SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, May 16, 2015

BOY PJ MAJALAH GILA-GILA DI IPOH (PROFESSIONAL FIGURE SKETCHING)

Generasi muda mungkin tidak begitu mengenali majalah komik retro Gila-Gila (GG) yang sangat berpengaruh pada dekad 1980-an dan 1990-an. Majalah berkenaan telah bertahan hampir setengah abad lamanya. Namun kegigihan pihak pengurusan Creative Enterprise yang dikukuhkan dengan pelukis otai (old-timer) seperti Jaafar Taib, Rashid Asmawi dan Ujang serta penulis seperti Minahleter dan Profesor Dr. Muliyadi Mahamood telah memungkinkan GG masih berada di pasaran.

Bagi menarik minat generasi muda yang lebih suka melayan majalah kartun lebih sensasi seperti Apo!, Gempak dan Wisel, maka GG giat dipromosikan dalam pesta buku, serta kiosk tetap seperti di kawasan rawat dan rehat Gambang. Selain itu, kartunis GG juga dihantar ke gedung membeli-belah terkemuka untuk bertemu peminat setia GG dan prospek pembaca dalam kalangan generasi muda. Mereka mengadakan tunjuk cara lakaran kartun dan juga perkhidmatan melukis figura secara masa sebenar.
Pada hari Sabtu, 16 Mei bersamaan 26 Rejab 1436, GG telah menghantar kartunis Boy PJ di ruang legar Angsana Mall yang turut menempatkan pasar raya milik bumiputera, UO dan pusat servis Samsung. DJ Angsana Mall menguar-uarkan dari masa ke masa tentang kehadiran Boy PJ kerana pembaca GG pun tidak mengenali wajah beliau justeru tidak pernah tersiar dalam GG. Boy PJ ditemani seorang lagi kartunis residen GG yang tidak pula disebutkan namanya secara berulang-ulang.

Boy PJ dan rakannya kelihatan khusyuk dengan tugas masing-masing sama ada melayan permintaan melukis potret pengunjung UO yang singgah di kawasan meja mereka atau berkarya walaupun dalam keadaan hiruk-pikuk di situ. Ilham seseorang kartunis boleh datang dalam persekitaran sunyi sepi dan juga hingar-bingar. Mereka begitu peka terhadap gelagat, kerenah dan peristiwa yang berlaku di sekeliling serta jarak jauh.

Seseorang pelukis yang berjaya memang memiliki sentuhan kreativiti yang mampu menangkap imaginasi sasaran penggemar karya seni. Bakat melukis boleh datang secara sendiri atau pun menerusi disiplin pengajian di akademi seni tampak dan seni halus. Kini, dengan bantuan janaan komputer, karya kartunis boleh dihasilkan dengan lebih cepat dan memikat.
Kepakaran dan pengalaman Boy PJ serta rakan dalam penerbitan majalah GG terserlah menerusi lukisan figura atau potret dalam jangka masa yang singkat sahaja. Mereka melayan permintaan melukis potret pelanggan secara bersemuka dan juga berdasarkan gambar yang dibawa. Sebagai langkah promosi GG, bayaran yang dikenakan sangat murah, iaitu RM10 bagi lakaran pensil dan RM20 bagi lorekan berwarna.

Harga serendah itu bagi pelanggan memang berbaloi untuk perkhidmatan pelukis profesional seperti Boy PJ dan rakan dari majalah GG. Mereka bukan pelukis jalanan seperti yang dapat dilihat begitu ramai di kota Jakarta, Indonesia. Kontroversi tentang medium lukisan manusia juga nampaknya sudah berkurangan kerana majalah yang berteraskan keIslaman juga banyak memuatkan komik dan lakaran karikatur manusia.

Sesuai dengan usia pelukis dan penulis GG yang lebih dewasa dan berselera retro, maka kematangan karya GG terserlah dengan pengamatan yang tajam, kritik sosial dan penerapan nilai murni yang disampaikan secara santai. Barangkali pihak Creative Enterprise perlu membuat kajian pasaran tentang kecenderungan generasi muda semasa agar GG tidak terlalu bergantung terhadap peminat setia yang sudah menginjak usia emas. Walaupun mahu kekal dengan identiti tersendiri, tiada ruginya jika majalah GG memperuntukkan beberapa halaman untuk remaja dan kanak-kanak ...

No comments: