SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, December 3, 2013

MEMAHAMI KENAIKAN TARIF ELEKTRIK (COST OF LIVING GOING UP AND UP)

Tenaga Nasional Berhad, syarikat berkaitan kerajaan senaraian awam mengeluarkan kenyataan bahawa kenaikan tarif yang akan berkuat kuasa pada bulan Januari 2014 perlu dilakukan bagi menampung kos penjanaan susulan peningkatan bahan api global. Selain itu, TNB memberi alasan untuk perbelanjaan pelaburan infrastruktur bekalan elektrik dan perubahan kos operasi masa hadapan. Langkah kenaikan tarif itu juga sebahagian program rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (klik di sini).

Menteri yang menjaga hal ehwal pengguna juga sudah memberi jaminan bahawa kenaikan tarif elektrik sekitar 15 peratus itu hanya memberi kesan kepada pengguna tenaga berskala besar. Namun, maklum balas orang ramai sangat bertentangan justeru mereka menaruh kebimbangan bahawa pihak industri akan memindahkan beban kenaikan kos pengeluaran dalam bentuk peningkatan harga barang akhir yang dibayar oleh mereka. Kos hidup yang meningkat akan menyebabkan taraf hidup masyarakat menurun, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek (klik di sini).

Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, gabenor bank negara, dalam reaksi spontan beliau menjangkakan kadar inflasi akan meningkat sebanyak 0.4 peratus, sebagai tambahan kepada unjuran 2.8 peratus sebelum ini (klik di sini). Namun, beliau berpendapat kesan inflasi yang dicetuskan itu hanya bersifat sementara. Dr. Zeti berkata bahawa jangkaan itu berdasarkan penilaian awal oleh pihak bank pusat yang diterajui beliau.

Belanjawan kurangan yang berterusan sejak tahun 1998 antaranya berpunca daripada beban subsidi yang begitu besar dalam anggaran perbelanjaan kerajaan. Sesetengah pihak berpendapat peruntukan subsidi di Malaysia perlu disusun semula supaya menepati sasaran sebenar. Golongan berpendapatan tinggi dan warga asing yang membentuk sejumlah besar pengguna domestik turut menikmati subsidi yang sepatutnya hanya ditujukan kepada rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Dari sudut lain, kenaikan tarif elektrik itu merupakan cabaran kepada para penyelidik dan saintis untuk mengenal pasti sumber baharu tenaga yang lebih murah dan selamat berbanding dengan tenaga elektrik tradisional. Pergantungan kepada sumber tenaga tunggal ternyata memberi kesan yang kurang baik dari segi kos pengeluaran dan kawalan kuasa monopoli pembekal tenaga. Cadangan penggunaan tenaga suria masih belum berjaya sebagai ganti kepada tenaga elektrik.

Sifir mudah tentang kenaikan tarif elektrik ialah peningkatan kos pengeluaran. Sebahagian peningkatan kos itu dipindahkan dalam bentuk kenaikan harga barang dan perkhidmatan, bergantung kepada keanjalan permintaan dan keanjalan penawaran. Kenaikan harga barang dan perkhidmatan akan menyebabkan tuntutan kenaikan upah bagi mengekalkan taraf hidup.

Pusingan kenaikan harga dan upah yang berterusan persis kata-kata walhasil balik asal (back to square one). Namun, bagi golongan berpendapatan tetap (misalnya pengeluar dalam pasaran persaingan sempurna), mereka sukar menyerap kenaikan tarif elektrik. Pendapatan benar mereka akan merosot dan kuasa beli mereka juga turun serta-merta.

Peningkatan harga barang dan perkhidmatan mengakibatkan kenaikan upah, jika ada, hanya bersifat sebagai elaun inflasi. Penyata gaji mungkin menunjukkan perubahan angka yang lebih besar, tetapi peningkatan itu tidak pula membolehkan mereka menikmati kuantiti dan kualiti barangan yang relatif lebih tinggi. Mereka masih kekal di takuk lama.

Pengguna mungkin boleh melepaskan geram kepada TNB dengan pelbagai label walaupun selama ini mereka menikmati perkhidmatan yang menyenangkan hidup mereka. TNB hanya sebuah konglomerat yang bergantung kepada sumber modal awam, tanggungjawab kepada pemegang saham dan perbelanjaan pelaburan yang sangat tinggi. TNB juga perlu menjadualkan pembayaran hutang kepada institusi kewangan secara konsisten.

Pengguna berhak untuk berasa tertekan dan terbeban dengan natijah kenaikan tarif elektrik dalam kehidupan mereka. Pengguna perlu melakukan penyesuaian dari segi perbelanjaan, menghadapi kehidupan yang lebih perit dan sukar. Mana ada peniaga yang sanggup berkorban dan menanggung kerugian demi pengguna?

Nampaknya program pengajian keusahawanan di negara kita perlu menerapkan nilai kemanusiaan yang tinggi supaya bakal usahawan masa hadapan sanggup berkongsi susah dan senang bersama masyarakat pengguna, bukan memanipulasi mereka tanpa belas kasihan semata-mata untuk mengaut keuntungan. Jika taraf hidup masyarakat jatuh, pada akhirnya permintaan terhadap barang dan perkhidmatan juga bakal mengalami nasib yang sama. Adakah usahawan dan kegiatan ekonomi tidak akan terjejas?

No comments: