SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Thursday, April 30, 2015

SARAPAN BERSAMA KETUA POLIS PULAU PINANG (BY-ELECTION DUTY AT PERMATANG PAUH)



Bilik penginapan aras bumi di Hotel Seri Malaysia hanya bersebelahan dengan kafe. Bagi penginapan keluarga, kupon sarapan untuk tiga orang termasuk dalam pakej promosi pihak hotel. Tempoh masa srapan ialah antara pukul tujuh hingga pukul sepuluh pagi.

Penulis blog (PB) sekeluarga memilih untuk ke kafe pada pukul 8.30 pagi. Dari muka pintu lagi sudah kelihatan ramai anggota pasukan keselamatan berkumpul menunggu giliran di gerai telur goring dadar di situ. Lebih ramai pula rakan mereka sedang menikmati sarapan di dalam kafe.

PB mengambil serba sedikit hidangan buah-buahan tempatan, karipap dan makanan campur. Walaupun bukan amanalan harian, tetapi kalau di hotel biasanya jus buah-buahan sejuk menjadi pilihan. Rasanya masakan di Hotel Seri Malaysia Kepala Batas lebih enak secara berbanding.
Pada mulanya PB tidak peduli sangat dengan kumpulan berpakaian seragam itu. Namun, setelah mereka berkerumun untuk bergambar, disertai oleh sekumpulan orang awam berpakaian kasual, barangkali wartawan, barulah PB tumpang sekaki. Petugas kafe memberitahu bahawa individu yang menjadi tumpuan itu ialah Dato’ Abd Rahim bin Hanafi, ketua polis negeri Pulau Pinang.

Bersama beliau ialah pegawai kanan polis yang lain, mungkin termasuk dari Bukit Aman. Tidak diketahui dengan tepat tujuan mereka berada di Hotel Seri Malaysia Bayan Baru ini, tetapi kehadiran mereka dalam skala besar itu barangkali berkaitan dengan bahang pilihanraya kecil Permatang Pauh yang menjadi tumpulan seluruh negara. Kerusi parilmen Permatang Pauh menjadi kosong apabila petisyen pengampunan penyandangnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mantan timbalan perdana menteri, dilupuskan.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh yang membabitkan pertarungan empat penjuru itu dijadualkan berlangsung pada 7 Mei yang telah diisytiharkan sebagai cuti umum oleh kerajaan Pulau Pinang. Isteri Dato’ Seri Anwar, Dr. Wan Azizah, 63, yang pernah memenangi kerusi berkenaan sebanyak dua penggal bakal berhadapan dengan Suhaimi Shabudin, awal 40-an, seorang ahli perniagaan merangkap setiausaha bahagian Umno Permatang Pauh, serta dua orang lagi calon bebas. Pemerhati politik berpendapat bahawa keputusan satu lagi pilihan raya parlimen di Rompin, Pahang pada tanggal 5 Mei tidak banyak mempengaruhi pola pengundian di Permatang Pauh.

Permatang Pauh terletak di bahagian tanah besar Semenanjung Malaysia Barat (Tanah Melayu). Namun, kedudukannya dengan bahagian pulau tidaklah begitu jauh dengan adanya dua buah jambatan yang menghubungkan kedua-dua buah tempat. Apabila meter kehangatan kempen memuncak kelak, sudah pasti bilik penginapan di bahagian tanah besar akan penuh, lalu melimpah ke bahagian pulau pula.

Setelah dua puluh minit, Dato’ Halim dan rombongan beliau meninggalkan kafe sambil menyapa beberapa orang anggota pengurusan hotel yang berada di situ. Beliau kelihatan ceria walaupun hidangan sarapan boleh diberikan penarafan biasa-biasa sahaja. Barangkali pegawai tinggi polis seperti beliau sudah mangli dengan rutin tugas yang sarat dengan peristiwa dramatik dan tekanan …

Wednesday, April 29, 2015

CATATAN PERJALANAN KE PULAU MUTIARA (CONGESTED HIGHWAY TRAFFIC, BUT LESS HASSLE AT THE CITY)



Penulis blog (PB) sekeluarga bergerak dari MRSM Parit hampir pukul enam petang. Pergerakan kenderaan macam kura-kura berhampiran plaza tol Ipoh Selatan menimbulkan kebimbangan bahawa laluan ke utara Semenanjung mengalami kesesakan luar biasa. Namun, kemungkinan bahawa terdapat kerja naik taraf lebuh raya atau sekatan pihak polis yang menjadi punca.

Akhirnya, jawapan kepada andaian yang dibuat ialah pilihan pertama, iaitu kerja naik taraf. Laluan di hadapan menjadi ‘muncung botol’ mengakibatkan kesesakan. Lanjutan itu, pergerakan kenderaan masih perlahan hingga ke plaza tol Ipoh Utara berhampiran Lembah Meru. Setelah kembali lancar, kedaan pergerakan perlahan tadi terjadi semula menghala keterowong Menora, Kuala Kangsar.






KISAH DI SEBALIK KEJADIAN GEMPA BUMI DI NEPAL (BLESSINGS IN THE BIGGER PICTURE)

Upacara pelik memancung binatang ternakan yang menjadi tradisi di beberapa buah perkampungan di Nepal tersebar dalam kalangan warga maya (netizens) dan aplikasi whatsapp, lalu dikaitkan dengan kejadian gempa bumi bermagnitud 7.9 di sana pada hari Sabtu yang lalu. Namun, tiada sebarang ulasan pakar (tentang balasan kezaliman melampau itu) yang boleh menjadi pegangan tentang perkara tersebut. Maka, jalan paling baik ialah mengungkapkan Wallahu a'lam bi's-sawab dan marilah kita merujuk ayat al-Quran, surah ar-Rum, 30:41 sebagai renungan bersama.
Nepal hanyalah sebuah negara yang miskin dan mundur, tetapi terkenal kerana di buminya terletak gunung tertinggi di dunia, iaitu Everest. Sesiapa yang berjaya mendaki gunung berkenaan hingga ke puncak termasuk dalam senarai individu hebat dunia. Rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam menyertai misi pendakian paling ekstrem dan mencabar itu.


Malaysia juga mempunyai hubungan istimewa dengan Nepal sejak zaman penjajahan Tanah Melayu lagi. Askar upahan British yang dikenali sebagai gurkha berasal dari Nepal. Kini, Malaysia masih menerima kebanjiran warga Nepal yang mencari rezeki sama ada sebagai pekerja sah atau pendatang haram.

Kalau suatu ketika dahulu golongan gurkha lebih dikenali sebagai penjual batu permata, kini kebanyakan warga Nepal diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan, khususnya di hotel dan kondominium. Mereka sanggup mengisi pekerjaan yang paling membosankan itu. Setakat ini belum kedengaran berita pak pacak warga Nepal membuat hal sebagaimana pak pacak Indonesia, Myanmar dan Vietnam yang banyak terbabit dengan dunia jenayah.
Gempa bumi Nepal tidak mengenal mangsa dan tugasan mereka. Malaikat Izrail sudah sedia menanti mereka di sana tanpa bertangguh walaupun sedetik untuk mematuhi tugasan mencabut nyawa manusia. Pemergian ke kawasan berisiko tinggi memang sentiasa terdedah kepada kemungkinan yang paling buruk.

Walau apa-apa pun jua punca bencana, masyarakat antarabangsa termasuk di negara kita akan tetap segera menghulurkan bantuan kemanusiaan bagi menyelamat dan meringankan beban yang ditanggung mangsa. Sementara kita yang masih sihat walafiat ini mengambil segala iktibar dan peringatan, nasib mangsa yang ditimpa musibah termasuk yang tidak bersalah mesti menjadi keutamaan. Segala perbezaan perlu disimpan terlebih dahulu demi kebijaksanaan jangka panjang.
Rupa-rupanya ada juga musibah yang tersembunyi di sebaliknya hikmah yang di luar fikiran yang munasabah. Misalnya, paparan berita di atas membuktikan bahawa terdapat halangan yang mendatangkan kebaikan yang tidak diduga sama sekali. Maka, andai kata telah melakukan segala langkah yang terbaik, masih ditimpa musibah, bersangka baiklah kepada Yang Maha Mencipta.

Kita mungkin tidak pernah menjejakkan kaki ke Nepal, tetapi warga Nepal berada di sekeliling kita melalkukan pekerjaan yang mulia, tetapi penuh risiko. Saudara-mara mereka di tanah air mungkin antara mangsa yang terbabit dengan bencana gempa bumi itu. Atas nama kemanusiaan, marilah kita menghulurkan bantuan dalam lingkungan keupayaan masing-masing ...

Monday, April 27, 2015

ISU KESELAMATAN MURID DALAM ACARA SUKAN (THE DUTY OF CARE AND SAFE SCHOOL)

Fenomena cuaca yang sukar diramalkan bermakna bahawa perancangan kegiatan luar bilik darjah yang lebih bersifat luwes (lentur, fleksibel) menjadi sine qua non. Bahang panas ekstrem atau hujan lebat yang bersekali dengan petir menghadirkan risiko yang cukup tinggi dalam melaksanakan kegiatan tersebut. Kepimpinan sekolah wajib memiliki tahap kepekaan yang maksimum supaya tidak berbangkit sebarang kes keselamatan murid yang serius.

Ketika zaman kad 001 begitu dititikberatkan, butiran penting kesihatan murid tercatat di dalamnya untuk rujukan pihak sekolah. Murid yang menjalani ujian tenaga asas juga mengambil kira keadaan jasmani dan keupayaan mereka. Kini, data kesihatan murid juga dimasukkan ke dalam sistem elektronik dengan akses rujukan kepada pihak yang dibenarkan sahaja.

Sebagai contoh, murid yang menghadapi masalah nyah hidrat (dehydration), iaitu kekurangan cecair dalam badan secara mendadak perlu diberi pelepasan daripada kegiatan jasmani yang berat, terutama ketika cuaca panas terik. Dari segi luaran, murid yang mengalami nyah hidrat mungkin kelihatan sihat walafiat, tetapi hakikatnya mempunyai sejarah penyakit warisan keturunan (genetik) atau tahap metabolisme yang rendah. Semua guru telah memiliki pendedahan asas tentang isu kesihatan murid, namun peringatan dan ulang kaji tentangnya perlu dilakukan dari masa ke masa.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat masalah kesihatan yang disembunyikan daripada pengetahuan pihak sekolah kerana murid dan keluarga mereka mungkin tidak mahu menampakkan kekurangan diri. Murid mahu diterima dalam kumpulan rakan sebaya secara tuntas dan tanpa syarat. Sebagai ahli ikhtisas bidang pendidikan, guru tidak boleh terlepas pandang terhadap kemungkinan tersebut.

Musim peralihan monsun antara bulan Mac hingga Mei, serta September hingga November mengakibatkan hujan lebat berserta dentuman petir pada sebelah petang. Maka, kegiatan luar bilik darjah sepatutnya dijadualkan semula pada sebelah pagi agar sebarang peristiwa malang tidak berbau dapat dihindari. Pihak berkuasa pendidikan sudah pasti maklum bahawa konsep melindungi masa instruksional murid (MMIM) juga merangkumi kurikulum tersembunyi yang bersifat jangka panjang dan tuntas.

Kreativiti dalam pengurusan kurikulum dan kokurikulum dalam tangan kepimpinan sekolah yang bijaksana dan tajam pengamatan mampu akur terhadap kehendak MMIM secara serentak dengan keselamatan murid. Pegawai tinggi pendidikan yang duduk di kerusi empuk dalam pejabat yang nyaman sekali sekala kena turun untuk berkongsi pengalaman sebenar di sekolah bagi mencari jalan terbaik pelaksanaan MMIM dan sekolah selamat. Lebih elok jika kepimpinan sekolah dibabitkan dengan perkembangan terkini persekitaran pendidikan di sekolah masing-masing secara berterus terang dan telus walaupun amalan sedemikian mungkin berhadapan dengan risiko pentadbiran yang lain.

Pergerakan memanaskan badan oleh murid yang mengambil bahagian dalam semua acara sukan dapat mengelakkan kejutan kepada otot dan sistem fisiologi mereka. Sebelum guru bertugas melaksanakannya, satu simulasi oleh guru pendidikan jasmani kepada semua guru perlu dibuat terlebih dahulu. Meskipun semua guru telah lulus kursus wajib pendidikan jasmani semasa latihan praperkhidmatan, simulasi yang dilaksanakan menjurus kepada proses penyelarasan dan ulang kaji.

Salah satu slot latihan dalam perkhidmatan (Ladap) perlu diisi dengan kursus pengelolaan acara sukan supaya segala teknik asas pergerakan murid benar-benar mencapai matlamat dasar satu murid satu sukan dan konsep sukan untuk semua. Setelah taklimat audio video di bilik Ladap, semua peserta dibawa ke padang atau gelanggang untuk sesi praktikum. Sesungguhnya kegiatan sukan secara selamat lagi terancang bakal melonjakkan kecemerlangan pendidikan di sekolah ke tahap yang tertinggi ...

Sunday, April 26, 2015

KEJADIAN MENCEMASKAN DI LALUAN BERLIKU PARIT (AGRRESIVE DRIVER SERVE HIS RIGHT)

Pemandu kereta di hadapan sudah memperlahankan kelajuan setelah memberi isyarat untuk membelok ke kanan. Tiba-tiba sebuah Proton Wira meluru laju untuk memintas tanpa menyedari pergerakan perlahan kenderaan yang hendak membelok itu. Pemandu kenderaan terus memberi isyarat tangan supaya tidak berlaku peristiwa buruk.

Alhamdulillah, pemandu Wira sempat menekan pedal brek tetapi kemudian memecut semula dengan kencang seperti pelumba F1 layaknya. Selang beberapa minit, kereta Proton Wira tadi sudah melintang dalam parit di sebelah kanan jalan. Hampir semua pemandu lain memberhentikan kereta untuk memberi bantuan yang patut.

Nasib pemandu Wira itu agak baik kerana bahagian tempat duduk hadapan tersangkut di tebing parit, bukan di dalam air. Dia berjaya membuka pintu kereta dan keluar. Ternyata dia anak muda yang berusia dalam lingkungan akhir 20-an.

Pemandu Wira dengan selamba menghubungi pihak kren untuk menarik keretanya keluar. Dia kelihatan tidak begitu peduli dengan kumpulan pemandu lain yang ingin menghulurkan bantuan. Tiada tanda kecederaan luaran yang dialami.

Seorang pelajar Kolej Taj Ipoh yang ditemui memberitahu bahawa pemandu Wira itu memotong deretan lima buah kereta secara sekali gus. Namun, usai berbuat demikian selekoh tajam menunggunya. Maka, dia menekan brek kecemasan mengakibatkan Wira yang dipandu berpusing-pusing sebelum tersangkut di parit berkenaan.

Ketika kejadian, hujan renyai turun secara berterusan. Permukaan jalan yang licin sangat berisiko kepada kenderaan yang dipandu laju. Tayar kereta mungkin tidak dapat mencengkam permukaan jalan, lalu stereng tidak dapat mengawal arah pergerakan kenderaan.

Barangkali pemandu muda Proton Wira tersebut mempunyai urusan kecemasan dan mustahak yang mendorong terhadap pemanduan agresif dan melulu. Namun, tindakan itu boleh membahayakan keselamatan dirinya sendiri dan pemandu lain yang berjiran. Buktinya, dia terpaksa berhadapan dengan urusan membaiki kenderaan yang rosak teruk itu.

Kenderaan yang dipandu terlalu perlahan di jalan sempit dan berliku-liku seperti Jalan Parit - Batu Gajah - Ipoh turut menyusahkan pemandu lain yang mengekori mereka di belakang. Halaju 70 kilometer sejam lebih munasabah berbanding dengan menyeksa minda pemandu lain apabila memandu antara 50 hingga 60 kilometer satu jam macam back-hole (jengkaut atau jentolak). Pemandu santai dalam kalangan warga emas, penduduk tempatan dan kaum wanita didapati gemar memandu secara santai kerana tiada urusan segera ...

Saturday, April 25, 2015

Friday, April 24, 2015

SAMSUNG LAWAN OPPO (MULTIFUNCTION SMARTPHONES)

...

...
OPPO R1x yang disifatkan sebagai menepati kehendak pengguna yang mahukan elemen mewah kerana mempunyai rekaan kepingan berlian di belakangnya. OPPO memperkenalkan model telefon pintar terbaharunya, Oppo R1x yang disifatkan sebagai menepati kehendak pengguna yang mahukan elemen mewah kerana mempunyai rekaan kepingan berlian di belakangnya. Oppo R1x turut dilengkapi dengan penggunaan perlindungan Gorilla Glass 3. Mengikut spesifikasi, peranti itu hanya setebal 6.85 milimeter dilengkapi skrin 12 sentimeter (sm) dengan resolusi HD 720 x 1280 piksel. Oppo R1x turut dipadankan dengan pemproses Snapdragon 615 1.7GHz yang disokong oleh RAM 2GB. Peranti baharu ini juga didatangkan dengan memori simpanan 128GB serta tambahan 16GB microSD. Penggunaan telefon bimbit ini dikendalikan oleh sistem operasi OS Android KitKat 4.4. Telefon pintar ini mempunyai kamera utama 13MP di hadapan serta kamera sekunder 5MP. Untuk pilihan warna, Oppo R1x hanya ditawarkan dalam dua pilihan warna, Ice White serta Sapphire Blue.

...

...

...
 
Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd akan menambah semula stok telefon Samsung Galaxy S6 Edge Gold Platinum bagi memenuhi permintaan yang sangat menggalakkan daripada pengguna Malaysia. "Prapesanan bagi Samsung Galaxy S6 dan S6 Edge memberangsangkan sejak pelancaran pada 2 April dengan Samsung Galaxy S6 Edge Gold Platinum menjadi pilihan dalam kalangan pelanggan Malaysia," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini. Naib Presiden Lee Jui Siang berkata peranti Samsung dibina dengan mementingkan keperluan pelanggan. "Samsung Galaxy S6 dan S6 Edge mempunyai kelebihan dari segi fungsi dan rupa. Menggabungkan reka bentuk dengan ciri-ciri kuasa, Galaxy S6 dan Galaxy S6 Edge memberikan nilai sebenar dan kami percaya itulah sebabnya ia menerima maklum balas positif di seluruh dunia dan juga di Malaysia," katanya. Galaxy S6 dan Galaxy S6 Edge berharga masing-masing RM2,599 dan RM3,099, termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). - BERNAMA
...

...

...

Thursday, April 23, 2015

KUAT KUASA KAWALAN GELARAN PROFESOR, IJAZAH PALSU (SMART IMPOSTERS FACING HARD TIME)

...

...


Beberapa hari lalu, Majlis Profesor Negara (MPN) melancarkan buku Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor bagi mengangkat kredibiliti profesion dan imej ahli akademik di Malaysia bertujuan menjelaskan penyalahgunaan gelaran profesor pada pangkal nama atau kad nama. Bahkan sudah ramai menyalahgunakan ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD) sama ada dibeli menerusi online, diplagiat atau mengupah orang menyediakan tesis bagi tujuan penipuan dan komersial. Banyak kes seperti ini sama ada di Malaysia ataupun luar negara termasuk negara maju yang menjadi hab pengajian tinggi. 

Beberapa tahun lalu, bekas Pengarah Kanan dan Ketua Pegawai Maklumat, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Laura Callahan meletak jawatan selepas didapati membeli Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD secara dalam talian. Kes ini menggegarkan keselamatan Rumah Putih kerana dilihat seolah-olah tidak menyemak latar belakang sebelum mengambil beliau bertugas. AS mengeluarkan 50,000 ijazah PhD seluruh dunia, bernilai RM3.6 bilion (AS$1 bilion) setahun. 

Di Pakistan pula ada banyak universiti melantik profesor kelulusan PhD palsu dan ia menjejaskan kredibiliti universitinya. Pembabitan 'profesor segera' ini merosakkan imej dan mutu pengajian terutama bidang perubatan. Di Russia, ijazah palsu dapat dibeli dengan harga RM3,000. Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu atas nama Universiti Harvard - pusat pengajian tinggi terbaik di dunia, dengan harga RM120,00.

Sebuah laman sesawang menyediakan perkhidmatan mengeluarkan ijazah palsu, termasuk PhD dari pusat pengajian tinggi dengan bayaran RM240. Tawaran ini jadi lebih menarik apabila mereka bebas memilih apa sahaja bidang dikehendaki atau mana-mana universiti untuk diisi dalam ijazah palsu itu. Ijazah palsu membabitkan universiti Malaysia mula dikesan susulan kes penipuan untuk mendapat kelulusan Universiti Sains Malaysia (USM) beberapa tahun lalu.

Selain kes sijil palsu USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara. Pembelinya terdiri daripada kalangan ahli politik dan individu bergelar Tan Sri. Syarikat mengenakan harga RM6,500 bagi ijazah Sarjana Muda, RM8,500 (Sarjana) dan RM10,500 (PhD) dalam pelbagai jurusan kononnya diiktiraf lima universiti luar negara, antaranya Universiti Rockhampton, Universiti Harvey International, Universiti Cannington Brook dan Universiti Charles Molnar. 

Ramai orang 'sakit jiwa', pemalas dan suka menipu mencari jalan pintas, cepat, tidak perlu belajar untuk mendapatkan ijazah secara mudah, dalam tujuh hari sedangkan pelajar universiti menghabiskan tiga hingga enam tahun untuk mendapatkan diploma dan ijazah. Bukan mudah untuk mendapat PhD kerana memakan masa lama. Perlu berkorban wang ringgit, keluarga dan masa.

Perbuatan segelintir mereka ini adalah tidak adil kepada pemilik ijazah sebenar. Mereka yang terbabit dalam kes pemalsuan ijazah, biasanya bijak bercakap tetapi isinya kosong dan hanya boleh dikesan sesetengah pakar apabila dibandingkan dengan kelulusan diperoleh. Selalunya orang yang gagal dalam pelajaran dahagakan pengiktirafan, lebih-lebih lagi orang yang baru dikenali. 

Mereka mahu dipandang tinggi, berilmu, berkebolehan dan boleh dijadikan pakar rujuk. Mereka bangga memperkenalkan diri sebagai 'Dr' dan profesor memperdayakan orang sedangkan hanya tamat Tingkatan Tiga ataupun Tingkatan Lima. Kadangkala dengan gelaran 'Dr' dan profesor yang dijaja sebagai pakar motivasi, MLM, penjual produk kosmetik dan ahli perniagaan, mereka dapat lebih peluang dan keutamaan menjawat jawatan penting seperti pengarah dan perunding dalam organisasi serta senang mendapat kontrak projek. Ditambah pula dengan sikap orang ramai mudah percaya dengan kepetahan bercakap tanpa meneliti latar belakang pengajiannya, selain kelemahan majikan di Malaysia yang hanya melihat rekod jenayah pemohon pekerjaan tanpa menitikberatkan status pendidikan menyebabkan kegiatan membeli ijazah sarjana dan PhD palsu semakin berleluasa. 

Satu pusat menyimpan data graduan mesti ditubuhkan untuk mengelak kes pemalsuan ijazah dan semua sijil dicetak Percetakan Nasional yang mempunyai tahap sekuriti tinggi. Seseorang bergelar Tan Sri, Datuk, ahli perniagaan dan pakar motivasi tidak berintegriti dan patut merasa jijik memiliki ijazah palsu serta sanggup menggunakan gelaran doktor atau profesor. Mereka patut malu kepada masyarakat bahkan kepada ahli keluarga yang mengetahui taraf pendidikan dimiliki. 

Adalah wajar sesiapa yang menggunakan sijil palsu dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya. Penipuan sijil palsu perlu dibendung agar tidak merebak dan kelak disalah guna warga asing ketika Malaysia mengambil pelbagai usaha menjadikan negara sebagai hab pengajian tinggi. 

Penulis ialah Presiden Transparensi International Malaysia



(sumber ambilan: klik di sini)
...

...

...

...

...

...