SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, January 23, 2014

ADAB PERBEZAAN PENDAPAT DALAM ISLAM (OPEN MINDED BUT WITH VALUE DRIVEN)

Adab ialah gambaran keadilan yang terpancar daripada kebijaksanaan (the spectacle of justice as it reflected by wisdom) (Syed Muhamad Naquib al-Attas1980, The Concept of Education in Islam, 23). Adab umpama gelas yang membendung air, kerana tanpa gelas, air akan tumpah begitu sahaja. Ertinya, tanpa adab, tingkah laku seseorang itu akan mengalami kecelaruan.

Perbezaan pendapat yang berlandaskan adab sudah pasti mendatangkan kebaikan, tetapi perbezaan pendapat yang sarat emosi dan tajam boleh menjerumuskan pihak yang bertelingkah ke arah perpecahan yang parah. Antara punca perbezaan pendapat yang demikian ialah justeru berlaku pelanggaran terhadap perbahasan tentang perkara-perkara yang sepatutnya sudah jelas dalam agama, al-ma'lum minaddin bid-darurah. Selain itu, agenda perpaduan umat diabaikan justeru ada pihak yang mendahulukan prasangka daripada ilmu, serta kurang kekuatan diri untuk menahan sifat tercela (mazmummah).

Terdapat naskhah yang bersifat kontemporari tentang isu perbezaan pendapat dari sudut adab Islami oleh Dr. Thaha Jabir Fayyadh al-'Alwani (klik di sini) yang berjudul Adab'ul-Ikhtilaf fi'l-Islam (terjemahan versi bahasa Melayu oleh Hj. Md. Rivai Batutara, 1989). Perbezaan pendapat sudah berlaku sejak zaman Nabi, tetapi segera dirujuk kepada baginda Sallallahu alaihi wasallam bagi memperoleh keputusan yang muktamad. Analisis ringkas periodisasi pensejarahan mungkin merungkai kemusykilan betapa perbezaan pendapat yang berlaku akibat perubahan persekitaran dan zaman yang semakin rencam (klik di sini).

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa dalam satu peristiwa perang Ahzab, Nabi telah bersabda, maksudnya "Jangan solat Asar seorang pun melainkan di bani Quraizah". Para sahabat terbahagi dua, iaitu yang berpegang kepada zahir lafaz, dan yang membuat istimbath bahawa Nabi hanya bermaksud supaya mereka mempercepat perjalanan. Apabila dirujuk, Nabi Sallallahu alaihi wasallam tidak memihak kepada mana-mana kumpulan.

Amru al-Ash bermimpi pada suatu malam yang dingin di Zat al-Salasil di bumi Syam (sekarang Syria), tetapi membuat keputusan untuk bertayamum sahaja walaupun ada air. Beliau solat Subuh berjemaah tanpa melakukan mandi wajib, bertakwilkan ayat 29, surah an-Nisa'. Apabila hal itu dimaklumkan, Nabi Sallallahu alaihi wasallam hanya tertawa (riwayat Abu Daud dan ad-Daruqutni).

Dalam satu lagi peristiwa yang serupa, seorang sahabat terluka di kepala akibat tertimpa batu, kemudian bermimpi (hadas besar). Sahabat lain menolak tayamum sebagai ganti mandi wajib, lalu sahabat berkenaan mandi lalu mati. Apabila dikhabarkan, Nabi Sallallahu alaihi wasallam marah (Ibid).

Usamah bin Zaid menikam musuh yang mengucap dua kalimah syahadah dengan andaian bahawa tindakan berkenaan semata-mata helah untuk menyelamatkan nyawa (takwil ayat 85, surah Ghafir). Nabi Sallallahu alaihi wasallam juga marah dan tidak memperaku pendapat berkenaan (riwayat Imam Ahmad, as-Syaikhan, Abu Daud, an-Nasa'i dan at-Tabrani). Banyak lagi peristiwa yang boleh dijadikan rujukan tentang adab perbezaan pendapat pada zaman awal Makkah dan Madinah.

Pada zaman khulafa' ar-rasyidin, Abu Bakr as-Siddiq pernah berbeza pendapat dengan Umar al-Khattab tentang kalimah illa bihaqqiha dalam konteks memerangi golongan yang ingkar membayar zakat. Namun, mereka berdua tidak pula menjadi renggang, bahkan berganding ketika mententeramkan perhimpunan Ansar di Thaqifah Bani Si'adah yang didominasi oleh jurucakap emosional tentang pelantikan khalifah. Selepas kurun keempat Hijriyyah, muncul golongan umara' yang kurang faqih, serta didampingi oleh golongan fiqh yang berkepentingan duniawi hingga mewujudkan faham taqlid per se.

Thaha Jabir memberikan saranan supaya umat Islam menghindari perbezaan pendapat sebaik mungkin, serta terhad kepada perkara yang bersifat tidak muktamad (furu') sahaja. Pihak yang berbeza pendapat juga hendaklah yakin bahawa pendapat pihak lain boleh jadi benar dan bersedia mengakuinya. Pendek kata, pendapat yang lebih kuat hendaklah didahulukan atas semangat persaudaraan.

Kesimpulannya, perbezaan pendapat yang menjurus terhadap kebaikan atau penambahbaikan memang sentiasa dialu-alukan, dengan syarat bahawa pihak yang berbeza pendapat itu akur terhadap pedoman adab yang dianjurkan oleh akhlak dan syariat. Sesungguhnya kepentingan perpaduan umat hendaklah menjadi keutamaan dengan semangat tasamuh (tolak ansur) justeru bibit-bibit perpecahan umat menjadi titik lemah yang sentiasa diintai oleh pihak musuh sebenar. Mudah-mudahan perbezaan pendapat yang dibenarkan itu sebaliknya menyumbang input yang kritikal terhadap proses penghujahan secara dialektik ...

No comments: