SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, May 28, 2014

PAKAR MOTIVASI: TELADAN ATAU PERCANGGAHAN (RETHORICS OF HOPE)

Penilaian atau tanggapan kita terhadap seseorang umpama sekeping gambar yang hanya benar pada waktu ia diambil (ditangkap?). Maksudnya, piawaian yang diletakkan kepada orang yang dinilai lebih banyak bergantung kepada penampilan dan tingkah laku lahiriah. Hakikatnya, tiada manusia yang memiliki sifat maksum, melainkan para nabi utusan Ilahi.

Bidang motivasi telah berkembang dengan pesat di seluruh dunia, bermula dengan dunia perniagaan, khususnya segmen jualan langsung dan ejen insurans, hinggalah menjengah dunia pembelajaran. Maka, banyaklah syarikat perunding motivasi ditubuhkan untuk menawarkan perkhidmatan yang berkaitan kepada organisasi korporat, institusi pendidikan dan agensi awam. Beberapa orang tokoh penceramah motivasi yang bertaraf selebriti sangat bertuah justeru menerima bayaran yang sangat lumayan atas kepetahan mereka bercakap sehingga berupaya menyentuh jiwa khalayak ke lubuk hati yang paling dalam.

Pengaruh progam motivasi untuk mendorong peserta ke arah penghayatan amalan terbaik, bijak dan produktif sangat penting untuk kelangsungan sesebuah organisasi yang menampung pelbagai ragam manusia. Kesetiaan terhadap kepimpinan dan hala tuju organisasi, sokongan terhadap proses pembaharuan dan perubahan, serta sumbangan yang berteraskan keikhlasan ialah antara tema wajib yang dilontarkan sepanjang slot motivasi. Di tangan pakar motivasi, gesaan yang mungkin dianggap sebagai leteran ketua jabatan, bertukar kepada susunan kata yang menggetar jiwa raga dan bersifat luar biasa.

Pakar motivasi glamor tidak ubah seperti selebriti yang mengalami pasang surut dari sudut populariti. Pengalaman hebat yang dikongsi dengan khalayak umum dan peserta program motivasi akan hilang magis jika asyik mengulangi modal cerita yang sama. Keadaan menjadi lebih sukar apabila sisi kehidupan peribadi pakar motivasi berkenaan terdedah kepada umum.

Pakar motivasi menjual perkhidmatan dan idea amalan terbaik, bukan menjaja kisah peribadi masing-masing yang sudah pasti tertakluk kepada penilaian yang subjektif. Bakat mereka ialah bercakap dan melontarkan idea berdasarkan pengalaman hebat dan luar biasa insan yang berjaya dalam pelbagai bidang, latar belakang, persekitaran dan zaman. Mudah cakap, pakar motivasi menggembleng dan menghimpun kebijaksanaan sebagai dorongan untuk dirinya dan khalayak berfikir tentang cara dan pelaksanaannya secara tuntas.

Maka, lebih adil untuk kita menganggap bahawa pakar motivasi dan input motivasi sebagai entiti yang berasingan, sebagaimana peniaga dan perniagaan sebagai entiti yang berasingan dalam perakaunan. Islam juga menganjurkan prinsip kebijaksanaan sebagai barang yang hilang daripada orang beriman, al-hikmah dholatul-mukmin (au kama qala). Jika kita sanggup melayan buku motivasi Steven Covie, Napoleon Hill, Tom Peter dan penulis Barat yang tidak dikenali, mengapakah kita mengenakan terlalu banyak syarat terhadap pakar motivasi tempatan? 

Kita boleh berbeza pandangan dan bersikap kritis terhadap pakar motivasi, tetapi sebaik-baiknya hendaklah dihadkan terhadap input ilmu pengetahuan dan dorongan yang berharga. Jika kita sengaja suka terlajak untuk mengintip kekurangan dan kelemahan peribadi pakar motivasi, sama jugalah halnya dengan adab yang pincang terhadap guru kita sendiri. Murid tidak digalakkan menunjuk kepandaian yang berlebihan secara terbuka di hadapan guru masing-masing jika dilakukan atas niat yang songsang.

Pakar motivasi ialah insan biasa yang tidak pernah sunyi daripada khilaf dan kelemahan yang tertentu. Mereka mungkin tidak berjaya membuktikan konsep 'cakap serupa bikin', tetapi hendaknya janganlah mulut kita celopar menjatuhkan hukuman sembarangan (as-Saf, 61: 2 - 3). Biarlah kita menaruh sangka baik bahawa insan yang berilmu seperti pakar motivasi juga seperti kita yang sentiasa berusaha menuju kecemerlangan dalam segenap penjuru kehidupan. Andai kata kita sudah tidak serasi lagi dengan mana-mana pakar motivasi, hanya sisihkan diri daripada mereka tanpa menabur cerita yang mungkin berstatus fitnah semata-mata.

Sumbangan pakar motivasi terhadap pelbagai segmen masyarakat, kerjaya dan bidang telah banyak mencetuskan pemikiran tentang kecemerlangan, kebijaksanaan dan amalan terbaik. Khalayak dan peserta program motivasi dijuruskan terhadap idea keberkesanan dan kecekapan yang menepati konsep amalan berhemah, serta meminimumkan kemungkinan pembaziran sumber. Disiplin dan keutuhan peribadi ialah rahsia sebenar masyarakat maju yang sangat dekat dengan ajaran kitab samawi.

Hendaknya kita janganlah bersikap terlalu mengharapkan kesempurnaan dalam pencarian kebijaksanaan, kehebatan dan kemajuan yang sejati. Sementara pakar motivasi juga berusaha memacu diri dan keluarga masing-masing ke arah keunggulan, marilah kita kutip input ilmu pengetahuan yang berguna daripada mereka. Kadangkala, teguran daripada kanak-kanak yang masih mentah secara bersahaja pun mungkin suatu dorongan untuk kita berfikir, justeru kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa ...

No comments: