SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, January 31, 2013

BENARKAH STPM LEBIH SUSAH DARIPADA PENGAJIAN UNIVERSITI? (ERROR IN CLAIMING)

Sudah acapkali kedengaran dakwaan bahawa peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lebih sukar daripada peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana. Terkini, penulis blog (PB) mendengar sendiri dakwaan seorang pensyarah IPTS terkemuka yang memiliki Ph.D dari Amerika Syarikat (ijazah asas dari UKM) bahawa berdasarkan pengalaman peribadi beliau, kecuali untuk Ph.D, maka STPM ialah peperiksaan yang paling berat. Beliau tidak mengemukakan sebarang data untuk menyokong dakwaan itu.

Semasa PB di UKM dahulu, beberapa orang pensyarah mengatakan bahawa mereka menduduki STP(M) sehingga lapan kali baharu mendapat kelayakan minimum untuk ke menara gading. Namun, perjalanan mereka tidak lagi tersekat sesudah STP(M) hingga ke peringkat Ph.D. Pengalaman yang serupa boleh dibaca dalam buku memoir Profesor Datuk Dr. Sidek Baba, mantan timbalan rektor UIAM berjudul "Seteguh Tekad".

Walaupun profesor yang bercakap, hujah seperti itu tidak lebih daripada bertaraf testimoni, iaitu tidak cukup untuk diangkat sebagai data yang autentik. Mungkin bagi sesetengah bidang pengajian tinggi hanya memerlukan kepintaran berhujah dan menulis dengan kritis berdasarkan sejumlah konsep yang boleh dihafal. Bagaimanakah dengan pengajian bersifat kuantitatif dan makmal seperti kejuruteraan, perubatan dan seni bina?

Memang benar bahawa tanpa STPM pun, seseorang itu boleh berjaya hingga bergelar doktor falsafah. Seorang rakan PB kini penyandang Ph.D dahulunya tidak beroleh sijil penuh STP(M) akibat kandas dalam Kertas Am (kini Pengajian Am). Beberapa orang profesor terkenal juga hanya beroleh satu prinsipal E dalam STPM setelah mencuba beberapa kali, kemudian belajar hingga Ph.D (kes: profesor kejuruteraan, ekonomi, pengajian Melayu). 

Apakah sebenarnya kesukaran peperiksaan STPM? Sebelum dasar persijilan terbuka diperkenalkan, syarat lulus sijil penuh ialah dua prinsipal (A hingga E), dua subsidiari (O, R) dan lulus Kertas Am. Namun, untuk mendapat prinsipal E pun sangat sukar, iaitu purata gred 6 bagi kombinasi dua kertas.

Dahulu, STPM dikenali sebagai STP atau HSC (Higher School Certificate) memaparkan pengesahan Universiti Cambridge, UK. Kertas soalan digubal oleh pensyarah universiti dan keseluruhan pemeriksa juga dalam kalangan pensyarah universiti tempatan. Pendek kata, guru yang mengajar tingkatan enam langsung tidak mempunyai akses terhadap pentaksiran berpusat STPM.

Keadaan mula berubah dalam dekad 1990-an apabila Majlis Peperiksaan Malaysia mula melantik lebih banyak guru tingkatan 6 sebagai panel penggubal dan pentaksir. Kertas Am ditukar kepada Pengajian Am, serta setara dengan mata pelajaran lain. Menerusi persijilan terbuka, sistem gred diubah kepada A, A-, B+, B, B-, C+, dan C untuk lulus penuh, manakala C-, D+ dan D (lulus sebahagian), serta gred F untuk gagal. 

Berdasarkan pengalaman peribadi PB sebagai pelajar tingkatan 6 dan kemudian guru, sistem gred sekarang lebih mudah untuk pelajar. Kalau dahulu dalam satu daerah begitu sukar untuk mencari gred A dalam mata pelajaran Ekonomi misalnya, kini dalam satu kelas di sebuah sekolah sudah boleh mencapai 10 orang gred A. 

Penjenamaan semula kelas tingkatan 6 sebagai pengajian prauniversiti sistem modular sebagai ganti sistem terminal yang lama bertujuan meningkatkan semula daya saing dan daya tarikan pengajian tingkatan 6 yang berhadapan dengan program matrikulasi, asasi, sijil, diploma dan lain-lain. Lulusan tingkatan 6 kembali menjadi pilihan utama pencalonan prasiswazah dan tajaan biasiswa pengajian tinggi. Lulusan sijil dan diploma pula lebih menjurus terhadap keperluan tenaga separa teknikal dan perkhidmatan peringkat pertengahan. 

Kesimpulannya, pelajar tingkatan 6 tidak usah terlalu mudah percaya kononnya peperiksaan STPM ialah halangan paling sukar berbanding dengan program ijazah asas dan sarjana. Hakikatnya, di bawah sistem modular segala-galanya terang lagi bersuluh bermula daripada sukatan pelajaran, buku teks dan pentaksiran. Pelajar hanya perlu mengukuhkan disiplin dan jati diri dalam pembelajaran, serta tidak melayan sama sekali sebarang anjuran yang bersifat negatif...

Wednesday, January 30, 2013

RESTORAN MAMAK LEBIH CEKAP? (CULINARY DELIGHT AND CUSTOMER PRIORITY)

Seorang sahabat penulis blog (PB) akhirnya 'berputus asa' setelah dua jam menunggu pesanan makanan yang tidak kunjung tiba di sebuah restoran Melayu. Dia hanya memesan mi sup yang begitu mudah disediakan. Maknanya, mi sup tersebut mungkin sekali dijual kepada pelanggan lain atau dimakan sendiri oleh pekerja restoran.

PB juga mengalami nasib yang sama dan terpaksa angkat kaki. Kemudian, PB menuju ke sebuah restoran mamak Di Naina dan memesan hidangan yang sama. Alhamdulillah, pesanan dapat disediakan kurang daripada 20 minit walaupun restoran mamak itu lebih banyak pelanggan. PB biasa juga membeli masakan Siam yang disediakan oleh pekerja yang dibawa khas dari selatan Thai.

Pemilik restoran Melayu tadi memberi seribu satu alasan, dalih dan hujah, tetapi pelanggan tetap serik dengan layan buruk dan sikap acuh tidak acuh mereka. Sepatutnya pelanggan dimaklumkan tentang tempoh menunggu seperti di restoran makanan segera supaya pelanggan tidak resah dan mula menarik muka masam. Malangnya, sikap tidak peka begitu mengakibatkan sokongan kaum sendiri terjejas dengan teruk.

Hal itu belum lagi diambil kita tentang tahap kebersihan dapur dan cara penyediaan bahan mentah seperti sayur-sayuran dan rempah ratus. PB biasa melihat pekerja restoran tidak mengenakan apron dan penutup kepala, malah ada pekerja restoran dengan selamba menghisap rokok sambil menyediakan makanan. Tangan mereka juga tidak bersarung plastik, sementara ada yang bernyanyi kecil yang mengundang risiko air liur masuk sekali dalam masakan.

Pakaian pekerja juga mengikut sesuka hati tanpa keseragaman yang melonjakkan imej dan jenama restoran. Rambut tidak disisir dengan rapi dan kuku hitam kerana lama tidak dipotong. Pekerja tidak dilatih untuk menerima pesanan pelanggan secara sistematik, misalnya dari segi masa menunggu dan harga yang dipersetujui. 

Restoran yang sedemikian kualitinya akan bersifat statik dan tidak berkembang. Jika pelanggan tidak berpuas hati dan melafazkan perkara negatif samalah seperti suatu doa. Reputasi buruk seumpamanya akan terpalit kepada restoran Melayu yang lain.

Di bandar-bandar kecil seperti Kuala Berang dan Kuala Kangsar, pelanggan mungkin tidak kisah. PB pernah masuk sebuah restoran yang terkenal di Kuala Kangsar, tetapi dukacita bahawa sarang labah-labah dibiarkan begitu sahaja di satu sudut restoran. Kemudian, terdapat pula bau yang tidak menyenangkan yang keluar daripada perut kucing. Kalau menjengah ke kawasan tandas, muktamad tidak jadi makan di situ!

Sudah tiba masanya pengusaha restoran balik ke sekolah, iaitu dengan kursus wajib di kolej komuniti sebelum lesen perniagaan makanan mereka diperbaharui. Pihak berkuasa tempatan perlu membuat pemeriksaan mengejut atau risikan secara berterusan terhadap restoran yang gagal mematuhi piawaian perniagaan makanan. Peruntukan undang-undang yang tegas mesti dikuatkuasakan setelah proses memberi kesedaran tentang etika perniagaan berjaya disempurnakan.

Persatuan pengguna mesti berfungsi berdasarkan perlembagaan masing-masing, bukan sibuk dengan perebutan jawatan dalam organisasi supaya dapat berdamping dengan tokoh politik yang berkuasa. Jawatan dalam gerakan kepenggunaan bukan tiket untuk menempa kemasyhuran atau mengecap glamor. Keutamaan mesti dikembalikan untuk menjaga hak pengguna yang sering menjadi mangsa manipulasi peniaga yang tidak beretika dan tidak peduli tentang dosa pahala.

Perniagaan ialah suatu ibadah yang unggul jika para peniaga dan usahawan bersikap jujur lagi amanah. Bahan-bahan yang digunakan termasuk minyak masak mesti daripada gred paling baik, sementara bahan perasa dan perisa hendaklah menjamin keselamatan dan kesihatan pelanggan. Betulkan niat dalam perniagaan dan keusahawanan supaya beroleh barakah dan rezeki yang berlipat kali ganda, insya-Allah...

Tuesday, January 29, 2013

MOTIVASI BELAJAR: KATA-KATA UMPAMA DOA (HARNESS THE POWER OF OPTIMISM)

Insan yang bercita-tinggi sentiasa berusaha melazimkan diri dengan mengungkapkan kata-kata yang menjurus ke arah kebaikan, kebaktian dan kecemerlangan. Kata-kata yang baik umpama pohon yang baik, akarnya teguh dan dan dahan serta dedaunnya merimbun (sebagai pelindung dan penaung keselamatan diri sendiri orang lain) (Ibrahim, 24:14). Pakar aura menganggap bahawa kata-kata yang bersifat demikian ialah tenaga positif yang menyumbang terhadap kesihatan jasmani dan rohani sekali gus (baca di sini untuk rujukan, selepas itu gunakan neraca nilai dua kitab suci).

Kata-kata yang dilafazkan secara lisan atau sekadar bisikan hati hakikatnya ialah arahan kepada minda untuk tindakan susulan seluruh sistem fisiologi terhadap rangsangan persekitaran. Kata-kata yang baik berpunca daripada tindak balas fikiran positif dan jiwa besar. Para pejuang yang hebat, pencipta yang berjasa dan pakar yang disegani semuanya berkongsi tabiat yang sama, iaitu selalu bercakap atau berbisik tentang harapan, impian dan keyakinan yang tuntas.

Kata-kata yang dipenuhi suntikan tenaga kebaikan umpama titisan air yang menyiram sekuntum bunga yang hampir layu di kawasan padang pasir yang saujana mata memandang. Demi titisan air menyentuh kelopak bunga yang tidak bermaya itu, dengan serta-merta kuntuman bunga memberi tindak balas seperti menggeliat dengan tenaga yang positif. Jika bunga digembirakan dengan titisan air, insan digembirakan dengan kata-kata yang berciri kebaikan, kebaktian dan kecemerlangan.

Sifat mahmudah atau ciri akhlak yang hebat dihiasi dengan percakapan yang baik, atau jika tidak boleh, maka pilihan yang ada ialah diam sahaja (baca risalah ini, muka surat 11). Imam al-Ghazali rahimahullah telah menukilkan sebuah karya bertaraf magnum opus tentang 20 bahaya lisan yang sering menjadi khilaf atau ralat terhadap golongan yang alpa, sama ada bijak pandai atau si jahil (baca ulasan ringkas seorang mahasiswa di sini). Peribahasa Melayu mengatakan bahawa 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam bisik-bisik' yang membawa maksud bahawa insan yang bijaksana sentiasa berhati-hati dalam setiap pertuturan.

Ungkapan kata-kata yang menjurus kepada kebaikan, kebaktian dan kecemerlangan menyumbang terhadap kesihatan mental, seterusnya mempengaruhi kualiti hidup seseorang dan menjamin kesejahteraan masyarakat (baca seterusnya dalam laporan ini). Tutur kata yang baik ibarat mutiara yang sangat berharga yang dihajati oleh sekalian insan yang menghargai akal budi. Demikian juga gambaran tentang keadaan di syurga yang hanya dipenuhi kalimah yang unggul sahaja.

Hakikat sebuah kehidupan tidak sunyi dengan cabaran, dugaan, mihnah, onak, pesona, tribulasi dan ujian yang hanya dapat dilepasi oleh insan yang berjiwa besar, iaitu mereka yang sentiasa mendahulukan ungkapan kebaikan, kebaktian dan kecemerlangan. Insan bijaksana sentiasa sedar bahawa kata-kata yang dilafazkan atau sekadar lintasan hati sama seperti suatu doa. Maka, insan bijaksana akan mendahulukan sangka baik (husnul zon) berbanding dengan sangka buruk (su'- ul zon).

Kata-kata positif ialah suatu bentuk kawalan dan benteng daripada hasutan bersikap negatif atau pesimis yang datang dari dalam diri atau pengaruh persekitaran. Insan sentiasa bertarung dengan hawa nafsu yang cenderung kepada perkara lagha, serta cuba mengusir hasutan iblis dan syaitan yang masuk menceroboh hingga ke saluran pembuluh darah. Tarikan ke arah gaya hidup hedonisme (keseronokan lawan kesengsaraan) dan tingkah laku melencong hanya dapat dihentikan oleh kata-kata yang berciri kebaikan, kebaktian dan kecemerlangan.

Momentum ke arah pencapaian tertinggi mungkin sekali terjejas akibat terlalu melayan kata-kata yang melemahkan jiwa, membunuh semangat juang dan terikat dengan status quo. Pelajar mungkin mahu diterima dalam kelompok rakan sebaya seusia, lalu akur kepada syarat penerimaan yang menggugat jati diri mereka sendiri. Jika keadaan itu terjadi, pelajar perlu cepat-cepat istighfar dan kembali ke landasan kata-kata kebaikan, kebaktian dan kecemerlangan. 

...

...

Monday, January 28, 2013

MEMUPUK SIFAT MURAH HATI (HOW TO OVERCOME STINGY AND RELUCTANT OF SHARING)

Kita sering mendengar ungkapan bahawa dengan lebih banyak memberi, maka kita juga akan lebih banyak menerima, the more we give, the more we get (baca di sini). Sifat pemurah juga ialah lambang seorang insan yang bersyukur (Ibrahim, 24:7). Orang yang bersyukur bakal ditambahkan nikmat bagi mereka, manakala orang yang ingkar akan menerima azab seksa yang pedih. 

Sifat pemurah lawan bagi sifat kedekut. Dalam satu slot motivasi radio Ikim.fm disebutkan bahawa orang yang kedekut akan sentiasa mengalami kerugian dalam kehidupan, baik di dunia mahupun di akhirat. Orang yang kedekut bukan sahaja berlaku zalim kepada orang lain, bahkan menafikan hak diri sendiri untuk menikmati rezeki kurniaan Ilahi.

Sebagaimana gila yang ada 99 macam, sifat kedekut juga terlalu banyak bentuk dan cabang. Sifat kedekut yang ekstrem dipanggil sebagai bakhil, manakala kategori kedekut yang ringan sedikit dipanggil lokek. Orang kedekut diumpamakan sebagai genggam air tidak tiris atau tahi hidung masin.

Orang yang kedekut sangat curiga kepada sebarang bentuk derma, sedekah, tajaan, wakaf dan seumpamanya. Mereka akan memberi pelbagai alasan dan justifikasi supaya wang ringgit dan harta benda mereka tidak dikongsi dengan orang lain. Golongan kedekut juga sanggup menipu penyata hitungan cukai dan zakat pendapatan.

Orang kedekut beranggapan bahawa kekayaan dan rezeki yang dimiliki merupakan hasil titik peluh mereka sendiri sehingga orang lain tidak mempunyai alasan untuk mengendeng atau 'mengurat' wang ringgit dan harta benda mereka. Orang kedekut buat-buat tuli akan label yang disebut secara terbuka atau pandangan sinis orang lain bahawa diri mereka berakhlak rendah. Lebih teruk lagi bahawa golongan kedekut sudah lupa bahawa segala nikmat yang diperoleh hanya terjadi dengan izin-Nya jua.

Jenis kedekut yang lain ialah berat melafazkan ucapan penghargaan dan terima kasih terhadap orang lain. Orang kedekut beranggapan bahawa tanpa ditolong, dia sendiri mampu menyelesaikan sebarang masalah. Orang lain semuanya berkepentingan dan tidak ikhlas.

Dalam konteks pembelajaran di sekolah, sifat kedekut memberi pengukuhan boleh menjejaskan. Aktiviti di bilik darjah menjadi kaku, lesu dan penuh tekanan. Komunikasi yang membosankan itu dilanjutkan pula dalam dunia pekerjaan sehingga bahasa mesra dan ceria tidak mendapat tempat yang sewajarnya.

Sifat kedekut mungkin diwarisi secara turun-temurun akibat persekitaran keluarga yang tamak haloba dan jahil. Mereka hanya nampak kerugian apabila harus berkongsi dengan orang lain, sedangkan tuntutan supaya berbelanja untuk kebaikan dan kebaktian sudah jelas dalam nas al-Quran dan al-Hadith. Apabila mereka menutup mata buat selama-lamanya, harta yang ditimbun hanya menjadi milik waris yang akan melanjutkan lagi sifat kedekut berkenaan kepada generasi berikutnya.



...

Sunday, January 27, 2013

BANDAR TELUK INTAN SEMAKIN MAJU (THE INFLUENCE OF A HYPERMARKET TOWARDS THE TOWN DEVELOPMENT)

Bermula dengan nama Teluk Mak Intan, kemudian Teluk Anson dan kini kembali dengan nafas tempatan, Teluk Intan ('Mak' digugurkan), bandar ketiga negeri Perak selepas Ipoh dan Taiping itu disaingi hebat oleh pusat pertumbuhan baharu seperti Kuala Kangsar dan Sitiawan. Sebagai tumpuan kegiatan ekonomi daerah Hilir Perak, Teluk Intan masih mampu berkembang dengan pesat apabila kesan rantaian atau limpahan menyediakan peluang projek dan pekerjaan. Selain kegiatan ekonomi setempat, pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) giat mempromosi beberapa daya tarikan pelancongan yang mampu menggamit ketibaan tetamu luar (baca di sini). 

Sejarah kemajuan dan pembangunan bandar Teluk Intan memiliki beberapa versi menarik dan sangat berkaitan dengan perubahan persekitaran ekonomi dan politik era penjajahan (rujukan lanjut di laman ini). Sesetengah catatan mendakwa bahawa ketika Pelabuhan Teluk Intan berada di puncak kegemilangan antara tahun 1934 - 40, kedudukannya ialah tempat kedua selepas Pelabuhan Kelang, iaitu mengatasi peranan Pelabuhan Pulau Pinang dan Port Dickson (klik  di sini). Pelabuhan Teluk Intan disokong oleh rangkaian kereta api barang yang lebih dikenali sebagai waf (wharf) untuk mengangkut bijih timah dari Lembah Kinta (maklumat ringkas di laman forum ini).

Kini, Teluk Intan bukan lagi sebuah bandar pelabuhan, sebaliknya berkembang seperti bandar-bandar moden yang lain akibat pertumbuhan kawasan petempatan seperti kawasan perumahan dan juga sebagai lokasi pengajian tinggi. Teluk Intan bukan sahaja menjadi tuan rumah kepada kampus Kolej Komuniti, bahkan telah menerima kampus cawangan fakulti perubatan dan hospital pengajar Universiti Teknologi Mara (UiTM). Pada masa hadapan dijangka lebih banyak kampus cawangan pengajian tinggi awam dan swasta dibina di Teluk Intan.

Pusat bandar Teluk Intan berhampiran Menara Jam Condong kini berkembang hingga ke Jalan Changkat Jong menuju Kampung Bahagia. Lebih banyak gedung perniagaan dan perkhidmatan telah dibuka, termasuk restoran yang agak mewah. Kuasa beli penduduk Teluk Intan dan kawasan berdekatan telah meningkat dengan menakjubkan juga.

Jika dahulu Teluk Intan ada pasar raya Sungai Perak dan Onson, kini kedua-duanya tinggal nama sahaja. Kemunculan pasar raya besar Giant setahun yang lalu, di samping Billion dan TF Mart memberikan pilihan membeli-belah yang menarik kepada penduduk Teluk Intan. Giant kelihatan lebih selesa kerana menyediakan kawasan tempat letak kereta secara percuma dalam kawasan bangunan mereka. Tangga bergerak yang disediakan juga mesra warga emas dan orang kelainan upaya kerana bersifat rata, di samping kemudahan lif yang selesa.

Pada hari Ahad yang lalu (27/1/13) pengunjung Giant disajikan dengan persembahan orkestra Cina murid SMJK San Min Suwa, Sungai Nibong. Mereka berpakaian serba merah sebagai warna tema sambutan tahun baru Cina kira-kira seminggu sahaja lagi. Alat-alat muzik tradisional Cina menghasilkan irama yang begitu mengasyikkan kepada penggemar muzik klasik.

Pada hari yang berkenaan juga, Giant menawarkan sepaket kacang Pagoda pada harga RM0.98 sahaja. Maka, kelihatan pembeli Cina menyorong satu troli penuh paket kacang Pagoda. Pembeli Melayu dan India juga tumpang sekaki, tetapi mereka kelihatan hanya membeli tidak lebih daripada lima paket kacang berkenaan.

Perkara yang perlu diberi perhatian oleh pengurusan Giant Teluk Intan ialah kemudahan ruang solat yang begitu daif dan sempit. Berdasarkan keadaan tempat wuduk yang begitu rendah dan tidak terjaga, nyata sekali bahawa pihak Giant kurang peka dengan keperluan para pengunjung Islam. Barangkali perancangan untuk surau yang lebih selesa sudah ada, tetapi surau kecil sedia ada perlu sentiasa bersih sebagaimana penjagaan ruang urus niaga Giant.

Jumlah urus niaga Giant Teluk Intan kelihatannya lebih banyak daripada Giant di Tambun, Ipoh yang menghadapi perang pasar raya dengan Aeon, Mydin, Tesco, The StoreEconsave dan UO, Greentown Mall. Walaupun kehadiran Giant mengakibatkan kedai-kedai runcit semakin kekurangan pelanggan, tetapi dengan syarat 70 peratus jualan barang perusahaan kecil dan sederhana (PKS), maka kegiatan ekonomi rantaian tempatan yang berlaku memberikan pendapatan dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan yang terbabit. 

Kelompok pembeli busana muslimah di Teluk Intan sudah sinonim  dengan Arked Man berhampiran masjid lama atau berkunjung ke pasar malam dan pasar tani. Namun, banyak juga yang sanggup ke Ipoh untuk mendapatkan pilihan yang berbeza dan sentuhan bercitra butik. Teluk Intan dijangka terus berkembang sebagai bandar utama daerah Hilir Perak, selain berpotensi untuk dimajukan sebagai bandar pelancongan...

Saturday, January 26, 2013

MENGENALI JATI DIRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARY (THE SIMPLE LIFE OF THE RICH)

Ketika berurusan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Ipoh, penulis blog (PB) melintasi Kedai Buku 1Malaysia (KB1M). Seperti ada magnet di situ, PB seperti ditarik untuk menjengah ke dalam. Memang banyak judul buku yang terdapat di sana, termasuk karya antarabangsa.

Kemudahan bayaran dengan kad kredit memudahkan pengguna kerana sebahagian buku yang bermutu tinggi mencecah harga melebihi RM50 senaskhah. KB1M yang dibuka antara pukul 8.30 pagi hingga 10.00 malam itu turut menjual majalah pilihan orang ramai seperti terbitan Galeri Ilmu, Telaga Biru dan kumpulan NSTP. Buku-buku politik semasa hasil tulisan pengarang kontroversi dan sensasi dipamerkan di rak KB1M secara terbuka.
Salah sebuah buku yang menarik perhatian PB ialah naskhah tentang kisah kehidupan orang Melayu terkaya di Malaysia, iaitu Syed Mokhtar al-Bukhari tulisan Premilla Mohanlall. Sejarah zaman kanak-kanak beliau dan falsafah beliau tentang pendidikan tinggi walaupun tidak berkesempatan berbuat demikian mirip seperti kisah Bill Gate, pengasas Microsoft yang hanya menamatkan pengajian tahun pertama di Harvard. 

Premilla menyatakan rasa kagum akan jati diri yang dimiliki oleh Syed Mokhtar al-Bukhari apabila masih menggunakan kereta Proton Perdana beliau yang lama walaupun telah menguasai kumpulan DRB-Hicom yang turut mengedarkan jenama kelas dunia seperti Volkswegen, Chevrolet dan banyak lagi. 

...

...

...

...

Friday, January 25, 2013

MENGHITUNG NIKMAT ILAHI (COUNTLESS DEBTS)

Nikmat bermaksud anugerah Allah atau kurnia (Kamus Dewan edisi IV, 2005: 1081). Nikmat juga membawa erti enak sekali, sedap sekali atau lazat (Ibid). Sementara itu, menikmati pula bermaksud mengecap, mengalami atau merasai sesuatu (Ibid).

Maksud surah an-Nahl, 16: ayat 18, "Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya..." Kehidupan dan nyawa ialah nikmat yang wajib disyukuri. Demikian juga dengan segala ciptaan langit dan bumi untuk kegunaan manusia seluruhnya.

Nikmat yang paling unggul dalam kehidupan insan ialah iman dan Islam. Hanya orang Islam dan beriman sahaja yang bakal beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia yang fana dan di akhirat yang kekal abadi. Tanpa iman dan Islam, segala amalan dan kesenangan yang dikecapi tidak lebih daripada fatamorgana belaka.

Atas sebab itu orang yang beriman hendaklah sentiasa bersyukur akan segala nikmat yang diperoleh saban waktu. Misalnya, apabila terjaga daripada tidur terus sahaja melafazkan sekurang-kurangnya Alhamdulillah kerana masih bernafas dan belum berada di alam kubur lagi. Pintu taubat masih terbuka luas dan kesempatan untuk melakukan kebaikan dan kebaktian juga masih ada.

Kejayaan untuk berdiri tegak dan bersuci diri juga wajib disyukuri. Sudah banyak kejadian orang yang terjaga daripada tidur sudah tidak mampu bangun lagi atau terpaksa bersusah payah menahan kesakitan akibat otot yang bermasalah dan urat saraf yang tidak mengizinkan untuk berbuat demikian. Penglihatan juga masih terang dan ingatan masih kuat, berbanding dengan orang lain yang bernasib malang dengan penglihatan yang kabur dan ingatan yang lemah.

Kesihatan jasmani dan emosi yang baik juga wajib disyukuri. Lambat-laun seseorang itu akan mengalami fasa kesihatan yang merosot akibat lanjut usia atau serangan penyakit. Kesempatan memanfaatkan masa sihat, masa muda dan hidup sebelum mati diriwayatkan dalam satu hadith yang masyhur (baca di sini).

Nikmat makanan dan minuman hanya menjadi milik insan yang sihat walafiat. Jika sudah terlantar di pembaringan atau wad hospital, makanan yang biasa ditelan bagaikan pasir yang begitu kasar. Tekak tidak mampu menerima air yang diteguk.

Nikmat memiliki kenderaan untuk bekerja dan mengadakan perjalanan juga wajib disyukuri. Insan mampu menundukkan binatang perkasa dan jentera untuk membawa mereka dengan lebih cepat dan selamat ke tempat yang dituju. Kemajuan teknologi dan pembaharuan dalam dunia automatif ialah suatu nikmat yang besar kepada peradaban dan tamadun.

Manusia tidak akan mampu menghitung segala nikmat yang dikecapi selama hayat dikandung badan. Perkara yang lebih penting ialah cara manusia menghargai dan mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi. 

...

Thursday, January 24, 2013

APLIKASI LAUTAN BIRU DI MALAYSIA (TO MAKE THE COMPETITION IRRELEVANT)

Buah fikiran dan saranan ahli strategi dan tukang nujum (futuristik) Barat memiliki pengaruh yang cukup kuat dalam percaturan kepimpinan, ekonomi dan perancangan sosial di seluruh dunia. Buktinya, strategi lautan biru (blue ocean strategy, BOS) telah dimodifikasi sebagai kerangka dasar di kebanyakan negara. Hakikatnya BOS bukan suatu idea baharu, tetapi lebih bersifat kitar semula teori persaingan tidak sempurna (oligopoli, persaingan monopolistik) dengan saranan akhir supaya dapat wujud monopoli yang baharu tanpa saingan.

Setelah idea BOS karya W. Chan Kim dan Renee Mauborgne muncul sebagai jualan terlaris di seluruh dunia, idea mereka terus dijual menerusi paparan maya (klik di sini). Idea asas BOS ialah meninggalkan persaingan (lautan merah) dan teroka pasaran baharu tanpa persaingan (lautan biru). Dalam kata lain, cara-cara konvensional perlu diganti dengan cara-cara baharu yang membebaskan sesebuah industri, entiti atau organisasi daripada kongkongan peraturan lazim.

Sebelum ini, dunia pernah sibuk melayan naskhah Alvin Toffler (The Third Wave, Future Shock), John Naisbitt (siri Megatrends, termasuk versi terkini tentang kuasa ekonomi China) dan Stephen R. Covey 7th Habit, 8th Habit). Dunia juga pernah gempar dengan karya Francis Fukuyama (The End of History and The Last Man) dan Samuel Huttington (The Clash of Civilisation). Sila klik pada tajuk buku yang berkenaan (dalam kurungan) untuk bacaan selanjutnya.

Naskhah bercetak BOS memperuntukkan sejumlah halaman untuk kisah kejayaan Dr. Muhammad Yunus, seorang profesor ekonomi di Universiti Chittagong, Bangladesh yang diangkat sebagai pelopor sistem mikrokredit moden. Ketika Muhammad Yunus dipecat daripada Bank Grameen yang beliau asaskan sendiri, Harvard Business School baru-baru ini mengundang beliau menyampaikan syarahan di kampus berprestij itu (baca di sini). Pengarang BOS memberi contoh program mikrokredit pemenang anugerah Nobel itu sebagai contoh unggul strategi lautan biru.

Di Malaysia, BOS juga mendapat sambutan hangat, terutama apabila dikaitkan dengan pelbagai program transformasi kerajaan (GTP, baca di sini). Dalam bidang pendidikan misalnya, BOS diterapkan di semua peringkat sebagai upaya meneroka pendekatan baharu untuk pencapaian kecemerlangan yang lebih tinggi dari masa ke masa (baca di portal ini dan di sini). Gerakan koperasi juga tidak mahu ketinggalan bagi menunjukkan rasa teruja dengan BOS (baca di sini).

...

...

...

...

...

Wednesday, January 23, 2013

KELEBIHAN SELAWAT NABI (THE EVERLASTING PERFECT ROLE MODEL)

Hari ini, tanggal 12 Rabiul Awal, 1434 Hijriyyah, umat Islam di seluruh dunia menyambut hari kebesaran, iaitu maulidur-rasul, iaitu mengingati peristiwa kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam. Sejarah ringkas baginda boleh dibaca di sini. Perspektif bukan Islam tentang Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam juga banyak sekali ditulis, tetapi hanya boleh dibaca dengan bimbingan ilmuan yang arif supaya tidak terperangkap dalam jarum halus musuh.

...

...

...

...

...

...

...

...

...

Tuesday, January 22, 2013

ETIKA KEGURUAN LAMBANG KEUNGGULAN PENDIDIKAN (THE HIGHEST STANDARD OF PROFESSIONAL CONDUCT)

Pengetahuan tentang tatakelakuan atau etika keguruan telah didedahkan kepada semua guru pelatih praperkhidmatan, sama ada di fakulti pendidikan atau institut perguruan. Pada bahagian awal lembaran buku rekod mengajar juga memuatkan keseluruhan kod etika kerjaya keguruan terhadap murid, ibu bapa dan sesama guru. Memandangkan penggunaan buku rekod mengajar elektronik atas talian (e-record book) semakin meluas, peringatan tentang etika keguruan biasanya disebut dalam mesyuarat guru dari masa ke masa.

Antara perincian tentang etika keguruan di Malaysia terdapat di laman ini. Bahan kursus etika keguruan anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor pula boleh dibaca di sini. Satu kajian bertaraf dua bintang tentang pengetahuan etika keguruan juga boleh diklik menerusi pautan ini.

Seterusnya, rujukan tentang garis panduan kod etika keguruan di luar negara boleh diklik pada nama negara berikut:  Amerika Syarikat, New Zealand, dan United Kingdom. Rujukan silang yang dilakukan bahawa etika keguruan di mana-mana negara sekalipun menjurus kepada kepentingan proses memupuk pembelajaran. Selain itu, para guru lebih maklum akan bidang peranan yang perlu dimainkan, serta had yang ditetapkan supaya tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang pendidikan yang boleh membawa natijah tindakan mahkamah.

Keunggulan etika keguruan lebih terserlah ketika melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Guru menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan yang optimum tanpa wujud elemen mengambil kesempatan ke atas khalayak murid yang berada di hadapan mereka (captive audience). Guru memberi  ruang kepada semua murid untuk terlibat dalam aktiviti pembelajaran dengan mematuhi segala prinsip capaian saksama (aksesibiliti), keadilan (ekuiti), dan kesamarataan (equality).

Guru juga melaksanakan perlindungan terhadap keselamatan dan kemuliaan murid selaras dengan prinsip insan kamil yang menjadi cita-cita pendidikan. Setiap patah kata yang dituturkan dan setiap bentuk tindakan yang diambil dalam proses pembelajaran hanya bertujuan untuk menolong murid mengembangkan bakat, potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka. Guru sentiasa memasang niat yang tulus ikhlas dan melangkah ke bilik darjah dengan suci hati.

Di dalam kawasan sekolah, guru juga banyak menghabiskan masa bertugas dengan interaksi sesama rakan sejawatan sama ada dalam mesyuarat rasmi, perbincangan ikhtisas atau kegiatan tidak rasmi. Sebagai ahli ikhtisas dalam pelbagai bidang pengkhususan, kepelbagaian dan perbezaan pendapat memang tidak dapat dielakkan. Maka, masing-masing perlu berfikiran terbuka, bertolak ansur dan saling menghormati antara satu dengan lain.

Dalam mana-mana organisasi, tidak terkecuali sekolah, kemajuan kerjaya seseorang pegawai atau kakitangan akan bergantung kepada penilaian pegawai atasan. Persaingan untuk menarik perhatian pihak yang berkenaan jika tidak dikendalikan secara baik mungkin boleh menjurus kepada salah faham yang berlebihan. Sebarang riak pertelingkahan mesti diselesaikan serta-merta sebelum tersebar sebagai tema perbualan amatur.

Etika keguruan yang unggul juga terserlah apabila guru melayan ibu bapa pelajar dan tetamu sekolah dalam perjumpaan rasmi dan tidak rasmi. Demikian juga apabila para guru menghadiri pelbagai kursus, majlis dan mesyuarat di luar kawasan sekolah. Ketepatan masa dan penampilan yang kemas memberikan gambaran yang baik terhadap keakuran etika keguruan... 

Monday, January 21, 2013

TUTORIAL PERAKAUNAN PENDAPATAN NEGARA (MEASURING ECONOMICS ACTIVITIES)

Tarikh: 22 Januari 2013 (Selasa)
Tempat:  Kelas UA2
Masa:  1.20 - 2.40 petang

Tajuk perbincangan:  Perancangan dan Penulisan Jawapan Bahagian Esei

Rasional:  Berdasarkan laporan pencapaian peperiksaan STPM yang dikeluarkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), didapati kelemahan calon yang paling ketara ialah dalam bahagian esei.

Kelemahan yang dikenal pasti:

a)  Takrifan tugasan soalan

b)  Keperluan penulisan esei: cakupan dan had jawapan

c)  Keperluan andaian, gambar rajah, konsep, prinsip, rumus

d)  Jumlah isi jawapan, serta keperluan huraian

e)  Peruntukan masa menulis jawapan, termasuk penambahbaikan dan semakan

Saranan kepada pelajar:

a)  Teknik penetapan masalah:  kata kunci, kata tugas

b)  Susunan isi berdasarkan pemberatan, misalnya pemboleh ubah Ypc

c)  Akur dengan tugasan soalan sepenuhnya: dengan bantuan gambar rajah / (sekadar) jelaskan

d)  Minimum 4 - 5 isi, serta huraian yang tepat

e)  Berdasarkan nisbah 80 markah = 120 minit, maka untuk 10 markah = 15 minit (maksimum)

Tugasan 1

Jelaskan langkah penghitungan pendapatan negara menerusi kaedah pendapatan.  (10 markah)

...

...

...

...

...

...


Tugasan 2

Berdasarkan contoh berangka, terangkan penggunaan nilai tambah bagi mengelakkan pengiraan dua kali dalam perakaunan pendapatan negara.                  (10 markah)

...

...

...

...

...

...

...

Tugasan 3

a)  Huraikan dua masalah utama dalam perakaunan pendapatan negara  (4 markah)

b)  Jelaskan tiga alasan kegunaan pendapatan per kapita masih penting dalam perakauan pendapatan negara (6 markah)

...

...

...

...

...

...

...


Tentatif aktiviti

1.20 - 1.25  Semakan daftar kehadiran

1.25 - 1.40  Sesi perancangan jawapan

1.40 - 1.50  Pengesahan dan perakuan isi jawapan dan rujukan

1.50 - 2.35  Penulisan jawapan lengkap

2..35 - 2.40  Serahan skrip jawapan dan bersurai

Ulasan guru:

_________________________________________________________________________________

_________________________________________________________________________________

_________________________________________________________________________________


Tandatangan:                                                                  Nama guru:

Sunday, January 20, 2013

PENGALAMAN SEBAGAI GURU DISIPLIN (BRIDGING STUDENT LEADERSHIP WITH THE CLASSROOM LEARNING)

Guru-guru mungkin sudah biasa mendengar ungkapan bahawa semua guru ialah guru disiplin. Maksudnya supaya setiap guru memainkan peranan sebagai wewenang dalam konteks menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkesan. Pengurusan disiplin murid menjadi kunci kejayaan pendidikan di sekolah bagi memberi laluan kepada penjanaan modal insan minda kelas pertama acuan Malaysia.

Hakikatnya terdapat sekumpulan kecil guru yang dilantik secara khusus sebagai guru disiplin sekolah. Guru disiplin berkenaan membantu pengetua dan penolong kanan hal ehwal murid untuk memastikan bahawa tingkah laku murid di dalam kawasan sekolah sejajar dengan piawaian peraturan yang ditetapkan. Sebarang bentuk tingkah laku lencongan dan pelanggaran peraturan diambil tindakan segera berdasarkan peruntukan dan tatacara pengurusan disiplin murid sekolah.

Kes disiplin yang berat akan dibawa untuk perhatian pihal Lembaga Disiplin yang dipengerusikan sendiri oleh pengetua, di samping penolong kanan hal ehwal murid dan ketua guru kaunseling. Lembaga berkenaan akan bersidang untuk kes rujukan yang mempunyai merit. Sebagai contoh, perbicaraan kes murid yang berhadapan dengan kemungkinan dibuang sekolah jika keterangan saksi membuktikan fakta kes tanpa sebarang keraguan.

Organisasi pentadbiran disiplin sekolah bergantung kepada keperluan, misalnya bilangan pelajar, agihan tugas dan strategi keseluruhan sekolah. Seorang ketua guru disiplin mungkin diberi kelonggaran dari segi jumlah waktu mengajar bagi memberi tumpuan terhadap pentadbiran disiplin dan kemas kini data. Khabarnya, jawatan khas guru disiplin sepenuh masa masih dalam pertimbangan pihak berkuasa pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Tanggungjawab akhir disiplin sekolah masih terletak dalam tangan pengetua dan guru besar yang lebih arif tentang peruntukan undang-undang pendidikan dan memiliki akses secara langsung dengan pihak atasan pendidikan. Walau bagaimanapun, seseorang pengetua dan guru besar boleh menurunkan kuasa beliau dalam fasal disiplin yang tertentu, misalnya soal siasat dan hukuman kepada penolong kanan hal ehwal murid atau guru disiplin menerusi surat kuasa yang sah. Namun, jika masih ada perkara berbangkit, tanggungjawab itu akan berbalik semula kepada pengetua dan guru besar.

Pengalaman penulis blog (PB) sebagai guru disiplin lebih tertumpu kepada organisasi pengawas sekolah, termasuk proses temu duga calon pengawas, pemantauan tugas pengawas dan menghadiri mesyuarat pengawas. Jawatan pengawas dibuka kepada semua murid dengan syarat kelayakan tertentu dari segi pencapaian akademik, kepimpinan dan sahsiah, di samping menerusi pencalonan oleh guru. Berdasarkan senarai pendek, calon-calon dipanggil untuk proses temu duga bagi mengukur kesesuaian calon berdasarkan inventori soalan dan pengamatan keperibadian masing-masing.

Markah yang diberi oleh panel temu duga hanya mewakili 50 peratus penilaian keseluruhan. Baki 50 peratus lagi ditentukan oleh jawatankuasa pemilihan yang bersidang untuk memberi merit terhadap pelbagai kriteria yang tidak dapat dikesan melalui proses temu duga. Senarai calon yang dicadangkan untuk lantikan akan dibawa pula kepada pengetua untuk keputusan muktamad.

Seterusnya calon yang terpilih akan menjalani tempoh percubaan sebelum diberikan watikah pelantikan dalam satu majlis rasmi. Mereka juga akan menjalani kursus kepimpinan dan bidang tugas pengawas sekolah. Struktur organisasi pengawas sekolah dibuat berdasarkan perakuan mesyuarat badan pengawas dan dipersetujui oleh pengetua.

Pengendalian kes disiplin sama ada di peringkat badan pengawas, guru disiplin atau lembaga disiplin bergantung kepada merit kes. Namun, sebarang bentuk pelanggaran disiplin atau tingkat laku lencongan akan ditegur serta-merta. Seseorang murid yang sabit kesalahan akan dirujuk kepada guru kaunseling terlebih dahulu bagi tujuan muhasabah diri dan intervensi tingkah lau secara kendiri.

Guru disiplin mempamerkan sikap tegas secara bertempat. Gaya mereka bertutur dan bergerak sentiasa mendapat perhatian murid. Sumbangan guru disiplin terhadap persekitaran pembelajaran yang berkesan dianggap sangat kritikal sejajar dengan perkembangan zaman dan tingkah laku generasi muda yang lebih sukar untuk diduga...

Saturday, January 19, 2013

KOTAK HITAM MISTERI DI SEKOLAH (METHAPHORS ABOUT TEACHER AND STUDENT)

Ungkapan seperti 'guru umpama lilin membakar diri', 'guru umpama matahari' sudah biasa disebut. Banyak lagi ungkapan dicipta sebagai metafora atau perlambangan tentang sekolah, guru dan muridnya. Metafora tidak semestinya suatu kebenaran yang muktamad, tetapi pengaruhnya sangat kuat.

Dalam satu hadith dilaporkan bahawa anak-anak (kecil) ibarat kain putih. Maka, ibu dan bapalah yang mencorakkan mereka sama ada ke arah kebenaran (iman dan amal saleh) atau kesesatan (yahudi dan nasrani). Terdapat sebuah naskhah hebat tentang kaedah pendidikan anak-anak yang ditulis oleh Dr. Abdullah Nasih Ulwan yang berjudul Tarbiyatul Aulad yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Di sekolah, para guru yang dibayar gaji menerusi sumber hasil negara, terutama kutipan cukai, memikul amanah sebagai ganti ibu bapa, atau dalam konsep undang-undang pendidikan disebut sebagai in loco parentis (untuk rujukan lanjut, klik di sini). Namun, amanah itu tertakluk kepada prinsip the duty of care (perinciannya di sini). Secara am, para guru hendaklah melaksanakan segala kewajipan yang ditentukan bagi menolong murid dalam proses pembelajaran.

Metafora paling mudah dan simplistik ialah menganggap kanak-kanak sebagai bekas kosong yang perlu dipenuhkan dengan apa-apa cara sekalipun. Akibatnya, kanak-kanak dikehendaki senyap membatu bagi menerima segala maklumat yang disampaikan oleh guru menerusi komunikasi sehala. Apabila kerjaya keguruan hanya diisi oleh ahli ikhtisas, maka telah berlaku sekian banyak transformasi kaedah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, atau disebut sebagai pedagogi.

Sebagaimana jari tidak sama panjang, cop jari dan suara setiap manusia berbeza, malah profil Deoxyribonucleic acid, ringkasnya DNA setiap manusia juga unik dan tersendiri, begitulah juga dengan kebolehan dan pencapaian murid tidak akan sama semuanya. Maka muncul konsep seperti pendemokrasian pendidikan, pendidikan inklusif dan pendidikan eksklusif. Semua murid diberi hak akses kepada pendidikan bermutu, tetapi dengan reka bentuk pembelajaran yang sejajar dengan pencapaian masing-masing.

Terdapat suatu maksim yang berbunyi bahawa pencapaian murid ialah bayangan kebolehan seseorang guru. Perkara itu mungkin bersifat spekulasi dan tidak berpiak di bumi nyata, justeru konsep pencapaian murid juga boleh dilihat daripada perspektif yang berbeza-beza. Pakar motivasi menganggarkan bahawa setiap kanak-kanak memiliki sejumlah 120 bakat dan hanya tiga daripadanya dapat dilihat dengan mata kasar.

Tugas guru ialah untuk mengembangkan segala bakat, potensi dan fakulti yang ada dalam diri kanak-kanak ke tahap optimum tanpa syarat. Guru yang peka berupaya mencungkil bakat murid yang terpendam, atau menyerlahkan sisi murid yang tersembunyi. Secara metafora, guru berusaha untuk menyuluh dan menimbulkan bahagian bongkah air yang terapung di bawah permukaan air sebanyak mungkin.

Andaian bahawa murid umpama bahan mentah yang sudah digredkan awal-awal lagi bakal mendatangkan kerugian kepada mereka dalam jangka panjang. Sebahagian murid akan dilabel sebagai tiada harapan lagi (gone cases), lalu tiada usaha intervensi yang bersungguh-sungguh dilakukan. Murid mengalami diskriminasi, disisihkan dan menjadi mangsa keadaan.

Perbincangan tentang analisis input --> proses --> output sedemikian mungkin sesuai untuk proses pengeluaran barang di kilang-kilang, tetapi murid berhak dilayan sesuai dengan fitrah dan kemuliaan sebagai insan. Model kotak hitam itu telah lama didebatkan, namun masih dipercayai oleh golongan simplistik yang enggan berfikir dan membuat kajian secara jitu. Model kotak hitam dikritik dengan hebat, lalu muncul konsep berfikir di luar kotak.

Sebagai ahli ikhtisas, para guru memang telah diberi pendedahan yang mencukupi tentang kreativiti dan pembaharuan amalan bilik darjah yang terbaik menerusi pengalaman diri sendiri dan pengalaman pihak lain. Guru tidak sesekali akan berputus asa, buntu atau tenggelam punca dalam menghadapi murid yang bermasalah pembelajaran. Guru sentiasa mencari jalan supaya murid dapat ditolong sehingga mereka mampu digilap sebagai insan yang layak, berguna, berdikari dan menyumbang terhadap kesejahteraan diri sendiri dan persekitaran.

...

...

Friday, January 18, 2013

KECOH DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA ('LISTEN' VIRAL PHENOMENON)

Peristiwa yang sudah terjadi sebulan yang lalu tanpa publisiti meluas seolah-olah cerita biasa sahaja. Namun, apabila rakaman audio video peristiwa itu dimuat naik menerusi laman perkongsian fail You Tube, laporan menyebut hampir sejuta kali tontonan telah dicatatkan. Nama Bawani dan Sharifah Zohra juga tiba-tiba dikenali sebagai watak penting dalam peristiwa yang diberi judul 'Listen, listen, listen' itu.

Universiti Utara Malaysia (UUM) ditubuhkan setahun selepas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diasaskan pada tahun 1983. Sebelum berpindah ke kampus induk tetap di Sintok, UUM beroperasi di Maktab Perguruan Darul Aman, Jitra (kini IPDA). UUM juga mempunyai cawangan kampus kota di Kampung Bharu, Kuala Lumpur untuk pelajar sambilan.

UUM bercita-cita besar untuk muncul sebagai 'Harvard Timur' serta dikenali sebagai universiti pengurusan terulung di rantau sebelah sini. Kini, setelah 30 tahun berlalu, UUM masih bertungkus-lumus untuk mengejar kedudukan universiti perdana negara, iaitu UKM, UM, UPM dan USM, serta UTM yang telah mencapai penarafan universiti penyelidikan.

Bukan tidak banyak siswazah UUM yang telah mendaki puncak kecemerlangan dalam bidang akademia, perkhidmatan tadbir dan diplomatik, serta urus tadbir korporat. Mungkin sudah tiba masanya siswazah UUM sendiri diberi peluang menerajui alma mater mereka. Naib Canselor UUM sekarang ialah Profesor Dr. Mustafa Ishak ialah bekas orang kuat Tindakan Siswa Bersatu (TSB) di UKM, manakala sebelum beliau ialah Tan Sri Dr. Nordin Kardi, juga siswazah UKM.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menunjukkan kemajuan yang radikal dalam program akademik dan kemahasiswaan apabila siswazah UTM sendiri, Profesor Dr. Zaini Ujang diberi peluang menyandang jawatan naib canselor. Universiti Malaya (UM) juga telah beberapa kali memberi peluang kepada alumni mereka untuk memimpin universiti tertua negara itu. Selain UM dan UTM, hampir semua universiti awam tempatan yang lain juga belum memberi peluang kepada siswazah masing-masing untuk memimpin universiti.

Universiti yang ulung tidak pernah tunduk dengan tekanan industri dan pasaran untuk mengikut telunjuk mereka dari segi reka bentuk kurikulum dan kebolehpasaran siswazah. Universiti bukan gedung latihan vokasional untuk melahirkan pekerja yang sekadar mematuhi rutin. Istilah universiti itu sendiri berasal daripada perkataan universe yang bermaksud jagat raya tanpa sempadan yang tertentu. 

Cambridge, Harvard dan Oxford lebih menjurus kepada tradisi falsafah dan keunggulan ilmu. Siswazah mereka sangat dikagumi dan sering muncul dengan inovasi dan reka cipta yang memberi manfaat kepada seluruh warga dunia. Siapa yang tidak kenal dengan Bill Gates (walaupun hanya sempat menamatkan tahun pertama di Harvard) dan pengasas Facebook yang masih muda belia?  

Universiti terawal dunia, al-Azhar Mesir juga telah berjasa kepada seluruh umat manusia. Walaupun universiti Islam muncul di serata dunia, al-Azhar tetap dianggap sebagai model dan penanda aras pengajian tinggi bercitra Islamik. Universiti berkenaan masih mengekalkan tradisi pengajian berdasarkan kaedah tadah kitab walaupun dalam versi yang lebih canggih.

Peristiwa terbaharu di UUM menunjukkan betapa universiti tempatan perlu membuat penelitian kembali tentang peranan masing-masing sebagai entiti kecemerlangan akademia dan minda. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang pernah memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) turut memberi teguran terhadap sikap ahli panel forum berkenaan yang dilihat seperti enggan menghormati perbezaan pendapat. Peristiwa itu dijangka menjadi duluan (precedent) terhadap program kemahasiswaan pada masa hadapan.

Anggapan bahawa universiti sebagai pencetak peluang pekerjaan sangat berisiko tinggi. Mahasiswa ialah pemimpin dalam pembikinan, manakala ahli akademik memegang amanah kesarjanaan yang sangat dipercayakan. Peristiwa di UUM mungkin membuka mata banyak pihak tentang peranan sebenar universiti, mahasiswa dan kepemimpinan akademia...

Thursday, January 17, 2013

HARVARD PAPAR DALIL AL-QURAN (THE ULTIMATE TRUTH)

Universiti tersohor dunia, Harvard dilaporkan meletakkan terjemahan ayat al-Quran, surah an-Nisa', ayat 135 di pintu masuk utama sekolah undang-undangnya. Berita tersebut berlegar menerusi pelbagai media maya seperti facebook, twitter dan weblog. Petikan ayat itu disifatkan sebagai ungkapan paling hebat dalam konteks keadilan dan undang-undang.

Akhbar Berita Harian turut menyiarkan berita bersekali dengan imej seperti di bawah. Sumber asal dipetik daripada sebuah akhbar di Arab Saudi. Harvard ditubuhkan pada tahun 1636 di Cambridge, Massachusette, Amerika Syarikat dan memiliki dana kewangan melebihi keluaran negara kasar banyak negara, serta menjadi idaman pelajar terbaik seluruh dunia.
sumber: klik di sini

Sementara itu, akhbar Republika di Indonesia turut memberi perhatian terhadap laporan berkenaan, malah dalam versi yang lebih lengkap seperti di bawah. Sebelum petikan surah keempat al-Quran itu, tercatat ungkapan St. Augustine of Hippo, hidup antara 354 - 430 sebelum masihi (untuk maklumat lanjut, sila klik di sini) yang bermaksud 'undang-undang yang tidak adil hakikatnya bukan undang-undang'. Di bawahnya petikan Magna Carta of King John, dan di kanan bawah ungkapan masyhur Thomas Aquinas, selain ungkapan Sir William Blackstone, Marian Wright Edelman.

Dalam bahasa Melayu, ayat al-Quran itu bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah biar pun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. 
sumber: klik di sini


Republika juga memetik jawapan Beverly Garretts, dari Harvard Information Center yang tidak mampu menjelaskan tentang adanya kutipan al-Quran tersebut. Dia hanya mengangkat bahu sambil berpandangan bahawa semua kutipan tersebut akan bermanfaat dan memberi inspirasi kepada mahasiswa dalam menghayati dasar-dasar hukum. Dengan demikian, mahasiswa tidak hanya melulu berpegang terhadap aspek teknikaliti perundangan semata-mata.


Berita Harian pula memetik akhbar Saudi, Ajel tentang Abdullah Juma, pelajar Harvard dari negara berkenaan yang memuat naik paparan berkenaan dalam akaun Twitter peribadinya. Daripada siapakah Harvad memperoleh petikan ayat tersebut tidak pula dijelaskan. Walaupun diletakkan pada kedudukan kedua selepas ungkapan tokoh gereja Roman Katholik di Afrika Utara itu, sekurang-kurangnya mesej kebenaran tersebar di sebuah institusi pengajian tinggi terkenal di dunia.
pertandingan di mahkamah olok-olok, Harvard: klik di sini

Pelajar undang-undang Malaysia mungkin lebih banyak memilih universiti di United Kingdom dan Australia atas sebab persamaan amalan undang-undang Komanwel. Namun, pelajar ijazah ijazah tinggi (sarjana dan doktor falsafah undang-undang) mungkin juga memilih Harvard untuk tujuan keunggulan akademik. Sebagai catatan, Barrack Hussien Obama, presiden negara Uncle Sam sendiri ialah lulusan sekolah undang-undang Harvard.

Di Malaysia, pelajar undang-undang juga dikehendaki mengikuti kursus undang-undang syariah dan bahasa Arab bagi memenuhi keperluan tempatan. Kefahaman asas tentang undang-undang Islam, hukum hudud, qisas dan takzir sudah pasti menyumbang terhadap pengukuhan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Masyarakat negara ini harus belajar daripada Harvard yang begitu menghormati keunggulan ilmu walaupun daripada sumber yang berbeza dengan kepercayaan mereka...

Wednesday, January 16, 2013

DAYA TARIKAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN JASMANI (SOMATIC MOVEMENT AWARENESS IN SCHOOL)

Bidang rekreasi dan sukan sudah menjadi satu bentuk industri yang mendatangkan keuntungan besar kepada banyak pihak sama ada bijak pandai, pemimpin organisasi, usahawan, media, serta sektor pembuatan, pelancongan dan kesihatan. Negara-negara maju begitu mementingkan prasarana kemudahan rekreasi dan sukan, sama ada menerusi pembiayaan awam mahupun swasta. Buktinya, dalam temasya kejohanan sukan dunia, penguasaan biasanya berpihak kepada Amerika Syarikat, Australia, Britain, Jepun dan negara-negara Eropah.

Di Malaysia juga, bidang rekreasi dan sukan telah memasuki fasa lebih tinggi apabila kuasa beli masyarakat semakin meningkat rentetan kemakmuran yang dikecapi, di samping dasar awam yang menggalakkan kemajuan bidang rekreasi dan sukan bagi meningkatkan daya saing rakyat Malaysia di peringkat sejagat. Maksim bahawa akal yang sihat datang daripada jasmani yang sihat memang seiring dengan era ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge-based economyk-economy) sebagai ganti ekonomi berasaskan pengeluaran (production-based economyp-economy). Walaupun pergantungan kepada kudrat jasmani sudah berkurangan, tetapi akal yang menjana pengetahuan tetap berpunca daripada tahap kesihatan jasmani yang baik.

Reka bentuk kurikulum pendidikan sudah banyak mengalami pembaharuan dan penambahbaikan, tetapi masih sangat kuat dipengaruhi oleh kerangka model taksonomi Bloom, iaitu carta piramid yang terdiri daripada pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis, dan penilaian. Aktiviti bilik darjah berlegar di dalam kawasan empat dinding dengan pergerakan yang terhad dan tahap kenyaringan suara yang terkawal supaya tidak mengganggu kelas yang berhampiran. 

Konsep pembelajaran aktif dan teori kecerdasan pelbagai (Horward Gardener) ialah percubaan untuk mengubah persekitaran bilik darjah supaya lebih menjurus kepada pencapaian domain kognitif, afektif dan psikomotor secara sekali gus. Murid tidak lagi seperti patung cendana yang diam membatu sepanjang waktu pembelajaran sambil disogok dengan pelbagai input maklumat yang tidak berkesudahan. Sebaliknya, segala bakat dan potensi murid dikembangkan ke tahap optimum supaya mereka benar-benar menikmati pengalaman pembelajaran yang terbaik.

Mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) sangat ditunggu-tunggu oleh murid sekolah justeru terdapat ruang untuk menggembleng sistem jasmani, emosi, rohani, inteleks dan kecerdasan sosial secara bersahaja. Aktiviti sewaktu PJPK menjadi bahan bualan di kantin dan laman sosial maya, di samping menjadi kenangan manis kepada sebahagian besar murid apabila tamat persekolahan, bahkan sehingga usia dewasa. Di tangan guru PJPK yang kreatif, murid masih sudi mempelajari Pendidikan kesihatan sebagai komponen seimbang bagi Pendidikan Jasmani.

Semua calon guru diwajibkan lulus kursus PJPK semasa latihan praperkhidmatan sama ada di fakulti pendidikan atau institut latihan perguruan. Kursus PJPK dalam kurikulum latihan perguruan diberi status kursus teras, iaitu setara dengan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Muzik dan Seni Tampak. Guru pelatih didedahkan dengan perancangan, pelaksanaan dan pentaksiran PJPK di bilik kuliah dan padang, di samping mempelajari cara pengurusan pertandingan dan kepimpinan sukan.

Penubuhan fakulti sains sukan di UPM dan UM sedikit sebanyak telah menyumbang terhadap profesionalisme guru opsyen PJPK. Namun, kepakaran dan sumbangan guru PJPK sangat diperlukan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Maka, pergerakan guru opsyen PJPK di luar kawasan sekolah tidak dapat dielakkan hingga mungkin mencatat peruntukan maksimum 30 peratus e-gerak. 

Memandangkan semua guru terlatih telah menerima pendedahan yang secukupnya dalam asas PJPK, tugas sebagai guru ganti mata pelajaran berkenaan tidak menimbulkan masalah yang besar. Tidaklah nanti seperti masa dahulu apabila guru ganti hanya membawa sebiji bola untuk direbut oleh 40 orang murid di padang. Guru ganti juga boleh membawa peralatan seperti gelung, dan kon larian sebagai aktiviti pemanas badan terlebih dahulu.

Anggapan lapuk bahawa mata pelajaran PJPK seperti melukut di tepi gantang perlu dihapuskan. Para pentadbir sekolah telah diingatkan berulang kali supaya tidak menjadikan peruntukan waktu PJPK untuk mata pelajaran lain atau untuk program yang tidak berkaitan. PJPK juga mesti akur terhadap keperluan sukatan pelajaran dan pentaksiran yang ditetapkan.

Sambutan murid terhadap PJPK patut dicemburui, dan seterusnya dicontohi oleh mata pelajaran yang lain. Murid begitu senang dengan dengan aktiviti pergerakan somatik, berbanding dengan hanya kaku dan menjadi mangsa pembelajaran sehala seperti tradisi Aristotle dan Plato yang memberi tumpuan kepada kebijaksaan akal dan falsafah semata-mata. Mereka perlu membakar kalori dan lemak yang berlebihan akibat gaya hidup dan pemakanan yang semakin jauh berbeza...

KAJIAN TENTANG KEGIATAN EKONOMI BANDAR (GROWTH POLE AND SPILLOVER LINKAGES)

Pertubuhan Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa separuh penduduk dunia tinggal di bandar, manakala kegiatan ekonomi desa juga sangat bergantung kepada kemajuan bandar (rujuk di sini). Proses pembandaran atau urbanisasi berlaku seiring dengan kemajuan ekonomi dan teknologi sesebuah negara. Walaupun bandar sering dikaitkan dengan isu kesesakan, pencemaran dan kos sara hidup yang tinggi, bandar tetap menjadi destinasi kegiatan ekonomi, pendidikan dan pentadbiran skala besar.

Sesebuah bandar mengalami perkembangan pesat apabila lebih banyak kawasan perumahan dimajukan bagi menampung permintaan penduduk yang semakin meningkat akibat penghijrahan dan kuasa beli yang tinggi. Sesebuah kawasan perumahan pula mewujudkan peluang ekonomi yang lain kepada perniagaan tempatan, seperti sektor peruncitan, perkhidmatan dan pengangkutan. Lama-kelamaan kawasan perumahan tertentu bertukar menjadi sebuah pekan kecil, lalu bercantum dengan kawasan-kawasan perumahan yang lain dan akhirnya muncul sebagai sebuah bandar satelit sepertimana yang berlaku kepada Petaling Jaya.

Sistem jalan raya yang lebih teratur dan penggunaan sumber tenaga yang lebih cekap membolehkan bandar menggembleng segala potensi ekonomi dengan cepat. Pelabur tempatan dan asing juga menaruh keyakinan yang tinggi terhadap persekitaran perniagaan sesebuah bandar yang dicetuskan menerusi proses perancangan dan pentadbiran yang dinamik. Penduduk yang ramai memerlukan kemudahan aktiviti rekreasi, santai dan sukan, serta menerima kunjungan daripada pelbagai pihak berdasarkan pelbagai kepentingan pula.

Permintaan masyarakat bandar untuk mengisi masa lapang dan meringankan tekanan hidup telah mendorong pertumbuhan industri penginapan, percutian dan persidangan yang berkaitan dengan kepentingan perniagaan, intelektual dan kemasyarakatan. Gedung membeli-belah dan butik bertaraf antarabangsa mempunyai kelompok sasaran pelanggan masing-masing. Perkhidmatan kerja dari pintu ke pintu juga ditawarkan dengan meluas.

...

...

...

...

...

...

...

...

Tuesday, January 15, 2013

LUBANG TIKUS, PERANGKAP TIKUS (LEARNING FROM THE RODENTS WORLD)

Tikus sering dikaitkan dengan perkara negatif seperti pembawa penyakit, kotor dan makhluk perosak yang dibenci. Namun, dalam sejarah perkembangan sains dan teknologi, tikus boleh dianggap sebagai spesies yang istimewa. Kamus Dewan edisi IV (2005:1683) mentakrifkan tikus sebagai sejenis binatang mengerip, iaitu menggigit berdikit-dikit (sedikit demi sedikit), mengerumit atau mengunggis, serta mengeluarkan bunyi seperti mengikis.

Tetikus pula bukan berupa kata ganda separa 'daun-daun' yang dilemahkan menjadi 'dedaun', tetapi suatu istilah khusus dalam teknologi komputer sebagai setara dengan mouse device dalam bahasa Inggeris. Tetikus merujuk peranti komputer yang digunakan sebagai penunjuk untuk mengawal kursor dan untuk memilih objek pada tabir paparan komputer (Ibid:1678). Tetikus optik atau lebih dikenali sebagai tetikus tanpa wayar menggunakan teknologi sinaran merah untuk mewujudkan hubungan dengan komputer.
imej Wikipedia

Peristiwa kejatuhan Sadam Hussien Abd al-Majid al-Tikriti sebagai diktator Iraq juga dikaitkan dengan tikus, iaitu beliau ditangkap oleh tentera Amerika Syarikat ketika sedang bersembunyi di sebuah lubang tikus (dalam bahasa Inggeris: spider hole) pada tanggal 13 Disember 2003 di sebuah rumah ladang di ad-Dawr, berhampiran tempat kelahiran Saddam. Hal itu tidak bermaksud bahawa Saddam Hussien menumpang tempat persembunyian tikus, sebaliknya menggambarkan saiz tempat persembunyian yang kecil, serta tidak dapat dikesan dengan mata kasar. Merujuk lakaran ilustrasi di atas, lubang tikus juga ialah salah satu taktik peperangan darat.

Dunia ilmu pengetahuan dan penyelidikan juga terhutang budi dengan tikus yang mengganti tempat manusia sebagai sampel uji kaji dalam makmal. Kumpulan pencinta haiwan dan alam sekitar menganggap penggunaan tikus makmal sebagi kejam lagi tidak berperikemanusiaan. Namun, hingga ke hari ini, pemerhatian tentang tindak balas tikus terhadap pelbagai rangsangan, termasuk kaji penyakit diterima sebagai data yang sah.

Banyak sekali peribahasa Melayu mengaitkan tikus dengan hal-hal yang kurang baik. Contohnya:
a.  awak tikus hendak menampar kepala kucing (tidak berdaya mencapai cita-cita)
b. bagai tikus membaiki labu (orang yang cuba membaiki sesuatu yang tidak diketahuinya, akhirnya merosakkannya)
c.  marahkan tikus, lengkiang dibakar (kerana sakit hati akan sesuatu yang kecil maka melakukan sesuatu yang mendatangkan kerugian besar)
d.  rumah terbakar, tikus habis keluar (apabila negeri ditimpasesuatu  malapetaka, penduduknya daripada orang dagang pun keluarlah meninggalkannya)
e.  seperti tikus masuk roman (orang berasa kecewa kerana tidak mendapat seperti yang diharapkan)

Perincian tentang penyakit bawaan tikus boleh dirujuk di sini. Secara biologi, tikus bukan menjadi punca langsung penyakit, tetapi aktiviti tikus mencari makanan yang tercemar menyebabkan ia menjadi perumah kepada bakteria dan virus pembunuh manusia. Di negara kita, kes korban kencing tikus (leptospirosis) yang membabitkan dua orang selebriti (Allahyarham Din Beramboi dan Allahyarham Izwan Pilus), serta beberapa orang remaja di tempat perkelahan air terjun pernah menggemparkan masyarakat kita.

Di sebalik hal-hal negatif yang dikaitkan dengan sifat pengotor sang tikus, para pengkaji juga membuat pengamatan terhadap kelebihan yang dimiliki oleh tikus, terutama dari segi kepekaan deria dan pembiakan. Tikus ialah antara haiwan yang paling pintar mengelakkan diri daripada bertembung dengan manusia. Perbuatan tikus menceroboh dapur dan mencuri makanan begitu licik dan berlaku pada waktu yang tertentu sahaja.

Sisi positif makhluk ciptaan Ilahi yang bernama tikus juga pernah diangkat lewat sebuah filem animasi janaan komputer yang berjudul Ratatouile. Seekor tikus yang bernama Remy digambarkan sebagai membenci kekotoran dan dunia penyakit, sebaliknya sangat berminat dengan bisikan halunisasi chef terkemuka di kota Paris, Auguste Gusteau yang telah meninggal dunia. Dalam kesusasteraan Melayu 1960-an, terdapat sebuah naskhah satira dengan judul "Tikus Rahmat", karya Hassan Ibrahim yang pernah disifatkan sebagai ramalan intelektual tentang masa depan negara oleh S. Othman Kelantan.

Tikus juga seolah-olah pintar menyesuaikan diri dengan persekitaran. Di bandar raya pencakar langit seperti Tokyo dan New York, tikus ditemui bersembunyi dan membiak di aras tinggi. Pelbagai teknologi pelupusan tikus dilakukan kerana kawalan biologi seperti memelihara kucing rumah (domestic cat) tidak kena sama sekali. Tikus diisytiharkan sebagai musuh tempat aktiviti peribadi dan sosial manusia.

Dalam sistem rantaian makanan, tikus ialah pemangsa dan mangsa sekali gus. Tikus membaham apa-apa sahaja yang boleh dimakan sama ada haiwan yang lebih kecil atau sebarang benda yang boleh digigit. Namun, tikus juga menjadi buruan kebanyakan haiwan lain, terutama ular, musang, burung helang dan burung hantu.

Sementara itu, perkataan politikus tiada kena-mengena dengan tikus. Politikus ialah kata terbitan daripada kata dasar politik yang membawa makna ahli politik, bukan gabungan awalan poli dan tikus. Malah, dari segi asal usul istilah (etimologi), perkataan politik merujuk kepada ahli politik lelaki (bentuk kata tunggal, mufrad, singular) dalam tradisi Greek purba.
Tikus sangat licik ketika menyembunyikan diri dengan senyap, atau menikus seperti pepatah Inggeris bermaksud 'diam itu emas' (silent is golden). Namun, kelicikan tikus tidak dapat menandingi kelicikan manusia yang dibantu oleh teknologi. Kajian tentang kelemahan tikus digunakan sebagai perangkap supaya tikus yang menceroboh ke dalam rumah dan bangunan dapat diusir...

Monday, January 14, 2013

PENGURUSAN TEKANAN PELAJAR PRAUNIVERSITI TINGKATAN 6 (BRINGING INCREASING DEMAND OF LEARNING TO BALANCE)

Apabila diberi kesempatan meluahkan perasaan masing-masing, banyak pelajar tingkatan 6 mengatakan bahawa mereka kini sangat stres. Tempoh kuliah yang singkat, peperiksaan penggal yang cepat dan banyak kerja kursus perlu diselesaikan. Kejutan gaya pembelajaran tahap tinggi yang dialami mengakibatkan mereka beranggapan bahawa kestabilan aktiviti harian mereka sebagai remaja telah terjejas dengan teruknya.

Pelajar prauniversiti tingkatan 6 perlu menyediakan kertas projek Pengajian Am sepanjang kira-kira lima ribu patah perkataan. Pelajar yang mengambil mata pelajaran Matematik, T atau M, telah memulakan kerja kursus sejak penggal pertama lagi. Kebanyakan mata pelajaran jurusan sains juga demikian, manakala pelajar jurusan kemanusiaan yang memilih Bahasa Melayu dan Sejarah sedang bertungkus-lumus melayan pelbagai modul pentaksiran berasaskan sekolah (PBS). Modul penulisan kerja kursus di dalam kelas dan kerja lapangan untuk kutipan data juga sebahagian saranan dalam modul berkenaan.

Kerja kursus Ekonomi dan Pengajian Perniagaan pula bakal dijalankan pada penggal tiga nanti. Format, modul dan soalan yang berkaitan akan dimuat naik ke laman Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) kira-kira sebulan sebelum penggal tiga bermula. Kerja kursus PBS itu sudah tentu mengurangkan pergantungan pelajar kepada pusat tuisyen kerana masa yang diperlukan untuk mencari bahan dan penulisan bakal mengambil masa yang panjang.

Tekanan berpunca daripada anggapan bahawa sumber yang dimiliki, iaitu masa, tenaga dan wang ringgit tidak cukup berbanding dengan kehendak pembelajaran aras tinggi. Anggapan itu dihantar ke otak, lalu mempengaruhi emosi, sistem tubuh badan dan tingkah laku seseorang. Pelajar tingkatan 6 yang mengalami tekanan perlukan campur tangan (intervensi) supaya proses pembelajaran yang dilalui sebagai pemerolehan ilmu, bukan suatu beban yang menyeksakan.

Penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan 6 bertujuan meningkatkan daya saing lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang disaingi hebat oleh lulusan matrikulasi, asasi dan program persediaan universiti yang lain, serta pemegang pelbagai sijil dan diploma yang diiktiraf. Sebagai rancangan jangka panjang untuk pengecualian jam kredit pada tahun pertama universiti, semua mata pelajaran STPM perlu akur dengan reka bentuk pengajian tinggi. Mahasiswa tidak perlu mengulang semula mata pelajaran yang pernah diambil semasa pengajian prauniversiti tingkatan 6.

...

...

...

...

...

Sunday, January 13, 2013

PENGALAMAN MENGAJAR MATEMATIK (ABSTRACT AND CONCRETE EXPERIENCE IN LEARNING)

Asalnya penulis blog (PB) dicalonkan sebagai bakal guru bahasa Inggeris dan Matematik, pendidikan awal remaja, iaitu peringkat menengah rendah. Tempoh latihan praperkhidmatan ketika itu ialah kira-kira dua tahun setengah, termasuk praktikum. PB ditempatkan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim (MPTI, kini IPTI) di Johor Bahru, bersebelahan Sekolah Tun Fatimah.

Jodoh PB sebagai calon guru matematik tidak panjang apabila sebulan selepas itu datang tawaran menyambung pengajian di fakulti ekonomi, UKM. Kelas Pengajian Inggeris Matematik (PIM) ketika itu hanya mempunyai 20 orang guru pelatih dan dianggap lebih 'glamor' berbanding dengan kursus lain. Pensyarah juga mencadangkan PB menjalani latihan perguruan hingga selesai kerana peluang bagi lulusan PIM terbuka luas, termasuk program TESL di luar negara.

PB akhirnya memilih UKM dan mengucapkan selamat tinggal kepada MPTI. Namun, kalau sudah suratan untuk menjadi cikgu, PB akhirnya memilih untuk menerima tawaran sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) walaupun dalam masa yang sama diterima secara sangkut di Unit Perancangan Ekonomi Negeri Perak (Upen), selain tawaran mengikuti kursus perakaunan cukai selama setahun di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kemudian, PB diterima masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk pengajian diploma pendidikan, tetapi dalam opsyen perdagangan keusahawan dan sejarah.

Walaupun tidak meneruskan pengajian pendidikan dalam opsyen matematik, PB masih diberi kepercayaan  oleh pengetua untuk mengendalikan kelas tambahan untuk murid asrama. Walaupun ada suara tidak senang, PB berpegang kepada kepercayaan dan keinginan menolong murid yang mungkin memerlukan sentuhan tunjuk ajar yang berbeza. PB juga menerapkan motivasi, kemahiran generik pembelajaran dan konsep kecekapan dalam keadaan genting (pengurusan krisis).

Seorang rakan PB yang merupakan guru matematik meminta PB mengendalikan kelas pemulihan bagi pelajar jurusan sastera. PB dengan senang hati menerima pelawaan itu kerana yakin bahawa jika diberi harapan, pelajar sastera juga boleh maju dan mencatat kejayaan dalam mata pelajaran matematik berdasarkan keupayaan sedia ada mereka. Murid didedahkan dengan kaedah yang paling mudah dan ringkas untuk memilih bidang pembelajaran secara ansur maju.

...

...

...

...

...

Saturday, January 12, 2013

PETUNJUK MAKROEKONOMI (DISTINGUISHING TRENDS OF BOOM AND RECESSION)

Pengenalan

Pelajar prauniversiti sistem modular sekurang-kurangnya mesti mampu menyenaraikan empat petunjuk makro yang asas, iaitu pertumbuhan, inflasi, pengangguran dan kitaran perniagaan. Rumus yang tepat digunakan untuk menghitung petunjuk yang boleh dijelaskan secara kuantitatif. Selain itu, pelajar diharap dapat menjelaskan makna hitungan petunjuk yang berkenaan.

Barang diingat bahawa hitungan sesuatu kadar secara umum ialah  / asal, ringkasnya (b -a) / a

Pertumbuhan ekonomi

a)  Pertumbuhan merujuk kepada peningkatan keluaran negara benar pada tahun tertentu

b)  Kadar pertumbuhan pula ialah kadar peningkatan keluaran negara benar pada tahun tertentu yang dibandingkan dengan tahun sebelumnya

c)  Rumus:   (KDNKt benar - KDNKt-1 benar) / KDNKt benar

d)  Makna:

Inflasi


a)

b)

c)

d)


Pengangguran

a)

b)

c)

d)


Keluaran Negara Kasar

a)

b)

c)

d)

Kitaran perniagaan

sumber: klik di sini

a)

b)

c)

d)

Kadar bunga


Akaun dagangan


Akaun semasa

Friday, January 11, 2013

MEMBAWA DUNIA JENAKA KE DALAM BILIK DARJAH (CREATIVITY AND INNOVATION IN LEARNING EXPEREIENCE)

Petang tadi, sebaik sahaja selesai sesi mingguan permainan badminton di Kompleks MBI berhampiran Stadium Perak dan Stadium Indera Mulia Ipoh, anggota Kilas Tangkis terus menuju ke Restoran Sabar Menanti kerana akses laluan yang lain telah ditutup untuk pergerakan kenderaan. Tempat meletak kenderaan juga mulai penuh dan kawalan oleh pihak keselamatan juga kelihatan. Sepertinya sebuah persediaan suatu acara besar di lokasi tumpuan warga Ipoh itu.

Di sana sini terpampang sepanduk tentang pertandingan Maharaja Lawak Mega peringkat separuh akhir anjuran Astro yang bersiaran menerusi saluran Warna 132 dan radio Era.fm. Peserta yang membuat persembahan secara kumpulan akan bersaing untuk merebut tempat ke pertandingan akhir yang bakal berlangsung di Johor Bahru pada minggu hadapan. Pemilihan peserta dibuat secara undian penonton, iaitu sama seperti kebanyakan program realiti televisyen yang lain.

Hakikatnya bukan mudah untuk membuat khalayak tidak kering gusi dengan telatah lucu di atas pentas secara langsung, tetapi dalam masa yang sama wajib mematuhi tema yang ditetapkan, serta dalam tempoh empat minit sahaja. Aura, kreativiti dan tenaga persembahan yang luar biasa sahaja akan mampu mengajak khalayak terhibur dengan ragam dan sketsa yang kelakar, tetapi terselit mesej yang baik.

Di bilik darjah, sepatutnya aktiviti pembelajaran menjadi pengalaman yang sangat bermakna kepada murid yang menjadi amanah kepada guru. Di tangan guru yang kreatif dan inovatif, pembelajaran bertukar menjadi fenomena. Murid berasa waktu pembelajaran terlalu singkat kerana mereka sangat sibuk dengan aktiviti yang direka bentuk oleh guru.

Tanpa terlepas pandang terhadap kawalan dan pengurusan bilik darjah, penyampaian ilmu pengetahuan berlaku di bawah kerangka pemikiran luar kotak. Tekanan psikologi akibat harus berada dalam ruang sempit dalam tempoh yang panjang, serta menerima sejumlah input maklumat yang luar biasa banyaknya harus menjadi ringan dengan reka bentuk aktiviti pembelajaran yang disenangi. 

...

...

...

...

...