SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, February 1, 2014

PENGALAMAN MINGGU SUAI KENAL DI KAMPUS PERGURUAN DAN UNIVERSITI (GOOD AND UGLY EXPERIENCE OF EARLY CAMPUS LIFE)

Pelajar baharu digelar sebagai si mentah (freshies), lalu perlu akur dengan segala arahan pelajar lama (senior) yang dilantik sebagai jawatankuasa minggu suai kenal atau orientasi. Pada dekad 1960-an hingga lewat dekad 1990-an, minggu suai kenal lebih berupa upacara penderaan pelajar senior terhadap pelajar baharu. Pelajar baharu diperlakukan seperti hamba abdi yang tidak mempunyai maruah diri (klik di sini).

Kelakuan tidak beradab pelajar senior di universiti juga dilakukan oleh murid senior di sekolah berasrama penuh dan institut latihan kemahiran. Mereka mendakwa perbuatan zalim mereka itu sebagai suatu kesinambungan tradisi yang bakal menjadi kenangan terindah kepada pelajar baharu apabila tamat pengajian kemudiannya. Mereka lupa bahawa sikap melampau yang dibanggakan itu boleh memakan diri sendiri apabila berhadapan dengan kemungkinan didakwa di bawah peruntukan kanun keseksaan acara jenayah.

Penulis blog (PB) pernah memiliki pengalaman minggu suai kenal di sebuah maktab perguruan di selatan tanah air dan di kampus UKM, UIAM dan UM. Walaupun hanya sebulan di maktab perguruan, minggu suai kenal yang berlangsung di sana boleh dikatakan sebagai separuh mendera. Bayangkan baharu sahaja memberi salam ketika solat berjemaah, tanpa sempat berdoa, jawatankuasa suai kenal mengarahkan pelajar baharu turun ke tapak perhimpunan untuk slot seterusnya.

Pelajar baharu yang juga bergelar guru pelatih dikehendaki berbaring secara bertindan sambil menggolek-golekkan badan di atas badan rakan secara serentak. Pelatih yang melakukan kesilapan akan didenda memeluk tiang sambil melafazkan beberapa ayat yang bersifat murahan. Pelatih baharu juga diminta menggayakan tembakan ke arah pelatih senior perempuan yang lalu lalang sambil 'mengurat' mereka.

Setelah sebulan di maktab perguruan, PB mendapat tawaran ke UKM. Pensyarah dan rakan di jabatan pengajian bahasa Inggeris cuba menahan PB daripada menerima tawaran fakulti ekonomi, kerana peluang untuk ke luar negara bagi lulusan pengajian Inggeris sangat cerah. Buktinya, sebahagian besar lulusan terdahulu berjaya ke UK, Australia dan New Zealand. 

PB disambut oleh jawatankuasa suai kenal di Hentian Pudu Raya (kini bertukar fungsi sebagai pusat transformasi bandar, UTC). PB berasa lega kerana dua orang jawatankuasa berkenaan mempamerkan muka yang manis dan berbahasa mesra. PB dibawa menaiki bas yang disewa khas oleh pihak UKM.

Pada ketika itu, Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) dikuasai oleh kumpulan Tindakan Siswa Bersatu (TSB), atau mirip kumpulan proaspirasi seperti sekarang. Semua jawatankuasa minggu suai kenal ketika itu sangat membantu. Masalah yang berlaku ialah jadual program yang terlalu padat.

Waktu tidur di kolej kediaman (kamsis) menjangkau larut malam, tetapi dikehendaki bangun seawal pukul tiga pagi untuk menyanyi lagu 'Negaraku' dan pelbagai aktiviti lain. Maka, kebanyakan pelajar baharu mengambil kesempatan terlelap semasa kuliah Subuh, taklimat dan tayangan. Jawatankuasa tidak boleh marah kerana terdapat tetamu jemputan.

Seterusnya, ketika berdaftar sebagai pelajar pascasiswazah diploma pendidikan UIAM, majlis suai kenal begitu ringkas dan tidak sampai tiga jam. Begitu juga dengan majlis suai kenal program sarjana pendidikan di Universiti Malaya yang mengambil masa tidak sampai dua jam. Selain ucapan dekan (Profesor Dr. Nik Azis Nik Pa) yang berkisar tentang konsep 'sahabat', pelajar hanya diminta (bukan dipaksa) menyanyikan lagu UM dengan paparan ala karaoke.

Kini, tatacara program minggu suai kenal di mana-mana institusi pendidikan dipantau dengan ketat dan perlu akur dengan segala peraturan yang telah ditetapkan. Malangnya, masih kedapatan kes terpencil minggu suai kenal yang bersifat mendera perasaan, walaupun tidak lagi dari segi fizikal secara langsung. Khabarnya, terdapat murid tingkatan satu yang merungut tentang cara program suai kenal yang dilaksanakan di sekolah agama negeri yang memakan masa hingga sebulan dan dengan pemantauan yang sangat minimum oleh pentadbiran sekolah dan warden asrama ... 

No comments: