SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, June 1, 2014

ANJING HUNI STESEN BAS MEDAN KIDD (POOR PUBLIC TRANSPORT SERVICE IN IPOH)

Sejak hentian bas ekspres terbuka di celah-celah kompleks perniagaan Medan Kidd dipindahkan ke Medan Gopeng dan kini ke Meru Raya, suasana di situ bertukar lesu. Ulat tiket bas lesap entah ke mana-mana. Penjual surat khabar dan pengusaha gerai makanan mempunyai banyak masa untuk menguap dan melayan kebosanan yang tidak berpenghujung.

Stesen bas henti-henti di seberang Bulatan Bahagia menerima akibat yang serupa justeru tiada lagi penumpang bas ekspres berkejar menerusi terowong bawah tanah untuk menyambung perjalanan. Kedai menjual akhbar dan makanan di dalam kawasan stesen bas henti-henti kebanyakannya sudah gulung tikar. Tinggal hanya penjual kacang putih kaum India yang masih sanggup bertahan.
Jarak antara hentian bas ekspres yang dinamakan terminal Amanjaya di Meru Raya dengan Medan Kidd ialah kira-kira 10 kilometer. Penumpang yang mahu menggunakan perkhidmatan bas henti-henti boleh ke platform 17 untuk menaiki Perak Transit. Buat masa ini, tambang yang dikenakan ialah RM2.30 sahaja.

Kegiatan mengambil penumpang yang merudum menyebabkan stesen bas henti-henti Medan Kidd hilang aura, hilang seri dan sangat sunyi. Hanya sesekali bas menderam atau pekikan suara kecewa pemandu bas memanggil penumpang yang boleh dikira dengan jari. Kekosongan pun berlaku, lalu ada makhluk lain yang beroleh 'istana hinggap' mereka.

Awal-awal pagi lagi anjing sudah berkeliaran di stesen bas henti-henti Medan Kidd. Memanglah spesies anjing yang membuat port di situ tidak mengganggu orang, tetapi anjing tetap najis berat. Tambahan pula kemungkinan anjing terbiar sebagai pembawa penyakit berbahaya tidak mampu diketepikan begitu sahaja.
Anjing didapati lena di bawah tempat duduk ruang menunggu dan juga di tengah-tengah laluan penumpang. Barangkali petugas di stesen bas henti-henti Medan Kidd sudah lali dengan keadaan itu. Anjing tanpa tuan bebas bergerak ke sana ke mari tanpa sesiapa pun yang mengusir.

Jika tempat awam pun boleh diceroboh oleh haiwan terbiar, apatah lagi di kawasan perumahan yang sudah sekian lama berhadapan dengan masalah berkenaan. Anjing terbiar yang jinak mungkin sekali dibuang kerana usia yang lanjut (10 tahun anjing = 70 tahun manusia). Anjing terbiar tidak agresif, sebaliknya lebih banyak tidur dan berkeliaran mencari sisa makanan. 

Pihak Dewan Bandaraya Ipoh (DBI) hendaklah mengaktifkan semula operasi menangkap anjing terbiar, sama ada untuk tujuan pelupusan atau ditempatkan dalam satu kawasan khas. Pendaftaran tuan punya anjing perlu dikuatkuasakan supaya mereka tidak sewenang-wenangnya membuang anjing tua sesuka hati. Keselamatan dan kesihatan orang ramai bukanlah perkara yang boleh ditolak ansur ...

No comments: