SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, January 23, 2015

SIFAT MULIA BUKAN MILIK EKSKLUSIF SESIAPA (THE TRUE COLOURS ALWAYS PREVAIL)

Dalam perjalanan pulang dari Parit patang tadi, slot ceramah sebuah saluran radio menampilkan penceramah selebriti yang berupaya menggamit kehadiran puluhan ribu hadirin dalam majlis beliau. Tajuk yang dikupas ialah tentang syarat-syarat taubat, sambil ada selingan nasyid taubat "aku tidak layak masuk syurga-Mu, tetapi aku tidak sanggup masuk neraka-Mu ..." Penyampaian penceramah memang mantap, tetapi akhirnya terjejas apabila beliau membidas beberapa orang termasuk 'ustaz' yang tidak disebutkan namanya.

Harapan untuk mendengar perkataan maaf tidak kesampaian, sebaliknya penceramah selebriti tersebut menuntut permohonan maaf atas kerosakan akibat fitnah yang dilemparkan. Sikap penceramah selebriti terkenal satu Malaya, serta mempunyai pengikut di seluruh Nusantara itu agak mengejutkan. Dalam pada beliau menyifatkan pihak tertentu sebagai asyik mencari salah pihak lain, beliau sendiri nyata kekurangan jiwa besar untuk melakukan hal yang sama.

Baginda Junjungan Nabi Muhammad Salallahu alaihi wasallam, keluarga dan sahabat menerima ujian yang jauh lebih getir dengan segala macam fitnah dan serangan fizikal. Baginda misalnya disambut dengan balingan batu oleh kanak-kanak di Taif, tetapi baginda memaafkan mereka demi kelangsungan dakwah dalam jangka panjang. Dalam banyak peristiwa lain, baginda menunjukkan sifat sabar yang paling tinggi walaupun sahabat, terutama Umar r.a. mahu mengambil tindakan serta-merta.

Sebagai insan biasa yang serba kekurangan, memang makam kemuliaan Nabi yang maksum tidak mungkin tercapai. Namun, sekurang-kurangnya dari segi akhlak yang asas seperti sifat pemaaf bukanlah terlalu berat untuk diamalkan. Melainkan, kes berat yang mungkin memerlukan pengadilan mahkamah, isu-isu peribadi boleh selesai dengan mudah sekali.

Pakar motivasi sering memberi saranan supaya kita sentiasa memaafkan semua orang sebelum tidur kerana dibimbangi kita mungkin tidak akan bangun-bangun lagi. Sikap menyimpan dendam akan memudarkan seri wajah (nur), lalu terbawa-bawa dalam percakapan sehingga menyerlahkan keperibadian berjiwa kerdil. Sebaliknya, dengan sifat mulia sebagai pemaaf akan mencampakkan ketenangan dan ketenteraman ke dalam jiwa seseorang.

Kebetulan pada pertengahan minggu ini isu klip video seorang penyanyi era 1990-an yang dipaksa menyanyi dalam keadaan bergari ketika dalam tahanan reman yang menjadi viral dalam kalangan netizens hangat diperkatakan. Sesuatu yang mengkagumkan, jika benar, khabar bahawa penyanyi itu telah memberi kemaafan kepada anggota polis yang merakam dan memuat naik video tersebut. Sama ada pemberian maaf itu mempunyai kesan terhadap tindakan tatatertib dan siasatan, hal itu bukanlah isu pokok perbincangan ini.

Tidaklah menjadi tujuan perbincangan ini untuk membuat perbandingan antara tokoh pendakwah selebriti dengan penyanyi berstatus orang kena tahan (OKT) yang disebutkan. Hanya satu perkara yang mahu ditonjolkan iaitu sifat mulia insan sebagai pemaaf. Diharapkan pendakwah selebriti yang berkenaan dapat menilai semula contoh huraian isi ceramah seumpama itu.

Hujah terbaik tentang amalan sifat terpuji (mahmudah) sebaik-baiknya mendahulukan contoh sirah daripada pengalaman peribadi seseorang penceramah. Begitu juga dengan saranan supaya artis yang berhijrah mengaji dua tiga tahun sebelum ke pentas ceramah walaupun idea terbaik, tetapi perkongsian pengalaman yang tertangguh lama mungkin sudah sejuk dan dilupakan. Keperluan sasaran dakwah (mad'u) sangat pelbagai dan hendaklah diraikan berdasarkan persekitaran dan pengalaman yang tidak semestinya terikat dengan kaedah yang bersifat terhad (reductionism) ...

No comments: