SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, June 2, 2014

GURU EKONOMI HADIRI MESYUARAT KERJA KURSUS (TO ENSURE PRE-UNIVERSITY ASSESSTMENT INTEGRITY)

Ipoh, Isnin: 2 Jun 2014 // 4 Syaaban 1435

Proses penjenamaan semula pengajian tingkatan enam di bawah sistem modular telah dimantapkan dengan pelaksanaan kerja kursus bagi semua mata pelajaran, kecuali Muet. Tujuan utama pengenalan kerja kursus ialah bagi membiasakan pelajar prauniversiti dengan penulisan ilmiah dan laporan penyelidikan. Mereka juga beroleh kemahiran insaniah tahap tinggi apabila perlu membuat pembentangan dapatan kajian yang mirip sesi viva untuk mempertahankan disertasi atau tesis, walaupun sekadar permukaan sahaja.

Wajaran markah kerja kursus antara 20 hingga 30 peratus juga menjadi daya tarikan pengajian tingkatan enam kerana tidak lagi bergantung sepenuhnya terhadap peperiksaan bertulis dalam sistem terminal yang berakhir pada tahun 2012. Dengan itu, calon STPM kembali bersaing dengan calon diploma yang telah sekian lama menggunakan sistem berkenaan. Mereka boleh mencatat pencapaian purata nilai gred kumulatif (PNGK) yang menggambarkan bakat pembelajaran yang lebih tuntas (holistik).

Kerja kursus bagi mata pelajaran ekonomi, pengajian perniagaan dan perakaunan dilaksanakan pada penggal ketiga yang hanya mempunyai sekitar 90 hari sesi kuliah. Dalam masa yang sama, pelajar juga perlu menghadapi kertas 3, misalnya Ekonomi Malaysia yang bakal diuji secara bertulis dalam peperiksaan STPM. Maka, di pihak pelajar, mereka perlu sentiasa bijak, cakna, cekap dan cermat dalam menjadualkan proses pembelajaran, di samping melayani kegiatan peribadi, keluarga dan masyarakat.
Pegawai Meja Pengajian Prauniversiti JPN Perak,
Nordin bin Mohd Salleh menyampaikan taklimat Unit Peperiksaan

Pentaksiran dan pemarkahan kerja kursus dilaksanakan oleh guru ekonomi di sekolah atau kolej tingkatan enam masing-masing menerusi penyelarasan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Sebagai jaminan mutu, semua guru ekonomi dikehendaki menghadiri mesyuarat dan taklimat penyelarasan yang dikendalikan oleh jurulatih utama (JU) di negeri masing-masing. Di Perak, lebih 70 orang guru Ekonomi menghadiri mesyuarat berkenaan anjuran Jabatan Pelajaran Perak, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) di Tasek Damai.

Taklimat utama disampaikan oleh Haji Latffi bin Razali, JU Negeri yang juga guru cemerlang DG 54. Beliau telah menegaskan tentang tatacara pentaksiran, keutuhan pemeriksa dan keakuran etika sebagaimana yang digariskan oleh pihak MPM. Analisis dan post-mortem ringkas tentang pelaksanaan kerja kursus kohort sulung sistem modular tahun 2013 juga turut disentuh.
JU memakai songkok hitam berlilit putih tanda berkabung
atas kemangkatan almarhum Sultan Azlan Shah, Rabu lalu

Haji Latffi yang dibantu oleh Haji Zawawi memang dikenali dengan ciri kecindan dan kelakar dalam menyampaikan taklimat supaya peserta berasa selesa, serta tanpa tekanan yang berat. Beliau juga sudi berkongsi pengalaman sebagai orang kuat pentaksiran ekonomi dan penggubalan kurikulum peringkat kebangsaan. Haji Latffi juga bertindak sebagai pentadbir (admin) facebook rasmi guru ekonomi tingkatan enam negeri Perak.

JU tidak lupa mengingatkan guru ekonomi sebagai pentaksir kerja kursus STPM terikat dengan syarat lantikan, iaitu akta rahsia rasmi yang bakal ditandatangani. Memang menjadi kewajipan guru ekonomi untuk membimbing pelajar sehingga berupaya menghasilkan kerja kursus yang cemerlang, tetapi butiran terperinci tentang pemarkahan kekal sebagai sulit dan terperingkat. Persediaan untuk berhadapan dengan pegawai pemantauan kebangsaan MPM dimulakan dengan maklumat dalam fail yang kemas kini.

Jika pada tahun 2013, kedua-dua tema soalan menjurus kepada pengumpulan data sekunder, kali ini terbahagi dua, iaitu data primer dan data sekunder. Penjelasan kepada pelajar tentang kelebihan kedua-dua sumber data berkenaan adalah sangat kritikal justeru tempoh masa yang singkat untuk menyediakan laporan kajian (kertas projek). Terdapat beberapa kelonggaran dari segi penulisan tajuk, bahan rujukan dan penjilidan.
guru ekonomi Kinta Utara

Usai taklimat JU, peserta dibahagikan kepada lima kumpulan untuk sesi bengkel. Setiap kumpulan dikehendaki menyediakan modul kajian bagi kedua-dua tema, di samping penyelarasan rubrik pemarkahan skrip contoh. Pembentangan yang bakal berlangsung esok akan menggunakan slaid power point. Pengalaman simulasi yang dilaksanakan membawa mesej tersirat kepada guru ekonomi supaya berasa empati dengan kesukaran yang mungkin ditanggung oleh pelajar dalam proses menyediakan cadangan, melaksanakan kajian, menulis laporan ilmiah, dan seterusnya pembentangan.

Sesungguhnya input mesyuarat pelaksanaan kerja kursus guru ekonomi peringkat negeri Perak bakal dipanjangkan kepada pelajar prauniversiti di sekolah masing-masing ke arah penulisan ilmiah yang bersifat autentik. Mudah-mudahan kebolehan bakal mahasiswa yang digilap sepanjang tempoh pengajian tingkatan enam benar-benar mencapai tahap kecemerlangan. Mutu pendidikan negara dan penarafan universiti tempatan juga melonjak ke mercu yang lebih tinggi ...

No comments: