SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, March 24, 2014

POLITIK GURU SEKOLAH (THE CLASH OF POWER IN THE CLASSROOM)

Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail disytiharkan secara rasmi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Selangor setelah memenangi pilihan raya kecil berkenaan pada hari Ahad, 23 Mac 2014. Beliau menang dengan majoriti 5XXX undi dalam pertandingan satu lawan satu dengan Datin Paduka Chew Mei Fun. Wan Azizah ialah presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti komponen Pakatan Rakyat, PR; manakala Chew Mei Fun ialah naib presiden Malaysian Chinese Association (MCA), komponen Barisan Nasional, BN.

Sudah pasti bahawa antara petugas penting pilihan raya dan juga pengundi dalam pilihan raya di Kajang ialah guru. Kebanyakan tempat membuang undi ialah premis sekolah, di samping balai raya dan bangunan kerajaan yang lain. Maka, tenaga guru digunakan sebagai ketua tempat mengundi, ketua peti undi dan pelbagai tugas lain.

Pembabitan guru dalam bidang politik negara memang penting, terutama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pensyarah dan guru pelatih Sultan Idris Training College (SITC, kini Upsi) telah memupuk semangat jati diri yang kental dalam kalangan masyarakat Melayu menerusi pendidikan dan kepimpinan masyarakat. Sebelum kemasukan tokoh korporat dan profesional, kaum guru memegang jawatan penting dalam organisasi politik dan pertubuhan bukan kerajaan.

Guru ialah penjawat awam yang tertakluk kepada perintah am, tatacara kewangan dan segala pekeliling yang berkuat kuasa. Guru yang berhasrat untuk terbabit aktif dan memegang jawatan dalam parti politik dikehendaki mendapat kebenaran ketua pengarah pelajaran Malaysia. Kebenaran berkenaan tertakluk kepada prinsip bahawa tugas asasi keguruan, iaitu pengajaran dan pembelajaran, tidak terjejas.

Sebagai ahli ikhtisas, guru hendaklah kelihatan non-partisan, iaitu tidak menzahirkan pendirian politik parti masing-masing semasa bertugas. Guru perlu mengambil kira kemungkinan bahawa terdapat perbezaan pendirian dan pendapat dalam isu politik parti di sekolah. Sejajar dengan prinsip penerimaan tanpa syarat, tiada tekanan harus dikenakan kepada mana-mana pihak, terutama murid, hanya kerana perbezaan latar belakang sosioekonomi, kepercayaan dan paras rupa.

Walaupun politik parti ialah urusan di luar pagar sekolah, hakikatnya guru ialah ahli politik yang hebat, iaitu ahli politik di bilik darjah. Maksudnya, guru memiliki ciri dan citra politik tulen, iaitu melaksanakan proses mempengaruhi murid supaya mencapai matlamat pembelajaran. Guru sentiasa berusaha dengan pelbagai muslihat supaya pada akhirnya berjaya memenangi penglibatan, perhatian dan tumpuan murid dalam aktiviti bilik darjah secara terancang.

Proses pembelajaran yang berkesan memerlukan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi daripada semua murid. Maka, politik guru di bilik darjah ialah melaksanakan segala perancangan kegiatan pembelajaran dengan adil, berkesan dan meyakinkan semua murid. Guru mengaplikasi input psikologi seperti analisis daya lapangan Kurt Lewin tentang daya pacu dan daya rintang perubahan dalam kalangan murid.

Seperti ahli politik yang sanggup menjanjikan bulan dan bintang, guru sentiasa menyalakan harapan dan impian yang tinggi kepada murid. Guru menunjukkan empati dan kepekaan yang tinggi terhadap perkembangan alam kanak-kanak dan remaja yang sedang dilalui oleh murid. Guru menggunakan pengalaman sebenar murid seperti akronim REACT dalam kaedah kontekstual yang popular di sekolah teknik suatu ketika dahulu.

Sebagai politikus pembelajaran (bukan tikus membaiki labu), guru hendaklah cekap dalam konteks pengurusan krisis dan penyelesaian masalah murid. Maksudnya, guru berupaya menyelami peluahan perasaan murid yang berasa tertekan dengan tahap penerimaan isi pelajaran yang disampaikan. Guru dapat membaca maklum balas murid yang tersirat menerusi cara murid duduk, dan lirikan atau sorotan mata mereka.


Tujuan ahli politik mengambil risiko menceburi bidang yang danggap sebagai seni kemungkinan ialah untuk menikmati pengaruh dan kuasa supaya dapat berkhidmat kepada pengundi, sama ada yang menyokong mahupun yang sebaliknya. Sesetengah ahli politik menggunakan taktik yang sangat licik bagi memenangi sokongan pengundi. Guru hanya perlu mengambil contoh yang baik dan berkesan sahaja dari kancah dunia politik di luar pagar sekolah demi kebaikan, kebajikan dan keperluan murid, duniawi dan ukhrawi …

No comments: