SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Thursday, December 25, 2014

BERITA GEMBIRA BUAT PELAJAR TINGKATAN 6: KINI PAKAIAN KASUAL DIBENARKAN (RE-BRANDING OF PRE-UNIVERSITY STUDY GOES ON)


Pekeliling Ikhtisas Bilangan 2 Tahun 2014: Etika Pakaian Murid Tingkatan Enam (format pdf klik di sini) menandakan bahawa proses penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan enam masih berjalan. Konsep pengasingan dengan aliran perdana persekolahan tingkatan satu hingga lima memberi autonomi pentadbiran kepada pengajian tingkatan enam. Projek rintis kolej tingkatan 6 telah pun dilaksanakan walaupun masih menumpang bangunan sekolah menengah yang sedang menghentikan pengambilan murid aliran perdana secara berperingkat-peringkat.

Kolej tingkatan enam bakal diketuai oleh seorang pengarah, sambil dibantu oleh beberapa orang timbalan pengarah dan ketua-ketua jabatan pengajian. Pembiayaan kolej tingkatan 6 tidak lagi tertakluk kepada peruntukan per kapita murid aliran perdana, sebaliknya dijangka memperoleh geran peruntukan sebagaimana yang dinikmati oleh pusat asasi dan matkikulasi di bawah naungan Kementerian Pendidikan. Kolej  juga dijangka menerima kakitangan pejabat dan sokongan yang akan tertakluk kepada terma lantikan tertentu.

Sementara semua pelajar tingkatan 6 dapat ditempatkan di kolej, sebahagian kelas sedia ada, khususnya di sekolah premier, proses yang sama akan berlaku. Sebagai permulaan, pekeliling yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Dato’ Seri Dr. Khair bin Mohamad Yusof menunjukkan bahawa kelas tingkatan 6 di sekolah aliran perdana juga seiring dan sejalan dengan kolej. Perubahan secara ansur maju itu bermaksud supaya penjenamaan semula dan pengasingan dapat berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan sistem persekolahan yang sedia ada.

keratan akhbar Kosmo! Khamis 25.12.2014

Secara ringkas etika pakaian pelajar tingkatan 6 yang terkini merangkumi:

1   kebenaran memakai pakaian kasual atau tradisional;

2   kebenaran kepada pelajar lelaki memakai baju dan seluar berwarna cerah, tetapi tidak boleh
     mempunyai corak bunga atau rekaan lain;

3   kebenaran memakai baju bercorak belang atau berpetak;

4   kebenaran memakai baju batik dan seluar berwarna cerah;

5   kebenaran bagi pelajar perempuan memakai baju kurung atau seluar panjang;

6   kebenaran memakai blaus berlengan, gaun labuh dan skirt yang melebihi paras lutut;

7   sekatan untuk kemeja-T yang mempunyai imej politik, ganas atau apa-apa yang dianggap negatif;

8   larangan memakai mana-mana pakaian yang diperbuat daripada bahan denim.

KPPM turut memaklumkan bahawa etika pakaian tersebut telah diluluskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan KPM ke-203 pada 21 November yang lalu. Beliau menegaskan bahawa kebenaran tersebut merupakan usaha penjenamaan semula pengajian Tingkatan 6. Pekeliling itu bakal berkuat kuasa mulai musim persekolahan akan datang, iaitu tanggal 5 januari 2015.

Dengan pelaksanaan etika pakaian yang sudah pun dicuba oleh kolej rintis mulai bulan Mei yang lalu, pelajar tingkatan enam kini tampil dengan imej baharu yang lebih bergaya. Mereka tidak lagi seperti murid sekolah menengah aliran perdana, sebaliknya lebih menyerlah sebagai bakal mahasiswa. Setelah memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar tingkatan 6 boleh dianggap sudah sebelah kaki ke menara gading idaman.

Proses penjenamaan semula pengajian tingkatan 6 dianggap kritikal supaya memiliki daya saing dengan pengajian persediaan universiti yang lain, terutama kolej matrikulasi dan pusat asasi sains tajaan KPM sendiri. Selain itu, daya tarikan politeknik dan institut pengajian tinggi swasta juga diambil kira. Sejarah pengajian tingkatan 6 yang lebih panjang, serta sumbangan yang unggul terbukti menerusi sekian ramai tokoh yang pernah belajar di tingkatan 6 untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP, HSC sebelum STPM diperkenalkan).

Segala pembaharuan dan penambahbaikan yang berlaku terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025. Pelajar lepasan SPM diberi pilihan yang adil dan setara jika berhasrat untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat ijazah asas. Sasaran 40 peratus penduduk Malaysia memiliki akses pengajian tinggi akademik dan kemahiran kini lebih jelas …

3 comments:

muhammad syahmi bin nazarudin said...

Cikgu azhar saya nak tanya ni... Ada tak sekolah yang menawarkan tingkatan 6 sepenuhnya? Maksudnye sebuah sekolah yang semuanya tingkatan 6.. Kerana saya mahukan sekolah tersebut.. Tak silap saya adakan? Tapi saya tak tahu apa nama sekolahnya? Kalau cikgu azhar tahu tolong beritahu saya... Saya inginkan suasana tingkatan 6 keseluruhannya..

muhammad syahmi bin nazarudin said...

Cikgu azhar saya nak tanya ni... Ada tak sekolah yang menawarkan tingkatan 6 sepenuhnya? Maksudnye sebuah sekolah yang semuanya tingkatan 6.. Kerana saya mahukan sekolah tersebut.. Tak silap saya adakan? Tapi saya tak tahu apa nama sekolahnya? Kalau cikgu azhar tahu tolong beritahu saya... Saya inginkan suasana tingkatan 6 keseluruhannya..

cikgu azhar said...

Salam muhammad syahmi bin nazarudin,

Setiap negeri ada sekolah pusat tingkatan 6. hubungi / layari portal rasmi jabatan pendidikan negeri atau ppd yang berdekatan. kalau di ipoh ada 2 buah (seri ipoh, seri putera), kuala kangsar 1 (smk raja muda musa).