SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, May 25, 2014

HALA TUJU BAHARU GERAKAN KOPERASI KEBANGSAAN (TAPPING THE CONSUMER POWER)

Ipoh, Ahad: 25 Mei 2014; 25 rejab 1435

Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa) yang ditubuhkan pada tahun 1966 ialah satu lagi cetusan ilham Profesor Di-Raja Ungku Abdul Aziz selain Lembaga Tabung Haji (klik di sini). Kini, Angkasa menaungi lebih 11,000 buah koperasi di seluruh negara sebagai anggota gabungan. Jumlah keanggotaan koperasi di Malaysia sudah mencecah bilangan lapan juta orang dengan nilai aset terkumpul sebanyak RM110 bilion, pusingan niaga RM33 bilion dan caruman yuran keanggotaan RM13 bilion.
Dato' Haji Fattah (Presiden Angkasa), Haji Zaman, Haji Hidzer (pengerusi Kagum), 
Haji Mohd Rosli (pengerusi Angkasa Perak), Dr. Amiruddin (CEO Majlis Islam Perak)

Data berkenaan didedahkan oleh Dato' Haji Abdul Fattah bin Haji Abdullah, Presiden Angkasa yang diberikan kepercayaan oleh mesyuarat agung Angkasa yang lalu bagi mengambil alih kepimpinan Profesor Dato' Dr. Mohd. Ali bin Baharom yang dianggap sebagai protege Pak Ungku sekian lama (klik di sini untuk gambar dan senarai lengkap kepimpinan Angkasa). Anggota gabungan Angkasa bukan tidak menghargai sumbangan Pak Ungku dan Profesor Ali, tetapi mereka mahu menguji kepimpinan baharu yang turut dibarisi oleh Tan Sri Alimuddin Md. Dom, mantan ketua pengarah pelajaran selaku naib presiden untuk memacu gerakan koperasi ke persada kegiatan ekonomi dalam persekitaran perniagaan yang semakin rencam. Dato' Haji Fattah merasmikan mesyuarat agung Koperasi Guru Melayu Perak (Kagum) di Hotel Seri Malaysia dekat sini pagi tadi.

Beliau turut menggesa supaya anggota gabungan Angkasa mengekalkan saf kepimpinan sedia ada dalam persidangan kebangsaan tahunan Angkasa tidak lama lagi. Dato' Fattah juga memaklumkan bahawa Angkasa kini melangkah ke arena antarabangsa apabila diberi kepercayaan oleh Pertubuhan Koperasi Antarabangsa (ICA) sebagai mentor gerakan koperasi di negara-negara Islam seluruh dunia. Pasaran makanan halal yang sangat besar di negara-negara Islam patut dimanfaatkan secara optimum oleh gerakan koperasi.

Angkasa juga bakal menggerakkan sejumlah 6,500 buah masjid di Malaysia untuk menubuhkan koperasi masing-masing. Setakat ini sebanyak 200 koperasi kariah masjid telah bergerak secara aktif, sementara 600 buah lagi sudah pun diluluskan pendaftaran mereka. Angkasa mempunyai sasaran untuk mewujudkan rangkaian keluaran halalan tayyiba justeru perniagaan milik umat hanya menguasai 13 peratus segmen halal di negara yang mewartakan Islam sebagai agama persekutuan ini. 

Isu kandungan DNA babi yang ditemui dalam keluaran cokelat tempatan baru-baru ini menunjukkan betapa umat Islam tidak boleh mengharapkan orang lain untuk menghormati dan menjaga perkara yang paling sensitif iaitu makanan yang halal, berkat dan bersih. Makanan yang haram dan syubhah tumbuh sebagai darah daging, lalu menjadi penghalang untuk doa dimakbulkan. Maka, perpaduan umat dalam kegiatan ekonomi halal bukan lagi sebagai pilihan, tetapi suatu kewajipan atau sine qua non.
 
Setiausaha Kagum, Cikgu Abdul Rahim Abdullah Azizi (JPN Perak)
bersama anggota lembaga ketika sesi perbahasan mesyuarat agung tahunan

Nisbah keanggotaan golongan belia dan muda yang masih rendah dalam gerakan koperasi mendorong Suruhanjaya Koperasi Kebangsaan membuat ketetapan bahawa dua per tiga anggota lembaga sesebuah koperasi hendaklah dalam kalangan mereka yang masih berkhidmat, bukan pesara. Koperasi sekolah yang mencecah bilangan 2,300 buah di seluruh negara patut menjadi saluran kesinambungan pembabitan generasi muda dalam gerakan koperasi arus perdana. Terma keanggotaan dan bayaran yuran khusus perlu ditawarkan supaya apabila murid sekolah memasuki universiti atau baharu bekerja memiliki peluang mendaftar sebagai anggota koperasi walaupun punca pendapatan mereka masih belum kukuh.

Gerakan koperasi yang berkesan berupaya mengekang manipulasi golongan pemodal besar (kapitalis) yang lebih condong terhadap matlamat keuntungan maksimum, walaupun perkara itu tidak bercanggah dengan undang-undang. Kemelut kepimpinan persatuan pengguna yang lebih sibuk dengan kedudukan berbanding dengan perjuangan membela pengguna menjadikan peranan koperasi lebih menyerlah. Maka, kepimpinan Angkasa hendaklah berlapang dada dengan sebarang perbezaan aliran dan pendapat dalam kalangan anggota gabungan, termasuk daripada koperasi yang dinaungi oleh parti politik.

Dato' Haji Abdul Fattah membuat andaian bahawa anggota gabungan Angkasa mungkin telah berasa jemu dengan pelbagai kursus wajib dan terbuka di Maktab Kerjasama milik Angkasa di bawah kepimpinan sebelum ini. Beliau menegaskan bahawa Angkasa kini mula melaksanakan anjakan dan transformasi ke arah amalan terbaik agar pada akhirnya masyarakat akan menikmati nilai wang yang berbaloi dalam setiap urus niaga. Di samping itu dana berbilion ringgit yang terkumpul merupakan suatu kekuatan raksasa yang dimiliki oleh gerakan koperasi di Malaysia dalam konteks tawar-menawar kegiatan ekonomi skala besar.

Kepimpinan datang dan kepimpinan pergi secara silih berganti. Kepimpinan terdahulu sejak era pengasas Angkasa, Pak Ungku, dan Profesor Ali hendaklah dilihat sebagai suatu kesinambungan. Dalam keghairahan kepimpinan baharu Angkasa hendak melakukan perubahan, mereka harus juga menghormati dan mewarisi pengalaman hebat kepimpinan Angkasa terdahulu yang telah membawa Angkasa sebagai entiti induk koperasi (apex) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

Berdasarkan pencapaian organisasi dan kewangan yang meyakinkan, gerakan koperasi memiliki landasan untuk melobi projek awam dan swasta menerusi sistem tender terbuka. Kejayaan gerakan koperasi bermakna bahawa harta kekayaan tidak hanya bakal berlegar dalam kalangan segelintir orang kaya. Monopoli usahawan rakus dapat dipecahkan bagi memberi laluan kepada amalan ta'awun alal birri wa't-taqwa, insya-Allah ...

No comments: