SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, November 30, 2014

KEMBALI MENGGUNAKAN RON 97 (QUALITY WISE)

Tengah hari tadi di setsen Caltex Jalan Taiping, Kuala Kangsar, penulis blog (PB) mengisi minyak petrol bernozel hijau setelah sekian lama tidak berbuat demikian. Sebab pertama kerana harga Ron 97 berbeza jauh dengan Ron 95 sehingga pernah mencecah RM3.00 setiap liter. Sebab  kedua ialah bilangan pam dengan nozel hijau sangat terhad, dan di sesetengah stesen minyak langsung tiada satu pun.

Mulai tengah malam tadi (1 Disember), penetapan harga di pam mengikut kaedah pengapungan terkawal mula dilaksanakan. Perbezaan antara Ron 97 dengan Ron 95 tinggal 20 sen, iaitu RM2.46 dan RM2.26 satu liter bagi setiap satunya. Kebanyakan pengguna berharap supaya paparan harga runcit minyak petrol dan diesel sebagaimana ketika bersekali dengan subsidi juga terus telus supaya mereka tahu sama ada mereka membayar pada harga pasaran sebenar, lebih tinggi atau lebih rendah.

Rancangan pemberian subsidi bersasaran dengan penggunaan MyKad barangkali ditangguhkan buat sementara waktu, melainkan jika harga petrol belum ditapis dunia kembali mencatat harga USD80 ke atas bagi setiap tong. Jika pengimport petrol tempatan berjaya menandatangani kontrak hadapan yang relatif murah, proses lindung nilai (hedging) bahan api itu bakal menguntungkan pengguna. Pengendali pengangkutan dan kaum nelayan yang menggunakan diesel boleh diberikan subsidi dalam bentuk kupon yang memiliki ciri keselamatan pintar.

...

...

...

...

...

MRSM JANA MODAL INSAN BERTARAF DUNIA (HARNESSING HIGH POTENTIAL STUDENTS IN SCHOOL)

Musim murid cemerlang UPSR untuk memilih sekolah menengah idaman masing-masing sudah pun bermula. Ibu bapa dan keluarga yang prihatin juga turut berdebar-debar terhadap pilihan si cilik dan sama-sama menunggu proses panggilan ujian dan temu duga, sama ada di bawah kuota pengetua mahupun tapisan kemasukan ke sekolah beasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah menengah kebangsaan agama berasrama penuh (SMKA), SBP integrasi, sekolah agama negeri dan sekolah kawalan yang lain. Bagi yang memilih sekolah harian berhampiran rumah, pencapaian sekolah yang berkenaan juga diberikan perhatian.

SBP dan MRSM bersaing hebat bagi menarik kemasukan murid terbaik (cream of the cream, atau the first cream). Berita kejayaan tiga orang pelajar MRSM Kuantan dalam pertandingan World Scholar's Cup yang berlangsung di Universiti Yale, salah sebuah universiti terbaik dunia (setara dengan Harvard, Oxford, Cambridge dan MIT) pada 21 hingga 24 November yang lalu sudah pasti suatu promosi yang membuka mata calon-calon terbaik UPSR yang baru lalu. MRSM yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar turut membuka kuota sebanyak lima peratus kepada calon bukan bumiputera.
sumber: BH Ahad, 30.11.2014

Di sebalik kebimbangan tentang penarafan sistem pendidikan negara menerusi PISA dan TIMMS, tiga orang pelajar tingkatan empat MRSM Kuantan di atas membuktikan betapa pelajar sekolah di negara kita masih perlu dihormati dan dipandang tinggi. Kaedah pembelajaran MRSM yang menekankan prinsip berdikari, kepimpinan dan kemahiran insaniah, khususnya aplikasi kepintaran kumpulan ternyata berkesan. Tenaga pengajar dan warga MRSM memiliki kesempatan yang begitu luas untuk mencuba pembaharuan dan kebebasan kreativiti yang autentik.

Ibu bapa yang menghantar anak ke MRSM mungkin berasa sedikit cemas kerana begitu banyak kegiatan di luar pembelajaran rasmi dilaksanakan. Misalnya, terdapat minggu aktiviti, minggu 'fesyen', karnival graduasi dan sebagainya. Sistem guru ganti (relief) untuk guru yang menghadiri kursus atau mengambil cuti juga tidak sama.
sumber: Ibid

Hasrat asal penubuhan MRSM sudah tentu bagi mencungkil serta menggilap bakat serta potensi murid luar bandar, khususnya mereka yang datang dari latar belakang sosioekonomi yang kurang beruntung. Lebih kurang 70 peratus enrolmen murid MRSM termasuk dalam kategori berkenaan. Ruang untuk murid pintar dalam kalangan kategori yang lain tidaklah ditolak sepenuhnya, tetapi mereka perlu membayar caruman penuh (bayaran makan bulanan) dan caj yang lain.

Walaupun usia penubuhan MRSM masih baharu secara berbanding dengan SBP premier atau sekolah mission, lulusan MRSM juga cepat menonjol dari segi pencapaian akademik, kerjaya, kepimpinan dan sumbangan masyarakat yang lain. Angkasawan negara yang pertama, Dr. Sheikh Mudzafar, aktres Neelofa dan banyak lagi tokoh perniagaan serta politik pernah bergelar budak MRSM. Kalau ditinjau komuniti profesor atau pensyarah universiti, sumbangan MRSM memang sangat jelas.

Bakat atau potensi kanak-kanak pintar mungkin terpendam begitu sahaja andai kata tidak dikenal pasti, digilap dan ditolong menerusi proses campur tangan (intervensi), khususnya pelaksanaan sistem pendidikan yang berdaya saing (klik di sini). Maka, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) telah menyediakan landasan yang tepat ke arah itu bukan sahaja di SBP atau MRSM, bahkan di semua sekolah. Pensiswazahan guru sekolah menengah sudah hampir benar menuju 100 peratus, manakala guru sekolah kebangsaan juga ke arah itu.

Pilihan kemasukan ke tingkatan satu yang bersifat pelbagai ini sejajar dengan konsep pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid. Malah, program pendidikan khas untuk murid pintar cerdas dan murid kurang beruntung (keperluan khas, bermasalah pembelajaran) tidak pernah dikesampingkan. Sistem pembelajaran di MRSM juga menjadi penanda aras kritikal pencapaian pendidikan di negara kita ...

Saturday, November 29, 2014

PIALA SUZUKI AFF: MALAYSIA PADAM EGO SINGAPURA (THE LAST MINUTES CHANGING OF SCRIPT)

Percaturan penjaga gol Singapura untuk naik membantu serangan pada minit terakhir (90 + 5) nyata mempawa padah apabila Indera Putra Mahyudin, pemain gantian Malaysia (Safee Salee dikeluarkan) berjaya menyambut bola yang muntah daripada tangkapan Apek dengan menghalakan bola ke arah pintu gol yang sudah ternganga. Harapan terakhir untuk mencatat keputusan seri bertukar menjadi sejarah pahit buat pasukan tuan rumah apabila terpaksa akur dengan kekalahan 1-3. Sebelum itu, Safiq Rahim menghidupkan peluang Malaysia apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti kontroversi pada minit ke 90 + 3.

Separuh masa pertama berakhir tanpa sebarangan jaringan. Malaysia memiliki kawalan bola yang lebih kemas, tetapi tidak menemui sentuhan penyudah. Ketua pasukan, Amri Yahyah menerima kad kuning kedua, sekali gus terlepas peluang aksi separuh akhir. Namun, tindakan beliau dikira penting untuk menyekat penyerang Singapura yang ketika itu memiliki peluang terbaik untuk melepaskan rembatan ke arah pintu gol Malaysia.

Safee Salee yang sebelum ini dihujani kritikan atas beberapa isu kembali menjadi hero pasukan kebangsaan apabila tendangan padu beliau pada minit ke-60 menerjah penjuru gawang Singapura untuk gol pendahuluan yang sangat penting. Malaysia menggandakan asakan, tetapi keadaan kelam kabut akibat serangan balas lawan membolehkan Singapura beroleh sepakan bola mati di luar kotak penalti. Apek berjaya menepis bola itu, tetapi bergolek pula tepat di kaki Khairul Amri bagi gol penyamaan tuan rumah pada minit ke-85.

Jika ketika menentang Thailand sebelumnya, skuad negara kelihatan hilang angin dan hilang tumpuan pada minit-minit terakhir permainan, keadaan itu tidak berulang. Ditambah pula dengan permainan lawan yang tidak begitu menjadi. Perlawanan di Stadium Nasional, Kallang yang menggunakan rumput asli jelas memberi kelebihan kepada Malaysia.

Kelibat pemain natularisasi (kelahiran naegara asing yang diberi taraf kerakyatan mengikut peraturan Fifa) tidak kelihatan. Singapura dibarisi oleh anak tempatan hampir sepenuhnya. Hanya panel kejurulatihan mereka yang masih menggunakan khidmat 'Mat Saleh'.

Malaysia selaku naib juara kumpulan B bakal berentap dengan Vietnam, manakala Thailand akan berhadapan dengan skuad 'Eropah' Filipina. Kejayaan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir merupakan pencapaian manis buat Dollah Salleh yang mengambil alih tugas Datuk Rajagobal selaku pengendali skuad Harimau Malaya. Gandingan pemain muda dengan pemain berpengalaman yang mencecah usia 30-an nampaknya berhasil sekurang-kurang buat masa ini.

Kecenderungan pemain pertahan seperti Mahali Jasuli melakukan overlapping tanpa sempat turun semula ke kedudukan asal memang mengundang risiko. Sepatutnya ada pemain lain yang akan mengambil alih peranan pertahanan penting itu buat sementara waktu. Kekerapan tergelincir ketika hendak menyambut bola yang diumpan oleh rakan di hadapan kotak penalti lawan juga harus mendapat perhatian segera.

Jurulatih, pengurus dan pemain mungkin mempunyai pandangan yang berbeza kerana mereka yang merancang formasi dan taktik di padang. Namun, pandangan profesional pihak kedua atau pendapat amatur mungkin menyumbang idea yang bergeliga. Selamat maju skuad Harimau Malaya ...

KALENDAR 2015 PERCUMA UNTUK PERANCANGAN (NOT TO PREDICT, BUT TO STATE IN ADVANCE)

Petang tadi, ketika menukar bateri alat kawalan pagar automatik, kedai kunci di Jalan Iskandar telah menghadiahkan kalendar mini ala lumba kuda. Amalan hadiah kalendar kepada pelanggan tetap sudah menjadi kebiasaan kepada perniagaan yang sanggup membayar kos percetakannya. Secara tidak langsung, kalendar itu berfungsi sebagai iklan apabila digantung pada dinding rumah atau pejabat.

Kaum wanita lebih mengalu-alukan kalendar poket bersaiz kad nama yang memaparkan dua belas bulan penuh. Mereka akan sentiasa menanda dan merujuk kalendar mini yang berharga itu untuk mengira pusingan h.... bagi setiap bulan. Kalau pada istilah orang lelaki ialah tempoh menggantung telekung!
hadiah pasar raya UO, Greentown Mall, Ipoh

Kalendar memang penting bagi proses membuat perancangan kegiatan peribadi dan juga organisasi. Tarikh-tarikh cuti umum dan penggal persekolahan juga diberi perhatian oleh ibu bapa dan penganjur program yang membabitkan sasaran budak sekolah. Musim cuti sinonim dengan waktu puncak apabila segala perbelanjaan perjalanan dan penginapan harus mengikut kadar senarai, atau dikenakan caj tambahan yang tertentu.

Hari kelepasan am negeri juga dianggap istimewa kerana penduduk sesebuah negeri boleh melancong ke negeri lain yang tidak bercuti dengan kadar hari biasa yang lazimnya terdapat potongan harga istimewa. Namun, barang diingat bahawa pada musim tertentu, hotel ditempah oleh pelancong asing dari benua yang berbeza yang mengalami musim panas atau musim sejuk yang ekstrem. Nasib tidak baik, tempat tumpuan pelancong dipenuhi pula oleh pendatang asing dari Bangladesh, Myanmar atau Nepal.

Perjalanan ke luar negara pada musim cuti sekolah termasuk umrah juga dikalsifikasikan sebagai waktu puncak. Maka, tempahan lebih awal, sama ada perkhidmatan penuh (full board) atau separa (ground handling) boleh dilakukan. Perjalanan dalam kumpulan kecil antara lima hingga tujuh orang lebih menjimatkan jika kena caranya.

Bagi keluarga bandar yang merancang untuk balik kampung secara berjadual, rujukan terhadap kalendar juga sangat penting. Alasan untuk mengelat sebenarnya tidak ada jika perancangan dapat dilakukan lebih awal. Tinggal lagi, sering-sering mengangkat tangan berdoa semoga panjang umur, murah rezeki dan sihat walafiat supaya hasrat suci itu tertunai jua.

Bagi mereka yang tidak pernah berenggang dengan telefon mudah alih, sama ada yang berciri pintar atau model lama, kalendar mana-mana tahun sekalipun sudah tersedia. Kalendar elektronik seperti itu juga memiliki kelebihan yang tersendiri dengan nada dering peringatan untuk tarikh atau masa penting yang ditetapkan oleh pemiliknya. Pendek kata, kalendar bercetak tardisional atau kalendar di hujung jari tetap berfungsi sebagai rujukan penting untuk proses perancangan.

Akhir sekali, kalendar mengingatkan kita tentang perjalanan masa, iaitu selagi seseorang itu masih bernafas dan bernyawa. Angka usia seseorang meningkat setiap tahun, tetapi jika dikira secara terbalik, tempoh untuk menikmati kehidupan duniawi semakin susut. Maka, marilah kita bersama melihat kalendar sebagai suatu peringatan untuk menjalani hidup yang bermakna dengan aqidah, syariat dan akhlaq yang tulen ...

Friday, November 28, 2014

MUNGKINKAH PENJIMATAN SUBSIDI PETROLEUM DINIKMATI MAHASISWA? (FINANCING HIGHER EDUCATION)

Bilangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) kini dianggarkan mencecah lebih setengah juta orang. Terdapat 20 buah universiti awam, serta ratusan universiti dan kolej universiti swasta. Tidak seperti dua tiga dekad yang lalu, peluang untuk menikmati tajaan biasiswa atau dermasiswa sangat terhad.

Pelajar IPT semasa lebih kenal pembiayaan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang berbentuk pinjaman berjadual. Selepas tamat pengajian, mereka perlu membayar balik pinjaman sebagaimana syarat yang ditandatangani dalam perjanjian. Maka, tidak hairan bahawa isi rumah di Malaysia pada masa hadapan bakal menanggung beban hutang sepanjang hayat mereka, terutama pinjaman pendidikan tinggi, perumahan, kenderaan, koperasi dan sebagainya.

Kos sara hidup di kampus memang memeritkan bagi mahasiswa yang datang daripada latar belakang keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah. Harga makanan, alat tulis dan keperluan pengajian yang lain bukan murah. Banyak yang terpaksa mengikat perut atau manahan lapar kerana wang yang dimiliki sering sahaja kritikal.

Mungkin orang tidak pecaya bahawa masih ada mahasiswa yang memiliki hanya dua tiga helai pakaian untuk digilirkan. Pelajar universiti seperti demikian, terutama yang pendiam menjalani kehidupan di kampus sebagai orang miskin tegar, tetapi mereka tidak pernah diberi perhatian. Malangnya, golongan bangsawan dan pegawai tinggi yang membuat dasar tidak dapat menyelami penderitaan golongan mahasiswa yang kesempitan.

Sambil sistem pembiayaan yang ada berjalan, serta berlaku penambahbaikan, isu kebajikan mahasiswa yang berhadapan dengan kekurangan belanja perlu ditangani. Notis peringatan dan perundangan kepada bekas peminjam PTPTN, atau sekatan perjalanan yang dikenakan merupakan tatacara operasi piawai (S.O.P) bagi memastikan bayaran balik supaya dana PTPTN tidak terjejas. Perkara itu termaktub dalam undang-undang tubuh PTPTN.

Negara membuat sasaran akses pengajian tinggi sebanyak 40 peratus dalam kalangan penduduk. Walaupun dalam jangka pendek, isu pengangguran siswazah mencemaskan banyak pihak, tetapi dalam jangka panjang nilai modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran akan melonjakkan negara sebagai sebuah ekonomi berpendapatan tinggi  yang berdaya saing. India dan China ialah contoh yang ketara.

Pembiayaan pengajian tinggi mesti memiliki lebih banyak pilihan sumber selain PTPTN, bank, skim insurans dan penaja kecil-kecilan yang lain. Institusi agihan kekayaan seperti Baitul Mal hendaklah memainkan peranan yang lebih jelas tentang klasifikasi asnaf fi sabilillah, jika berkemungkinan di salurkan kepada mahasiswa. Langkah pengecualian cukai kepada entiti korporat yang menyumbang terhadap dana pembiayaan pengajian tinggi yang disatukan barangkali lebih munasabah.

Penghapusan subsidi petroleum sepenuhnya mulai 1 Disember ini menjimatkan peruntukan awam sebanyak RM20 bilion. Alangkah baiknya jika sebahagian lebihan yang tiba-tiba ada itu digunakan untuk pembiayaan pengajian mahasiswa yang memerlukan. Pemberian baucar buku 1Malaysia boleh diperluaskan kepada kupon pembelian makanan, tambang pengangkutan awam dan perbelanjaan kampus yang lain.

Andaikan 250,000 orang mahasiswa layak diberikan bantuan kewangan dengan kadar rata RM8,000 seorang untuk tempoh setahun. Maka, hanya RM2 bilion yang diperlukan, iaitu bersamaan sepuluh peratus sahaja daripada penjimatan subsidi petroleum. Pemberian bantuan dalam bentuk baucar dan kupon dapat memastikan tiada salah guna berbanding dengan jika bantuan disampaikan secara tunai.

Dalam tempoh setahun, mahasiswa menghabiskan masa di kampus sepanjang tujuh hingga lapan bulan untuk kuliah, tutorial dan peperiksaan. Maka, bantuan sebanyak RM1,000 sebulan itu sudah pasti banyak melegakan beban kewangan ibu bapa mahasiswa yang terbabit. Sumber lain yang disatukan boleh berfungsi sebagai potongan khas yuran pengajian kepada mahasiswa yang didapati memerlukan ...

Thursday, November 27, 2014

JUTAWAN MENGENANG BUDI JIRAN TETANGGA (FROM RAGS TO RICHES)

Sifat pemurah bukan boleh dibuat-buat kerana sebagai amalan mulia, ia datang dari jiwa yang suci dan niat yang tulus ikhlas. Orang akan perasan jika seseorang itu hanya berpura-pura atau sekadar mahu menunjuk-nunjuk betapa dia seorang dermawan. Melainkan seseorang itu sentiasa insaf bahawa dia pada mulanya lahir sebagai bayi yang tidak berdaya dan tidak punya apa-apa, dia akan terpengaruh dengan sikap tamak haloba, bakhil dan kedekut seperti kata pepatah, tangkai jering.

Insan yang beriman sentiasa bermuhasabah diri bahawa harta benda atau kekayaan yang dimiliki ialah rezeki kurniaan Ilahi yang boleh ditarik bila-bila masa. Kisah Qarun (klik di sini atau tonton videonya di sini) patut menjadi iktibar tentang padah nikmat yang tidak disyukuri. Namun, kisah masyhur Tsa'labah yang dikatakan juga lupa diri (enggan membayar zakat) didapati tidak sahih (klik di sini). 
klik untuk imej paparan penuh

Siti Khadijah radiallahu anha, Abu Bakr as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Abdul Rahman bin Auf merupakan contoh hartawan yang sanggup berjihad dengan harta benda yang mereka miliki demi kelangsungan dakwah generasi awal Makkah dan Madinah. Berkat pengorbanan mereka, Islam telah tegak dan berkembang di seluruh maya pada ini. Orang-orang yang beriman terhutang budi kepada kaum kerabat dan sahabat baginda Junjungan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.

Sikap pemurah juga tumbuh dalam kalangan masyarakat yang mementingkan akal budi tidak kira kepercayaan anutan mereka. Keratan akhbar di atas menunjukkan masih ada insan yang tidak pernah lupa akan asal usul dan sokongan kejiranan sebelum mereka bertuah muncul sebagai orang kaya. Xiong Shuhua, 54, berkongsi kehidupan yang selesa dengan bekas tetangga di kampung halaman asal beliau.

Bill Gate, pengasas Microsoft juga hanya mengambil USD10 juta untuk dirinya dan keluarga, walhal kekayaan miliknya mencecah puluhan bilion USD. Bill Gate telah menubuhkan yayasan untuk membantu pelbagai golongan di seluruh dunia, serta bekerja dengan yayasan berkenaan. Bill Gate hanya menyarung pakaian kasual dan kasut sneaker.

Di Malaysia sendiri, Syed Mokhtar al-Bukhari, pemilik pelbagai syarikat awam yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia menubuhkan yayasan untuk menyumbang terhadap pelbagai organisasi dan masyarakat. Universiti al-Bukhari yang membiayai pengajian pelajar miskin dari seluruh dunia Islam tanpa sebarang bayaran, walaupun menghadapi masalah pengurusan baru-baru ini, masih terus beroperasi. Beliau menyerahkan semula sebahagian kekayaan yang dikumpul menerusi kegiatan ekonomi masyarakat sebagai suatu perkongsian nikmat rezeki yang wajib disyukuri.

Apabila segala sistem pengagihan semula kekayaan dilaksanakan dengan berkesan dan cekap, nescaya kita tidak memerlukan Robin Hood yang merompak orang kaya bagi membantu orang miskin. Kewajipan berzakat, amal jariah, sedekah, wakaf dan cukai bukan sahaja membersihkan harta kekayaan yang dimiliki, bahkan menyumbang terhadap pewujudan masyarakat yang penyayang dan rukun damai. Kadar jenayah dapat diturunkan walaupun akan tetap ada kelompok melencong dan pinggiran yang bertindak berdasarkan hawa nafsu dan hasutan iblis laknatullah.

Kisah Xiong Shusua menjadi bukti betapa sokongan kaum keluarga dan jiran tetangga turut menjadi faktor kritikal yang mempengaruhi kejayaan seseorang. Sudah pasti beliau berasa sangat bahagia justeru memiliki kesempatan melihat wajah-wajah ceria yang pernah memberi dorongan terhadap kesenangan yang dinikmati. Bagi kita yang ala-ala sahaja, sumbangan dalam jumlah yang tidak seberapa juga mungkin mampu menghadirkan ceria kepada insan lain, insya-Allah ...

PENANGAN KERTAS UPSR ULANGAN : BANYAK YANG MENANGIS (AFTER THE PEAK PERFOMANCE)

Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam (Rabu, 26.11.14) mencatat penurunan yang ketara. Sekolah tertentu yang selama ini memiliki rekod pencapaian terdahulu yang menjadi bualan kali ini harus akur bahawa kedudukan mereka telah dipintas. Reka bentuk item soalan yang lebih banyak menjurus terhadap kemahiran berfikir aras tinggi (kbat) pula didapati memisahkan calon yang benar-benar cemerlang daripada calon ulat buku semata-mata.

Ibarat sebuah pasukan bola sepak yang menjalani latihan serta perlawanan persahabatan pemanas badan secara ekstrem, pemain sudah mencapai puncak keupayaan (prestasi) sebelum kejohanan sebenar. Sebahagian calon UPSR mungkin mengalami perkara yang sama apabila telah menumpahkan seluruh tenaga semasa tarikh peperiksaan yang asal. Maka, ketika menduduki kertas yang terpaksa diulang semula, mereka sudah berada dalam zon penurunan prestasi.
ambilan paparan Kosmo! 27.11.14

Peratus calon yang mencatat 5A ialah 7.67 peratus atau sejumlah 36,304 orang calon daripada 473,175 orang semuanya, berbanding dengan 8.91 peratus pada tahun 2013 (42,646 orang calon daripada 478,848). Gred purata nasional (GPN) juga turun sebanyak 0.02 mata kepada 2.29, berbanding dengan 2.27 mata tahun lalu. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof dalam reaksinya berkata bahawa calon terlalu memberi perhatian terhadap pencapaian gred tertinggi dalam slip keputusan peperiksaan.

Sistem peperiksaan yang sedia ada akan diperkemas supaya benar-benar menjurus terhadap pembangunan modal insan, selain mengukur perkembangan pembelajaran di sekolah. Namun, hal yang menarik ialah jurang pencapaian calon bandar dengan luar bandar didapati semakin mengecil. Sementara itu, Terengganu masih mengungguli kedudukan GPN terbaik, mengatasi Melaka di tempat kedua dan Kelantan di tempat ketiga (rujuk jadual di bawah).

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh menjelaskan bahawa komponen soalan kbat telah ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding dengan 25 peratus pada tahun sebelumnya. Analisis menunjukkan kebanyakan kesilapan jawapan calon secara relatif lebih tinggi dalam soalan kbat. Tindakan membanyakkan soalan kbat sejajar dengan matlamat PPPM 2013 - 2025 bagi meningkatkan daya saing pendidikan negara di persada antarabangsa.
sumber ambilan: Ibid

Gred Purata Negeri Perak dan Kedah menyamai GPN, iaitu 2.29, tetapi berbeza dari segi peratus. Perak kurang 0.07 peratus berbanding pencapaian kebangsaan, sebaliknya Kedah lebih sebanyak 0.51 peratus. Jadi, Perak berada pada tangga kesebelas, suatu pencapaian yang tidaklah mengecewakan berdasarkan profil demografi yang lebih rencam.

Kini, tumpuan ibu bapa terarah kepada pemilihan sekolah menengah untuk anak masing-masing. Penurunan bilangan calon 5A bermakna bahawa kebarangkalian untuk mengisi 14,000 tempat ke tingkatan satu di sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) lebih cerah, terutama calon bumiputera. Jika tercicir, peluang masih terbuka luas untuk permohonan kemasukan SMKA, rancangan khas, sekolah kawalan dan sekolah pintar yang lain.

Sekolah harian juga sedang menjalani proses pembestarian apabila dilengkapi dengan prasarana pembelajaran canggih dengan guru yang terlatih dengan pedagogi terkini. Cabaran yang dihadapi oleh sekolah harian (aliran kebangsaan) ialah kepercayaan ibu bapa yang pernah menghantar anak mereka di sekolah rendah vernakular. Demikian juga daya tarikan sekolah pintar swasta, tahfiz dan sebagainya.

Walaupun ibu bapa mempunyai harapan tertentu terhadap anak, kesempatan untuk anak membuat keputusan hendaklah dihormati. Ibu bapa sebaik-baiknya bertindak umpama kaunselor yang menolong anak dalam proses membuat keputusan, bukan seperti diktator yang menetapkan keputusan muktamad. Sebagai pemimpin keluarga, ibu bapa boleh mempengaruhi keputusan si anak, tetapi dengan cara yang sangat bijaksana.

Anak-anak pula perlu memahami harapan ibu bapa, pengorbanan yang dicurahkan selama ini, di samping mengambil kira kemampuan kewangan ibu bapa sebelum membuat tuntutan tentang pilihan sekolah menengah yang hendak dimasuki. Andai kata berlaku percanggahan, nasihat profesional seperti daripada kaunselor pelajar di sekolah boleh diusahakan. Tahniah kepada semua sekali calon UPSR 2014, sama ada yang memperoleh semua A, mahu pun yang tiada A langsung kerana bakat dan potensi kalian masih dalam proses menuju kecemerlangan, tidak kira di sekolah menengah yang mana satu ...

Wednesday, November 26, 2014

ANALISIS SOALAN STPM MAKROEKONOMI ULANGAN 2014 (THE APPLICATION OF 'LAST' MODEL)

Maklum balas calon mengatakan bahawa mereka tidak menyangka soalan esei yang pernah keluar dalam peperiksaan sebelum ini diuji semula. Walhal, guru telah berpesan bahawa tidak usah berasa terlalu yakin dengan kaedah belajar secara 'tebuk-tebuk' atau bergantung terhadap soalan ramalan. Semua teori hendaklah dikuasai kerana masih ada bahagian aneka pilihan dan kuantitatif yang tidak sepatutnya terlepas pandang.

Kemungkinan untuk soalan yang sama berulang seratus peratus memang kecil, tetapi bentuk mirip boleh jadi. Sebabnya, terdapat item soalan tidak popular atau majoriti calon yang menjawab tidak mencatat markah yang baik. Maka, soalan seumpama itu boleh diulang semula secara berturut-turut.

Bahagian A: Aneka Pilihan
(terdapat banyak soalan aras mudah, misalnya no. 3,5, 8, 12 yang boleh dijawab dalam 10 saat sahaja jika calon sudah mantap dengan hubungan pemboleh ubah, rumus)

S1: menghitung jumlah guna tenaga apabila penduduk 17.80 juta orang, TB = 7.05 juta, kadar pengangguran 6.4%

S2:  menghitung kadar pertumbuhan KDNK berdasarkan jadual

S3:  pernyataan benar tentang konsep pendapatan negara potensi

S4:  menghitung pendapatan per kapita

S5:  kesan terhadap harga umum apabila penggunaan berkurang, teknologi meningkat

S6:  Y = RM2000 juta, S = -100 + 0.3Y. Hitung C.

S7:  Menentukan (hitungan) sama lompang inflasi atau lompang deflasi jika:
       C = 500 + 0.8Yd,  I = 600, G = 400,  T = 200 pada Yf = RM8000 juta

S8:  Mentakrif keluk AE

S9:  Memilih pemboleh ubah suntikan

S10:  Berdasarkan keluk +AD, AS tetap, beri sebab -Y

S11:  Menghitung indeks nilai wang berdasarkan IHPo = 120, IHP1 = 125

S12:  (teori kuantiti wang) T berkurang, M dan V  kekal: pemboleh ubah seterusnya?  (P lah!)

S13:  Menentukan sumbangan sistem bank perdagangan mewujudkan M1 berdasarkan kunci kira-kira.

S14:  (teori kuantiti wang) M = RM500 000, V = 3, T = 400 000 unit; M bertambah sebanyak RM80 000, hitung peningkatan harga

S15:  (dasar kewangan) langkah bank pusat mengurangkan pengangguran

S16:  Menentukan kedudukan akaun semasa berdasarkan data imbangan pembayaran Malaysia 2009

S17:  Kesan tarif terhadap jumlah kereta import berdasarkan gambar rajah Dd, Ss

S18:  (teori faedah berbanding)  negara S: 50 000 unit getah, 40 000 unit sawit
                                                    negara T: 30 000 unit getah, 30 000 unit sawit
         pilih pernyataan yang betul: pertukaran X, M; mengkhusus, kos lepas?

S19:  (kadar pertukaran mata wang) US$1 = RM3.78 kemudian RM3.61 dan RM3.47
          pilih pernyataan yang salah: Px, Pm @ nilai RM kukuh?

S20:  Memilih bukan kesan devaluasi: hasil T naik, Px murah, keluaran domestik naik @ BoP > baik?

Bahagian B: Esei

Tugasan Soalan 21: mentakrif dan menghuraikan bagaimana
                         (a)  KNK potensi dan KNK sebenar;   (5 markah)
                         (b)  Imbangan pembayaran kurangan dan imbangan pembayaran lebihan  (5 markah)
                               dapat menjelaskan prestasi ekonomi sesebuah negara.

Tugasan Soalan 22:  (a)  Cara pendapatan negara kaedah keluaran diperoleh  (2 markah)
                                 (b)  Menerangkan penghitungan KDNK di Malaysia kaedah keluaran (8 markah)

Tugasan Soalan 23:  (a)  Maksud lompang deflasi dan jurang KNK  (2 markah)
                                 (b)  Menghuraikan bagaimana penurunan cukai pendapatan dapat mengatasi
                                       lompang deflasi, jurang KNK dengan bantuan gambar rajah AE - Y       (8 m)

Tugasan Soalan 24:  Menghuraikan bagaimana penurunan nisbah rizab berkanun mempengaruhi
                                (a)  tingkat keseimbangan pendapatan negara   (5 markah)
                                (b)  tingkat harga mengikut teori kuanti wang Fisher   (5 markah)

Tugasan Soalan 25:  Menjelaskan pandangan Keynes tentang pertambahan bekalan wang
                                  meningkatkan pendapatan negara, berbantukan gambar rajah   (10 markah)

Tugasan Soalan 26:  Menjelaskan pernyataan "peningkatan permintaan terhadap Dolar Singapura
                                 menyebabkan peningkatan penawaran Ringgit Malaysia" berbantukan lima
                                 contoh urus niaga antarabangsa.


Bahagian C:  Kuantitatif

Tugasan Soalan 27:  Berdasarkan jadual KDNK, IHP dan jumlah penduduk Malaysia 2008 - 2010,
                                 (a)  menghitung kadar inflasi 2009, 2010; menamakan keadaan kadar inflasi itu (2)
                                   (b)  menghitung pendapatan per kapita 2008- 2010, menyatakan keadaan taraf
                                          hidup rakyat Malaysia dalam tempoh itu   (3)

                           (c)  Berdasarkan kes eksekutif bank bergaji RM18 000 (2005) dan RM24 000 (2010)
                                 (i)  menghitung upah benar tahun 2010 berbanding 2005  (1 markah)
                               (ii)  menghitung peratus perubahan upah benar, upah wang 2010 berbanding 2005.
                                      menyatakan keadaan peratus perubahan upah tersebut.   (4 markah)

Tugasan Soalan 28:  Berdasarkan jadual tingkat pendapatan negara, perbelanjaan penggunaan
                                 (a)  menghitung MPC            (1 markah)    
                                 (b)  menghitung nilai pengganda G, T    (2 markah)
                                 (c)  menentukan fungsi penggunaan       (2 markah)
                              (d)  menghitung Y seimbang dengan andaian I = RM3500 juta, G = RM3000 juta   (2m)
                                 (e)  Jika Yf = RM20 000 juta, hitung
                                        lompang deflasi;
                                        pertambahan G untuk menutup lompang deflasi itu    (3 markah)

Tugasan Soalan 29: Berdasarkan jadual mata wang dalam edaran, deposit semasa, separuh wang
                                 secara luas dan KDNK hp
                                 (a)  menyatakan maksudmata wang dalam edaran, deposit permintaan     (2 m)
                                 (b)  menghitung M1 dari 2009-2011     (2 m)
                                 (c)  i.  menyatakan persamaan kuantitiwang Fisher    (1m)
                                       ii. menyatakan maksud halaju wang   (1m)
                                      iii. menghitung halaju wang 2009 - 2011   (2m)
                                 (d)  menentukan sama ada halaju wang itu selari dengan teori Fisher, alasan  (2m)

...

...

...

Tuesday, November 25, 2014

DAKWAH SANTAI TETAPI SAMPAI: SETAKAT MANA? (THE WISDOM TO SPREAD TAWHIDIC WELTANSCHAUUNG)

Judul sebuah buku menyatakan demikian, iaitu dakwah santai tapi sampai. Dalam kata lain, uslub, kaedah atau metodologi dakwah tidak harus bersifat tertutup, sebaliknya dipelbagaikan cara penyampaiannya. Ulama wali songo pernah menggunakan pentas wayang kulit dan muzik gamelan sebagai daya tarikan untuk menggamit orang ramai mendekati seruan kebenaran.

...

...

...

...

...

...

...

...

...

Monday, November 24, 2014

ISU HAK CIPTA DALAM ERA MUAT TURUN DIGITAL (VIRTUAL FORENSIC PARADOX)

Penghasilan karya kreatif, pembaharuan teknologi dan dapatan penyelidikan merupakan antara mangsa kegiatan cetak rompak, plagiat dan salinan tidak sah. Rantau Asia Tenggara pernah dilabel sebagai paling banyak melakukan kegiatan yang boleh diheret ke muka pengadilan itu. Di negara-negara maju, bayaran untuk salinan fotokopi lebih mahal daripada membeli salinan asal.

Dengan kemajuan teknologi digital, salinan yang dibuat sangat sukar dibezakan dengan naskhah asli. Malah, menerusi teknik penggodaman yang licik, rakaman peribadi dalam telefon pintar dan gajet mudah alih yang lain dapat dicuri merentas benua jika kod akses berjaya dicerobohi. Perlindungan data peribadi (privacy) nampaknya semakin terancam.

...

...

...

...

...

...

Friday, November 21, 2014

HARGA PETROL RON 95 BERDASARKAN MEKANISME APUNGAN TERKAWAL MULAI DISEMBER (THE RETURN OF INVISIBLE HAND?)

Dari segi teori, arah aliran penurunan harga petroleum dunia berpunca daripada penawaran melebihi permintaan, atau ringkasnya berlaku lebihan penawaran, ceteris paribus. Penganalisis ekonomi berpendapat bahawa permintaan terhadap bahan api itu merosot berikutan langkah Amerika Syarikat mengurangkan penggunaan petrol, sebaliknya beralih kepada gas shale. Pertumbuhan ekonomi negara China pula mengalami fasa lebih perlahan (klik di sini).

Kementerian Kewangan pula mengumumkan bahawa penetapan harga petrol di pam akan dibuat oleh sebuah jawatankuasa dasar fiskal negara (klik di sini). Kaedah apungan terkawal bermakna bahawa harga petrol tidaklah berubah setiap hari sebagaimana dalam pasaran hadapan, pasaran pertukaran mata wang asing atau pasaran saham. Sebaliknya, perubahan harga akan dibuat berdasarkan tempoh tertentu, serta tiada pengumuman mengejut sehingga berlaku serbuan panik pemilik kenderaan di stesen minyak setiap kali perkara itu berlaku.

Sebagai sebuah negara yang hendak menuju status negara maju berpendapatan tinggi, sesuatu proses perubahan mendadak tanpa notis lebih awal tidak sepatutnya terjadi. Sudah pasti bahawa maklum balas negatif yang akan diterima (klik di sini). Kesediaan minda pengguna perlu dihormati.

Program rasionalisasi subsidi sudah menjadi lebih awal daripada jadual akibat penurunan mendadak harga petroleum dunia. Berpandukan harga kontrak hadapan penghantaran minyak dunia semasa antara USD70 - USD80, harga pasaran sepatutnya berada pada aras RM2.27. Hal itu bermakna bahawa pengguna sudah membayar harga di pam tanpa subsidi, bahkan lebih tinggi daripada harga pasaran sebanyak RM0.03 setiap satu liter (klik di sini).

Penjimatan peruntukan subsidi bakar bakar petroleum yang mencecah RM20 bilion saban tahun kini boleh dialihkan terhadap pemaksimuman kebajikan rakyat menerusi mekanisme agihan semula yang lebih adil dan cekap. Bayaran tunai secara sekali gus kepada pemilik kenderaan seperti pada zaman Pak Lah (satu liter petrol tanpa plumbum = RM2.70) atau seperti amalan di Thailand yang mengagihkan kupon pembelian sebanyak 2000 baht kepada rakyat yang berkelayakan (baca: berpendapatan rendah) mungkin boleh dipertimbangkan. Program bayaran pindahan secara one off memang tiada sumbangan produktif, tetapi mencetuskan kuasa beli yang pada akhirnya  mencipta perbelanjaan agregat sebagai punca rangsangan kegiatan ekonomi.

...

...

...

...

...

Thursday, November 20, 2014

PANTANG MENYERAH KALAH CIRI KECEMERLANGAN (RUN FOR YOUR LIFE)

Pepatah Jepun mengatakan bahawa jatuh tujuh kali bangun lapan kali. Kemusnahan negara matahari terbit itu akibat serangan bom atom Amerika Syarikat di Hiroshima dan Nagasaki yang menamatkan perang dunia kedua tidak mengakibatkan cita-cita pembaharuan Meiji dan Shogun Tokugawa terbantut begitu sahaja. Walaupun Jepun terpaksa menerima kehadiran tentera asing (Amerika Syarikat) sehingga kini, mereka begitu gah dalam bidang ekonomi dan teknologi termaju.

Pepatah Melayu juga ada menyebut bahawa berpantang maut sebelum ajal. Biar berputih mata, jangan berputih tulang. Masyarakat Iban di Sarawak juga terkenal dengan ungkapan agi idup agi ngelaban, iaitu selagi hidup teruslah melawan (turut digunakan sebagai laungan semangat pasukan tentera negara).

...

...

...

...

...

...


Wednesday, November 19, 2014

Tuesday, November 18, 2014

PENGGUNAAN SEBAB DAN KERANA DALAM AYAT GRAMATIS (LANGUAGE DEVICE AND SPEAKING WISE)

Pada hari Sabtu yang lepas, dalam slot bahasa Radio Perak.fm yang bersiaran mulai pukul tiga petang, Dr. Habibah dari Institut Perguruan Ipoh telah menyentuh tentang kesilapan lazim yang dilakukan oleh pengguna bahasa. Aspek tatabahasa dari segi penggunaan perkataan sebab dan kerana dibincangkan secara terperinci. Sudah pasti wacana bahasa oleh pakar akan memberikan maklumat yang berguna kepada orang awam dan juga pelajar.

Dr. Habibah menegaskan bahawa sebab ialah kata nama, sedangkan kerana ialah kata hubung. Maka, penggunaan kedua-dua perkataan itu hendaklah mematuhi hukum tatabahasa yang ditetapkan itu, terutama apabila menulis. Sebab lebih menjurus kepada faktor atau punca, lantas tidak boleh menggantikan kerana sebagai kata hubung.

Namun, sepertimana disiplin ilmu pengetahuan yang lain, bahasa juga berpecah kepada banyak aliran dan mazhab pemikiran, misalnya transformasi generatif Chomsky dan sosiolinguistik. Di Malaysia, terdapat pengikut Za'aba yang didukung kuat oleh Dr. Awang Sariyan (ketua pengarah DBP dan mantan profesor), serta guru beliau, Profesor Emeritus Dr. Nik Safiah Karim. Selain itu, pengaruh Profesor Dr. Asmah Omar dan Profesor Dr. Abdullah Hassan tidak boleh diketepikan.

Pendirian Dr. Habibah nampaknya tidak selari dengan Dr. Nik Safiah (klik di sini) yang berpendapat bahawa sebab boleh menggantikan kerana sebagai kata hubung. Namun, kesalahan penggunaan kerana di permulaan ayat yang biasanya digandingkan dengan oleh memang jelas menyalahi hukum tatabahasa. Gandingan oleh dan kerana akan bersifat lewah justeru kedua-dua perkataan itu tergolong dalam kata sendi (klik di sini).

Kata sendi mesti digandingkan dengan kata nama, bukan dengan kata sendi yang lain. Maka, penggunaan oleh kerana pada pangkal ayat dihukum sebagai tidak gramatis. Dr. Habibah menambah bahawa perkataan sebab yang digandingkan dengan oleh boleh digugurkan, tinggal oleh sahaja.

Contoh ayat: Oleh hujan, dia terlewat hadir di majlis kenduri itu. Perkataan sebab itu sebenarnya sengaja disembunyikan sebagaimana kata ganti nama diri dalam ayat perintah. Perkataan sebab juga boleh digugurkan untuk penanda wacana oleh sebab itu, tinggal oleh itu sahaja.

...

...

...

...

Monday, November 17, 2014

HARGA RON 95 TURUN? (WAITING FOR GOOD NEWS)

Sebelum minyak petrol Ron 95 diperkenalkan, pengguna harus memilih antara petrol tanpa plumbum (unleaded) dengan petrol berplumbum. Ketika itu kereta yang menggunakan kurbarator lebih sesuai dengan minyak berplumbum, manakala kereta yang dilengkapkan dengan fuel injection digalakkan menggunakan petrol tanpa plumbum. Zaman sebelumnya pula hanya ada dua pilihan, iaitu petrol atau diesel.

Di Malaysia, harga petrol RM1.10 setiap liter paling lama bertahan menerusi pemberian subsidi kerana negara juga beroleh hasil eksport petroleum bermutu tinggi keluaran Petronas. Tekanan pasaran hadapan dan spekulasi mengakibatkan harga petroleum dunia tidak menentu. Kontrak hadapan berasaskan prinsip lindung nilai (hedging) bermakna harga yang dibayar adalah tetap sebagaimana yang ditandatangani dalam perjanjian walaupun harga petrol mengalami perubahan.
sumber: kosmo!, 16.11.2014

Kini, harga petroleum dunia mengalami kejatuhan yang tidak dijangka sebelum ini. Amerika Syarikat yang memiliki simpanan petroleum yang amat banyak mampu digunakan untuk 'membuli' negara pengeluar petroleum, termasuk anggota Opec, apabila stok penimbal dilepaskan dengan harga yang murah. Pengalaman industri bijih timah dan getah Malaysia yang tidak pernah bangkit semula daripada zaman kejatuhan akibat muslihat stok penimbal itu menjadi bukti yang sangat jelas.

Pakar bahan api memberikan unjuran bahawa kemungkinan pasaran hadapan petroleum akan menguji paras harga serendah USD50 setiap satu tong: klik di sini. Jika hal demikian berlaku, negara kita bakal menerima berita baik dan berita buruk sekali gus. Pengguna bakal menikmati harga petrol yang lebih rendah, tetapi Petronas sebagai penyumbang terbesar cukai langsung negara akan mengalami penyusutan hasil yang mendadak.

Ketika arah aliran harga petrol dunia mengalami kejatuhan, harga petrol bersubsidi, Ron 95 dinaikkan sebanyak 10 peratus kepada RM2.30 baru-baru ini. Hal itu bermakna subsidi bagi setiap liter petrol hanya RM0.12 pada harga semasa dunia sekitar USD80 satu tong. Pengguna masih menanti pengumuman penurunan harga petrol Ron 97 (tanpa subsidi) yang dijual berasaskan prinsip pengapungan harga.
sumber: kosmo!, 17.11.2014

Pemilik stesen minyak bukanlah jenis usahawan yang boleh mengaut keuntungan besar akibat perubahan harga jualan runcit petroleum. Julat (margin) keuntungan yang dinikmati sangat kecil, manakala bekalan petroleum oleh lori tangki hanya diserahkan setelah membuat pembayaran tunai atau cek bank, bukan cek persendirian. Seorang pemilik stesen minyak yang pernah menerima anugerah keusahawanan mengatakan dia hanya mampu makan nasi kosong dengan telur goreng justeru tidak tahu perkara yang bakal berlaku seterusnya.

Jika harga Ron 95 dijual pada harga runcit tanpa subsidi bermakna program rasionalisasi subsidi tidak lagi relevan, tetapi adakah jaminan bahawa harga petroleum dunia tidak bakal kembali melepasi USD100 satu tong? Sebagai langkah pilihan, semakan semula terhadap struktur cukai kenderaan boleh dimasukkan dalam pindaan dasar automatif negara supaya pengguna dilepaskan beberapa bahagian cukai seperti cukai jalan, lesen memandu, cukai eksais (pembelian kenderaan) dan lain-lain. Hutang isi rumah di negara kita sudah terlalu tinggi sedangkan proses menaik taraf prasarana jalan raya dan pengangkutan awam belum lengkap.

Kemajuan dalam penyelidikan teknologi hijau mesra alam, biofuel dan tenaga suria mungkin mengakibatkan permintaan bahan api berasaskan petroleum mengalami kemerosotan. Pada masa itu, jolokan emas hitam untuk galian petroleum tidak lagi cocok. Namun, teknologi petroleum juga boleh dimajukan untuk penggunaan yang lebih cekap (jimat) dan berdaya saing (harga relatif lebih rendah) ...

Sunday, November 16, 2014

RALAT DALAM PERSEPSI (THE SHADOW OF REALITY)

Ketika berurusan dalam premis Bank Simpanan Nasional (BSN) Parit petang tadi, beratur di belakang ialah seorang pemuda yang berjanggut seperti anggota tabligh. Namun, apabila dia hendak kembali membonceng motosikal, ternampak rantai di lehernya. Di bahagian belakang baju-T yang dipakainya pula tertera lambang masjid dan tulisan Jawi.

Kebetulan, lampu isyarat bertukar merah dan motosikal yang dibonceng oleh pemuda itu berhenti betul-betul bersebelahan dengan kenderaan penulis blog (PB). Tulisan pada baju-T itu jelas boleh dibaca, iaitu petugas masjid di Kuala Lumpur. Setelah itu, kami tidak lagi 'berjiran' (istilah undang-undang untuk kenderaan di sebelah, hadapan atau belakang).

Jalan raya dari Parit ke Ipoh memang sempit dan berliku. Maka, jika basikal sekalipun susah hendak dipotong, apatah lagi jika kenderaan besar. Barisan kenderaan kali ini agak panjang kerana ada 'pemimpin' di hadapan.

Selalunya kenderaan yang bergerak perlahan ialah van yang sengaja dipandu demikian kerana kalau cepat tiba di pejabat akan disuruh melakukan kerja lain. Hal itu bukanlah rekaan, bahkan keluar daripada mulut pemandu van yang sempat ditemui. Kemungkinan lain ialah pemandu dalam kalangan warga emas, wanita atau pemandu yang 'sibuk' bersembang dengan penumpang, atau asyik melayan panggilan telefon.

Satu demi satu kenderaan di hadapan berjaya memintas 'pemimpin' tersebut. Akhirnya, PB juga berjaya berbuat demikian. Rupa-rupanya kenderaan itu ialah pick-up Toyota Hi-Lux yang bersesaran 2.4 liter dan biasanya mendesup di lebuh raya.

Sekilas pandang, pemandunya 'sibuk' merokok dan berbual dengan rakan di sebelah. Kebetulan lagi, kami 'berjiran' ketika lampu isyarat bertukar merah. Kali ini jelas bahawa semua sekali pemandu dan penumpangnya memakai ketayap (lebai), serta berjanggut persis pemuda yang memakai rantai di BSN tadi, masya-Allah.

Dua kes salah sangka dalam tempoh masa beberapa minit sahaja itu memang kerap berlaku. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa yang kecil jangan disangka anak, yang besar jangan disangka bapa; air yang tenang jangan disangka tiada buaya! Lin Dan tewas di tangan pemain badminton kurang ternama India di laman sendiri (klik di sini).

Pengajaran daripada peristiwa seumpamanya ialah bahawa kita hendaklah mempunyai kaedah yang tepat dalam membuat sebarang keputusan dan juga kesimpulan. Ralat sering terjadi justeru ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki sangat terhad. Semoga Allah mengampunkan segala dosa kita atas khilaf dan ketidakadilan yang tidak disengajakan seperti itu, amin ...

Saturday, November 15, 2014

KENANGAN BERSAMA DATUK JAHABERDEEN (THE DISADVANTAGE OF THE TALL)

Kami berdua tiba di dewan kuliah lima minit sebelum kuliah dimulakan. Nasib baik pintu bilik kuliah belum dikunci bagi mereka yang lewat. Nama pensyarahnya tidak perlu disebutkan kerana beliau sudah lama pergi.

'Kami' yang dimaksudkan ialah penulis blog (PB) dan Jahaberdeen bin Mohd Yunoos (kini Datuk). Kami sama-sama belajar dalam tahun dua di fakulti ekonomi, UKM Bangi. Jika tidak silap ketika itu fakulti ekonomi masih menumpang fakulti sains kemasyarakatan dan kemanusiaan (FSKK).
Datuk Jahaberdeen berhadapan dengan mikrofon
(berita penuh di sini)

Jahaberdeen orangnya tinggi lampai dan memiliki gaya rambut ala-afro ketika itu. Pelajar lain, terutama mahasiswi barangkali telah berada dalam dewan kuliah setengah jam lebih awal kerana khuatir terlewat. Kehadiran minimum yang wajib dicatatkan oleh setiap pelajar ialah 80 peratus jika tidak mahu disekat daripada menduduki peperiksaan.

Teguran pensyarah tertumpu kepada Jahaberdeen kerana sosok tubuh dia yang menggalah itu. PB terselamat, tetapi kami berdua hanya diam membatu sehingga pensyarah berkenaan membenarkan kami duduk. Sejak peristiwa itu, kami berdua menurut sahaja kebiasaan rakan sekuliah datang jauh lebih awal daripada jadual.

Jahaberdeen memang telah menyatakan hasratnya untuk belajar undang-undang sebagaimana Rais Zainuddin (kini Datuk dan bekas exco kerajaan Negeri Sembilan) yang merupakan mentor Jahaberdeen dalam TSB (Tindakan Siswa Bersatu). PB tidak pasti sama ada Jahaberdeen telah menyambung pengajian hingga tahun empat untuk ijazah sarjana muda kepujian. Zaman itu mana ada telefon bimbit, laptop atau kafe siber.

Setelah lama tidak mendengar khabar berita, tiba-tiba nama Jahaberdeen muncul dalam media cetak dan elektronik apabila bertindak sebagai peguam bela bagi kes yang boleh dikatakan berprofil tinggi juga. Jahaberdeen mungkin telah melupakan kuliah ekonomi kerana sibuk dengan pembabitan dalam bidang guaman serta organisasi di peringkat kebangsaan. Jahaberdeen kini memegang jawatan sebagai ahli majis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang sering dilanda kontroversi, misalnya kes ujian penggunaan dadah terlarang.

Semasa di kampus, PB kerap juga bermain badminton hingga pernah 'berentap' di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar). Namun, kelibat Jahaberdeen tidak pula pernah kelihatan. Mungkin Jahaberdeen bermain badminton di tempat lain, tetapi yang pasti sekarang Jahaberdeen membarisi kepimpinan BAM.

Datuk Jahaberdeen dari dahulu lagi sangat mementingkan semangat setia kawan. Beliau lebih banyak mendengar kawan bercakap daripada suka menyampuk walaupun berlaku perbezaan pendapat yang ketara. Sifat itu memang cocok bagi seorang peguam yang perlu melayan anak guam masing-masing bagi persediaan prosiding mahkamah ...

Friday, November 14, 2014

PARODI GURU SEKOLAH: AWAL TAHUN MACAM PROFESOR, HUJUNG TAHUN BURUNG JAMPUK (PAPER AND REPORT TO PLEASE THE UNKNOWN SUPERIOR)



Sebaran imej aplikasi Whatsapp yang bertujuan jenaka bagi meredakan tekanan kerja guru yang dikejar dengan permintaan pelbagai maklumat pada minggu-minggu terakhir persekolahan bukan bersifat gambaran palsu sepenuhnya. Pada awal tahun, semangat untuk bertugas memang berkobar-kobar bagaikan gunung berapi yang hendak memuntahkan lahar bagi menyuburkan tanah-tanih, bukan untuk merosakkan apa-apa. Kemudian, proses memupuk pembelajaran dalam kalangan murid berlaku secara terus-menerus di samping tugas sampingan yang berkaitan datang bertimpa-timpa.


Pelaksanaan konsep autonomi sekolah, atau pengurusan berasaskan sekolah tidak bermakna kesibukan guru akan berkurangan, bahkan silap haribulan terjadi sebaliknya. Keakuran terhadap pelbagai lapisan kepimpinan pendidikan, jangkaan pihak berkepentingan dan pencapaian murid meletakkan tugas dan tanggungjawab keguruan semakin luas dan rencam. Aplikasi secara atas talian dan butiran kertas, pen dan pensil silih berganti.



Berbanding dengan kerja di pejabat yang lebih longgar dari segi masa, guru wajib menepati masa, mendahului masa dan mengejar masa. Sebarang kelengahan yang berlaku hanya akan menjejaskan capaian murid terhadap proses pembelajaran dan kesampaian kurikulum. Instrumen pentaksiran yang ditadbirkan pula perlu sentiasa cocok dengan persekitaran pendidikan semasa dan masa hadapan.


Guru kena bersabar terhadap segala kemungkinan tingkah laku murid. Dalam masa yang sama, guru juga kena menggembleng kerjasama ikhtisas rakan sejawatan, khususnya dalam bidang tugas yang sama. Guru juga kena melayan sikap superior (kepimpinan pendidikan) di sekolah, PPD, JPN dan KPM yang memiliki input pemikiran dan perspektif pendidikan yang mungkin bertentangan dengan amalan semasa atau status quo.

...

...

...

...

...

...