SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, January 2, 2015

SIAPA DI HATI UMAT? (THE REFERENCE PERSONALITY)

Tanggal 12 Rabiul Awwal disambut setiap tahun sebagai Maulidur Rasul, iaitu sempena tarikh kelahiran Baginda Junjungan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam. Peristiwa berkenaan dimasukkan dalam takwim hari kebesaran Islam di negara kita dengan status cuti kelepasan am. Mimbar Jumaat tengah hari tadi turut menyentuh perihal majlis-majlis yang memperingati baginda.

Sambutan Maulidur Rasul memang tidak pernah dianjurkan pada zaman awal Islam (klik di sini). Majlis yang seumpamanya diadakan apabila ulama terkemudian mendapati keperluan berbuat demikian. Umat Islam mulai leka dengan pesona duniawi dan semakin renggang dengan amalan sunnah.

Di Malaysia, antara acara sambutan yang lazim diadakan ialah perarakan, ceramah khas, majlis selawat dan bacaan sirah. Terdapat juga majlis berzanji yang menggunakan karya Jaafar Barzanji yang hidup sekitar abad ke-12 Hijrah. Walaupun bacaan berzanji merupakan suatu kesalahan (dianggap bidaah) di Arab Saudi, tiada sebarang tegahan berlaku di rantau Nusantara (klik di sini).

Hakikatnya, umat Islam mengingati Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bukan hanya ketika majlis sambutan maulid, bahkan dalam setiap denyut nadi kehidupan selagi masih bernafas. Islam sebagai pegangan aqidah, syariat dan akhlaq sampai kepada umat merentas ruang dan waktu menerusi perantaraan baginda. Maka, selagi umat berpandukan al-Quran, as-Sunnah, ijmak, qiyas, istihsan, istishab, masalih mursalah, dan uruf, mereka sebenarnya mengingati Baginda Junjungan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam.

 sumber dan bacaan lanjut klik di sini

Antara isi khutbah Jumaat yang tidak akan ditinggalkan ialah seruan supaya jemaah sentiasa bertaqwa, serta membanyakkan selawat ke atas Baginda Junjungan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam. Bacaan selawat dalam solat ialah pada penghujung setiap tahayat awal dan tahayat akhir. Maka, secara automatik umat yang taat mengerjakan solat fardu akan melafazkan selawat mininum sembilan kali, iaitu subuh sekali, manakala zuhur, asar, maghrib dan isyak dua kali bagi setiap waktu berkenaan.

Umat yang soleh menambah amalan solat sunat seperti qabliyah, ba'diah (mengiringi solat fardu bedasarkan peraturan khusus), dhuha, rawatib, tahajjud, tahyatul masjid dan lain-lain. Ertinya, bilangan lafaz selawat dalam ibadah solat semakin bertambah. Di luar waktu solat pula, umat digalakkan melafazkan selawat setiap kali berkesempatan, misalnya ketika berjabat salam atau menerima sebarang perkhabaran.

Terdapat pelbagai lafaz selawat seperti yang disarankan dalam hadith dan oleh ulama muktabar. Paparan di atas ialah versi selawat yang ringkas, tetapi masih mencukupi. Apabila mendengar orang lain berselawat, orang yang mendengar itu hendaklah menyambutnya dengan lafaz Sallallahu alaihi wasallam.

Baginda Junjungan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam bersabda dengan bimbingan wahyu Ilahi. Maka, setiap hadith yang disampaikan merupakan perintah mentaati Allah dan rasul-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Bahkan, Baginda Junjungan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam disifatkan sebagai al-Quran yang bergerak dan hidup.

Catatan sirah menjadi rujukan pelaksanaan kandungan al-Quran dalam kehidupan sebenar umat. Maka, sekalian umat hendaklah mencari guru yang mursyid supaya pengaruh jahat dan sesat tidak berjaya meresap masuk secara penyamaran. Kewajipan menuntut ilmu demi mencapai kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat memang banyak ditegaskan lewat al-Quran dan al-Hadith.

Hari ini, 11 Rabiul Awwal 1436 Hijriyyah yang menandakan sehari sahaja lagi tarikh sambutan Maulidur Rasul. Sebagaimana yang ditegaskan bahawa umat mengingati Baginda Junjungan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam saban waktu, bukan secara bermusim. Kendatipun begitu, pengisian hari besar Maulidur Rasul secara syarie jauh lebih baik daripada membiarkan hari esok berlalu tanpa berbuat apa-apa yang bermakna ...

No comments: