SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, March 17, 2015

PERTEMUAN DENGAN TOKOH PENULIS TERNAMA (THE STORY OF DELAYED SUCCESS)

Pada petang Isnin yang lalu, 16 Mac 2015 bersamaan 25 Jamadil Awal 1436, mantan ahli akademik, sasterawan dan wakil rakyat telah berkunjung ke Kampung Sura Tengah, Dungun. Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu keluarga penulis blog (PB). Tokoh yang dimaksudkan ialah Dr. Mohd. Shafie bin Abu Bakar, 73, yang kini giat mengukuhkan penerimaan teori penulisan takmilah yang telah beliau kemukakan sejak beberapa tahun.

Semasa di UKM, PB pernah menghadiri pembentangan kertas kerja beliau tentang penulisan karya sastera berdasarkan perspektif Islam bersama Dr. Mohd. Kamal Hasssan (mantan rektor UIAM, kini Tan Sri Profesor Ulung), Dr. Bukhari Lubis (kini profesor di Upsi) dan Dr. Firdaus Abdullah (mantan pensyarah ekonomi UM dan ketua pengarah DBP). Sebagai sarjana persuratan Melayu yang berlatar belakang pengajian Islam (IV Thanawi dan kelas pertama sarjana muda kepujian di UKM) penyampaian beliau memang sangat tersusun. Walaupun telah lama meninggalkan dunia cendekia, beliau masih begitu.

Dr. Shafie yang berasal dari kampung Nyior, Paka memiliki kisah zaman kanak-kanak yang sangat mencabar, tetapi beliau tidak pernah mahu membesar-besarkan perkara itu. Namun, semangat belajar beliau patut dicontohi oleh generasi muda yang dahagakan kemajuan dan pencapaian kecemerlangan ilmu pengetahuan. Dr. Shafie tidak sekadar mengejar kelayakan akademik di atas kertas (sijil dan ijazah) semata-mata, tetapi lebih menjurus terhadap kecintaan ilmu pengetahuan secara mendalam.
 gambar dari blog Dr. Shafie

Oleh sebab pengajian thanawi yang melayakkan Dr. Shafie menjadi guru agama yang panjang, beliau hanya menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang setara dengan PMR dan PT3 ketika berusia 22 tahun sebagai calon persendirian. Berselang setiap dua tahun berikutnya, Dr. Shafie menduduki pula peperiksaan SPM dan STP(M) dengan jayanya. Beliau memperoleh sarjana muda, diploma pendidikan, sarjana dan doktor falsafah semuanya di UKM (baca lebih lanjut blog Dr Shafie: klik di sini).

Calon SPM tahun 2010 - 2015 hampir pasti pernah membaca dan mengkaji karya beliau, iaitu sajak 'Di Perpustakaan' yang turut diulas dalam blog ini. Maknanya, tidak kurang daripada sejuta orang murid yang belajar komsas telah berkongsi kebijaksanaan Dr. Shafie dalam mengungkapkan hakikat sesebuah perpustakaan, khutub khanah atau pusat sumber sekolah. Selain itu, puisi berkenaan turut terpampang di beberapa buah perpustakaan besar.

Calon SPM yang mengambil kertas Kesusasteraan Melayu pula mengenali Dr. Shafie lewat puisi beliau yang berjudul 'Madu Ilmu'. Sajak beliau itu turut diangkat sebagai judul antologi teks Kesusteraan Melayu 2010 - 2015. Sajak yang sama turut mendapat perhatian pelajar prauniversiti tingkatan 6 dan mahasiswa Pengajian Melayu.

Setelah 'bersara' daripada dunia akademik dan politik, Dr. Shafie meneruskan khidmat bakti kepakaran beliau dalam projek komuniti di Bandar Baru Bangi. Kini, Dr. Shafie diberi kepercayaan sebagai pengerusi projek pembinaan Masjid al-Umm di sana. Setakat ini, dana yang berjaya dikumpul mencecah RM10 juta, iaitu masih kekurangan RM2 juta lagi.

Dr. Shafie berumah tangga dengan seorang guru dan memunyai lima orang anak yang memilih haluan yang berbeza daripada beliau. Anak sulung beliau mengikut jejak langkah ibunya sebagai guru dan dikurniakan sebelas orang anak. Anak beliau yang lain ada yang berkhidmat sebagai doktor perubatan dan jurutera swasta.

Dr. Shafie juga menulis di blog peribadi beliau yang setakat ini mencatat lebih daripada 850 ribu klik. Beliau berpendapat selain buku bercetak, perkongsian ilmu boleh disebarkan dengan lebih luas menerusi capaian internet. Tambahan pula, generasi muda lebih cenderung membaca blog secara percuma daripada membeli buku-buku yang belum tentu mereka fahami kandungannya.

Dr. Shafie turut mengendalikan rumah penerbitan beliau sendiri secara berseorangan. Sebagai pesara, beliau tidak mampu untuk menggaji pekerja sepenuh masa di pejabat beliau. Dr. Shafie hanya tersenyum apabila PB melontarkan cadangan supaya beliau bekerjasama dengan rakan lama beliau, Profesor Dr. Abdullah Hassan, orang kuat PTS Publications ...

No comments: