SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, April 20, 2015

BENGKEL PERANCANGAN JAWAPAN EKONOMI P2 SEBERANG PERAI (BE THE BEST, LEAD THE REST)

Bertempat di Dewan Dato' Haji Hassan Noh, SMK Sri Muda, Penaga telah berlangsung Bengkel Perancangan Jawapan Ekonomi Penggal 2 bagi calon STPM 2015 daerah Seberang Perai. Program separuh hari berkenaan dilaksanakan pada hari Sabtu, 18 April yang lalu. Penyelaras program ialah Puan Halina binti Mohd. Ali selaku tuan rumah.

Program yang telah dimasukkan dalam takwim tahunan pengajian prauniversiti SMK Sri Muda telah dirancang dengan teliti bagi memastikan objektif penganjurannya tercapai. Pihak urus setia telah berjaya memperoleh sokongan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dalam kerangka permuafakatan strategik demi kemajuan akademik pelajar di negeri pelabuhan utama negara itu. Ukuran kejayaan program yang seumpamanya bukan semata-mata pencapaian peperiksaan per se, bahkan pengalaman pembelajaran sepanjang hayat.
 Cikgu Halina (berdiri) ceria mendekati peserta bengkel

Hasil kerja kuat urus setia yang diketuai Puan Halina, sejumlah 161 orang pelajar dan 14 orang guru dari 12 buah sekolah berjaya dihimpunkan. Selain perkongsian input, kaedah dan pengalaman tentang kertas makroekonomi, pelajar dan guru dapat berkenalan dengan rakan yang juga pesaing sihat dari sekolah lain. Guru yang hadir pula diberikan status latihan dalam perkhidmatan (Ladap) untuk enam jam.

Usai pendaftaran pada pukul 8.30 pagi, program terus dimulakan. Peserta dibekalkan dengan bahan modul edaran yang disediakan oleh pemudah cara program dan urus setia. Peserta disediakan dengan kerusi meja yang selesa untuk membuat catatan dan sesi interaksi dengan pemudah cara.
Bengkel dimulakan dengan slot motivasi pembelajaran ekonomi dengan tumpuan terhadap penetapan matlamat terbaik dan perancangan ke arah itu. Alunan lagu "Terbaik Bagimu' lantunan vokal Datuk Siti Nurhaliza dijuruskan kepada usaha terbaik pembelajaran ekonomi demi menuju pencapaian yang juga terbaik. Setelah peserta didapati akur dengan konsep 'terbaik' yang dimaksudkan, barulah komponen perancangan bulan terakhir menjelang STPM dilontarkan.

Slot motivasi dan perancangan memakan masa hampir satu jam bagi memastikan semua peserta berada dalam tahap kesediaan (readiness) untuk perbincangan modul jawapan kertas makroekonomi secara  khusus.  Bengkel dikendalikan secara komunikasi dua hala walaupun peserta hanya bersuara apabila didekati dan ditanyakan soalan. Barangkali remaja Seberang Perai memang bersikap polos dan menampilkan watak 'skema' dalam mana-mana majlis rasmi.

Sebanyak 12 buah sekolah menghantar peserta bersekali dengan guru pengiring. Bagi menjimatkan masa, pemudah cara bengkel menggunakan slaid power point yang turut mengandungi rakaman audio dan video dengan menggunakan perisian Camtasia dan Paint. Tumpuan diberikan terhadap kaedah merancang jawapan dan merancang penulisan jawapan bersesuaian dengan peruntukan markah dan peruntukan masa yang diagihkan secara luwes.

Pemudah cara menegaskan semula kaedah analogi, anekdot, cerita kelakar dan simbol dalam merancang penulisan jawapan ketika peperiksaan. Misalnya, singkatan LAST yang terdiri daripada label, arah, saiz dan teori. Demikian juga singkatan Mr GsT yang masing-masing mewakili dasar kewangan dan dasar fiskal.

Kepercayaan dan penghormatan pihak penganjur bengkel, khususnya Puan Halina, terhadap penulis blog (PB) sebagai pemudah cara telah dilaksanakan berdasarkan sumber yang sedia ada. Keberkesanan atau ketidakberkesanan program bengkel berkenaan hanya boleh diukur menerusi maklum balas peserta. Walaupun demikian, input yang dikongsi dalam bengkel mungkin berguna juga suatu hari kelak dalam kehidupan peserta yang tidak sunyi daripada cabaran dan pancaroba, insya-Allah ...

Senarai sekolah yang mengambil bahagian:


SEBERANG PERAI UTARA
BIL
NAMA SEKOLAH
1.
SMK SRI MUDA
2.
SMK DATUK HAJI AHMAD BADAWI
3.
SMK DATUK HAJI ABDUL KADIR
4.
SMK ST MARK
5.
SMK DATO’ ONN


SEBERANG PERAI TENGAH
BIL
NAMA SEKOLAH
1.
SMK TINGGI BUKIT MERTAJAM
2.
SMK BUKIT MERTAJAM
3.
SMK PERMATANG RAWA
4.
SMJK CHUNG LING, BUTTERWORTH


SEBERANG PERAI SELATAN
BIL
NAMA SEKOLAH
1.
SMK SIMPANG EMPAT
2.
SMK TUNKU ABDUL RAHMAN
3.
SMK TUN SYED SHEH BARAKBAH

No comments: