SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, February 3, 2014

HARI PENDAFTARAN MRSM PARIT (THE NEW DAY OF HOSTEL LIFE)

Parit, Isnin: 3/2/2014, 3 Rabiul Akhir 1435

Sejumlah lebih tujuh ribu orang murid tingkatan satu mendaftar di 45 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara mulai pukul 8.30 pagi tadi. MRSM Parit menawarkan 210 tempat bagi program dwisijil di bawah program International General Certificate of Secondary Education (IGCSE: O Level kendalian University of Cambridge, UK). Namun, tiada kenyataan rasmi tentang bilangan sebenar murid yang datang mendaftarkan diri.
Sejak awal pagi ratusan kenderaan memenuhi perkarangan MRSM Parit dengan rombongan keluarga bakal murid MRSM dari seluruh negara. Proses pendaftaran berjalan dengan lancar, melainkan sistem berbaris konvensional menyebabkan ramai yang terpaksa bertahan dalam cuaca yang panas terik. Ibu bapa yang prihatin menggilirkan anggota keluarga yang berbaris supaya tiada yang cepat lenguh kaki.
Sepertimana pendaftaran di sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah teknik dan sekolah agama negeri, proses pendaftaran dibantu oleh pelajar senior yang terdiri daripada anggota Lembaga Disiplin Pelajar (LDP, iaitu panggilan untuk jawatan pengawas di MRSM) dan jawatankuasa yang lain. Mereka bertugas di kaunter dan juga sebagai penunjuk jalan (usher). Pengetua dan guru bertugas melakukan tinjauan dari masa ke masa.
o
Pada hari pendaftaran, anggota keluarga dibenarkan memasuki kamar pelajar bagi memastikan kebersihan dan peralatan yang sedia ada berkeadaan baik. Segala keperluan peribadi anak juga dikemas dan diatur dengan cermat. Penat lelah sanggup dilupakan demi keselesaan anak yang bakal tinggal berjauhan.
Usai urusan di asrama, ibu bapa dan murid menghadiri sesi taklimat pengetua MRSM di dewan serba guna yang canggih. Pengetua menegaskan semula keunikan program dwisijil, iaitu murid akan didedahkan dengan mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan sejak tingkatan satu lagi. Hanya enam buah buah MRSM di seluruh negara melaksanakan program rintis IGCSE sebelum diperluaskan kepada semua MRSM menjelang tahun 2016.

Kedudukan murid MRSM dibuat berdasarkan pencapaian gred nilai (PNG, GPA) bagi setiap semester. Tiada kedudukan mengikut urutan nombor, sebaliknya semua murid yang mencatat PNG 3.5 ke atas akan dianugerahi sijil penghormatan pengetua, iaitu seperti anugerah dekan di universiti. Kelas persediaan (prep) pada waktu malam pula akan dibuat di kamar pelajar, bukan di bilik darjah sebagaimana amalan di sekolah berasrama yang lain.
Kamar MRSM mirip reka bentuk kamar sekolah berasrama penuh yang baharu seperti Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Kolej Tunku Kurshiah, Nilai dan Sekolah Alam Shah, Putrajaya. MRSM Parit yang baharu dibuka pada pertengahan tahun 2012 masih mempunyai kelengkapan dan peralatan yang serba canggih. Susun atur kedudukan katil tidak ubah seperti wad kelas kedua (untuk kakitangan awam yang memiliki STPM atau diploma) di hospital kerajaan.

Keseragaman dari segi warna dan jenis keperluan peribadi murid di asrama mungkin mengakibatkan kekeliruan dan kemungkinan terambil barang penghuni yang lain. Kemungkinan itu berkait rapat dengan kesibukan penghuni yang perlu mengejar masa, lalu tidak sempat membuat pengecaman yang tepat. Maka, tanda tertentu pada barang peribadi penghuni mungkin mengurangkan masalah klasik berkenaan.
Hidangan makanan di MRSM disediakan berdasarkan ketetapan pakar pemakanan di ibu pejabat Mara. Murid akan menikmati lima kali hidangan sehari, kecuali minum petang. Selain kemudahan dewan makan yang berkonsep terbuka (tanpa dinding), murid boleh membeli makanan tambahan di koperasi pada waktu yang dibenarkan. Makanan tahan lama juga dibenarkan dibawa masuk ke kamar asrama.

Bagi memudahkan urusan kewangan, MRSM Parit menyediakan kemudahan ejen Bank Simpanan Nasional (BSN) yang diuruskan oleh koperasi. Maka, pegangan wang secara tunai dalam jumlah yang banyak tidak lagi digalakkan. Tahniah kepada semua murid tingkatan satu yang berjaya ditawarkan memasuki MRSM di seluruh negara ...

No comments: