SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, October 1, 2014

GURU AKADEMIK PRAUNIVERSITI TINGKATAN ENAM HADIRI KURSUS 'I THINK' (CONTINUITY FROM LOWER AND UPPER SECONDARY LEARNING STYLE)

Ipoh, Rabu: 1/10/14 = 6 Zulhijjah 1435

Bertempat di makmal bahasa, SMK Tasik Damai, sejumlah 64 orang guru akademik tingkatan 6, zon tengah Perak, menghadiri program taklimat dan bengkel pemantapan pedagogi dan transformasi pengajian prauniversiti. Kumpulan sulung zon itu mewakili daerah Kinta Utara, Kinta Selatan dan Perak Tengah. Semua guru tingkatan enam bakal dipanggil menghadiri program anjuran Jabatan Pendidikan Perak secara berperingkat sehingga tahun hadapan.

Tujuan program ialah bagi mengukuhkan pendedahan tentang dasar terkini pendidikan kebangsaan, di samping kesinambungan pendekatan i-Think yang sudah dilaksanakan sejak di sekolah rendah. Sebagai kelas persediaan universiti, pelajar tingkatan 6 perlu diberi kesempatan untuk membina model dan kerangka teori secara pandang seluruh. Maka, asas yang sudah diperoleh sebelumnya dapat dikembangkan untuk wacana lebih tinggi.
Haji Zaidi, penolong pengarah JPN Perak selaku urus setia sedang berucap.
Duduk di sebelah kiri beliau, jurulatih utama, Haji Solahuddin dan Encik Khusairi

Dua orang pemudah cara, iaitu Cikgu Ahmad Khusairi, Penolong Kanan Tingkatan 6, SMK Raja Perempuan Ipoh dan Haji Solahuddin, Penolong Kanan Tingkatan 6 SMK Kampung Pasir Puteh telah menyampaikan input yang mereka peroleh semasa kursus peringkat kebangsaan di Sungai Petani. Modul taklimat dan bengkel disediakan oleh sejumlah pensyarah institut perguruan, pengetua dan guru prauniversiti, serta majlis peperiksaan. Bahan modul kemahiran berfikir aras tinggi (Kbat: i-Think) pula ialah ubahsuaian nota kursus Kestrel Education yang berpangkalan di United Kingdom.

Sama ada guru prauniversiti sempat memanfaatkan segala modul yang disampaikan bergantung kepada kebijaksanaan masing-masing bagi merancang aktiviti pembelajaran aktif semasa kuliah dan tutorial. Hakikatnya, banyak sekali kerangka teoritikal dan model ilmiah yang dipersembahkan dalam disertasi atau tesis ijazah tinggi diringkaskan sebagaimana saranan i-Think. Maka, amat kena pada masanya pelajar tingkatan 6 dibimbing untuk melakukan modifikasi dapatan kerja kursus mereka dengan kaedah yang sama.
sesi bengkel penghasilan modul
(melukis lambang jari peta 'i think')

Pihak penganjur menyedari bahawa pembelajaran orang dewasa menjurus kepada andragogi, sejajar dengan usia dan ketahanan sebagai pendengar setia dalam tempoh yang panjang. Tambahan pula, golongan guru sudah biasa bercakap di hadapan ramai, mengelolakan majlis rasmi dan memiliki kepakaran yang tertentu. Maka, sesi bengkel penghasilan modul menyediakan medan perkongsian ilmu pengetahuan dan kemahiran secara lebih bersahaja dan santai, tetapi jitu.

Campuran anggota kumpulan pelbagai pengkhusuan akademik dan ikhtisas nyata memeriahkan slot perbengkelan. Ciri keterasingan eksklusif guru berasaskan pengkhususan mata pelajaran berjaya dipecahkan. Sebaliknya, sikap bertolak ansur dan bekerjasama begitu menyerlah.
pembentangan modul peta bulatan

Modul peta pemikiran inovatif (i-Think) sebanyak empat jenis yang dihasilkan dalam tempoh 20 minit oleh tujuh buah kumpulan akhirnya berjaya dipersembahkan. Setiap kumpulan dibekalkan dengan lembaran kertas putih besar (kertas mahjung?) dan dua batang marker pen biru dan hitam. Walaupun dengan peralatan ala kadar, mutu modul yang dihasilkan memang layak diangkat sebagai contoh untuk dilaksanakan.

Baki empat jenis peta pemikiran inovatif lagi bakal disampaikan pada hari kedua taklimat. Sebelum bersurai, beberapa orang peserta kelihatan merakamkan kesemua modul dalam telefon pintar mereka. Menerusi beberapa proses pemurnian, modul yang dihasilkan itu boleh diterbitkan dalam bentuk dokumen bercetak dan atas talian ...

No comments: