SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, April 21, 2014

KES BULI DI SEKOLAH AGAMA NEGERI DI TAHAP SERIUS? (THE ALERTNESS OF SCHOOL LEADERSHIP)

Prologomena
Harapan ibu bapa menghantar anak ke sekolah agama dan tahfiz memang suci murni berlandaskan rasa tanggungjawab menyediakan mereka dengan pendidikan fardu ain dan fardu kifayah. Sebahagian sekolah agama dan tahfiz menawarkan gabungan jurusan ilmu asas Islam dengan ilmu bantu semasa, iaitu jurusan sains tulen, kemanusiaan dan teknikal. Hal itu sejajar dengan konsep al-hikmah dholatul-mukmin, iaitu kebijaksanaan merupakan barang yang hilang daripada orang-orang yang beriman.

Jangkaan dan tanggapan masyarakat yang demikian tinggi perlu dijaga dan dipertahankan, malah dilonjakkan ke persada yang lebih cemerlang dari masa ke masa. Masyarakat mahukan ahli ikhtisas dan kepakaran pelbagai bidang menerima sentuhan tawhid, syariat dan akhlaq yang jelas. Maka, segala isu etika, iltizam dan istiqamah diharapkan sentiasa mendapat perhatian yang optimum.

Imbasan sejarah 
Sumbangan institusi madrasah, pesantren (di Indonesia) dan pengajian pondok di alam Melayu menjadi benteng kekuatan umat yang sangat utuh. Walaupun penjajah Barat datang dengan misi 3G's (gold, glory, gospel) dan faham sekular, sistem pendidikan yang sudah berakar umbi dengan tradisi menadah kitab kuning itu berjaya menggilap kepimpinan umat yang tidak gentar dengan pesona palsu yang cuba disebarkan oleh kaum kulit putih. Dengan berlalunya masa, sistem pengajian tradisional itu mengalami transformasi seiring dengan keperluan dan persekitaran pendidikan hingga akhir zaman.

Di sebalik kesinambungan pengajian pondok yang dikendalikan oleh ulama setempat, muncul lebih banyak sekolah agama yang ditubuhkan oleh pemerintah pascamerdeka. Di Malaysia, terdapat sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah menengah agama negeri (SMAN), sekolah imtiaz (di Terengganu), sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), maktab rendah sains Mara ulul-albab, maahad tahfiz, kelas rancangan khas agama di sekolah harian, sekolah berasrama penuh agama dan banyak lagi. Selain itu, pihak usahawan pendidikan swasta yang memiliki akses kepakaran dan sumber telah menubuhkan sekolah agama pintar bagi memenuhi permintaan golongan berpendapatan tinggi.

Kepimpinan sekolah agama
Sepertimana sekolah aliran arus perdana, jawatan pentadbiran sekolah diisi menerusi proses naik pangkat. Pencalonan pengetua dan pentadbiran sekolah yang lain boleh dilakukan oleh pihak berkuasa pendidikan atau menerusi permohonan guru yang berminat. Kerencaman dan kompleksiti tugas kepimpinan sekolah menghendaki mereka yang dilantik menjalani kursus berkaitan selok-belok pengurusan sekolah, kewangan dan undang-undang pendidikan. 

Sebagai manusia biasa, pengetua atau mudir sekolah agama juga terdedah kepada cabaran dan ralat dalam pelaksanaan kewajipan sebagai pemimpin pendidikan. Maka, kepercayaan secara tuntas terhadap subordinat tanpa mengira latar belakang pengkhususan pengajian mereka perlu dibatasi dengan kewaspadaan dan kepekaan. Kemungkinan untuk berlaku kesilapan dalam membuat keputusan dan tindakan bukanlah sesuatu yang mustahil.

Pendekatan pendidikan aliran keras
Disiplin bukan semata-mata sejumlah peraturan dan hukuman bagai mengawal tingkah laku di sekolah. Disiplin dalam pendidikan juga bermaksud amalan pembelajaran terbaik yang dibantu oleh guru yang budiman, jujur dan ikhlas bagi membimbing murid ke arah kecemerlangan pencapaian, kecerdasan pelbagai dan sahsiah mulia. Ganjaran dan hukuman memang menjadi komponen pendidikan yang diakui, tetapi hendaklah menjunjung tinggi nilai keadilan dan ciri kemuliaan insan (karamah insaniah).

Sikap segelintir pemimpin institusi sekolah agama yang lepas tangan dan sering terlepas pandang terhadap subordinat seperti warden asrama sering membawa akibat buruk. Pemantauan yang lemah diambil kesempatan pula oleh murid senior yang mewarisi tingkah laku kepimpinan keras murid terdahulu. Maka, pelbagai bentuk hukuman yang berbentuk buli dan dera dikenakan ke atas kumpulan murid yang masih mentah (freshie) secara pakej walaupun kesalahan dilakukan oleh seorang murid sahaja yang tidak akur terhadap proses siasatan yang adil dan telus.

Catatan hujung dan kesimpulan
Terdapat perkhabaran dari sebuah sekolah agama bahawa kumpulan murid tertentu telah disekat daripada outing hanya kerana kesalahan seorang penghuni asrama yang seangkatan (satu tingkatan) dengan mereka. Murid baharu juga telah diarah memegang n***s berbungkus yang didakwa milik rakan mereka seorang demi seorang sebelum diarah membersihkan bilik air di asrama. walaupun amaran diberi kepada kumpulan murid yang dibuli supaya tidak memaklumkan peristiwa itu kepada ibu bapa, cerita itu gagal disembunyikan. 

Kes terpencil ibarat 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga' tidak patut dipandang sebelah mata oleh kepimpinan sekolah agama. Imej hebat institusi pengajian berteraskan Islam boleh terjejas justeru sikap pengetua dan kepimpinan sekolah agama yang tidak cekap mengesan kerosakan yang dilakukan oleh segelintir subordinat dan warga sekolah. Kepimpinan yang cuai dan lemah tidak boleh dibiarkan berleluasa begitu sahaja ...

No comments: