SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Saturday, December 27, 2014

KUNJUNGAN KEDUA KE MASJID KRISTAL (LESS CONGESTED CITY DUE TO FLOOD SEASON OUTSIDE)


Perjalanan dari Dungun ke Kuala Terengganu menerusi  jalan negeri begitu lancar. Pembukaan Lebuh Raya Pantai Timur secara percuma telah melegakan pergerakan kenderaan tempatan, tetapi serba sedikit menjejaskan perniagaan keropok di sepanjang laluan berkenaan. Tiada air melintas jalan atau air yang  bertakung di sana sini, melainkan kerosakan kecil jalan akibat hujan lebat.

Kenderaan penulis blog (PB) terus sahaja menghala ke Duyong untuk menziarahi keluarga di sana. Banyak kenderaan diletak di bahu jalan kerana petempatan di situ agak rendah. Pada waktu siang memang tiada masalah banjir kerana air pasang hanya terjadi apabila malam menjelang.
Usai urusan di Duyong, perjalanan diteruskan menuju Pulau Wan Man melalui Losong yang pernah tersohor dengan keropok lekor asli Terengganu sebelum disaingi hebat oleh Kuala Ibai, Kelulut dan Kuala Kemaman. Sebaik sahaja meletak kenderaan di hadapan Masjid Kristal, laungan iqamah solat Zuhur berjemaah berkumandang. Maka, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah ke ruang wuduk.

Masjid Kristal sebenarnya gemerlapan dan cukup indah pada waktu malam. Sistem lampu yang silih berganti warna sebagaimana di Dataran Merdeka menyerlahkan keunikan seni bina Masjid Kristal bagaikan hikayat seribu satu malam. Projek Dato’ Seri Idris Jusoh ketika menyandang jawatan Menteri Besar Terengganu yang menelan belanja lebih RM250 juta itu pernah menjadi kontroversi, tetapi masih bertahan hingga kini.

Bilangan pengunjung memang agak kurang barangkali kerana waktu tengah hari, pelancong lebih bertumpu di kedai makan dan restoran. Namun, jemaah dalam ruang solat Masjid Kristal penuh sehingga saf belakang. Kebanyakan jemaah ialah remaja yang memakai baju-t berwarna kuning.
Sejumlah 200 orang remaja berusia antara 8 hingga 15 tahun sedang mengikuti kem tahfiz sejak sebulan lalu anjuran Masjid Kristal yang bakal tamat dua hari lagi. Jadual harian kem bermula pada pukul lapan pagi dan berakhir pada pukul lima petang. Peserta berulang alik dari rumah masing-masing kerana kemudahan penginapan seperti villa di situ tidak cukup untuk menampung penghuni secara ramai sekali gus.

Laporan media yang menyebut bahawa Masjid Kristal turut dilanda banjir sebenarnya berlaku di perkarangannya sahaja. Peserta tahfiz memaklumkan bahawa ketika mereka dijemput pulang oleh keluarga, air pasang belum berlaku. Hanya jika hujan lebat segala kegiatan di luar Masjid Kristal digantikan dengan program di dewan solat Masjid Kristal.

Di samping sejumlah pengunjung warga tempatan, hanya tiga orang pelancong kulit putih yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka kelihatan di situ. Pelancong wanita bukan Islam dikehendaki menyarung jubah khas yang disediakan untuk memasuki kawasan masjid. Ketiga-tiga orang pelancong asing berkenaan begitu selesa kerana remaja peserta tahfiz bertingkah laku seperti biasa tanpa memerhatikan pergerakan mereka secara khusus.
'air tenang jangan disangka tiada buaya'
kalau sungai banyak udang galah, maknanya apa ya?
bila masa Pok Su Mimi sempat tulis iklan di tembok itu?

Kemudian, perjalanan diteruskan menuju Pasar Payang. PB sempat singgah untuk mengambil gambar Sungai Duyong yang mencatat aras waspada. Setelah itu singgah pula di sebuah restoran separa mamak gred B (penarafan kebersihan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu).

Kawasan Pasar Payang juga tidaklah sesak seperti musim cuti biasa tanpa banjir. Kuala Terengganu kelihatan bebas daripada masalah banjir, tetapi laluan masuk dari Kuantan dan Jeli nampaknya banyak yang tersekat. Kunjungan ke sana kali ini memang santai, tetapi kasihan pula kepada para peniaga yang harus bergantung kepada pembeli tempatan sahaja …

No comments: