kampung yang serba kekurangan.

Norhayati Mohamad, ibu Izzat, pula menafikan Izzat menumpang di rumah pangsa teman wanitanya. Izzat bukan remaja biasa, sebaliknya tidak mampu ke villa berkenaan seorang diri melainkan terikut ajakan kawan. Pendek kata, Izzat ialah mangsa yang hilang, bukan mahu menonjolkan diri seperti kaum selebriti.

Reaksi lampau (overreact) masyarakat dalam kejadian yang menimpa Izzat hanya mengukuhkan teori falasi, iaitu tanggapan masyarakat terhadap sesuatu perkara disandarkan kepada maklumat yang belum tentu hujung pangkal, atau lebih keras kalau disebut sebagai berita palsu. Bijak pandai menganggarkan kira-kira 80 peratus tema perbualan harian masyarakat termasuk dalam kategori itu.

Kebenaran sesuatu perkara hanya dapat ditentukan menerusi siasatan yang mendalam. Jika tidak, sesuatu maklumat yang diterima lebih bersifat dakwaan (claim) semata-mata. Bidang penyelidikan dan tubuh ilmu pengetahuan yang sah tidak membenarkan perkara sedemikian berlaku.

Pepatah Perancis mengatakan jangan percaya langsung kepada apa-apa yang anda dengar, dan percaya separuh sahaja terhadap apa-apa yang anda lihat. Peribahasa Melayu mengatakan 'percaya cakap enggang makan buah beluluk, percaya cakap orang terjun masuk lubuk'. Al-Quran (surah al-Hujarat, 49:6) dengan tegas mengingatkan supaya menyelidiki kebenaran berita yang disebarkan oleh orang fasik (klik di sini).

Walaupun sebahagian besar masyarakat kita mempunyai akses pendidikan tinggi, dalam hal ehwal maklumat dan tanggapan masih mudah dimanipulasikan. Pengaruh propaganda dan perang saraf masih berbekas dan kuat. Sisi jahil tentang tapisan kebenaran masih berleluasa.

Musuh tersembunyi manusia yang paling jahat ialah iblis dan syaitan (disebut dalam kitab suci sebagai musuh yang nyata, 'aduwwummubin, klik di sini). Iblis dan syaitan sentiasa membisikkan perkara dusta dan menghembus hasutan yang menjurus kepada kesesatan dan kebinasaan. Dalam konteks penyebaran berita, iblis dan syaitan mahu melagakan sesama masyarakat supaya berpecah belah dan bermusuhan.

Isu Villa Nabila juga membongkar hakikat betapa warga asing begitu mudah memiliki sebidang hartanah yang agak luas di kawasan peranginan tempatan yang strategik. Dengan nilai mata wang yang lebih tinggi, kuasa beli rakyat negara jiran menjadi punca harga rumah melambung tinggi walaupun mereka dikenakan sekatan bayaran levi yang tinggi. Selain di negara kita, warga Singapura telah membeli begitu banyak hartanah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan Kanada.

Akhirnya, marilah kita menghulurkan perasaan empati terhadap remaja kelainan upaya seperti Izat. Keluarga Pak Husin dan Puan Norhayati begitu tabah menempuh dugaan menjaga insan istimewa dalam kalangan keluarga mereka. Keperluan terhadap pendidikan khas bagi golongan istimewa, sama ada bermasalah pembelajaran, kurang upaya atau pintar luar biasa bukan lagi suatu pilihan ...

No comments: