SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, October 26, 2014

PERANAN IBU BAPA MEMBANTU DAN MEMBIMBING ANAK DALAM PROSES MEMBUAT KEPUTUSAN PEMBELAJARAN (INCREASING AUTONOMY AND REDUCING DEPENDENCY AMONG CHILDREN)



Terdapat kecenderungan sebahagian ibu bapa yang beranggapan bahawa anak-anak sebagai penyambung cita-cita mereka yang mungkin tidak kesampaian pada masa yang lalu. Lalu, mereka cuba menetapkan haluan pembelajaran anak-anak mengikut kehendak berkenaan. Mereka sedaya upaya mengelakkan diri daripada terpacul pertanyaan tentang pendapat peribadi anak-anak.

Pengalaman masa lalu ibu bapa yang harus akur dengan rancangan orang tua masing-masing berdasarkan persekitaran berbeza cuba dilanjutkan. Tanpa disedari, anak-anak menjadi mangsa paksaan atas sikap kuku besi yang mempengaruhi pemikiran ibu bapa. Sungguh malang bahawa bakat terbaik dan impian kendiri anak-anak kekal terpendam dalam bentuk sesalan yang panjang.

Saidina Umar al-Khattab radiallahu anhu pernah berpesan supaya ibu bapa menyediakan pendidikan dengan berasaskan keperluan masa hadapan, iaitu berciri futuristik. Maka, tugas ibu bapa yang sebenarnya ialah memperoleh input terkini tentang bidang pengajian yang serasi dengan bakat dan minat anak-anak menerusi pertolongan pakar, sama ada guru, kaunselor atau ibu bapa lain yang berfikiran terbuka. Anak-anak diberi bimbingan yang cukup bagi membuat keputusan pembelajaran yang cocok lagi terjamin.

Tekanan yang keterlaluan boleh menggoncang emosi kanak-kanak yang masih mentah, walaupun ibu bapa mungkin buat-buat tidak tahu akan bantahan senyap anak-anak. Andai kata pemberontakan dalaman itu tidak lagi tertanggung, anak-anak mungkin menunjuk perangai dan tingkah laku yang menakutkan ibu bapa. Sebelum perkara yang tidak diingini seperti itu berlaku, ibu bapa hendaklah menghormati hak anak-anak untuk membuat keputusan sambil melakukan intervensi dengan cara yang bijak dan berhikmah.

Seorang kenalan penulis blog (PB) yang kini memiliki klinik perubatan banyak kali meluahkan perasaan terkilan justeru cita-cita peribadi beliau ialah menjadi seorang arkitek. Namun, untuk tidak menghampakan ibunya yang bertungkus-lumus mencari rezeki, beliau pasrah. Kini, beliau turut bergelar ibu tunggal dan seorang anaknya sedang belajar di Mesir dalam bidang perubatan.

Satu kes lagi ialah seorang pelajar sekolah agama yang mula berkelakuan liar apabila mencecah usia remaja kerana tidak tahan dengan desakan dan paksaan ibu bapa supaya dia belajar di sekolah berkenaan. Remaja itu sanggup membantah cakap bapanya secara berhadapan, serta langsung tidak makan nasihat. Kepatuhannya sebelum menginjak akil baligh lenyap sama sekali.




No comments: