SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, March 19, 2015

TAMBANG PENGANGKUTAN AWAM MELAMBUNG NAIK: APA PILIHAN PENGGUNA? (THE MIRACLE OF WELFARE)



Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan:

KUALA LUMPUR: Tambang teksi dan kereta sewa dibenarkan naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta manakala mulai 15 Mei pula tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus. Kenaikan tambang itu yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini dibuat berikutan kenaikan kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam termasuk kos penyelenggaraan. Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan kadar tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.

Berdasarkan tambang baharu itu, penumpang teksi 1Malaysia (TEKS1M) di Pulau Pinang perlu membayar RM19.80 bagi 10km pertama berbanding RM11.80 sebelum ini, manakala penumpang TEKS1M di Lembah Klang dan Johor Bahru perlu membayar RM17.50 bagi 10km pertama berbanding RM10.80 pada kadar lama. Bagi teksi bajet di Lembah Klang dan Johor Bahru pula, penumpang perlu membayar RM14.30 di bawah kadar baharu berbanding RM10.80 pada kadar lama bagi 10km pertama; dan di Pulau Pinang, RM17.50 pada kadar baharu berbanding RM11.80 pada kadar lama dan kereta sewa pula RM14.50 berdasarkan kadar siling yang baharu. Kenaikan tambang bas ekspres untuk perjalanan seluruh negara adalah antara RM4.60 sehingga RM11.

Kenaikan kadar tambang baharu ini tidak melibatkan teksi lapangan terbang dan teksi eksekutif, kata Syed Hamid. Beliau berkata penetapan kadar baharu itu terpaksa dilakukan selepas kali terakhir semakan kadar tambang teksi dan bas ekspres dibuat pada 2009. "Kami sudah mengkaji dan menilai kadar munasabah yang tidak membebankan orang ramai," katanya dengan menambah, pengusaha teksi perlu menyusun semula meter di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan kadar baharu itu. 

"Saya mahu semua pemandu teksi lebih patuh dan bertanggungjawab dengan pengumuman kadar baharu ini dan tidak mengambil kesempatan," kata Syed Hamid. Ditanya mengenai kadar yang akan dikenakan bagi perkhidmatan di bawah KTM Berhad dan Prasarana, beliau berkata ia hanya akan diumumkan oleh syarikat terbabit. Beliau juga menegaskan penyelarasan kadar baharu itu tidak dibuat berikutan penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa 1 April sebaliknya mengambil kira kepentingan semua pihak. 

(sumber ambilan: klik di sini

Walau apa pun alasan yang diberikan oleh pihak yang berkenaan, orang ramai yang biasa menggunakan pengangkutan awam yang tersebut sudah pasti mengalami kejutan luar biasa dari segi perbelanjaan harian dan kos sara hidup. Poket mereka yang sudah sedia 'bocor' dengan lajunya mungkin tinggal habuk sahaja. Hutang isi rumah yang sudah cukup tinggi nampaknya tiada jaminan untuk tidak bertambah buruk.

Pengusaha teksi dan pemandu teksi mungkin berasa lega kerana pendapatan mereka yang tidak seberapa sebelum ini dijangka meningkat sedikit sejajar dengan tingkat harga umum barang dan perkhidmatan yang sentiasa melonjak. Namun, hal itu bergantung kepada tindak balas pengguna, sama ada mereka akan terus menggunakan perkhidmatan teksi seperti biasa atau menggunakan perkhidmatan alternatif. Hukum permintaan mengatakan bahawa apabila harga naik, kuantiti yang diminta akan turun, ceteris paribus.

Perkhidmatan teksi paling aktif terdapat di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Penggunaan sistem tambang bermeter telah diterima baik sekian lama oleh semua pihak. Pengguna sanggup beratur di hentian teksi seperti gedung beli-belah untuk menunggu giliran kerana pemanduan kereta persendirian terdedah kepada kesesakan jalan raya dan saman letak kenderaan.

Jika di Ipoh, pemandu teksilah yang menentukan kadar tambangnya. Misalnya, dari terminal bas Aman Jaya di Meru ke Rapat Setia yang hanya berjarak lebih sedikit daripada 10 kilometer akan dikenakan tambang antara RM25 hingga RM35 sebelum ini. Perkhidmatan teksi di Ipoh boleh dikatakan sebagai lesu dan suram kerana sikap pemandu teksi sendiri yang mementingkan pendapatan segera berbanding dengan teksi Lembah Kelang yang sanggup menggandakan kekerapan perkhidmatan bagi memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

Kenaikan harga tiket bas ekspres sebanyak 22.6 peratus juga memberi kejutan kepada pelajar universiti yang membentuk antara kumpulan terbesar penumpang bas ekspres. Jika dahulu dari kampus Upsi membayar tambang RM50 ke suatu destinasi pantai timur kini perlu menambah RM12 lagi sehala. Tambang bas ekspres sudah mendekati harga tiket penerbangan tambang murah bagi destinasi yang sama.

Pengguna pengangkutan awam juga berdebar menunggu kesan rejim GST yang bakal bermula pada 1 April. Cukai input memang boleh dituntut semula oleh pihak pemberi perkhidmatan, tetapi bagaimanakah dengan caj terhadap insurans dan takaful? Pendek kata, kenaikan harga pengangkutan awam dalam skala besar itu akan memberi natijah ketara terhadap kebajikan orang ramai ...

No comments: